Monday, November 28, 2016

Perbezaan Zoo Negara dahulu dan kini

بسم الله الرحمن الرحيم

Entah bilalah kali terakhir ke Zoo Negara? 
Mungkin ketika zaman kanak-kanak dulu.
Rasanya lama benar tak ke Zoo Negara.
Lagipun ia bukanlah tempat yang sesuai dituju kerapkali.

Baru minggu sebelumnya ke mini zoo di Penang. Kebetulan balik ke Kuala Lumpur kerana kecemasan, anak-anak minta untuk ke zoo negara di Kuala Lumpur pula di saat-saat akhir.

Ia bukanlah perkara yang dirancang. Keputusan dibuat pada saat-saat akhir.

Plannya, biarlah anak-anak ke Zoo Negara sebentar sebelum memulakan semula perjalanan balik ke Kuala Ketil yang jauh.

Lebih-lebih lagi Ahmad Zaid yang ingin bergerak aktif di dalam kereta.

Bayaran semakin mahal.
Naik tram pun dah kena bayar
Bayaran masuk pula termasuk tengok panda yang sebelum-sebelum ni bayaran
untuk tengok panda adalah asing.

Pada ketika itu, Zoo sedang melakukan renovation. Jadi keadaan agak tidak terurus di beberapa tempat.



Yang paling mahal sekali ialah reaksi Ahmad Zaid yang sudah pandai melihat dan memperlihatkan rasa takjub dan suka melihat binatang bergerak-gerak.

Menjerit-jerit Ahmad Zaid kesukaan.



MasyaALLAH ! Geram sangat!

Lihat sahaja keterujaan Ahmad Zaid

Priceless!

Ahmad Zaid menjerit kesukaan melihat panda sedang makan daun sehingga petugas-petugas di sekeliling menunjukkan
isyarat SHHHH!! kepada Ahmad Zaid.

Tengok panda tak boleh bising-bising ya

Bangunan yang menempatkan panda sangat istimewa berbanding haiwan-haiwan lain.

Petugasnya pun ramai untuk menjaga panda.

Shhhhhh...!

Seronok pula melihat panda.

Comel.

Kasihan pula kalau orang yang tidak tahu bahawa bayaran masuk ke zoo negara sekarang termasuk untuk tengok panda.

Naik tram juga sudah dikenakan bayaran sekarang.

Dulu free sahaja.

Patutlah tidak ramai orang naik tram.

Memandangkan mungkin lepas-lepas ni, lambat lagi akan bawa anak-anak ke zoo negara, naik sahajalah tram.

Nanti terkilan pula

Bukan senang nak masuk zoo negara.

Bayarannya tidak murah

Penat berjalan di dalam zoo membuatkan anak-anak tertidur lama di dalam kereta sepanjang perjalanan pulang selepas makan nasi di dalam kereta. Alhamdulillah.

Benarnya. Musafir itu punya kesukarannya yang tersendiri. Lebih-lebih lagi bila bersama anak-anak kecil.

Demikianlah hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam:

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: 
"Perjalanan itu sebahagian dari siksaan kerana ia  menghalang  dari tidur, makan dan minum.Oleh itu, jika urusan kalian telah selesai, kembalilah segera kepada keluargamu.
 HR Bukhari dan Muslim 

Rasa bosan dan penat di dalam kereta kerana perjalanan yang panjang ketika datang ke Kuala Lumpur juga dipujuk dengan membawa anak-anak ke Taman Tasik Permaisuri dekat dengan rumah nenek.

Mulalah teringat kenangan bermain dan beriadhah di taman ini ketika kecil dahulu.


Permainannya juga sudah agak lusuh berbanding ketika kedatangan kami ke taman ini beberapa tahun yang lalu.


Ahmad Zaid bersamanya sepupunya, Maryam yang muda setengah tahun dari Ahmad Zaid

 Semoga ketemu lagi 
InsyaALLAH

Saturday, November 26, 2016

Syurga Dunia Kanak-Kanak. Zoo di Penang?

بسم الله الرحمن الرحيم

- 15/ 10/ 2016
- 14 Muharram 1438
- Sabtu


" Mama. Tolong search apa tempat menarik di Penang. Esok kita pi jalan-jalan kat Penang." Mesej Whatsapp dari baba masuk selepas Maghrib semalam.

Alahai... memikirkan cuti hujung minggu selama 2 hari selepas 5 hari bekerja terasa tidak mahu untuk keluar berjalan-jalan.

Plan cuti setiap hujung minggu ialah:
1- Kemas rumah bersih-bersih
2- Edit tesis dan buku
3- Rehat

Malasnya rasa nak keluar dari rumah. Rasa banyak sangat kerja-kerja yang tertangguh dan belum diselesaikan.

Itulah manteliti orang dewasa yang tidak selesai-selesai kerjanya hingga ke akhir hayat.

Rasa macam nak balas sahaja Whatsapp tadi: "Penang tak ada apa yang best. Dok rumah, kemas rumah jelah esok." tapi tak balas pun begitu.

Pun begitu, selepas dicari serba sedikit dan berbincang dengan anak-anak apakah aktiviti yang mereka ingin lakukan esok hari. Beberapa pilihan diberikan:
Muzium
Pantai
Zoo
Shopping Complex

Anak-anak berbincang membuat pertimbangan pilihan tempat yang ingin dilawati.


"Kita pi tengok binatang nak mama?" Cadang Abbudey.

"Abang, sampai ke Indonesia dah kita tengok dah semua binatang." Sekali lagi manteliti orang dewasa yang membosankan.

Hakikatnya zoo ibarat syurga dunia untuk kanak-kanak. Berapa kali pun, mereka masih seronok lagi. Bukan kerana mereka tidak kenal binatang, tapi kerana mereka merasakan keseronokkan melawat, berinteraksi dan memberi makan kepada haiwan. Kita yang dewasa pun turut bahagia melihat keseronokkan anak-anak.


Akhirnya. Keesokkan pagi, selesai sarapan dan bersiap-siap untuk mewarnakan hujung minggu dengan warna-warni kehidupan. Buangkan sementara kesibukkan dan kebekuan asyik memikirkan kerja 24jam

Kami membuat keputusan untuk pergi ke Audi Dream Farm di Balik Pulau. Penang.


Kawasan luar Audi Dream Farm
Basikal-basikal yang menarik minat Abdul Rahman

Kawasannya dijaga bersih dan kurang berbau

Harga tiket masuk hanya rm3 untuk kanak-kanak dan rm7 untuk orang dewasa.


Bakul berisi makanan-makanann untuk diberikan kepada binatang dibeli dengan harga rm14



Selain binatang, banyak tanaman dan sayuran yang ditanam untuk pendedahan kepada kanak-kanak.

Seronok apabila burung datang hinggap ke tangan untuk makan.



Burung dengan pelbagai warna

Memberi makan kepada arnab pula

Yang ditunggu-tunggu oleh Abdullah. Memberi makan dan susu kepada kambing


Kata Abdul Rahman:
"Mama, kuda ni tak ikat rambut (Rambut masuk mata)."

Memberi makan kepada arnab lagi di tempat yang lain pula

Kata Abdul Rahman lagi:
"Depa lekat kot tanduk kambing ni sebab panjang sangat."

Memberi makan kepada ikan-ikan pula.


Sayuran yang dipetik di ladang ini dan dijual

Mesti bergambar dengan tanda nama tempat sebagai bukti kukuh.

Tips dan ulasan tentang Audi DreamFarm:
1. Sesuai membawa anak-anak kecil kerana tempatnya tidak terlalu luas dan memenatkan seperti zoo.

2. Makanan yang dibeli jangan diberi habis kepada binatang awal-awal kerana terdapat lagi binatang di dalam ladang yang lebih menarik.

3. Pihak pengurusan ladang tidak perlulah memberi makan kepada binatang pada hari cuti kerana binatang akan kenyang dan tidak mahu makan makanan yang diberikan oleh pelawat. Begitulah arahan tokey ladang kepada pekerjanya yang didengari ketika pulang.

4. Tempatnya bersih

5. Beberapa tumbuhan yang telah masak dan tua perlu dituai dan diselenggara.



Nasihat baba: "Hidup ni janganlah stress sentiasa tentang kerja. Cuba-cubalah bawa relax,bercuti dan bertenang. Kerja dipulun dan dikejar macamana pun tak akan habis dibuat."


Kata Abdullah dengan sendirinya dalam perjalanan pulang sebelum sambung menyakat abangnya:

"Terima kasih baba sebab bawak kami jalan-jalan."

Begitulah dengan kanak-kanak. Ibarat roda. Ada ketikanya perilaku dan kata-kata mereka meruntun syahdu jauh di sudut hati.


Cubalah bertenang dan tinggalkan sebentar tekanan kerja pada cuti hujung minggu. Berikan juga hak bersama anak-anak. Melihat keriangan anak-anak dan ucapan terima kasih dari anak-anak dapat memberikan aura positif kepada kita, orang dewasa yang tidak sudah-sudah dengan urusan kerja.

"Seronokkan kalau kita ada ladang dan mini zoo yang terurus dan bersih macam ni?"

Angan-angan dan impian mengiringi perjalanan meninggalkan Audi DreamFarm.



Friday, November 25, 2016

Info buku: PhD kecil tapi signifikan

بسم الله الرحمن الرحيم

MasyaAllah!

Karya Prof Kamil Ibrahim memang tidak pernah menghampakan untuk memberi kesan ke dalam jiwa.

Kecintaan beliau dalam bidang penulisan terserlah dengan hasil-hasil karya yang mudah sahaja menusuk kalbu.

Ini adalah antara banyak hasil karya Prof Kamil Ibrahim yang pernah saya baca.


 PhD kecil tapi signifikan

Oleh kerana sekarang saya dalam peringkat menulis dan menamatkan phD, maka membaca tajuknya sahaja sudah menimbulkan minat untuk membeli buku ini.

Buku ini saya beli terus dari penulis melalui aplikasi Whatsapp.

Sering sahaja Prof Kamil mengiklankan buku-buku baharu untuk dijadikan bahan bacaan dan koleksi.

Allah berikanlah pahala yang besar kerana buku-buku beliau yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

Kenapa saya suka buku ini?

Perkara yang bermanfaat pasti lebih indah jika disebarkan dikongsi
bersama.

Saranan saya kepada rakan-rakan FB

1- Sejujurnya, buku ini menerangkan dengan terperinci dan memberi contoh kisah-kisah yang hakiki tentang perjalanan phD yang sering menjadi misteri dan tanda tanya dalam minda pelajar phD.

Membaca buku ini dapat memberi gambaran yang lebih terperinci tentang dunia phD yang dapat merungkaikan serba sedikit tentang perjalanan dunia phD. 

Tentang ragam penyelia

Tentang hubungan pelajar dengan penyelia

Tentang penilai luar

Tentang gambar majlis viva yang menjadi kegerunan bagi para pelajar

Tentang perasaan selepas digelar Dr

Tentang tanggapan masyarakat bahawa DrPhD perlu tahu semua perkara!

Tentang kegilaan masyarakat untuk meletakkan gelaran DR samada telah memiliki phD atau tidak!


2- Prof Kamil juga banyak memberi tips untuk mengharungi setiap langkah untuk menamatkan phD.

3- Lebih dari itu, buku yang saya habiskan bacaannya dalam masa 2 hari ini juga menambah kesuburan dan kecintaan terhadap bidang penulisan. 

Sering kali kita (sayalah sebenarnya) berangan-angan dan berdoa semoga dapat menjadi seperti penulis yang berjaya menulis banyak karya yang memberi manfaat kepada masyarakat. 

4- Buku ini juga memberi teguran agar kita sentiasa berhati mulia dan bersikap baik dengan semua golongan masyarakat.


MasyaALLAH.

Sungguh saya rasakan buku ini berfaedah untuk saya dan begitu juga dengan orang lain.

Sungguh!

Anda boleh mendapatkan  buku ini terus dari penulis dengan menghantar Whatsapp kepada beliau di 019 315 4444






Thursday, November 24, 2016

Kudedahkan rahsia guru besar itu


بسم الله الرحمن الرحيم

Tiada dalam senarai cita-cita, mimpi dan impian untuk menjadi seorang guru besar.

Jawatan yang diberikan diterima dengan penuh berat hati.

Ia adalah satu amanah lebih dari kebanggaan dan sanjungan orang.

Hari-hari awal ditempuhi dengan rasa resah gelisah dan tidak boleh tidur beberapa malam.

Ia tetap ditelan setelah mendapat motivasi untuk teruskan misi mendidik.

Kita perlu cabar diri kita sendiri.

Antara kata-kata yang menikam kalbu:
"Apakah yang kita akan jawab jika jawatan ini jatuh ke tangan orang yang tidak layak akibat kita yang menolak jawatan."

Mulai saat itu banyak perkara yang diubah secara paksa.

Disembelih perasaan malu, tidak suka bercakap di khalayak ramai, tidak suka berkomunikasi dengan orang asing, kekok.

Semua dipaksa walaupun dihujungnya sering ada rasa poyo!

Semuanya diteruskan dan dipaksa demi misi mendidik anak-anak Islam.

Lama kelamaan ini memberikan rasa cinta terhadap kerjaya sendiri walaupun masih terselit cebisan takut di dalam hati.


Rasa amat bersyukur dikurniakan teman-teman seperjuangan yang banyak membantu dan melunaskan kerja dengan SANGAT BAIK.

Ilmu itu amanah. Lunaskanlah ia dengan menyebarkannya.

Pengalaman menjadi guru besar, pengalaman mendidik pelajar tidak pernah dikongsikan di mana-mana dengan tujuan janganlah ada orang yang ingin mendaftar anak ke sekolah kerana cerita diri sendiri.

Ditakuti indah khabar dari rupa sahaja.

Terlalu banyak kelemahan dan kekurangan diri sendiri.

Menjadi seorang ketua mengajar merenung erti tolak ansur dan lemah lembut di sebalik ketegasan.

Berkorbanlah untuk orang lain 

Namun sembunyikan pengorbanan itu.

Biarlah ALLAH sahaja yang tahu.

Ketua mesti prihatin terhadap 'rakyatnya'.

Belas ehsan dan kasihan.

Tapi jangan sampai ada yang ambil kesempatan.

Ketua mesti pandai menjernihkan persengkataan.

Biarlah semua bekerja dalam ukhuwwah.

Itulah kunci terpenting dalam sebuah kumpulan.

Di manalah nikmat kerja yang kita lakukan jika asyik berfikiran negatif, bersangka buruk, kata belakang, sindir menyindiri dan bertelagah.

Mengalahlah

Ia tidak bermakna kita kalah.

Astagfirullah......


Seringkali berperang dengan pelbagai perasaan.

Sesal dengan tindakan sendiri...

Sempurnakah tanggungjawab dijalankan?

Ingin lakukan dengan terbaik.

Menyatakan realiti kepada diri:
Kita bukanlah orang yang terpenting.

Kita bukanlah siapa-siapa jika tiada rakan-rakan yang membantu.

Semua orang ada peranannya yang penting.

Tidak perlu meninggi diri.

Tidak ada rasa istimewa, lebih dari orang lain.


Ketua perlu memberikan contoh yang terbaik.

Memberikan teguran jika ada kesalahan.

" Ia pasti akan disoal di akhirat kelak."

Hari-hari selepas peletakan jawatan dilalui ibarat terbang riang di udara.

Indah

Riang.

Memang terasa benar bebanan berat yang dipikul telah dilepaskan.

Berakhir seketika malam-malam dilalui dengan memerah fikiran menyelesaikan masalah.

Air mata yang mengalir apabila diuji masalah.

Setiap hari yang lalu dilalui dengan penuh debaran dan doa moga tiada ujian yang dahsyat.



Melepaskan nafas lega.

" Akhirilah ia dengan husnul khatimah." 
Itulah dambaan sepanjang masa

Hakikatnya, manisnya perjalanan ini bila melihat akhlak pelajar terbentuk, sahsiah terpuji, menjadi insan yang bertaqwa, mulia di sisi Allah.

Moga-moga ia juga pemberat amalan di akhirat.

Indah bila ada yang sudi mendoakan kejayaan dan kemajuan kita.

Hulurkanlah penghargaan dengan doa.


Moga ia menjadi aset ketika kita di bawah tanah. 


Sejuta kemaafan saya pinta.

Moga tiada yang menuntut haknya di akhirat kelak.

Amin..


Sungguh jawatan bukanlah satu kebanggaan!

Perpisahan itu pasti kerana akhirat itu yang kekal.

Kanak-kanak sangat jujur menzahirkan perasaan berbanding orang dewasa yang
banyak menyembunyikan perasaan dan keliru dengan rasa hati sendiri.

Orang dewasa yang  berfikir dan berkira-kira relevenkah menangisi perpisahan
dan menzahirkan perasaan sedih kerana keputusan yang dipilih sendiri.

Mungkin juga sudah lali dengan detik-detik perpisahan.
Sukar membuat keputusan.

Aduh!
Terlalu banyak berfikir!
Maafkanlah!

Sunday, November 20, 2016

Allah panjangkan kegembiraan kita seperti hingga ke Syurga

بسم الله الرحمن الرحيم

24 September 2016
Sabtu

Alhamdulillah...

Hujung minggu yang bahagia.

Semoga ALLAH memanjang kegemmbiraan dan kebahagian kita sekeluarga hari ini hingga ke Syurga.

Bermula dari pagi hari bermain di tapak Pesta Konvo di Insaniah Kuala Ketil. Kemudian menuju ke kenduri perkahwinan di Parit Buntar. Selepas itu ke rumah tok wan, kembali bermain di Tapak Pesta Konvo Insaniah dan kemudian ikut baba kuliah Maghrib di masjid.

Seharian yang padat tetapi santai.

Alhamdulillah.


Seperti basikal 3 roda kanak-kanak tetapi ia tidak perlu dikayuh.

Hanya tekan butang di pemegang dan mini motor ini akan berjalan.

Anak-anak sangat suka mencuba benda yang baharu kan?

Amat dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan
hover board ini agar tidak berlaku kemalangan.

Kemahiran mengimbangi badan amat diperlukan untuk mengawal
hover board ini.

Perlu pada beberapa minit latihan sebelum mahir menggunakannya.

Teringat Abdul Rahman yang berusaha bermain ice skating dahulu.

Boleh baca DI SINI KISAHNYA.

Allah panjangkan usia tok dalam kesihatan, barakah dan kebahagiaan

Kanak-kanak memang seronok sangatlah apabila bersama dengan sepupu-sepupu.

Melihat mereka gembira, kita pun turut seronok, Alhamdulillah.

Zaman kanak-kanak yang akan menjadi memori indah apabila dewasa nanti

Dalam bergembira, tetaplah ingat kepada ALLAH dan bersyukurlah kepadaNya atas nikmat kebahagiaan dan kegembiraan yang dikurniakanNya.

Doa dipanjatkan moga kebahagiaan di syurga nanti lebih besar dapat kita kecapi.

Amin Ya Rabb..

Thursday, November 17, 2016

Kasihnya ibu

بسم الله الرحمن الرحيم


Bila menjadi seorang ibu barulah kita fahami bagaimana sifat kasih sayang seorang ibu itu.

Pada marahnya, pada pujuknya, pada penyesalan selepas amarah.

pengoraban demi yang tebaik untuk anak-anak


Anak-anak juga ada hari-hari yang emosi mereka tidak stabil.

Merajuk tidak mahu solat subuh di Masjid.

" Imam baca panjang. Adik nak solat subuh di rumah ja."

"Imam baca panjang adik dapat pahala banyak." Ibu cuba memujuk.

Hatta memujuk anak-anak agar tinggalkan minuman bergula kerana risiko penyakit warisan.

Ada ketikanya hati anak lembut dan mudah untuk menerima pujukan.

Adakala juga ibarat bermain tarik tali.

Ada ketika menggunakan ketegasan.

Ada masanya kelembutan dalam memujuk.


Ibu.

Bersabarlah

Buang amarahnmu, nanti pasti ada sesal dihujungnya.

Teruskanlah memujuk.


Kurniakanlah kesabaran.

Kelembutan pada tingkah laku

Ya Rabb

Agar anak-anak dapat mencontohi kelembutan itu.

Monday, November 14, 2016

Keberkatan Allah dalam perancangan

بسم الله الرحمن الرحيم

Merancang dan merencana sesuatu perkara adalah jauh lebih mudah berbanding melaksanakannya.

Melaksanakan sebuah perancangan perlu berdepan liku-liku cabaran dan halangan.

Namun perancangan itu penting. Tiada perancangan tiadalah pelaksanaan.

Dalam merancang juga kita terbatas dengan 'kuasa' kita. 

Allah jualah yang Maha berkuasa untuk merealisasikan perancangan kita.

Kerana itulah doa setulus hati memohon keberkatan Allah Subhanahu wa taala pada perancangan yang dibuat.




Semoga perancangan ini menjadikan kita lebih hebat dan dekat kepada Allah subhanahu wa taala.

Menjadi hafiz Al-Quran yang berkualiti dan bertaqwa di samping ilmu-ilmu yang lain, yang baik akhlak dan sahsiahnya.

InsyaALLAH bersama kita menjadikan tempat ini
tempat kita menambah ilmu mendekatkan diri kepada ALLAH





Bantulah kami.
Berkatilah kami. Ya Rabb


Friday, November 11, 2016

Musafir Hidup Kami

بسم الله الرحمن الرحيم

Lebih 10 tahun kami sama-sama menempuh hidup berkeluarga.

Dari berdua, bertiga, berempat dan kini berlima sekeluarga.

Pelbagai pengalaman telah kami lalui.

Suka Duka, susah dana senang bersama-sama.

Allah berikanlah kebahagiaan hingga ke syurgaNya.

Doa moga ada kemajuan pada diri kami seiring dengan meningkatnya usia kami.

Peningkatan dari segi ilmu, ibadat, ketaqwaan, sumbangan kepada masyarakat dan pelbagai lagi perkara-perkara positif.


Melihat anak-anak membesar juga membuatkan kita terasa cepatnya masa berlalu MasyaALLAH...

Doa dalam hati Allah jadikanlah perjalanan hidup membesarkan mereka ini diredhai ALLAH dan ALLAH menjadikan mereka insan yang bertaqwa dan banyak berjasa kepada masyarakat. 
Itulah sebaik-baik manusia.



Sekali-kali tidak terasa kebolehan sendiri untuk berjaya membesarkan anak-anak dengan baik.

Malahan kebanyakkan pengalaman yang kami lalui adalah satu percubaan baru yang kami mengharapkan hasil yang baik dan diberkati ALLAH padanya.


Malahan perbezaan jarak masa yang jauh antara Ahmad Zaid dan abang-abangnya sedikit memberi rasa cuak dan gentar adakah dapat mendidik Ahmad Zaid sebaik kami mendidik abang-abangnya?

Doa kami sebanyak-banyaknya agar Ahmad Zaid juga menjadi insan yang baik, cemerlang dari usia bayi hingga ke hujung hayatnya sama juga dengan anak-anak kami yang lain.

Aminn..


Usaha yang selalu kami lakukan untuk mereka selalu berani di hadapan orang ramai sejak dari usia kecil juga adalah bertujuan agar mereka penuh keberanian menegakkan kebenaran, menyampaikan dakwah dan meninggikan Agama Islam dengan penuh berhikmah.. 

Amin ya Rabb

Jika ada sahaja peluang untuk mereka tampil di khalayak ramai, mereka juga secara sukarela ingin tampil di khalayak ramai tanpa rasa gentar.

Alhamdulillah.

Moga ia adalah usaha penuh keikhlasan tanpa noktah hitam penuh takabbur dan riak yang membakar amal soleh.

Usaha dan doa kami panjatkan kepada ALLAH.

Anak-anak bertiga ini didoakan menjadi jalan dan peluang untuk kami memberatkan timbangan amal soleh.

Amin.

Moga anak-anak ini dan zuriat kami menjadi aset setelah kematian kami.

Amin Ya Rabb...



Tuesday, November 8, 2016

Kisah Pulut Udang

بسم الله الرحمن الرحيم

"Aishah nak makan pulut udang?" tanya ibu mertua beberapa tahun yang lalu ketika baru pulang dari Syria.

Kami bersam-sama beramai-ramai di dalam kereta bersama mak dan abah ingin pergi ke suatu tempat. Kereta diberhentikan di tepi jalan dan dibeli beberapa ketul pulut udang.

Entahlah saya pernah makan pulut udang sebelum saat itu atau tidak, tapi saya rasakan ketika itu adalah kali pertama sama makan pulut udang.

Masih lagi saya ingin saat itu.

Saya gigit pulut udang itu sedikit demi sedikit.

Menantikan bilalah nak rasa nikmatnya tergigit isi udangnya ni?

Pulut udang habis dimakan.

Tak ada pun udangnya!

Saya fikir pulut udang itu seperti cucur udang. Ada udang di dalamnya.

Rupanya tak ada!

Begitulah rasa hampa kerana tidak terasa seketul udang di dalam pulut udang tersebut.

Sejak dari hari itu saya tidak berapa gemar dengan pulut udang.

Mungkin kerana rasa hampa bercampur dengan rasa tertipu kerana tiada udang.

Akibat berimiginasi bahawa pulut udang itu rasanya seperti cucur udang dan ada udang di dalamnya. Nikmatnya apabila tergigit dan telan isi udang.

Aduh. Kesannya begitu mendalam dan berpanjangan!

Kata suami ada udang gumpal di dalam pulut udang.

Tapi yang saya inginkan udang seekor seperti cucur udang.


Lebih sepuluh tahun telah berlalu.

Lebih 10 tahun menetap di Kedah.

Tapi lidah tetap tidak pandai nak berbicara fasih dengan dialek kedah.

Apapun beberapa bulan lalu, selepas rasa pulut udang yang dibeli dari pasar malam di Desa Bidara, Kuala Ketil, timbul pula rasa suka kepada pulut udang


Pulut udangnya walaupun 'koi' pendek, tapi rasanya cukup rasa!

Intinya sedap!

Pulutnya juga sedap!


Dibiarkan kehampaan lalu terbang dibawa angin petang.

Pulut udang hari itu sedap walaupun ia tiada seekor udang segar di dalamnya.

Saturday, November 5, 2016

Sepagi di Red Camel Bookstore

بسم الله الرحمن الرحيم

Dua bulan lalu menerima jemputan untuk membuat promosi buku Aku Mahu Anakku Super Al-Quran di Kedai Buku Red Camel di Bertam, Pulau Pinang.



Alhamdulillah kami sampai awal sebelum jam 9 pagi.

Di bawah adalah sedikit gambar sekitar majlis.

Mama menunggu dalam kereta kerana ingin tidurkan Ahmad Zaid.

Cuaca silih berganti sepanjang program. 
Dari cerah, redup, hujan, hujan lebat, sayup dan berhenti hujan

Menanti dalam kereta dengan Ahmad Zaid yang sedang tidur

Kereta parking betul-betul berhadapan
dengan Kedai Buku Red Camel itu.


Ahmad Zaid lena.

Buka sedikit tingkap supaya dapat mendengar
program di kedai buku tersebut. 

Hujan telah reda


Abang Abdul Rahman menyertai pertandingan mewarna yang turut diadakan untuk kanak-kanak
seiring dengan ceramah kepada ibu bapa.

Satu plan yang bagus.

Barulah anak-anak tak jemu

Abdullah mempersembahkan bacaan Surah An-Najmu

Antara hadirin yang datang


Abdullah tidak ingin menyertai pertandingan mewarna
kerana tangannya yang sering berpeluh katanya.

Penyampaian hadiah bagi pertandingan mewarna.

Abang Abbudey dapat tempat ke3

Alhamdulillah


Alhamdulillah.

Pengalaman bertambah lagi pengalaman baru untuk kami sekeluarga.

Moga ada manfaatnya kepada masyarakat.

Alhamdulillah .....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...