Sunday, September 2, 2018

Bila Allah kurniakan masa untuk membaca.

بسم الله الرحمن الرحيم

Selepas insiden jatuh dalam bilik air di Surau Medan Idaman, Setapak, banyak urusan kerja tak dapat nak diselesaikan.

Duduk sebentar pun sudah terasa pedih yang amat di belakang badan.

Kebanyakan masa hanya boleh berbaring dan membaca buku.

Banyak buku yang dibeli dapat dibaca.

Saya suka membaca dari kulit buku ke kulit. Sehelai-sehelai. Terasa sampai isi hati penulis jika baca begini berbanding membaca dengan laju. Apapun lain orang caranya. 

Apabila dapat membaca banyak buku dalam minggu ini, terfikir pula:
"Ya Allah, beginikah Engkau memperkenankan hasrat kecil hambaMu ini. Betapa Engkau mengetahui apa yang di dalam hati hamba-Mu ini walaupun tidak sempat dilafazkan. Ya Rabb! Maha Suci Mu Ya Allah."

Kerana beberapa kali terdetik dalam hati saya:
" Seronoknya kalau dapat membaca banyak buku, berlama-lama baca buku seperti zaman bujang dulu."

Kerana sekarang ini, hanya sempat membaca buku pada hujung minggu sahaja. Hari-hari bekerja, balik rumah berehat untuk menjana semula tenaga untuk berjuang mentarbiah para pelajar di sekolah juga diluangkan masa untuk tasmik hafazan harian anak-anak dan bersama anak-anak.

Inilah beberapa buah buku yang sempat dibaca sepanjang tempoh berehat kerana jatuh tandas. Kesemua buku-buku ini amat baik bagi saya. Sarat dengan perasaan dan juga motivasi.

MasyaAllah.


Antara buku yang sempat saya selesaikan bacaannya dalam minggu ini:



1. Kembara Atiq Wazif, Satu Anugerah.

Buku ini adalah best seller yang telah diulang cetak banyak kali.

Dua hari selepas saya membeli buku ini, saya membaca berita bahawa Atif Wazif telah meninggal dunia. Pada bulan 5.2018 yang lalu.

Penceritaan dalam buku ini amat menyayat hati. Pengorbanan ibu bapa dan keluarga untuk memelihara dan mengubati Atif Wazif dengan banyak cara. Pelbagai halangan ditempuhi mereka. MasyaAllah. Cekal mereka mengharungi kehidupan yang penuh cabaran itu.


2. Filosofi mak singa. Psikologi vs sekehlogi.

Tajuknya dan cover buku sahaja sudah cukup menarik perhatian.

Buku ini membandingkan cara parenting ibu bapa melayu zaman 70an-80an yang penuh dengan ketegasan yang membuatkan anak-anak membesar menjadi insan yang kuat, tabah, cekal dan mempunyai jati diri yang kukuh. Ia agak berbeza dengan psikologi yang disarankan pada masa kini.

Pelbagai pendapat yang penulis bawakan.

Walaupun adakalanya dengan bahasa 'sindiran' namun ada info yang berguna, insyaAllah.

Adat membaca buku tulisan manusia, ada yang boleh diterima dan ada yang tidak, pembaca sendiri boleh nilai sendiri.

3. Ulu Yam Di Liverpool 2



Kisah penghijrahan sekeluarga dari Malaysia ke Liverpool. Dari anak kampung ke negara asing.

Penuh cabaran, ditipu bangsa sendiri, dihina, ditikam belakang, ibu di tanah air nazak dan meninggal.... pelbagai rintangan yang mereka lalui.

Saya pernah membaca sampel ebook Ulu Yam Di Liverpool 1. Memang menarik. Dengan membaca buku no.2 ini membuatkan saya berazam untuk membeli buku yang pertama.

Buku ini banyak motivasinya. Menyemarakkan semangat untuk membangunkan potensi diri di negara orang.

Sungguh buku ini punya auranya yang tersendiri.

Kesimpulan buku ini juga memberitahu bahawa kejayaan yang hakiki apabila kita dapat kongsikan kejayaan kita dengan memberikan banyak manfaat kepada masyarakat. Bukan hanya kejayaan individu sahaja.

4. Cerita bilik guru.

Buku ini amat bagus untuk meningkatkan motivasi para guru.

Memberikan teguran guru dalam diri guru seperti sikap amanah, menghargai orang lain, menahan kesabaran dalam mendidik, menjadi guru yang berhati mulia dan banyak nilai-nilai murni sebagai seorang guru yang dibawa dalam buku ini.

Didatangkan dengan cerita yang ringan-ringan, menghiburkan,namun banyak pengajaran di dalamnya.

Sungguh ia buku yang baik untuk mereka yang bergelar guru.

Alhamdulillah.

Semoga reviu buku-buku membantu pembaca blog ini untuk mendapatkan bahan bacaan yang menarik.

Selamat membaca.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...