Wednesday, February 27, 2019

Mengambil manfaat dari orang lain

بسم الله الرحمن الرحيم

Saya sering berkata kepada diri sendiri:
"Semua orang punya keistimewaan yang tersendiri. Kita pasti akan dapat ambil banyak manfaat dari orang lain."

Setiap kali berjumpa dengan orang lain, saya merasakan pasti ada sifat mahmudah darinya yang boleh kita contohi.

Di situlah antara hikmahnya  kita berkenalan dengan ramai orang.




Begitulah kisahnya dengan peristiwa yang berlaku pada bulan 11 tahun lalu...

Ketika Sheikh Dr.Muthi' Al-Hafiz datang menziarahi Maahad Al Iman Li Ulumil Quran.

Sheikh dan rombongan datang bersama dengan isteri sheikh juga.

 
Sheikh Muthi' Al -Hafiz - berpakaian putih
(Semoga ALLAH panjangkan usianya dan kita dapat mengambil banyak manfaat dari beliau)

Bersama pelajar lelaki di Maahad

Antara perkara positif yang saya dapat dari isteri sheikh ialah:

1- Sangat humble dan merendah diri.

Beliau mahu duduk di atas lantai bersama pelajar walaupun kami telah sediakan kerusi buatnya.

2- Anisah (panggilan untuk 'puan/cik' di Syria) juga sangat meraikan kanak-kanak.

Dalam beg tangan anisah penuh dengan biskut (pek kecil) dan mainan-mainan kecil.

Setiap kali anisah nampak kanak-kanak, pasti anisah akan hulur pek kecil biskut atau mainan kepada kanak-kanak. Setiap hari.

MasyaALLAH!

Ahmad Zaid juga menerima permainan kereta kecil dari anisah.


Ahmad Zaid datang bersalam dengan sheikh

3- Anisah sangat merendah diri.

Anisah langsung tidak benarkan kami ambilkan kasutnya.

Dia ambil sendiri dan pegang kasutnya.


4- Ketika anisah bersalam dengan para pelajar perempuan Maahad, Anisah mencium setiap tangan mereka.

MasyaALLAH.

Isteri Sheikh bersalaman dengan pelajar perempuan Maahad Al Iman


5- Ketika sheikh membacakan hadis ini:


Daripada Muaz bin Jabal Radiallahu Anhu  bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengambil tangannya suatu hari kemudian berkata: "Wahai Mu'az, aku mengasihi kamu." Kemudian baginda bersabda: "Saya menasihatkan kamu: Janganlah kamu tinggalkan (doa ini)setiapkali selepas solat: ((Ya ALLAH, bantulah aku untuk mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan memperbaiki ibadah untukMu.))

Dalam hati saya, saya berkira-kira untuk berkata (saya duduk di sebelah anisah)  kepada anisah:
أحبك (Saya suka kamu), tapi saya malu dan bimbang pula dikatakan berpura-pura...
 (hahaha... overthinking dahsyat nau)

Namun, belum apa-apa lagi, anisah sudah berkata kepada saya:
أحبك (Saya suka kamu).

Terus saya jawab:
أحبك الله الذي أحببتني له
"Semoga ALLAH sayang kepadamu yang sayangkan saya keranaNya."



Malu pula rasa kerana berfikir macam-macam.

MasyaALLAH...

Begitulah, betapa banyak manfaat yang sifat mahmudah yang boleh kita pelajari dari orang lain.

Semoga diri kita sentiasa disemai dengan sifat mulia dan mencontohi Nabi Sallallahu Alaihi wasallam.

Sunday, February 24, 2019

Info Buku: Ini Pun Allah Suka

بسم الله الرحمن الرحيم

Apabila suka baca dengan tulisan seseorang pasti saya akan cari lagi hasil tulisannya kerana berpuas hati dengan karyanya.

Begitulah juga setelah membaca buku sehebat mereka yang pernah ditulis reviu buku ini di sini:


Saya terus pesan siri buku SOLUSI HATI karya Ustaz Luqman Makhtar.

Tajuk buku 'Ini Pun Allah Suka' adalah siri kedua dari siri buku Solusi Hati.






MasyaAllah.. Buku ini juga bagus seperti buku SEHEBAT MEREKA.

Dengan mempamerkan maklumat yang berkualiti, ayat yang baik, muhasabah diri yang menusuk kalbu dan gambar rajah yang menarik, buku ini juga mampu membuatkan air mata berlinangan mengenangkan amalan diri.






MasyaAllah.

Buku ini amat baik untuk muhasabah diri dan juga menambah maklumat untuk menambah lagi amalan soleh dalam diri kita.















Buku ini juga ringkas mampu dihabiskan dalam masa sehari, namun isinya perlu dihadam dan diamalkan sepanjang hayat, insyaAllah.







Selamat membaca dan menambah amalan.

Thursday, February 21, 2019

Sedar akan kesalahan lampau

بسم الله الرحمن الرحيم

Sungguh saya rasakan bila kita makin berada dalam usia dewasa ini, makin kita merenunginya hakikat kehidupan.

Antara yang saya rasakan kini ialah:

Kehidupan masa lampau yang mungkin kita anggap tiada kesalahan pada ketika itu, namun bila sudah dewasa ini, barulah kita sedar bahawa ia sebenarnya adalah kesalahan.

Mungkin kerana keegoan, mengikut hawa nafsu atau kejahilan masa lampau kita yang membuatkan kita merasakan bahawa ia bukanlah satu kesalahan dulu.

Syukur kepada ALLAH Subhanahu wa taala yang menyedarkan kita dari kesesatan.

Astagfirullah....

Moga ALLAH ampunkan segala dosa kita dan kedua ibu bapa kita.

Begitu jugalah dengan situasi mungkin dalam perbalahan kita dengan orang lain, mungkin pada masa lampau, kita yakin bahawa ia bukanlah kesilapan kita, namun dengan masa yang berlalu, kita sedari bahawa kita juga bersalah dalam situasi itu.

Astagfirullah..

Ibarat mencetak buku, ketika mencetak kita sudah periksa habis-habisan bahawa tiada kesalahan. Namun apabila telah dicetak, kita masih menjumpai kesalahan. Dan apabila berlalunya masa, kita sedari pula ada kesalahan teori atau pandangan pada tulisan kita yang lalu.

Allah....

Begitulah juga dengan kehidupan kita.

Syukur kepada ALLAH yang memperlihatkan kesalahan kita dan memberi kita peluang untuk bertaubat.

Malulah untuk mengata kepada orang lain sedangkan kita juga punya kesalahan yang orang nampak dan tidak nampak.

Astagfirullah.

Moga ALLAH ampuni kita, keluarga kita dan ibu ayah kita.

Monday, February 18, 2019

Fokus kehidupan

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam kehidupan kita pasti ada turun naiknya, antara suka dan duka, susah senang dalam kehidupan. Itulah tandanya kita hidup... seperti nadi denyutan jantung kita.


Sumber: Google


Jika terhenti dan semuanya lurus dan statik sahaja, itu bermakna manusia itu telah mati.

Namun ke arah manakah fokus yang kita salurkan?

Adakah hanya melihat kepada keburukan sahaja ataupun kita nampak nikmat yang ALLAH Subhanahu Wa Taala kirim kepada kita.

Sebenarnya nikmat yang ALLAH Subhanahu Wa Taala kirim kepada kita terlalu banyak berbanding dengan ujian yang menimpa.

Ujian anugerahNya tidak terhitung banyaknya.



Moga ALLAH rezekikan kita hati yang bersyukur.

Amin...

Friday, February 15, 2019

Tips memudahkan diri untuk memaafkan orang lain.

بسم الله الرحمن الرحيم

Kita semua manusia biasa. Pasti ada turun naik hari kita. Pasti pernah kita berbalah dengan orang lain. Semua itu biasa untuk menguji kebijaksanaan dan keimanan kita menyelesaikan masalah.

Antara mujahadah diri dan set minda yang dilakukan untuk memudahkan diri memaafkan orang lain ialah:

1. Fikirkan: kita juga banyak buat salah dengan orang lain. Kita juga ada menyakiti orang lain, jadi apalah mulia sangat diri ini untuk tidak memaafkan orang lain? Sedangkan kita pun banyak salah silapnya.

2. Buatlah baik dengannya. Fitrah manusia pasti akan tertarik dengan kebaikan orang. Sungguhpun sukar, tapi buatlah walaupun seakan tidak dilayan. Sekeras manapun hati, insyaallah akan ditambat  juga dengan budi pekerti mulia.


Suka dengan tulisan Prof.Kamil ini


Terkenangkan pernah berbalah dan berasa hati dengan orang yang lebih tua, namun orang itu lebih dulu berbuat baik dan tidak jemu-jemu pula berbuat baik. Bila teringat, berasa malu sendiri dengan sifat buruk diri sendiri.

Astaghfirullah...

Segeralah memaafkan kesalahan orang.

3. Sungguh ia sukar untuk memaafkan orang lain.

Sungguh!

Namun itulah mujahadah diri untuk membuang sifat ego dan meninggi diri, mencambah kebencian atas kesilapan orang lain.

Berdoalah kepada Allah.

Kita hambaNya yang lemah, bantulah kita untuk memaafkan dan menyambung semula hubungan persaudaraan dan persahabatan.

Begitulah.

Sentiasalah panjat doa kepada Allah.

4. Percayalah! Anda akan rasa bahagia dan lega sangat apabila berjaya memaafkan orang lain.

Tiada sakit.

Tiada imaginasi buruk tentang musuh anda.

Tenang!

Dahulu saya sering mendengar motivator seperti Datuk Dr.Fadhilah Kamsah dan Prof Muhaya mengulangi perkara ini, namun saya tidak percaya dan masih menyimpan rasa marah kepada orang lain dan tidak memaafkannya.

Tapi, sungguh kedewasaan menjadikan kita lebih cerdik dan matang.

Sungguh memaafkan orang lain membuatkan hati menjadi lebih tenang.

Kita tidak mulia dengan kesalahan kita yang banyak. Maafkanlah orang lain.


Allah ..

Mujahadahlah diri 

Pohonlah dari Allah.

Yakin dan kenangkan bantuan yang pernah Allah berikan kepada kita sebelum ini, Dia pasti bersama kita dengan niat murni kita untuk memaafkan orang lain dan menyambung silaturrahim.

Semoga Allah berkati.

Tuesday, February 12, 2019

Kematangan dan kedewasaan.

بسم الله الرحمن الرحيم

Mencapai umur 30an ini, saya semakin perasan bahawa diri lebih tenang, lebih mencari perkara yang positif dan tidak cepat melatah. Moga begitulah yang Allah jadikan.

Lebih tenang berbanding ketika usia 20an yang lebih mudah melenting.

Contohnya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah, respon yang berlaku di usia 30an ialah:

1. Kita usahakan untuk mencari nilai positif di sebalik ujian yang melanda.

2. Mendoakan semua pihak.

3. Yakin bahawa pasti Allah akan beri perkara hebat kepada kita di atas ujian yang melanda.

Begitulah yang sering saya beritahu kepada anak-anak

4. Yakin bahawa Allah mahu kita muhasabah diri sendiri, memperbaiki diri ke arah lebih baik dengan ujian yang melanda.

5. Allah ingin kita dekat dengannya.

6. Ubah diri dengan fokus pada nikmat yang Allah berikan kepada kita berbanding fokus pada masalah yang melanda. 

Sebagai contoh, apabila diuji masalah, saya melihat nikmat anugerah Allah pada:
- Allah tunjukkan kasih sayang makhlukNya kepada diri kita. Moga ia adalah petunjuk kasih sayangNya kepada kita.

- Nikmat anugerah yang Allah kurniakan melalui anak-anak yang berakhlak baik dan nikmat bahagia bersama anak-anak.

- Nikmat yang Allah salurkan melalui pelbagai aspek lain.

7. Sudah-sudahlah kita berbalah dan bertelagah. Pilihlah untuk berdamai. Kita boleh cipta 1001 alasan untuk bertelagah. Perbezaan politik, perbezaan pendapat, salah faham hatta dalam hal yang remeh temeh,namun bersabarlah dan pilihlah untuk berdamai.

Kita pun ada buat kesalahan, anggaplah ia teguran kepada diri kita dari Allah melalui hambaNya.

Jika nak berlawan-lawan saling memburukkan tiada kesudahannya dan hanya menambahkan kekeruhan. 

8. Renung-renungkanlah Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, bagaimana baginda berinteraksi dengan orang yang bermusuhan dengannya.

9. Doakanlah yang baik-baik, moga Allah beri petunjuk dan hidayah kepada semua.

Moga Allah jadikan kita orang yang positif dan optimis sebagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan menjadikan kita hebat di sisi Allah.

Moga Allah beri kita kekuatan untuk berjaya dalam ujian di dunia ini.

Dunia ini adalah tempat kita diuji dan kita akan mengambil keputusan ujian ini di akhirat kelak.

Jadikanlah kami orang yang cemerlang, Ya Rabb.

Saturday, February 9, 2019

Seronok dan takjub dengan teknologi masakini

بسم الله الرحمن الرحيم

Ketika saya menulis dan mereka plan untuk Abdul Rahman untuk tampal di biliknya menggunakan microsoft word dalam handphone dan terus print wireless, saya rasa takjub dan seronok dengan teknologi masakini.


MasyaALLAH. Begitu mudah dan canggih sekali apabila memiliki ilmu.

Saya teringat semula bahawa semua ini dahulu tidak boleh dilakukan kecuali jika on komputer.

Sekarang ini, semua mudah sahaja.

MasyaALLAH.

Poster ringkas yang saya buat untuk tampal di bilik Abdul Rahman menggunakan Microsoft Word dalam handphone, tentang plan selepas Abdul Rahman khatam Al-Quran.

Ada ditulis dalam entri sebelum ini..

Kemudian terus klik print (wireless), dalam ia akan terus dicetak.


MasyaALLAH...


Wednesday, February 6, 2019

Alhamdulillah, semangat dalam melaksanakan plan selepas khatam AlQuran

بسم الله الرحمن الرحيم

**Entri ini ditulis pada 2/11/2018

Apabila Abdul Rahman dah khatam Al-Quran, apabila kelihatan Abdul Rahman agak banyak ralit dan bermain, kami letakkan kepadanya perancangan seterusnya seperti yang saya pernah tulis di sini:


Allah ilhamkan saya untuk tulis sedikit plan tersebut menggunakan Microsoft Word dalam handphone dan print wireless selepas saya lupa untuk lakukan salah satu dari plan tersebut pada suatu malam.

Tulis dan printkan, kemudian lekatkan di bilik Abdul Rahman agar dia terus bersemangat untuk melaksanakan plan ini setiap hari.

Maksudnya:
Harta ilmu Abdul Rahman.
Agan menjadi ulama besar.

Setiap hari selepas Maghrib:
1- Tebuk hafazan
2- Baca tafsir
3- hafal 1 hadis dari Riyadus Solihin

Plan tersebut ialah:
Setiap malam selepas maghrib Abdul Rahman perlu:
1- Tebuk hafazan Al-Quran
2- Membaca tafsir 1 mukasurat
3- Hafaz 1 hadis dari Kitab Riyadus Solihin

Saya ubah sedikit dari plan asal bagi menyesuaikan dengan masa yang ada.

Dari dahulu, pada ketika Abdul Rahman belum khatam, masa Maghrib adalah masa untuk menghafaz dan mengulang Al-Quran.

Apabila Abdul Rahman sudah khatam, kelihatan masanya agak banyak terluang.

Jadi saya cadangkan kepadanya untuk melalukan 3 plan ini agar masa tidak terbuang begitu sahaja, kelak ia akan ditanya oleh Allah Subhanahu Waa Taala.

Saya tidak merasakan plan ini sangat besar jika dibanding dengan para ulama terdahulu yang lebih banyak menghafaz banyak kitab-kitab besar.

Ada yang beberapa kali habis membaca Hadis Sohih Bukhari.

Pelbagai matan ilmu yang mereka hafal.

Sungguh dalam lubuk hati saya, saya mengharapkan anak-anak bersungguh-sungguh menghafaz dan menuntut ilmu agar dapat menjadi seperti ulama-ulama silam yang masih dikenali selepas kematian mereka kerana ketinggian ilmu mereka.

Semoga anak-anak ini menjadi ulama besar yang tinggi ilmu dan akhlaknya, dekat dengan ALLAH dan mendekatkan orang lain kepada Allah Subhanahu wa taala

Semoga Allah merezekikan kami konsisten dalam amalan sebagaimana Dia merezekikan kami semangat dalam memulakan amalan.



Sunday, February 3, 2019

Info buku: Nota Pasca Haji

بسم الله الرحمن الرحيم

* Entri ini ditulis pada 2/11/2018

Karya Prof.Kamil dan Puan Roza Roslan adalah antara hasil karya yang saya minati kerana kebanyakannya mempunyai manfaat yang banyak dan memberikan rasa keinsafan dalam diri.

Buku yang baru sampai (melalui pre order) pada minggu lepas.





Buku ini menekankan tentang istiqamah amalan selepas hari.

Apabila telah menunaikan haji, seseorang yang mendapat haji yang mabrur mendapat ganjaran dihapuskan dosa sesuci bayi yang baru dilahirkan.

Jadi seorang haji dan hajah itu perlulah cuba untuk mengekalkan suasana dan keadaan dirinya yang bersih dari dosa hingga ke akhir hayatnya.


Begitu juga penulis menekankan, jika inginkan saat doa dipekenankan seperti di tanah haram, ingin ketenangan ketika di tanah haram, semuanya boleh juga diperolehi di tanah air sendiri.

Itulah dengan terus istiqamah bangun qiamullail, terus istiqamah beribadah, membaca Al-Quran dan berisitgfar.


Antara isi penting yang lain juga ialah menimbulkan rasa malu untuk membuat maksiat kerana mempunyai title ' haji/ hajah'.

Sudah menjadi hajah, kenalah ada perbezaan dengan orang lain.

Takkan sudah hajjah masih mahu mengumpat, malulah dengan ALLAH.

Takkan masih malas dan tidak meningkatkan prestasi membaca Al-Quran.

Saya kaitkan perkara ini dengan diri dan memuhasabah diri sendiri.

Takkan sudah hafal Al-Quran masih mahu mengumpat.

Takkah mengaji agama tinggi-tinggi masih mahu busuk hati dengan orang lain.

Takkan sudah jadi ustazah, masih malas untuk bangun tahajjud dan baca AL-Quran.

Kita mestilah ada bezanya dengan orang awam.

Begitulah refleksi buku ini kepada diri sendiri.



Alhamdulillah, banyak renungan yang boleh didapati dari buku ini.

Selamat membaca.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...