Tuesday, May 30, 2023

Memori 1 sen

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 18/7/2021


 🧕🏻: Adik ingat tak dulu kat Malaysia ada duit 1 sen.



👦🏻: Ingat. Dulu Ustazah Jamilah ada bagi. Ustazah Jamilah kata dia ada banyak duit 1 sen. Tapi belakang duit tu ada gambar mahkota.


🧕🏻: Bukan mahkota. Tu nama dia rebana ubi (lepas Google😅).


Ustazah Jamilah update dalam status Whatsapp miliknya


Sunday, May 28, 2023

Pembelian seperti online shopping zaman 90an

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 18/7/2021


Pagi ini teringat kenangan membeli buku secara pos ketika zaman 90an.


Beli melalui brochure Syarikat buku Karangkraf, lepas tu pos dengan cek.



Cek minta dengan mak. Bayar cash kepada mak, mak tuliskan cek. Atau beli wang pos di pejabat pos. Sekarang masih wujud lagikah wang pos?


Zaman yang masih belum wujud lagi online shopping atau online transfer.

Friday, May 26, 2023

Faedah membaca

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 16/7/2021


Antara kesan membaca, adakalanya info yang kita baca akan dapat diingati bila diperlukan, walau adakalanya tak ingat baca dari buku mana?😅


Minggu lepas, cuba ulang baca kedua buku ini.



Takdir Allah, beberapa hari lepas ada pelajar Banat (yang saya kenalinya dari sekolah rendah hingga sekolah menengah adalah seorang yang bersungguh-sungguh dan bersemangat dalam menuntut ilmu dan menghafaz Al-Quran -moga istiqamah) yang bertanyakan soalan tentang hafazan.


Soalan dijawab melalui pembacaan dan pengalaman peribadi menghafaz Al-Quran dan mengajar anak-anak menghafaz Al-Quran.


Kedua buku ini sangat baik untuk menjadi pembakar semangat mereka yang menghafaz Al-Quran.

Wednesday, May 24, 2023

Misi membeli buku-buku preloved

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 15/7/2021


Untuk setiap hobi, pasti ada wang yang perlu dikeluarkan.


Begitulah juga dengan hobi membaca.


Untuk membeli buku, harganya bukan murah.


Lagi-lagi ketika PKP ini. Banyak duit yang perlu disalurkan kepada yang lebih utama.


Alhamdulillah. Allah ilhamkan untuk membeli buku-buku terpakai di Shopee.


Alhamdulillah banyak buku terpakai yang menarik yang boleh dibeli.


Cuma kena rajin cari dalam Shopee.


Antara buku terpakai yang pernah dibeli:


Harga buku terpakai lebih murah daripada buku baru.

Namun ada kalanya nak juga beli buku-buku baru.

Cuma bila bajet tak mencukupi, terpaksa mencari buku terpakai.

Senarai panjang buku terpakai yang ingin dibeli, insyaallah.

Alhamdulillah.

Seronok rasanya bila dapat banyak membaca bahan bacaan yang pelbagai.

Untuk saya pula, sejak dahulu lagi bila sudah baca buku, insya Allah akan wakafkan buku tersebut ke perpustakaan sekolah. Moga-moga para pelajar pula mendapat manfaat daripada buku tersebut dan kita juga mendapat pahala asbab ilmu yang mereka perolehi. 

Insyaallah. 




Monday, May 22, 2023

Reviu buku: Travelog Dakwah: Dari Bangi Ke Seoul

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 15/7/2021


Buku yang menggabungkan ciri-ciri ilmiah dan penceritaan.


Kisah benar keluarga yang ke Korea untuk bercuti dan membentang seminar, namun dengan ketentuan Allah, ibu mereka meninggal dunia di bumi Korea.


Memang mengalir air mata membaca kisah ini.



Suami yang menulis perjalanan akhir isterinya.


Terdapat banyak juga info ilmiah di dalam buku ini.


Buku penuh informasi dan emosi.


Menarik juga bila ada watak benar dalam buku ini yang dikenali. Kak Ummu Hani sekeluarga.


Wujudnya watak yang kita kenali dalam sesebuah buku akan membuatkan buku tersebut rasa dekat dengan kita.


Selamat membaca

Info buku: Bila Abah Sakit. Dr.Hayati Yasmin

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 15/7/2021


Dah lama rasanya tak menangis bila baca buku. 

Ya.  Membaca buku boleh buatkan kita terbawa-bawa emosi yang ada dalam buku tersebut. 


Rasa geram ketika baca buku Merantau ke Deli (Hamka) dan rasa sedih bila baca buku Di Bawah Lindungan Kaabah (Hamka). 


Buku Bila Abah Sakit ini juga beremosi sedih. 

Baru baca mukasurat pertama sahaja sudah sedih. 

Bila penulis beritahu bahawa catatan ini ingin dihadiahkan kepada abahnya,  namun tidak sempat kerana abahnya pergi dulu.  Masa tidak menunggu kita. 

Mengalir air mata membaca buku ini. 

Bila membaca buku juga kita akan terbayangkan situasi diri kita juga. Bagaimana pula bila kita nak hadapi pemergian orang yang tersayang. 

Berjujuran air mata mengalir bila baca buku ini. 


Saturday, May 20, 2023

Pelajaran dari burung

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 14/7/2021


Sejak kebelakangan ini, makin banyak burung Tempua yang buat sarang di pokok petai belalang di depan rumah, tepi tasik. Masyaallah.


Pagi-pagi akan kelihatan burung-burung ini cergas membina sarang mereka.


Makin hari makin ramai penduduk di pokok tersebut.



Bila melihat suasana ini, pasti teringat petikan tulisan Sasterawan Negara, A.Samad Said dalam novel remaja: Rumah Rahsia.



"Belajar tekun seperti burung. Belajar bersatupadu seperti burung."


Masyaallah.

 


Thursday, May 18, 2023

Kita ni orang kampung atau orang bandar?

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 14/7/2021


- Abang: Ahmad, kita ni orang bandar ke orang kampung?




- Ahmad: Kita orang Maahad.

😅😂

Tuesday, May 16, 2023

Kenangan yang sentiasa terimbau

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 14/7/2021


Dalam hidup kita, pasti ada kenangan sedih yang membuatkan kita sering teringat.


Setiap kali teringat pasti, rasa terhiris hati.


Hinggakan bila saya baca hasil karya beberapa penulis, saya akan dapat rasakan perasaan seperti ini seperti karya Ustaz Hasrizal dan Nik Nur Madihah.


Kisah ini simple, tapi ada satu dalam hati.


Pada satu hari di musim PKP, baba minta untuk bawa Abang Abbudey bawa anak kambing yang sakit teruk ke klinik haiwan di Kuala Ketil.


Baba kena mengajar kelas PDPR online ketika itu. Jadi tak boleh nak hantar kambing ke klinik haiwan.


Jaraknya hanya lah 10 minit lebih kurang.


Walaupun saya ada lesen, tapi masih takut dan kurang mahir memandu.


Bila sampai di selatan jalan raya, polis tanya road tax yang dah mati dan tanyakan insuran.


Aduhai..baba setiap hari banyak kali lalu sekatan jalan raya ini, tak pernah sekali pun kena tahan.


Saya telefon suami dan minta cakap dengan polis. 


"Bunyi apa tu di belakang?" Tanya polis.


"Kambing sakit. Nak bawa pergi klinik haiwan."


Alhamdulillah tak kena saman.


Itu satu kisah.

Sampai di klinik haiwan, seperti biasa Klinik Haiwan ini sentiasa penuh.

Satu-satunya Klinik Haiwan di Kuala Ketil ini.


Abang Abbudey turun bawa anak kambing yang sakit dan saya tunggu dalam kereta.

Ini kerana hanya seorang sahaja yang boleh masuk dalam klinik haiwan.

Agak lama juga Abang Abbudey tunggu di dalam.

Hampir sejam, Abang Abbudey keluar dengan mendukung kambing yang lehernya telah lembik dan keluar muntah.

"Doktor kata apa? Ok tak?" Tanya saya. Saya sangkakan Abang Abbudey dah bawa kambing masuk jumpa doktor.

"Kambing dah mati." Kuat Abang Abbudey menangis😢


Terhiris rasa hati.

Abang Abbudey letakkan anak kambing tersebut di belakang Hilux.😢


Rupanya dia tak sempat lagi bawa kambing jumpa doktor.

Kambing tersebut mati di pangkuannya.

Sedihnya rasa hati.😭

Setiap hari dia bagi ubat dan susu kepada kambing tersebut, akhirnya tak dapat juga diselamatkan.

Terasa penat sangat sehari itu.

Bila teringat kembali peristiwa ini, rasa tertusuk dalam hati.


Sunday, May 14, 2023

Ahmad Zaid dan tasmik hafazan Al-Quran online

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 13/7/2021


Sepanjang musim PDPR ini, Ahmad Zaid tasmik hafazan Al-Quran dengan Ustazah Iffah setiap Hari Ahad, Selasa dan Rabu pada jam 9 pagi.


Jika sebelum ini, jika Ahmad pegang handphone ketika ustazah video call, maka berpusing-pusing camera tersebut.


Sampai ustazah nampak almari dan siling saja😅.


Tempoh Ahmad tasmik untuk satu sesi hampir setengah jam.


Biasanya Ahmad akan hafaz kira-kira dari Surah Al Insyiqaq hingga Surah Asy Syams.


Kebetulan sudah beli headphone untuk musabaqah hafazan Al-Quran online Ahmad Zaid pada minggu lalu. Jadi kita gunakan saja untuk tasmik online juga.



Amin3. 

Senang hati ustazah bila Ahmad tak berpusing-pusing.


Sedikit video kenangan ketika Ahmad Zaid tasmik hafazan Al-Quran online dengan Ustazah Iffah.

Semoga Ahmad Zaid dapat menghafaz Al-Quran dengan baik.








Saturday, May 13, 2023

Reviu buku: Tetamu Tuhan 50 Hari. Penulis: Hilal Asyraf.

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 12/4/25


Masyaallah. Membaca buku ini ibarat menjawab persoalan yang timbul di fikiran dan merawat luka-luka di hati.


Buku ini memberi banyak jawapan kepada kegusaran hati.




Mengingatkan diri bahawa:
1. Bersabarlah dengan ujian Allah, semua kita diuji.

2. Sentiasalah bersangka baik dengan kasih sayang Allah.

3. Janganlah menyangka dirimu suci. Ada dosa yang perlu dimohon keampunan, ada kekurangan diri dan hati yang perlu dirawat.

4. Orang yang nampak dari zahirnya baik, berilmu, namun kita tidak tahu apa peperangan yang berlaku dalam hatinya. Dia juga sedang berusaha memperbaiki hati dan dirinya.

Semua kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah.


Saya baca buku ini ketika Bulan Ramadhan. Membuatkan hati amat meruntuhkan rahmat Allah bagi memperbaiki hati dan diri.


Beberapa ayat dalam buku ini yang memberi kesan dalam hati.




Adakah kita nak mati ketika marah-marah, ketika buat maksiat?


Adakah sifat penghuni Syurga ini marah-marah, sombong takabbur?








Juga antara buku/ebook yang bagus.

Mengingatkan dalam diri manusia, banyak perkara yang orang lain tak tahu hatta orang yang terdekat. 

Kebaikannya, dosanya, harapannya, doanya.

Banyak nasihat yang menampar.





Bersabarlah dan tabahkanlah hati dalam menghadapi kekurangan diri dan juga kekurangan orang lain.

Mohonlah kekuatan daripada Allah.

Semuanya akan terasa sebentar sahaja apabila kita mendapat ganjaran yang indah bagi kesabaran kita.


Ya. Sabar itu sukar. Kerana Syurga itu mahal dan indah.


Ketika mendapat ganjaran SABAR, semua ujian dirasakan kerdil berbanding dengan ganjaran Allah.

Moga Allah berikan kita kekuatan dan kesabaran.





Ada orang yang mempunyai kemampuan untuk menunaikan haji dalam kemewahan, tapi ia pilih untuk tunaikan haji dengan penuh kesusahan dan untuk menghayati pengorbanan untuk haji. Seperti yang diceritakan dalam buku Haji Terakhir Shiekh Ahmad Fahmi Zamzam.


Masyaallah. 

Buku ini banyak mengubat hati.



Friday, May 12, 2023

Info Buku: Perantau di tebing Derang.


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 14/7/2021


Bila kita membaca buku hasil karya orang yang kita kenali tentang perkara yang kita tahu, pasti kesannya lebih mendalam.


Derang, tempat pengajian suami saya dan adik beradiknya.


Maahad Tarbiah Islamiyyah Derang sangat banyak diperkatakan di sana sini.



Tentang ketokohan guru-gurunya, tentang hasil produk anak muridnya.


Membaca buku ini membuatkan hati sebak mengenangkan pengorbanan dan kesungguhan mereka menghidupkan sekolah agama.


Pelbagai pengalaman dan kisah yang unik dalam buku ini.

Malah penulis turut mengatakan: pengalaman itu jika tidak diabadikan dalam bentuk penulisan ia akan hilang begitu sahaja.

Di tambah dengan banyak gambar yang menceritakan kisah di sana.



Ada juga kisah tentang keluarga suami yang dimasukkan dalam buku ini. Antologi ke 94. 


Antara perkara yang saya percaya dan selalu ulang2 ialah:

'Semua orang ada pengalaman tersendiri, namun tidak semua orang ada *kemahuan* dan *kemampuan* untuk menggubahnya dengan kata-kata yang indah untuk manfaat orang lain. 


Terasa satu kelebihan yang besar betul bila seseorang itu dapat mencatat semula pengalamannya.'


🧔🏻: Baba pun dah lupa pasal forum ni.😅 (Bila baca antalogi ke 94 ini)


Seperti biasa, apabila membaca kisah seperti ini akan membuatkan saya berazam dan berharap supaya dapat menerbitkan buku seperti ini, insyaallah.

Sukarkah berpuasa enam Syawal?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Panjatkanlah kesyukuran jika Allah mudahkan untuk selesaikan puasa 6 Syawal.



 Hari yang terhad, cuaca panas ekstrem, kesihatan yang merudum dan pelbagai lagi situasi yang menghalang.


Bersyukurlah bila Allah permudahkan kita untuk beribadat.

Thursday, May 11, 2023

Reviu buku: Yang Paling PATAH antara kita. Ainul Farihah.

 

بسم الله الرحمن الرحيم 


Membeli buku ini selepas jumpa banyak reviu tentangnya. Sebelum baca ada amaran pencetus (trigger warning) di mukasurat awal.


Mengisahkan tentang perjuangan mereka dengan kesihatan mental. Sesuatu yang tak nampak dengan mata zahir. Orang yang kelihatan paling tenang, paling banyak menasihati, rupanya dialah paling menderita jiwanya.


Jalan cerita amat menarik dan mendebarkan. Penyiasatan. Penuh tanda tanya untuk diikuti hingga ke akhir buku.




Buku ini juga sarat dengan nasihat untuk mengubati kesihatan minda dan undang-undang.


Ada perkara yang kita rasakan biasa, sedangkan bila diamati, ada sesuatu di sebaliknya.


Di akhir mukasurat, penulis mengingatkan: hidup ini bukanlah satu PERTANDINGAN untuk membuktikan siapakah yang paling PATAH, tapi salinglah empati dan mengubati.


Jika ada masalah, cubalah untuk ubati, jangan dipendam dalam hati hingga MEMBARAH. Hidup ini ujian. Sabar itu sukar kerana ganjarannya amat besar.

Wednesday, May 10, 2023

Kisah penuh perasaan Ahmad Zaid dalam pertandingan hafazan Al-Quran.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 11/7/2021


Ini adalah kali pertama Ahmad Zaid menyertai pertandingan hafazan Al-Quran.


Pertandingan adalah untuk kanak-kanak usia enam tahun. Dari Surah Al Fatihah hingga Surah Ad Dhuha.

Gambar poster pertandingan


Macam-macam kisah pertandingan.


Pertandingan adalah secara online.


Pertamanya saya tak bercadang untuk beli head phone. Syarat untuk pertandingan kena pakai tutup mata dan headphone.



Iyelah, ketika PKP kedai komputer tak buka. Payah pula nak cari headphone. Malas juga nak beli online.


4 hari sebelum pertandingan terasa pula nak headphone😅.


Saya minta adik saya belikan secara online.


Gementar rasanya tunggu headphone. Takut tak sempat sampai.


2 hari tunggu headphone tak sampai juga. Tapi adik saya kata dalam status dah tulis delivered.


Bila cari-cari, rupa-rupanya posmen letak dalam pondok Pak guard tanpa beritahu.


Alhamdulillah. Dengan bantuan Allah headphone sampai sebelum hari pertandingan.


Hari pertandingan adalah pada hari Sabtu. 


Hari Jumaat adalah hari percubaan. Pada hari Jumaat semua berjalan lancar. Line pun elok sahaja.


Tibalah hari pertandingan.


Agak gementar juga.


Giliran Ahmad Zaid adalah nombor 2.


Ketika pertandingan, saya agak pelik kenapa gambar hakim sekejap ada sekejap tak ada.


Beberapa ketika selepas itu sampai mesej bahawa sudah tamat.



Padahal baru 3 daripada 5 soalan.


Kenapa begitu?


Bila tengok video persembahan di Facebook barulah saya faham.



Rupanya line tak elok dan terkeluar banyak kali. Agaknya lebih 10kali😅.


Aduh....



Saya hanya rakam sedikit sahaja. Sebenarnya selepas itu pun banyak kali terkeluar juga.


Perasaan saya bila tahu keadaan ini:

1 .Kesiankan hakim sebab tunggu lama😅

2. Kesiankan Ahmad juga.

3. Rasa lucu pun ada juga

4. Rasa sedih pun ada juga. Tapi apa lagi yang mampu kita buat? Redha sajalah dengan takdir yang Allah telah tentukan.


Allah...


Begitulah takdir Allah tentukan.


Kita dah usaha dan bertawakal. 


Insyaallah ada rezeki yang lebih baik selepas ini, Amin3

Monday, May 8, 2023

Info Buku: Daripada Budu ke Cheese. Zaida Rahim.

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 10/7/2021


Buku yang penuh emosi.


Bermula dengan kisah penulis yang berasal dari kampung di Kelantan. Keluarga yang susah membuatkan beliau tidak mampu untuk membeli buku rujukan.


Sering lemah dalam pelajaran Bahasa Inggeris membuatkan beliau trauma dengan Bahasa Inggeris.



Sehingga ke peringkat universiti, beliau sanggup menolak kursus yang diminatinya kerana dalam Bahasa Inggeris.


Akhirnya beliau memilih kursus yang tidak diminatinya. Hinggalah beliau masuk universiti, beliau terpaksa untuk masuk dalam kelas Bahasa Inggeris walau bersungguh-sungguh beliau cuba lari daripadanya.



Membaca buku ini membuatkan teringat kenangan ketika ambil Kursus Bahasa Inggeris di British Council ketika remaja dulu, ketika bulan Ramadhan.


Kenapa abah suruh masuk pun tak tahu.


Naiklah LRT dari Cempaka (tak ingat dah nama stesen?), turun di Masjid India, kemudian naik pula PUTRA.


Cikgu Mr.Jack (kot, lupa dah). Dalam kelas ada 2 orang je remaja Melayu. Yang lain semua orang India dan Cina.



Sekadar pengalaman lalu, tak pandai sangat pun, lupa banyak dah. Kursus 2 minggu je😅


Buku ini sangat menarik. Sangat dekat dengan hati rasanya.

Saturday, May 6, 2023

Info buku: Rumah Rahsia


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 10/7/2021


Saya membaca karya sasterawan negara ini dengan tujuan untuk mengenali hasil karya beliau.


Buku cerita penyiasatan ini agak menarik.



Sarat dengan nilai murni yang baik untuk kanak-kanak.


Antara nilai murni yang diterapkan dalam buku ini ialah:


1. Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.


2. Budaya menulis surat bersama sahabat yang kian pupus kini.


3. Bercakap benar.


4. Menepati masa.


5. Adab bersahabat.


6. Mengasihi orang tua.

Thursday, May 4, 2023

Double phD?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 6/7/2021


Inilah idea yang terfikir bangkit tidur pagi ni. Bukan sebab terlampau banyak masa kosong?


Tapi...


1. Sebab suka membaca dan menulis, nakkan hasil dari 2 aktiviti ni selain tambah ilmu, kesedaran dan penghayatan.



2. Tertanya-tanya: apakah target diri selepas ni? 


Apakah pencapaian yang nak dicapai selepas ni?


Masa terus berlalu, mesti ada cita-cita lain yang nak direalisasikan. 


Tanpa target, hidup terasa lemau.


Atau hasrat ini akan berlalu dibawa masa................

Tuesday, May 2, 2023

Info buku: Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 5/7/2021


Kegagalan demi kegagalan.

Episod duka yang berpanjangan.

Derita kemiskinan.



Namun, sinar mentari pasti datang.

Allah Masa Kuasa untuk mengubah kegagalan kepada kejayaan, kedukaan kepada kegembiraan.


Tapi, bagaimanakah hamba itu menyambut ujian kemewahan selepas diuji dengan keperitan? Adakah masih ingat ketika Pemberinya?


Kisah yang unik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...