Friday, March 30, 2018

Guru sentiasa memberi inspirasi

بسم الله الرحمن الرحيم


Ketika terjumpa dengan video amanah Dekan Kuliah Dakwah Islamiah, Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro seperti yang pernah dikogsikan di sini:


Terus menghantar PM kepada pensyarah-pensyarah kuliah Dakwah yang dahulu.

MasyaALLAH.

Kata-kata dari guru memang sentiasa memberi semangat dan isnpirasi walaupun kita sudah lama meninggalkan bangku kuliah.


Begitu juga kiriman Whatsapp dari pensyarah di Syria dulu yang mengirimkan doa untuk dibaca pada waktu-waktu mustajab pada Hari Arafah yang lalu.





Alhamdulillah... Syukur kepada ALLAH yang menghadirkan insan-insan hebat yang memberi semangat, nasihat, teguran dan peringatan walaupun jauh dan sakian lama tidak bertemu.

Betapa kita saling memerlukan insan yang memberi motivasi dan mendorong kita untuk membuat amal soleh.

Semoga ALLAH memberkati kita semua.

Amin.

Tuesday, March 27, 2018

Detik tonjol ke hadapan.

بسم الله الرحمن الرحيم

Perkongsian post ini di dalam Facebook ini amat mengingatkan saya tentang perbincangan dengan suami.


Begitu juga apabila saya membaca hasil tulisan Ustaz Hasrizal di sini:
Saya percaya dan setuju dengan keputusan yang dibuat oleh suami.

Inilah kisahnya:

"Baba. Abang Abbudey selalu cerita pasal dia teringin nak bagi kuliah. Boleh ke dia mula bagi  kuliah?." Perbincangan dimulakan bersama suami.

"Tak boleh. Dia kena belajar banyak lagi. Kena ada banyak ilmu dan pengalaman. Tak boleh awal sangat. Kalau awal sangat, takut nanti dia akan rasa habat, bangga diri, sombong takabbur. Biar dia cari ilmu banyak lagi. Belajar ikhlas, tawaduk, merendah diri dan tidak membangga." Jawapan baba banyak rasionalnya.

InsyaALLAH, akan tiba masanya untuk anak-anak menyebarkan ilmu, mencari pengalaman mengajar orang dan memberi sebanyak mungkin manfaat kepada orang lain dengan penuh ikhlas, rendah diri dan tidak sombong.

Untuk masa sekarang, tuntutlah ilmu bersungguh-sungguh. Hiasilah peribadi dan akhlak. Semaikan keikhlasan dan rasa kebersamaan dengan Allah Subhanahu Wa Taala. Janganlah dikejar populariti dan glamor.

Semoga ALLAH sentiasa memberkati kita semua.

Saturday, March 24, 2018

Berkongsi cerita anak-anak?

بسم الله الرحمن الرحيم

Soalan 1:
Kenapa asyik tulis tentang cerita anak-anak sahaja dalam blog ini?

Jawapan:

Saya percaya bahawa banyak perkara yang boleh kita pelajari dari orang lain. Dari pengalaman dan hidup mereka.

Saya juga suka membaca buku-buku travelog dan kisah benar perjalanan hidup orang.

Hinggakan apabila saya membaca buku travelog seperti hasil karya Prof Kamil Ibrahim dan Puan Roza Roslan, terselit dalam hati impian untuk menulis buku travelog seperti mereka juga, moga-moga ramai yang mendapat manfaat daripadanya.

Begitu juga, jika saya seorang guru, saya tidak akan tahu kisah hidup seorang doktor contohnya, atau  seorang tukang sapu sampah atau lain-lain jika dia tidak bercerita kepada saya.

Setiap orang pasti ada jalan hidup yang pasti kita boleh ambil pengajaran daripadanya.

Kerana itu, saya suka berkongsi perjalanan hidup bersama anak-anak ini, moga-moga ia bermanfaat kepada orang ramai.

Begitu juga, apabila saya membaca buku, adakalanya terdetik rasa ragu-ragu terhadap kisah yang diceritakan itu jika tidak ada gambar sebagai bukti, kerana itu jugalah saya meletakkan gambar pada entri di dalam post blog ini.

Malahan, gambar-gambar ini mengembalikan memori indah kami semua, hatta ketika anak-anak membuka blog ini, mereka akan kenang kembali memori yang mereka lupa ketika mereka kecil.

Ia adalah detik berharga dalam keluarga kami.


Soalan 2:

Kenapa hanya tulis kisah tentang anak sendiri sahaja? Anak-anak orang lain pun ramai yang hebat-hebat.


Jawapan:

Teringat saya kata-kata Abdullah pada suatu hari:
"Semua orang ada kelebihan dan kekurangannya tau."

Ya Benar. Setiap orang ada ciri-ciri yang hebat.

Hatta pada anak-anak murid di sekolah juga, ramai mereka yang mempunyai ciri-ciri yang lebih hebat dari anak-anak saya.

Masing-masing kita mempunyai kelebihan agar kita saling tolong menolong dan menyempurnakan orang lain.

Tapi, saya tidak boleh menulis tentang orang lain-lain. Ada orang yang suka simpan sendiri dan tidak suka untuk berkongsi cerita kisah hidupnya kepada orang lain.

Baginya itu adalah hak peribadinya.

Hatta ada orang yang tidak suka jika kita kongsikan gambar anak mereka di laman maya.

Itu adalah hak mereka.

Kerana itu, sebagai langkah berjaga-jaga dari mengecilkan hati orang lain, jarang sekali saya kongsikan kisah orang lain dan gambar-gambar orang lain kecuali jika diizinkan.

Semoga catatan blog yang hampir 12 tahun ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

Amin..

Thursday, March 22, 2018

Anak-anak pembantu penenang dengan ayat Al-Quran

بسم الله الرحمن الرحيم

Beberapa kali pernah berlaku di dalam rumah kami, apabila baba tiada di rumah, Ahmad Zaid (Ketika itu hampir usia 2 tahun) tidur dalam keadaan demam panas, adakalanya dia akan terjaga terkejut, menangis menggigil dan berkata:
"Akuttt...akuttt..." sambil menunjuk-nunjuk ke arah dinding.


Ahmad Zaid ketika itu sudah pandai bercakap beberapa patah perkataan dan kami faham yang dia maksudkan ialah dia takut.



Dan seringkali juga situasi ini berlaku kepada anak-anak lain ketika sakit hatta kepada kita orang dewasa sekalipun.

Apabila demam, bila kita tidur kita akan mimpi yang pelik-pelik dan menyeramkan. Hinggakan Abdullah jika dia demam, dia takut nak tidur.

"Mama... adik tak nak tidur...Kalau adik tidur nanti, mesti adik mimpi seram." Abdullah menyuarakan ketakutannya.

"Jom kita sama-sama baca Ayat Kursi, 3 qul dan 2 ayat terakhir Surah Al-Baqarah. Lepas tu kita hembus kat tapak tangan dan sapu seluruh badan" Itulah ajaran kami kepada mereka.



Jadi, apabila Ahmad Zaid jadi begitu, saya akan panggil abang-abangnya membacakan ayat-ayat Al-Quran dan sapukan pada adik.

Jika baca beramai-ramai dan dengan suara yang kuat, kekuatan dan keberanian dalam diri kita akan lebih bertambah.

"Mama kalau takut malam-malam, takut pencuri ke apa ke, jangan lupa baca Ayat Kursi, 3 Qul dan 2 ayat Akhir Surah Al-Baqarah." Pesan Abdul Rahman yang prihatin dengan perasaan ibunya pada hari yang lain.

Semoga Allah memelihara kita semua dari sebarang perkara buruk.

Amin Ya Rabb

Tuesday, March 20, 2018

Majalah AULAD semakin canggih

بسم الله الرحمن الرحيم

Majalah AULAD adalah majalah kesukaan anak-anak ketika zaman kecil mereka.

Apabila anak-anak makin membesar, sudah lama kami tidak membeli majalah AULAD.

Kali ini, saya belikan untuk Ahmad Zaid untuk membentuk minatnya kepada buku sama seperti abang-abangnya dahulu.

Kami mempunyai banyak memori dengan Majalah AULAD sehingga saya letakkan satu label khas untuk Majalah AULAD untuk entri di dalam blog ini:
http://cinta-rasul.blogspot.my/search/label/Majalah%20AULAD%20yang%20best%20%3D%29

Inilah majalah AULAD edisi MAC 2018 yang dibelikan untuk Ahmad Zaid

Bila dibelek-belek, rupa-rupanya majalah AULAD semakin canggih sekarang ini.

Saya rakamkan dan kongsikan di dalam Facebook saya video kecanggihan Majalah AULAD sekarang:


Sokonglah industri buku jika kita tidak mahu ia mati.

Sunday, March 18, 2018

Perkembangan Ahmad Zaid (2 tahun)

بسم الله الرحمن الرحيم



**Catatan ini adalah untuk merekod memori ketika anak-anak masih kecil yang pasti akan dirindui pada masa akan datang.


Selain dari bola, permainan yang menjadi kemestian untuk kebanyakkan anak lelaki ialah: kereta.

Begitulah dengan tiga anak lelaki di rumah ini.

Kebetulan selepas baba pulang dari umrah, Pak Cik Yep hadiahkan kereta kawalan jauh yang dibeli di Mekah.

Kereta kawalan jauh hadiah dari Pak Cik Yep
Sebelum ini memang anak-anak pernah memiliki kereta kawalan jauh, namun tidak pernah pula bermain bersama Ahmad Zaid.

Jadi ini adalah pengalaman pertama Ahmad Zaid bermain kereta kawalan jauh.

Walaupun hadiah tersebut adalah untuk Abang Abbudey, namun Ahmad Zaid yang asyik bermain dengan kereta tersebut hingga abang-abang lain tiada peluang untuk bermain.

Begitu Ahmad Zaid seronok bermain.


Seronoknya Ahmad Zaid dengan kereta hadiah milik Abang Abbudey hingga dibawanya ke mana sahaja
termasuk pergi ke Kuliah Maghrib.
"Mennn... Mennn.." Ulang Ahmad Zaid sejurus bangun dari tidur.

Hinggakan apabila nak masuk tidur pada waktu malam pun, Ahmad Zaid akan letakkan kereta di sebelahnya dan tertidur sambil membelek kereta tersebut.

Meriahnya apabila masing-masing seronok berlumba kereta kontrol.

Lihat sahaja senyuman mereka

Seronok kami semua melihat keletah Ahmad Zaid yang baru sembuh dari demam ketika baba di Mekah.


Baba juga membelikan Ahmad Zaid kereta kawalan jauh yang lain (dengan harga RM 20 sahaja) supaya Abang Abbudey dapat bermain dengan kereta yang dihadiahkan oleh Pak Cik Yep.



Hobi Ahmad Zaid menyusun kereta besi panjang-panjang beberapa hari lalu sebelum mendapat kereta kawalan jauh


Alhamdulillah... Allah bagi suasana aman dan seronok bersama-sama anak-anak.

Berikanlah kepada kita semua kebahagian yang berganda di syurga nanti. 

Amin

Thursday, March 15, 2018

ILMU vs LUPA

بسم الله الرحمن الرحيم

Saya teringat sangat satu kenangan ketika tahun akhir di Kuliah Dakwah Islamiah di Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro.

Satu-satu subjek yang saya gagal dalam peperiksaan 'Aamal sanah ialah Mirath (Pembahagian harta pusaka).

Ia menjadi satu peristiwa yang amat menakutkan.

Takutnya kalau terpaksa ulang paper semula jika tidak lulus lagi pada peperiksan hujung tahun.

Lagi menakutkan jika terpaksa ulang tahun kerana gagal walaupun 1 subjek sahaja.

Begitulah undang-undang kuliyyah ketika itu. Jika gagal pada peperiksaan ulangan walaupun 1 subjek sahaja, terpaksalah ulang tahun semula.

Ditambah lagi saya tidak pernah lagi mencatatkan sejarah peribadi mengulang paper ataupun ulang tahun.

Sungguh ia amat merimaskan, merisaukan dan menakutkan.

Hinggakan jika sekarang saya ingatkan semula kenangan itu, ia masih lagi menakutkan. Dan ia sering hadir dalam mimpi. Mimpi melalui detik-detik kegagalan.

Dari satu sudut yang lain, saya terfikir-fikir bahawa ilmu itu jika tidak diulang selalu, diajarkan semula dan diamalkan, pasti akan lupa hatta walaupun ilmu yang paling simple.

Sebagai contoh, jika pada satu ketika dulu kita mahir memasak satu resepi, jika telah lama tidak masak resepi tersebut, pasti akan lupa dan jadi tidak tahu semula.

Termasuk juga ilmu bahasa. Ramai dari kita yang sudah belajar Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris tanoa henti sejak dari tadika hinggalah ke peringkat universiti, namun bila tidak diamalkan, kita pasti tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa tersebut walaupun sekian lama belajar.

Begitu juga dari sudut ilmu keibubapaan. Lupa bagaimana nak ajar anak potty training, weaning dan  macam-macam lagi apabila sudah lama tiada anak kecil.

Kerana itu jugalah terus memaksa diri untuk menyambung pelajaran dan menulis tesis phD agar diri ini dipaksa banyak membaca bahan-bahan ilmiah dan terus kekal dalam ilmu di samping kuliah-kuliah Maghrib yang dihadiri jika berkelapangan.

Ya ALLAH berkatilah ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami dan janganlah biarkan kami lupakannya.

Monday, March 12, 2018

Perjalanan kehidupan menuju perpisahan

بسم الله الرحمن الرحيم


Beberapa hari ni terfikir tentang perjalanan hidup kita yang sering menuju kepada perpisahan.

Apabila difikir-fikir, walaupun kita amat sedih untuk berpisah, namun semakin meningkatnya masa dan usia, kita makin menuju perpisahan.

Kita bersedih, namun ia adalah lumrah kehidupan yang tidak boleh lari daripadanya.

Renungkan perjalanan hidup seorang bayi yang ketika dalam perut ibunya tidak berpisah langsung dengan ibunya walau di mana sahaja.


Ketika sudah lahir, ia makin berpisah sedikit demi sedikit.

Apabila sudah bercerai susu, makin jauh berpisah.

Apabila sudah masuk sekolah, makin jauh.

Bila dah masuk sekolah menengah, semakin jauh.

Masuk universiti, belajar luar negara. Bila sudah mendirikan rumah tangga.....

 Ya semakin hari, semakin jauh kita berpisah dengan anak kesayangan kita yang dahulunya melekap saja dengan kita.


Dan akhirnya kita berpisah kerana kematian.

Semoga kita bertemu semula di syurga dalam suasana bahagia gembira dan tidak berpisah lagi selepas itu.

Amin

Friday, March 9, 2018

Tanda tanya dan impian zaman kanak-kanak

بسم الله الرحمن الرحيم

"Masa kecik dulu, selalu lalu depan De Palma Ampang, mesti tertanya-tanya macammana agaknya suasana dan persekitaran  dalam Hotel De Palma Ampang ni kan? Teringin nak masuk tengok kat dalam hotel tu" Sembang-sembang  bersama adik saya bermula.

"Aah. aku pun selalu terpikir macam tu masa kecik." Dijah turut bersetuju.

Begitulah, zaman kanak-kanak kami yang berada sekitar Ampang ini yang  sering terfikir suasana di dalam Hotel De Palma Ampang. 


Dalam fikiran anak kecil kelihatan seperti gah dan seronok sahaja di dalam bangunan hotel tersebut. Apatah lagi apabila sering lalu lalang di hadapannya.

Kini setelah lama masa berlalu, impian anak kecil tersebut diperkenankan ALLAH.

Dah banyak kali sangat kami menetap di hotel De Palma.

"Mudah. Nak solat kat surau dia senang. Nak Solat Jumaat dan Solat Raya di surau dia pun senang. Cari makanan pun senang. Kedai banyak dekat situ. Kalau makan kat hotel pun, kita yakin insyaALLAH halal. Anak-anak pun boleh main kat kolam sana. Kita booking De palma Ampang sahajalah." Baba memberi banyak sebab untuk menetap di sana.

Berpagi raya di Hotel De Palma Ampang

Bersiap-siap untuk Solat Raya di Surau Hotel De Palma Ampang

Bersedia di lobi hotel De Palma Ampang untuk keluar berziarah


Akhirnya, itulah tempat yang sering kami tujui jika ke Kuala Lumpur sejak lama dulu hingga sekarang.

Banyak catatan entri blog yang pernah ditulis berlatar belakangkan Hotel De Palma Ampang, seperti:



Hinggakan temuramah untuk akhbar Harian Metro pada tahun 2015 bersama kami pun dibuat di Hotel De Palma Ampang. Boleh baca di sini:


Temuramah akhbar yang dilakukan di Hotel De Palma Ampang


Begitu juga video reaksi Ahmad Zaid terhadap flash card hijaiyyah yang dirakam di Hotel De Palma Ampang:




Bilik di Hotel De Palma Ampang




Ahmad Zaid dengan alat permainannya di Hotel De Palma Ampang

Kesukaan Ahmad Zaid terhadap Lego turut dibawa bersama ke Hotel De Palma Ampang


Bersama sepupu dan adik beradik yang menetap di Hotel De Palma Ampang
 
Harap-harap Hotel De Palma Ampang terus menjaga kualitinya.

Hotel De Palma Ampang yang menjadi tanda tanya kepada kanak-kanak satu masa dahulu apabila melihatnya dari luar dan lalu di hadapannya

Impian yang remeh dan kecil seorang kanak-kanak, namun ia diperkenankan ALLAH Yang Maha Pemurah.

Alhamdulillah.

ALLAH perkenankanlah impian-impian besar kita.

Ganerasi yang soleh, bertaqwa dan bermanfaat buat insan lain.

Amin.

Tuesday, March 6, 2018

Resepi krim karamel mudah untuk kanak-kanak


بسم الله الرحمن الرحيم


Sepanjang cuti hujung tahun 2017, Krim Karamel adalah salah satu resepi baru yang dibuat oleh Abdullah dan Abdul Rahman selain Japanese Cotton Cheese Cake dan Tat Telur yang selalu mereka buat.



Japanese cotton cheese cake 


Sedang dibakar


Siap dibakar


Alhamdulillah lembut elok

Resepi Japanese Cotton Cheesecake boleh dilihat di sini:
http://cinta-rasul.blogspot.my/2017/05/japanese-cotton-cheese-cupcake.html

Mencuba Japanese Cotton Cheesecake

kertas resepi mereka salin

Tat telur Abdullah dan Abdul Rahman buat

tat telur

Resepi tat telur boleh lihat di sini:
http://cinta-rasul.blogspot.my/2017/05/resepi-ke-2-anak-bujang-stuffed-egg-tart.html

Sebelum ini anak-anak biasa buat krim karamel yang segera dan lebih mudah seperti di sini:


Seperti biasa anak -anak akan minta saya googlekan resepi dan mereka akan salin sendiri resepi dalam kertas.

"Mama boleh tak tolong carikan resepi krim karamel? Abang nak buat."

Resepi ini ditulis setelah melihat beberapa resepi dalam internet dan diolah supaya menjadi mudah dilakukan oleh kanak-kanak.


Resepi ini kemudiannya kami ubah lagi mengikut selera kami agar tidak terlalu manis krim karamelnya.


Alhamdulillah bagi anak-anak resepi ini tidak sukar untuk dibuat. 

Inilah resepinya



Resepi Abdullah salin


Alhamdulillah dah sejuk



Resepi krim karamel mudah untuk kanak-kanak:

1- Cairkan 5 sudu gula. Api perlahan.

2- Letak dalam loyang yang nak kukus krim karamel nanti

3- Pukul 6 biji telur + 7 sudu gula sampai larut gula dalam bekas lain

4-  Masukkan susu sejat 1 tin. Tambah 1 sudu besar tepung kastard. Tambah 1 sudu kecil esen vanilla. kacau.

5- Masukkan dalam bekas yg dah letak gula tadi.

6- kukus 1/2 jam.

7- biarkan sejuk.

8- masukkan dalam peti ais.

Resepi ditulis step by step sebegini agar mudah anak faham dan ikut step.



Bagi saya sebenarnya resepi yang orang post dalam laman maya tidak salah, cuma kita perlu olah mengikut selera kita selepas pertama kali membuatnya.


Ada orang suka lebih manis.

Ada orang suka kurang pedas.

Ada yang suka lebih masin.

Ada yang suka tawar-tawar sahaja.

Begitulah kepelbagaian citarasa manusia.


Cuma jika tidak kena dengan selera kita, cubalah untuk tidak menghina dan mengkritik makanan. Itu bukan sifat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.


Semoga kita diberkati Allah.




Saturday, March 3, 2018

Bersendiri. Mengisi Kekosongan

بسم الله الرحمن الرحيم

Walaupun pada suatu ketika dulu ketika kita bujang, kita boleh hidup sendiri, menguruskan urusan hidup sendirian, tetapi apabila telah lama berumah tangga, pasti akan timbul rasa sunyi apabila pasangan hidup tiada di sisi untuk satu tempoh masa.

Rasa rindu itu adalah normal dan fitrah dalam diri manusia.

Ketika itu juga rasa dekat dengan ALLAH.

Sentiasa mendoakan keselamatan pasangan kita dan diri sendiri serta anak-anak.

Kekuatan juga dikumpul dari ibadah dan amalan sunat serta perbanyakan bacaan Al-Quran.

Pergantungan dan doa kepada Allah digandakan apabila sebelah sayap tiada di sisi.

Janganlah dilayan perasaan sunyi dan rindu mendayu-dayu sangat. Cubalah manfaat masa dengan perkara yang boleh menghilangkan rasa sunyi itu.

Kalau bagi diri saya, masa begini cuba digunakan untuk menulis bahas semaksima mungkin. Alhamdulillah banyak masa yang boleh dimanfaatkan.

Pada waktu subuh, tadabbur ayat Al-Quran ini menambah kekuatan dalam hati.

Memujuk hati.

Memberi motivasi dalam hati yang sayu.


Sembahlah Allah.

Mohonlah dariNya.

Berserahlah kepadaNya.

Allah tidak pernah lalai dan amat mengetahui segalanya.

Allah tahu keadaanmu.

Rintihlah padaNya.

Dia selalu ada.

Semoga ALLAH beri kekuatan.

Thursday, March 1, 2018

Allah bersamaku. Allah melihatku. Allah menyaksikanku

بسم الله الرحمن الرحيم

Seringkali jika ada kegusaran yang terbuku di hati, akan dikongsikan kepada ahli keluarga dan anak-anak.

Beberapa hari kebelakangan ini, sering terfikir tentang kebersamaan Allah dengan kita.

Ia bertambah-tambah apabila menulis tesis sekitar tajuk ini.

Anak-anak pula makin meningkat dewasa. Kerisauan sang ibu dari mereka terjebak dengan perkara negatif dan kegilaan zaman remaja diubat selalu dengan doa kepada ALLAH dan pesanan kepada anak-anak:

"Abang, Adik. Sentiasalah kita ulang-ulang dalam hati kita:

الله معي، الله ناظري ، الله شاهدي

Maksudnya:
Allah bersamaku. Allah melihatku. Allah menyaksikanku."

Rasa hati dikongsi bersama anak-anak.

"Allah tahu apa yang kita lakukan. Jangan buat maksiat. Allah sentiasa bersama. Jika kita susah dan sedih, Allah pasti ada dengan kita. Allah pasti akan membantu kita. berdoalah."




Ia juga adalah antara isi kandungan kuliah Maghrib di masjid yang kami hadiri beberapa bulan yang lalu.

Malah, ia juga adalah pesanan yang sering diungkapkan oleh para guru dan sheikh ketika di Syria dulu dan pernah dicatatkan dalam entri di blog ini hampir 10 tahun yang lalu:


Sentiasalah mendidik hati kita dan anak-anak bahawa Allah sentiasa bersama kita dan melihat kita.

Jangan buat maksiat.

Jangan bersedih.

Video motivasi agar jangan bersedih.

Kesedihan itu dari Syaitan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...