Wednesday, June 20, 2018

Anak kecil meragam ketika beraya?

بسم الله الرحمن الرحيم

Rimas kan bila anak-anak kecil buat perangai dan meragam ketika berjalan raya ni?

Tipulah kalau kata tak rimas.

Mereka yang mempunyai anak-anak kecil, pasti faham dan lalui situasi anak-anak kecil meragam dan buat perangai ketika berziarah raya.

Apa saja jadi tak kena. Merengek dan menangis.

Tapi bila sembang-sembang dengan ramai rakan-rakan, beberapa kesimpulan yang dapat diambil:

1. Mereka tidak biasa dengan suasana begitu.

Yelah, biasa tiap-tiap hari, suasananya rumah sahaja. Atau mungkin rumah, kedai dan nurseri.

Namun tiba-tiba, kena berjalan dok rumah orang lama-lama. Dari pagi sampai ke malam. Tentu anak kecil rasa tak selesa.

Ada juga anak-anak yang ketika di rumah dia baik sahaja, bila keluar rumah berjumpa dengan orang ramai dan kena duduk lama dia jadi tidak selesa dan meragam.

2. Masa tidur mereka terganggu.  Biasa tidur lama, tiba-tiba nak kena bangkit awal berjalan satu-satu rumah sampai malam.


Di kedua-dua rumah ini Ahmad Zaid elok sahaja mood dia kerana sudah cukup tidur dan ada permainan di rumah sana.


Bila tidur tak cukup, tentu saja anak kecil akan mengamuk.

Begitulah kami dengan Ahmad Zaid tahun ni.

Dua abang-abangnya yang sudah besar lain pula kisahnya.

Penyelesaiannya:

1. Cuba ringkaskan ziarah dengan lebih pendek.

2. Bawa mainan dan makanan yang disukainya.


3. Cipta mood seronok.

4. Pesan untuk buat akhlak elok-elok. Untuk Ahmad Zaid yang sudah 2 tahun setengah, dia faham apabila kami pesan:
"Ahmad buat akhlak baik kat rumah ni ya? "

Namun apabila lebih setengah jam, dia sudah mula gelisah.

5. Kami juga terangkan adab-adab berziarah ke rumah orang kepada anak-anak.

Yelah, pada hari-hari biasa, jarang kita berziarah ke rumah orang, bila tiba raya, tiba-tiba sahaja pergi berziarah dari pagi hingga malam, terangkan kepada anak-anak adab-adab berziarah, tegur jika mereka tersilap, insyaAllah ia menjadi ilmu kemasyarakatan yang banyak faedah untuk mereka di masa hadapan.

- Duduk di rumah orang jangan bising-bising. Jangan berlari.

- Makan kena beradab. Habiskan hidangan dalam pinggan kita.

- Bersalaman bagi orang yang boleh disalam. Terangkan siapa yang boleh disalam dan tidak.

- Jangan lupa ucapkan terima kasih dan tunjukkan kegembiraan kita menziarahi orang lain.

- Minta izin jika ingin gunakan barang tuan rumah.

Semoga ada manfaatnya.

Tuesday, June 19, 2018

Muhasabah dan pelajaran di musim raya.

بسم الله الرحمن الرحيم

Realiti yang kita terpaksa terima hari ini, hampir kebanyakan kita hanya ziarah menziarahi pada hari raya sahaja, dek kesibukan masing-masing dengan urusan masing-masing.

Namun apa-apa pun, Alhamdulillah atas nikmat ziarah menziarahi yang Allah berikan.

Didik anak pentingkan solat walaupun dalam musafir.

Singgah di masjid untuk solat dalam perjalanan

Ajar anak-anak juga adab-adab bertamu di rumah orang.

Ada pahala yang Allah janjikan bagi orang yang ikhlas menziarahi orang lain.


Terasa bagai melepaskan rindu berkumpul bersama saudara mara.

Tinggalkan sebentar bebanan kerja, berehat sebentar, semoga kita pulang ke tempat kerja dengan tenaga dan idea yang lebih mantap harapnya.

Beberapa muhasabah dan refleksi yang saya dapat dan berbincang dengan anak beranak ketika dalam perjalanan dalam kereta semasa hari raya ini.

1. Semasa hari raya inilah, kita berkumpul, hindarilah budaya bawang membawang yang merenggangkan hubungan silaturahim.

Sudahlah nak berjumpa pun setahun sekali, eratkanlah hubungan kita yang jarang bertemu ini.


Alhamdulillah. Seronoknya dapat berkumpul bersama-sama saudara dan rakan taulan di hari raya.


2. Adakalanya kita nampak kekurangan orang, jika mampu nasihat, nasihatkanlah dengan baik, jangan hanya membawang di belakang, tiada faedahnya.

3. Kita saling melihat kekurangan orang, tanpa kita sedari kita pun punya kekurangan yang dilihat oleh orang lain. Doalah Allah tutup keaiban kita sekeluarga dan dalam masa yang sama kita pun janganlah sebarkan keaiban orang lain.

4. Raikan perbezaan dan kepelbagaian selagi tidak melanggar hukum agama.

Kita tidak boleh nak paksa orang ikut corak yang kita inginkan.

5. Banyak manfaat dan faedah yang boleh kita dapati dari ziarah menziarahi di musim perayaan ini. Pelbagai pengalaman dan ilmu boleh dikongsi bersama.

MasyaAllah.

6. Jangan kita lupa bahawa ziarah menziarahi juga adalah amalan yang tidak sia-sia dan mendapat pahala di sisi Allah. Mengeratkan silaturrahim juga dapat meluaskan rezeki kita.

Beraya di rumah ustazah yang tasmik Alquran ketika sekolah menengah dulu. Setelah hampir 20 tidak bertemu.

Ustazah buatkan kek dalam kesibukan.

Belajar berkawan

7. Cubalah kuatkan hati agar tidak berhati tisu sangat, mudah terasa dengan sembang-sembang orang. Anggaplah mereka hanya berbual tanpa niat ingin melukakan hati sesiapa.


Begitulah. Banyak nilai positif yang dapat kita perolehi dari amalan ziarah menziarahi di hari raya.

Selamat menyambung hari raya.

Saturday, June 16, 2018

Sahabat yang memberikan inspirasi (dalam mendidik anak-anak dengan Al-Quran)

بسم الله الرحمن الرحيم

Bersembang tentang cara mendidik anak dengan rakan seorang ini memang sentiasa membuatkan diri terinspirasi dengan cara mereka mendidik anak-anak mereka dengan Al-Quran.

Itulah Ummu Muhammad yang tinggal di Johor, penulis blog:

MasyaALLAH, anaknya hafiz Al-Quran seawal usia 6 tahun!

Namun Ummu Muhammad tidak suka untuk digembar gemburkan di media massa mahupun media sosial.



Sentiasa mendapat semangat, idea, ilmu dan inspirasi bila chatting dengan Ummu Muhammad ini.

Beliau dan suami bukanlah dalam bidang agama, sebaliknya dalam bidang akademik, namun berjaya mendidik anak sebaik mungkin dengan Al-Quran. MasyaALLAH.

Sebenarnya ramai di luar sana ibu ayah yang hebat-hebat dalam mendidik anak-anak dengan Al-Quran, cuma ada di antara mereka yang tidak mahu berkongsi di media.

Saya selalu sarankan Ummu Muhammad untuk berkongsi dengan orang ramai agar dapat memberi manfaat dan inspirasi kepada orang lain untuk mendidik anak-anak dengan Al-Quran. Orang yang menunjukkan kebaikan, sama pahalanya dengan orang yang melalukannya.

Semoga ALLAH permudahkan kita semua untuk mendidik anak-anak dengan Al-Quran.
Amin..


Wednesday, June 13, 2018

Video viral: Majlis memuliakan para penghafaz Al-Quran

بسم الله الرحمن الرحيم

Baru-baru ini viral di laman Facebook, video yang mempamerkan perarakan masuk para penghafaz Al-Quran ke majlis dengan penuh dimuliakan dan semangat, dengan nasyid yang bersemangat juga.

Inilah videonya:



Apabila saya menonton video ini, saya perasan ia hampir serupa dengan majlis penyampaian hadiah pertandingan hafazan Al-Quran Itqan pada bulan lalu yang disertai oleh Abang Abbudey.

Saya tunjuk kepada anak-anak dan bagitahu:
"Tengok, macam nak sama kan dengan majlis masa abang ambil hadiah kat UIA hari tu."

Saya ada menulis entri tentang majlis ini, namun bank entri tersusun hingga bulan 8 nanti.

Saya lihat di YouTube rasmi Itqan, belum diupload lagi video majlis tersebut:



Namun sedikit sedutan video perarakan masuk para pemenang ke dalam majlis tersebut dari rakaman kami (yang tidak berapa berkualiti)




Perasaan ibu-ibu biasalah, kadang-kadang atau selalunya kitalah yang lebih teruja dari anak-anak dengan kemenangan mereka.

Alhamdulillah satu kenangan yang indah, dimuliakan kerana Al-Quran.

MasyaAllah.







Semoga kita terus dimuliakan kerana Al-Quran di dunia dan akhirat.

Amin Ya Rabb.

Monday, June 11, 2018

Info buku: Kertas-kertas yang merubah fikir

بسم الله الرحمن الرحيم

Apabila membaca buku ini banyak perasaan yang bersarang dalam hati.

Buku hadiah dari rakan penulis dan pencinta buku ini amat saya hargai kerana memang saya mempunyai niat untuk membeli buku ini kerana isinya yang menarik.





Belum sempat lagi saya beli, Puan Aina Dayana sudah hadiahkan kepada saya.

Masyaallah. Jazakumullahu Khairan Kathira.
Kisah yang ditulis oleh Puan Aina Dayana tentang kenangan indah beliau dan keluarga bersama buku.

Antara rasa hati yang timbul ketika membaca buku ini ialah:

1. Rasa kagum dan hebatnya kepada para bibliofil yang menulis dalam buku ini.



Secara umumnya, mereka menceritakan kisah sejarah mereka jatuh cinta dengan buku, perkembangan dan kemajuan yang mereka lalui dengan cinta kepada kepada bahan bacaan ini.

Mereka juga menceritakan apakah tajuk buku pertama yang menjadi cinta pertama mereka?

Apakah isi kandungan buku yang memberikan inspirasi dalam diri mereka?

2. Kagum dan cemburu kerana hampir kesemua bibliofil yang menulis dalam buku ini adalah penulis yang hebat dan pembaca yang hebat malahan berjawatan tinggi di alam kerjaya.

Mereka bukan sekadar memerapkan diri dalam bilik dan membaca buku sahaja, malahan amalan  membaca mereka membawa mereka lebih cemerlang meneroka dunia ini.

Malahan mereka juga adalah penulis hebat dan berjaya.

Membaca dan menulis berpisah tiada.



Membaca sahaja helaian ini, seperti biasa persoalan 'lemau' yang timbul di fikiran saya ialah:
"Kalau aku tulis buku, siapa yang nak beli dan baca buku aku? Aku bukan pun pandai promote barang dan bukan juga bintang media sosial yang punya jutaan pengikut yang boleh melariskan hasil karya mereka."

Walaupun sudah lebih 8 buah buku diterbitkan, namun itulah soalan yang sering berlegar-legar di fikiran.

Alhamdulillah buku-buku yang pernah kami terbitkan


3. Impian untuk menjadi maju seperti bibliofil dalam buku ini juga.

Kisah ini adalah antara kisah yang amat menarik bagi diri saya.

Betapa sukarnya hidup lalu membuatkan diri penulis berazam untuk benar-benar hidup dengan buku apabila dewasa.

Masyaallah, impian penulis kisah ini diperkenankan oleh Allah.
Banyak kisah menarik dan menyentuh hati tentang kisah kecintaan mereka dan semangat tinggi mereka dengan bahan bacaan.





Kami adik beradik juga dulu mempunyai kenangan suka membaca sambil menyuap nasi ke dalam mulut. Namun kegiatan ini diinsafi terus apabila salah seorang dari kami termakan ulat sayur tanpa disedarinya.

Maka menjerit-jeritlah bila lihat ulat sayur yang diluahkan semula.

Terus semua taubat nasuha dan tidak makan sambil membaca lagi hingga sekarang.


Membaca buku ini juga membuatkan kita teringat kembali kenangan kita bersama buku-buku yang disebut oleh penulis kisah-kisah di dalam buku ini seperti KUNTUM, Ujang, Gila-gila, komik-komik yang meriah di era 90an dan pelbagai majalah lain.

Sungguh ini adalah buku yang memberikan inspirasi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...