Thursday, March 14, 2019

Ahmad Zaid rindu nak pergi 'Sallallahu Wasallam Alaihi."

بسم الله الرحمن الرحيم

Sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, Ahmad Zaid banyak mengikut baba dan abang-abang ke masjid ketika solat terawih.

Dia sangat suka ulang alunan selawat di antara solat terawih.

Apabila habis Ramadhan, ada beberapa kali, Ahmad Zaid kata:
"Nak pi 'Sallallahu Wasallam Alaih.' "

Ahmad Zaid (2 tahun setengah) bersiap-siap nak pergi 'Sallallahu Wasallam Alaihi'.



Beberapa hari selepas itu, ketika baba bersiap untuk ke kuliah, Ahmad Zaid nak ikut. Sibuk dia ulang:
"Nak pi 'Sallallahu Wasallam Alaihi'." Dengan senyum-senyum dan seronoknya dia.

Terdetik dalam hati saya, MasyaAllah anak kecil baru 2 tahun setengah, rindukan alunan selawat ketika Bulan Ramadhan. Kita yang dewasa pun tak pernah terfikir untuk rindukan alunan selawat... Astagfirullah...

Semoga Allah merahmati kita semua.

Monday, March 11, 2019

Info buku: (Sheikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili Yang Kukenali) dan (Tips Hafazan Al-Quran)

بسم الله الرحمن الرحيم

Sejak kebelakangan ini, banyak buku yang selesai dibaca namun tidak sempat untuk tulis reviu tentangnya.

Gaya saya membaca buku ada dari muka ke muka untuk menghayati setiap ayat yang ditulis di dalam buku tersebut.

Saya juga tidak meletakkan target tahunan atau bulanan dalam aktiviti membaca buku.

Saya baca dalam keadaan tenang, cuba untuk menghadam isi buku tersebut.

Lain orang lain caranya.

Tidak mengapa.

Raikan perbezaan. Tiada masalah.

Buku kali ini amat dekat dengan hati kerana saya mengenali tokoh ini dan pernah mengikuti kuliah Talaqqinya ketika di Syria hampir 13 tahun yang lalu.

Seperti yang pernah ditulis dalam entri ini pada tahun 2009 yang lalu:
http://cinta-rasul.blogspot.com/2009/07/terkenang-musim-panas-di-syria-bahagian.html

Itulah Sheikh Wahbah Az-Zuhaili.


Terus terang saya katakan bahawa buku biografi dan ketokohan Islam adalah antara genre buku kegemaran saya.

Setiap kali saya membaca genre buku seperti ini, pasti saya akan mendoakan anak-anak menjadi seperti mereka.

Seperti yang tertulis dalam mukasurat di bawah ini:


Hadis ini sentiasa meniti di bibir Sheikh Bassam Ajek, Dekan Kuliah Dakwah Islamiyyah, Mujamma'Sheikh Sheikh Ahmad Kiftaro.

Pada helaian ini, saya sering bercerita kepada anak-anak:
"Ramai ulama yang hebat, mereka hebat sepanjang hayat mereka. Dari mereka kecil. Sebab tu kita kena cemerlang sepanjang hayat kita kalau kita nak jadi ulama yang hebat.

Abdullah pun jawab:
"Adik hebat, sebab adik selalu dapat nombor 1."



Amin ...

Semoga anak-anak kita cemerlang dunia dan akhirat. Amin.

Kunci kecemerlangan adalah dengan hubungan yang mantap dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.



Buku yang kedua ini adalah tentang tips hafazan Al-Quran.

Buku ini sangat bagus kerana mempamerkan banyak kaedah untuk menghafaz Al-Quran, doa-doa, cerita yang memberikan inspirasi dan pelbagai info yang menarik.


Buku ini pasti akan menambah semangat dan maklumat pembaca tentang hafazan Al-Quran.

Sebab yang baik untuk menghafaz Al-Quran.

Siapa dapat baca ayat Al-Quran ini?

Tulisan lama sebelum adakah kaedah titik dan baris dalam Bahasa Arab.


Inilah ayatnya:

Selamat membaca dan mendekatkan diri dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Friday, March 8, 2019

Berpura-pura atau sebarkan kebaikan?

بسم الله الرحمن الرحيم

Dewasa ini banyak info tentang depresi yang berlaku. Ia juga berlaku apabila manusia sering berkongsi tentang yang indah-indah sahaja di laman sosial, tapi hakikatnya dirinya kosong, kesunyian dan menderita.

Perkara ini membuatkan saya terfikir. Jadi, perlukah berkongsi masalah hidup di media sosial?

Bagi diri saya, saya sangat tidak suka melihat dan membaca perkara yang negatif. Ia boleh berjangkit.

Membaca status mood orang yang marah-marah atau sedih boleh mempengaruhi mood kita. Begitu juga sebaliknya.

Begitu juga masalah-masalah rumah tangga tidak perlu dikongsikan di laman sosial. Ia hanya akan membesarkan lagi masalah yang kecil.


Jika kita membaca cerita-cerita yang bahagia, kita turut rasa bahagia.

Saya cuba kongsikan perkara yang boleh memberi manfaat kepada orang lain, insyaAllah. Bukan kerana berpura-pura. Bukan juga kerana hidup saya tiada masalah dan stress. Sudah namanya kehidupan, pasti tak lari dari masalah, namun cubalah kita positifkan diri dengan bercakap tentang perkara yang baik-baik sahaja dan tidak hanya fokus pada masalah.

Nikmat anugerah Allah kepada kita insyaAllah lebih besar dari masalah yang kita alami.

Semoga Allah redha.

Amin

Tuesday, March 5, 2019

Hikmah dari kehidupan

بسم الله الرحمن الرحيم

Antara hikmah pelajaran yang saya dapat daripada proses perjalanan pembentangan di seminar SeIPTI bulan November tahun lalu ialah:

Betapa kita berhabis banyak usaha, wang, perah tenaga dan idea, penat lelah hanya untuk pembentangan selama 10 minit dan untuk mendapatkan sijil pengiktirafan bahawa kita pernah membentangkan seminar di sana.

Pembentangan 10 minit


Begitu juga segala ketakutan dan rasa gemuruh dihadapi untuk menghadapi pembentangan seminar selama 10 minit itu.

Saya kiaskan dengan kesudahan kita di akhirat nanti.





Segala penat lelah, susah payahnya kita di dunia ini adalah untuk kita berjaya di akhirat nanti, agar kita lulus di hadapan Allah kelak.

Allah. Moga syurga Firdaus milik kita semua tanpa dihisab. Amin ya Rabbal Alamin....

Di dalam seminar ini Allah telah makbulkan banyak doa dan permintaan saya.

1. Saya sangat takut untuk menghadapi soalan dari penonton, Allah perkenankan doa saya tiada soalan pun yang saya terima selepas pembentangan tersebut, sedangkan pembentang lain dikemukakan soalan.

2. Saya ingin merakamkan gambar ketika pembentangan. Yelah, bukan mudah nak masuk pembentangan seminar. Berhabisan banyak duit, usaha dan penat-lelah, namun, saya tiada kenalan yang boleh tangkap gambar saya. Namun Allah tetap perkenankan permintaan saya apabila abang ipar ( yang ada pembentangan selepas itu) masuk ke dalam dewan dan tangkap gambar tanpa dirancang.

3. Allah juga telah mempermudahkan segala urusan dan perjalanan kami pergi dan pulang dari SeIPTI seperti yang saya doakan.

Allah....

Ya Rabb. Betapa saya merasakan kasih sayang Allah yang memperkenankan doa hamba-Nya walaupun remeh temeh sahaja.

Moga Allah memperkenankan doa teragung kita yang sentiasa kita minta agar dapat masuk Syurga Firdaus bersama keluarga dan sanak-saudara tanpa dihisab.

Amin ya Rabbal Alamin.

Saturday, March 2, 2019

Menghadapi gemuruh dan takut.

بسم الله الرحمن الرحيم

Sungguh saya katakan, saya adalah seorang yang sangat gemuruh dan takut untuk memberi ucapan dan membentangkan program di khalayak ramai.

Saya fikir, rasa gemuruh ini juga adalah biasa bagi hampir semua orang.

Hinggakan dari kecil lagi, ketika menyertai musabaqah hafazan Al-Quran, rasa gemuruh amat menyelubungi diri.

Makin hampir kita dengan giliran kita untuk menyampaikan hafazan, makin gemuruh rasanya.

Hingga abah memberikan ubat homeopati bagi mengendurkan sedikit rasa gemuruh.

Begitulah juga saya lihat dalam diri rakan-rakan yang lain. Mereka juga ada rasa gemuruh.

Ada rakan yang cuba untuk mengurangkan rasa gemuruh dengan makan coklat.

Saya jadikan situasi ini juga sebagai pemujuk dalam diri saya.

"Orang lain pun sama juga gemuruh macam aku.'

Hingga dewasa pun masih ada rasa gemuruh itu, namun cuba untuk menyembunyikan ia dengan sebaiknya dengan berzikir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Begitulah juga yang saya lihat dalam diri anak-anak.

Mereka juga gemuruh ketika menyertai musabaqah apa sahaja.

Mereka turut menyuarakan perasaan mereka dan rasa tidak selesa dengan gemuruh yang mereka sedang hadapi.

Saya cuba ajar mereka untuk mengurangkan rasa gemuruh dengan memperbanyakkan selawat dan zikir. Moga-moga ia dan memberi ketenangan.

Kini, saya sedang dalam keadaan gemuruh untuk membentangkan kertas kerja dalam seminar di USIM, Universiti Sains Islam Malaysia beberapa jam lagi .

Doa saya semoga semuanya berjalan dengan lancar dan sebaiknya.

Terfikir saya bahawa rasa gemuruh ini sebentar saja, habis pembentangan nanti habislah gemuruh dan hadirlah rasa gembira dan bahagia.

Ya Allah, andaian saya agaknya begitulah betapa gemuruh dan takutnya rasa ketika kita ingin menerima kitab amalan kita di hari akhirat kelak, malahan lebih dahsyat lagi.

Betapa takutnya dan gemuruhnya diri ini.

Moga-moga kita dapat menerimanya dengan tangan kanan seterusnya melahirkan rasa bahagia yang abadi.

Amin Ya Rabb.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...