Banyak membaca Al-Quran menjadikan diri pembacanya terdidik tanpa dia sedari.
Imannya meningkat, hatinya lebih tenang, hidupnya lebih bahagia, rasa cukup dengan rezeki yang ada, kurang gurauan, kata-katanya yang lebih bernas, meninggalkan perkara yang sia-sia yang pernah dilakukannya.....kerana hati yang telah diterangi.
Alhamdulillah, sering berkongsi di status WhatsApp tentang usaha anak-anak mengulang hafazan Al-Quran di dalam kereta dan di mana-mana, dengan hasrat moga ia menjadi penguat semangat dan motivasi kepada orang lain untuk turut menghafaz Al-Quran.
Alhamdulillah respon dari mereka yang melihat status amat positif.
Malahan perkongsian di status WhatsApp juga sering mengingatkan kenangan perjalanan hafazan Al-Quran anak-anak sejak kecil dulu.
Alhamdulillah semuanya tercatat dalam blog ini. Sungguh bersyukur kerana telah mencatat perjalanan Al Quran anak-anak.
Insyaallah semoga ia menjadi kenangan indah untuk anak-anak dan juga inspirasi kepada masyarakat.
Soalan "anak² memang selalu ulang Al Quran dalam kereta ke?" membuatkan terkenang kembali 8 tahun sebelum ini, ketika Abdul Rahman darjah 1 di SRI Ihsaniah di Tikam Batu.
Perjalanan lebih 30km dari rumah di Kuala Ketil, memakan masa lebih 45 minit digunakan untuk mengulang hafazan.
Lepas solat Subuh, gelap-gelap lagi terus keluar rumah sambil tasmik hafazan dalam kereta.
Usaha berterusan hingga berjaya khatam hafazan. Moga Allah berkati.
Kini tanggungjawab untuk murajaah menjaga hafazan Al-Quran hingga ke akhir hayat, bersahabat baik dengan Al-Quran. Amin.
Catatan entri blog 8 tahun yang lalu. Merancang perjalanan hafazan Al-Quran anak-anak dengan sebaiknya. Kita berusaha, Allah jualah yang mempermudahkan segalanya.