Friday, November 21, 2008

SOLAT: PENENTU SYURGA ATAU NERAKA

MUKADDIMAH

بسم الله الرحمن الرحيم



Solat lima waktu adalah perkara kedua terpenting di dalam islam setelah syahadah. Ia yang memberi makna doa merupakan wasilah munajat seorang hamba dengan tuhannya. Solatlah yang menjadi kayu pengukur kepada kesetiaan seorang muslim itu terhadap agamanya. Muslim tanpa solat seperti jasad tanpa roh, kaku tidak memberi sebarang erti dan manfaat bagi yang masih hidup di sekelilingnya. Justeru, kita perlulah menjadi seorang muslim yang benar-benar menjaga solat dan meningkatkan kualiti solat tersebut dengan rasa khusyuk dan insaf agar kita tergolong di kalangan orang-orang yang disifatkan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud : “ Telah berjayalah orang-orang yang beriman, yang mana mereka itu sentiasa khusyuk di dalam sembahyang mereka” (An-Nur : 1 dan 2)


MAKNA SOLAT

Di segi bahasa solat bermakna doa.
Di segi istilah feqah pula solat ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang khusus yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.


HIKMAH DI SEBALIK PENSYARIATAN SOLAT

Solat lima waktu difardukan oleh Allah S.W.T. kepada baginda nabi S.A.W. pada peristiwa Isra` dan Mikraj. Kita dapat lihat betapa pentingnya solat ini sehinggakan nabi sendiri dijemput menghadap Alah S.W.T. untuk menerima kefarduannya. Ini berlainan dengan hukum-hukum dan kefarduan yang lain yang hanya diturunkan wahyu oleh Allah melalui perantaraan Jibril. Maka, sudah tentulah solat sangat penting bagi setiap muslim untuk menunaikannya dan pasti di sebaliknya ada hikmah-hikmah yang tersembunyi. Antaranya :

1- Solat itu adalah cahaya yang menyuluh orang yang mengerjakannya ke arah hidayah. Dengan hidayah tersebut dia akan terelak dari terjebak ke dalam kemungkaran dan maksiat.

2- Solat adalah wadah penghubung bagi seorang hamba itu dengan tuhannya. Di dalamnya seorang hamba itu dapat bermunajat, mengadu dan memohon segala hajat keperluannya agar dimakbulkan tuhan.

3- Solat mempunyai dua unsur iaitu zahir dan batin. Zahir solat adalah perbuatan-perbuatan luaran seperti takbir, rukuk dan seumpamanya yang kita ambil daripada nabi S.A.W. Batin solat pula ialah hati yang bekerja keras untuk menghasilkan khusyuk. Hati perlu bergerak seiring dengan anggota zahir untuk mendapatkan kesempurnaan solat seperti yang dituntut Allah.

4- Sembahyang adalah penghapus bagi segala dosa kecuali syirik.

5- Solat melatih kita untuk mematuhi segala arahan Allah. Bukan di dalam solat sahaja tetapi di luarnya juga.


HUKUM MENINGGALKAN SOLAT

Hukum meninggalkan solat terbahagi kepada dua :

1- Sekiranya orang yang meninggalkan solat itu mengatakan bahawa solat tidak wajib dan tidak difardukan maka jelas ia telah menjadi kafir dan hukumannya adalah bunuh.

2- Sekiranya seseorang itu meninggalkannya kerana malas atau tanpa sebab di samping menganggap solat itu wajib maka dia berdosa besar dan mesti bertaubat. Sekiranya dia berterusan meninggalkan solat dan tidak bertaubat setelah dinasihati maka dia juga menjadi kafir dan boleh dibunuh.

Hukum ini berdasarkan hadis nabi S.A.W:
عن جابر رضي اللّه عنه قال: قال رسول اللّه صلى الله عليه وسلم : "بين الرَّجُلِ وَبيَنْ الشِّرْكِ والكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاةِ " رواه مسلم وأحمد و أبوداود والترمذي وابن ماجه

Maksudnya : “ Yang memisahkan seseorang itu dengan syirik dan kufur adalah meninggalkan solat ”.



عن عبد اللّه بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه ذكر الصلاة يوما فقال: "من حافظ عليها كانت له نُورا وبُرْهانا ونجاة يوم القيامة، ومن لم يحافظ عليها لم تكن له نوراً ولا برهاناً ولا نجاة، وكان يومَ القِيامَةِ مع قَارونَ وفِرْعَونَ وَهَامَانَ وأُبىِّ بن خَلَفٍ " رواه أحمد والطبراني وابن حبان وإسناده جيد.

Maksudnya : Suatu hari nabi S.A.W. menyebut tentang solat, katanya “ Barangsiapa sentiasa menjaga solat maka solat itu menjadi cahaya dan bukti baginya dan sebagai penyelamat di hari kiamat kelak. Dan sesiapa yang tidak menjaganya maka tidak ada baginya cahaya,bukti dan penyelamat di sana, dan dia akan dibangkitkan di hari kiamat nanti bersama Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf “.


PENUTUP

Sebagai seorang muslim apatah lagi di usia muda remaja kita wajib menjaga solat dan bersungguh-sungguh ketika menunaikannya. Tidak bererti hidup seseorang tanpa solat walaupun dia memiliki segala-galanya kerana solat adalah perkara pertama sekali yang disoal oleh Allah di padang Mahsyar. Jika solatnya sempurna maka sempurnalah segala amalannya yang lain. Jika tidak maka binasalah dia kerana amalannya yang lain juga tidak sempurna.

Akhirnya, marilah kita jadikan solat sebagai urusan yang pertama sekali perlu diselesaikan sebelum kita melakukan urusan lain. Moga-moga Allah golongkan kita dikalangan hamba-hambanya yang soleh dan bertakwa.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم والحمد لله رب العالمين
{Kertas Kerja Bagi Program Bimbingan Solat, Anjuran Masjid Hijau Kg.Relau.}

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...