Wednesday, May 2, 2018

Memeram idea

بسم الله الرحمن الرحيم

Adakalanya idea di dalam otak akan melimpah ruah. Saat itu sering terfikir: "Kalaulah ada alat yang boleh menyalin semula semua idea banyak tak henti-henti mengalir di dalam minda."

"Alat itu ialah pen dan kertas." Komen adik beradik di dalam Facebook ketika dikongsikan dalam lingkungan famili.

Benar, tapi tak sempat. Ia sering hadir ketika bangun awal untuk masak dan mengemas rumah. Tak sempat pula nak pegang pen dan kertas ketika menyiapkan tugasan rumah.

Namun, satu pesanan suami yang sentiasa dipegang dan diamalkan sejak berbelas tahun yang lalu:
"Kalau ada idea untuk menulis, tulis sahaja dahulu walaupun tak ada siapa yang nak terbitkan. Peram sahaja dahulu. Insyaallah sampai masanya nanti, insyaAllah ia pasti akan diterbitkan juga."

Ya, insyaallah sampai satu masa, apabila  mutiara karya kita diperlukan dan  kita ketika itu terlalu sibuk dan tak cukup masa dan idea untuk menulis, insyaALLAH ada karya yang telah tersedia  diperam untuk diterbitkan. Jadi sementara ada masa dan idea, tulis dan simpan sahaja dahulu.

Dan ia benar-benar berlaku.

Beberapa kali kami ingin menerbitkan buku dalam tempoh masa yang singkat. Dalam serba kekalutan, Alhamdulillah ada bahan tulisan yang telah tersedia untuk diterbitkan. Alhamdulillah.

Seperti buku kecil yang bertajuk Pesan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Kepada Kita yang diterbitkan sempena majlis perasmian Maahad Al Iman pada September 2017.



Pernah ditulis dalam entri di sini:


Begitu juga apabila ingin menerbitkan buku siri Tuhan Memanggilku untuk Bulan Ramadhan 1439.

Alhamdulillah, bahan-bahannya telah tersedia untuk diterbitkan. Allah permudahkan segala urusan penerbitannya. Amin.


Entri tentang siri 1 buku ini pernah ditulis di sini:




Begitu juga kisahnya dengan penulisan dalam blog ini.

Saya cuba istiqamah dengan menerbitkan entri selang 3 hari dalam 10 tahun ini. Caranya ialah dengan menulis entri ketika ada masa dan idea kemudian setkan auto publish pada masa hadapan. Kerana kita tidak sentiasa ada idea dan masalah, jadi kenalah rebut peluang keemasan ketika ia hadir.

Idea dan perasaan ketika idea datang itu sangat mahal, jika ditangguhkan, perasaan itu mungkin tidak akan berulang kembali. Contohnya: kita dalam keadaan sedih dan mempunyai idea untuk menulis sesuatu tentang kesedihan itu. Jika tidak diambil peluang untuk menulis idea tersebut, feel dan idea itu sukar untuk hadir semula.

"Adik nak tolong taip untuk majalah maahad tak?"

"Nak." Jawab Abdullah suka hati.

Abang dan baba ke IJN memantau keadaan tok wan di sana, kami tidak dapat
turut serta kerana kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke ICU.
Jadi masa yang terluang di hotel digunakan dengan sebaiknya, Alhamdulillah.

Agak kekok untuk mencari huruf menaip, Abdullah menghiburkan hatinya
menaip dengan chopstick.

Dia buat dengan penuh semangat hingga selesai.
Begitu juga contohnya: jika kita dalam mood muhasabah diri dan timbullah pelbagai idea yang menginsafkan diri, jika tidak diambil peluang untuk menyalin apa yang terlintas di hati dan minda itu, sukar untuk mengulanginya semula. Menulis dengan penuh penghayatan.

Dahulu saya merasakan serba salah apabila sering dengan kerja menaip di laptop.

Rasa seperti tidak berkesudahan kerja-kerja menaip. Tesis, buku, blog, kerja-kerja sekolah....

Namun sekarang, saya fikir, biarlah masa di depan laptop itu digunakan untuk menyebarkan ilmu, memberi inspirasi dan manfaat kepada orang lain. Insyaallah ada ganjarannya di sisi Allah.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...