Saturday, March 24, 2018

Berkongsi cerita anak-anak?

بسم الله الرحمن الرحيم

Soalan 1:
Kenapa asyik tulis tentang cerita anak-anak sahaja dalam blog ini?

Jawapan:

Saya percaya bahawa banyak perkara yang boleh kita pelajari dari orang lain. Dari pengalaman dan hidup mereka.

Saya juga suka membaca buku-buku travelog dan kisah benar perjalanan hidup orang.

Hinggakan apabila saya membaca buku travelog seperti hasil karya Prof Kamil Ibrahim dan Puan Roza Roslan, terselit dalam hati impian untuk menulis buku travelog seperti mereka juga, moga-moga ramai yang mendapat manfaat daripadanya.

Begitu juga, jika saya seorang guru, saya tidak akan tahu kisah hidup seorang doktor contohnya, atau  seorang tukang sapu sampah atau lain-lain jika dia tidak bercerita kepada saya.

Setiap orang pasti ada jalan hidup yang pasti kita boleh ambil pengajaran daripadanya.

Kerana itu, saya suka berkongsi perjalanan hidup bersama anak-anak ini, moga-moga ia bermanfaat kepada orang ramai.

Begitu juga, apabila saya membaca buku, adakalanya terdetik rasa ragu-ragu terhadap kisah yang diceritakan itu jika tidak ada gambar sebagai bukti, kerana itu jugalah saya meletakkan gambar pada entri di dalam post blog ini.

Malahan, gambar-gambar ini mengembalikan memori indah kami semua, hatta ketika anak-anak membuka blog ini, mereka akan kenang kembali memori yang mereka lupa ketika mereka kecil.

Ia adalah detik berharga dalam keluarga kami.


Soalan 2:

Kenapa hanya tulis kisah tentang anak sendiri sahaja? Anak-anak orang lain pun ramai yang hebat-hebat.


Jawapan:

Teringat saya kata-kata Abdullah pada suatu hari:
"Semua orang ada kelebihan dan kekurangannya tau."

Ya Benar. Setiap orang ada ciri-ciri yang hebat.

Hatta pada anak-anak murid di sekolah juga, ramai mereka yang mempunyai ciri-ciri yang lebih hebat dari anak-anak saya.

Masing-masing kita mempunyai kelebihan agar kita saling tolong menolong dan menyempurnakan orang lain.

Tapi, saya tidak boleh menulis tentang orang lain-lain. Ada orang yang suka simpan sendiri dan tidak suka untuk berkongsi cerita kisah hidupnya kepada orang lain.

Baginya itu adalah hak peribadinya.

Hatta ada orang yang tidak suka jika kita kongsikan gambar anak mereka di laman maya.

Itu adalah hak mereka.

Kerana itu, sebagai langkah berjaga-jaga dari mengecilkan hati orang lain, jarang sekali saya kongsikan kisah orang lain dan gambar-gambar orang lain kecuali jika diizinkan.

Semoga catatan blog yang hampir 12 tahun ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat.

Amin..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...