بسم الله الرحمن الرحيم
Apabila seseorang itu sering bercerita tentang kisah-kisah lama, bermakna dia sudah termasuk dalam kategori orang tua...haha.. kerana orang muda dan kanak-kanak suka bercerita tentang masa hadapan dan cita-cita dan orang tua suka bercerita tentang memori-memori indah dan kenangan lama.
Begitulah diri ini yang sudah masuk ke era 30an, macam-macam kenangan lama sering berpusing-pusing di minda. Dari kenangan makan asam pedas yang sedap dengan roti canai di kedai yang berhampiran dengan Masjid Negeri Melaka hinggalah kenangan-kenangan zaman persekolahan bersama adik beradik, guru-guru, saudara-mara dan ramai lagi yang memeriahkan memori selama 30 tahun ini, Alhamdulillah.
Ketika kecil dahulu, mak selalu bercerita tentang zaman mak ketika kanak-kanak, zaman sekolah, zaman mak berjalan jauh untuk ke sekolah, dan macam-macam cerita. Kami bertanya macamana mak boleh ingat lagi kisah mak masa kecil? Mak kata: Ada beberapa peristiwa yang akan kita ingat selalu walaupun masanya makin jauh kita tinggalkan
Sekarang saya amat faham kata-kata dan perasaan mak yang menceritakan kisah-kisah lama dengan anak-anak. Tapi sayangnya album-album gambar zaman kanak-kanak sudah dimakan anai-anai. Kalau tidak, boleh berkongsi cerita dan kisah lalu dengan anak-anak lebih rancak lagi.
Teringat juga sebuah cerita yang diceritakan oleh Ustazah Mariatul Qibtiyah sewaktu di sekolah dahulu. Kisah seorang wanita yang menghafaz Al-Quran dan mencari masa untuk mengulang hafazan Al-Quran dalam seharian walaupun sibuk dengan pelbagai tugas.
Selagi hidup, selagi itulah kita tak lepas sebut perkataan 'sibuk', sehinggakan ia menjadi alasan yang paling kukuh untuk mengelak dari sebarang amanah dan tugasan... haha
Kembali ke kisah wanita tersebut, apa yang dia lakukan untuk mencuri masa untuk mengulang hafazannya ialah dia cuba untuk mengulang hafazannya pada setiap kerjanya. Ketika masak mengulang AL-Quran, ketika memotong bawang mengulang Al-Quran, ketika menyapu dan membersihkan rumah mengulang Al-Quran. Hasilnya hafazan Al-Qurannya menjadi kukuh di hati, InsyaALLAH.
Kisah yang diceritakan ustazah ketika saya bersekolah rendah ini walaupun tidak ingat siapakah wanita itu, walaupun saya tidak tahu sejauh mana kesahihan cerita itu, namun kisah ini amat menarik perhatian dan minat saya dari hari saya mendengar cerita itu dan sering menjadi motivasi kepada diri ini untuk sentiasa mengulang AL-Quran walau sesibuk manapun kita. Cubalah curi masa-masa kita memasak, mengemas rumah atau apa sahaja untuk mengulang hafazan.
Begitulah kuasa kata-kata, cerita dan nasihat.
Ada ketikanya ada nasihat, cerita, kata-kata dari orang samada ibu bapa kita, rakan, guru atau siapa sahaja yang menarik perhatian kita dan membuatkan kata-kata sentiasa melekat di hati dan minda sepanjang masa.
Begitu jugalah yang saya ceritakan kepada anak-anak. Dan Abang Abbudey sering membaca potongan ayat Al-Quran dalam sehariannya, selalunya hingga menjerit-jerit (anak ini memang bersuara kuat). Tak sampai hati nak suruh diam dari membaca Al-Quran dan tahu dia akan kata:
" Tak baik halang orang baca AL-Quran."
Jadinya cuma bagitau Abang Abbudey supaya membaca Al-Quran elok-elok, jangan menjerit-jerit.
Teringat juga ustaz di sekolah dulu yang mempunyai quran sebesar tapak tangan yang boleh sentiasa ada dalam poket atas baju dan diulang pada ruang-ruang masa.
ALLAH BERKATILAH HIDUP KITA SEMUA DENGAN AL-QURAN
No comments:
Post a Comment