بسم الله الرحمن الرحيم
Dari kecil saya amat berminat membaca dan menulis. Bila makin meningkat dewasa, saya minat membaca buku-buku bergenre travelog dan biografi. Bagi saya banyak ikhtibar dan pengajaran yang boleh diambil dari penulisan hidup orang lain. Antara buku travelog yang pernah dibaca ialah karya Prof. Kamil Ibrahim, Puan Roza Roslan, Ustaz Zaharuddin, Ustaz Hasrizal, Prof.Muhaya dan Dr.MAZA.
Setiap kali juga membaca travelog, rasa melonjak-lonjak untuk menulis tentang diri sendiri. Dan ia hadir bersama rasa rendah diri (macam bajet sangat nak tulis tentang diri sendiri) dan rasa masih belum mahir menguasai bidang penulisan. Jadi, ditinggalkan sahaja cita-cita tersebut walaupun telah 30 tahun berlalu.
Rasa 'bajet' itu dipadamkan dengan kata-kata dari suami bahawa ada sahaja ulamak-ulamak yang terdahulu yang menulis tentang diri sendiri seperti Ash-Sheikh Al-Imam Asy-Sya'rani yang menulis kitab Al-Minan Al-Kubra. Sepanjang-panjang kitab itu ditulisnya tentang segala nikmat yang ALLAH Subahahu wa taala telah kurniakan kepada beliau. MasyaALLAH.
Saya ambil kata-kata dan contoh Sheikh Asy-Sya'rani sebagai motivasi InsyaALLAH
Kitab Al-Minan Al-Kubra |
bab di dalam kitab tersebut. Semuanya tentang nikmat-nikmat ALLAH kurniakan kepada pengarang kitab |
Begitu juga kisah beberapa tahun yang lalu ketika dalam pelajaran Mustolah Hadis yang diajar oleh Anisah Maha Al-harbali. Satu hari beliau bertanya di dalam kuliah:
" Siapa di dalam kelas ini yang menghafaz 30 juz AL-Quran?"
Seperti biasa untuk tidak 'bajet', saya buat dengar tidak dengar sahaja soalan tersebut dan tidak pun mengangkat tangan ditambah dengan sifat orang melayu yang selalunya merendah diri sahaja. Dan seperti biasa juga rakan-rakan akan sebut nama penghafaz Al-Quran di dalam kelas itu.
Anisah bertanya:
"Kenapa kamu tidak angkat tangan? Takut riyak? Ah, zaman sekarang lebih perlukan orang yang menunjukkan amalan soleh dari orang menjaga riyaknya. Macammana orang yang pada zaman yang makin pupus nilai-nilai agama dan akhlak baik ingin mencontohi orang lain jika orang yang baik itu terlalu berlebih-lebih menjaga dirinya daripada 'riyak'? Biarlah orang lain mencontohi akhlak mulia kamu dan berdoalah kepada ALLAH agar kamu dipelihara dari riyak."
Kena sebijik.
Moga kita dapat memberi teladan baik kepada orang lain dan ALLAH jauhkan diri kita semua dari riyak yang membakar amalan ibarat api membakar kayu.
No comments:
Post a Comment