Tuesday, February 7, 2017

Kisah Pisang

بسم الله الرحمن الرحيم

***Kisah benar yang berlaku pada penghujung cuti sekolah tahun lepas.

"Nanti tebanglah pisang tu, dah ada yang masak sebiji tu." Pesan makcik jiran sebelah rumah.

Pokok pisang yang ditanam di luar rumah, tepi jalanraya telah berubah warna. Sebiji sahaja yang berwarna kuning.

Petang hari tersebut, tak sempat lagi pergi menebang pisang tersebut, makcik jiran sebelah rumah memanggil. 

"Ambillah pisang ni, makcik tebang dah. Lambat tebang takut nanti ada yang lain pula ambil pisang ini. Maklumlah pisang tepi jalan. Sedap pisang ni. Pisang Lemak Manis ni. Makcik ambil dah separuh, kamu ambillah yang ini, buat makan anak-anak"

MasyaALLAH.

Bersungguh-sungguh makcik ingin memberikan pisang. Tak sempat lagi kami memegang pisau menebang, makcik sendiri yang menebang dengan kederatnya yang lebih berusia dari kami.

Abdul Rahman mengambil  sebiji pisang yang sudah masak kuning itu.

Dikupas.

Dikongsi separuh dengan mama.

"Sedapnya. Ada lagi tak mama? Mama, yang hijau ni boleh makan tak?"

"Tak boleh. Takut kelat nanti."

"Lagi seminggu dua nanti masaklah pisang tu. Kalau nak cepat masak, letak dalam beras." Makcik memberikan petua. Makcik memang suka memberi petua dan bercerita tentang khasiat tanam-tanaman yang ada di laman rumahnya.

Daun-daun yang kami anggap semak samun semuanya ada khasiatnya menurut makcik.

"Dah mula sekolah nanti, baru abang boleh makan pisang ni."

Selang beberapa hari ada dua lagi pisang yang dah mula menguning.

Dikupas dan disua kepada anak-anak.

Berebut-rebut anak-anak nakkan pisang tersebut.

"Kenapalah tak ambil bawak balik pisang di masjid tadi kan banyak? Ini berebut-berebut pula pisang yang sikit ni." Tanya baba.


"Kenapa orang selalu sedekah pisang waktu sembahyang Jumaat ya?" Soalan yang bermain di minda.

MasyaALLAH memang sedap pisang tersebut. Kecil. Manis. Lemak. Tidak terlalu lembut. Ada sedikit kenyal-kenyal. Alhamdulillah sedap. ditambah sedap lagi apabila ianya sedikit dan ramai yang nak berebut-rebut pisang. 

Dalam situasi yang lain, pada hari lain, di tempat yang lain (Di sekolah), ketika sarapan pagi, sebelum masuk halaqah hafazan.

"Nah Ustazah, Pisang. Ustazah kan suka pisang." Ustazah Maizatul menghulurkan satu-satunya pisang yang ada padanya dari dalam begnya.

Seronok hati menerima pisang.

Bukan kerana pisang.

Tetapi kerana ada orang yang tahu dan ambil berat tentang kesukaan kita.

Alhamdulillah.

Itulah rezeki yang dikongsi bersama. Ibadah yang makin pupus dek kemodenan masakini.

Alhamdulillah hati yang teruja memberi dan ada hati yang teruja menerimanya.

InsyaALLAH hati-hati ini akan diberi ganjaran yang besar di akhirat sana.

Ganjaran ukhuwwah.

Ganjaran menggembirakan hati orang lain.

Ganjaran berkongsi rezeki.

Amin...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...