بسم الله الرحمن الرحيم
Sheikh membaca kitab hadis Al Adabul Mufrad yang beliau takhrij dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang. Kemudian selepas Maghrib ada pengajian umum bersama sheikh di Masjid tersebut juga |
Bila membaca iklan pengajian bersama Ulama besar Syria yang banyak takhrij hadis dan karang kitab ini, perasaan melonjak-lonjak untuk turut sama menyertai pengajiannya.
Ini adalah kali ke-2 anak-anak dapat bersama dengan Sheikh ini.
Pada penghujung tahun lepas Alhamdulillah anak-anak dapat bersama dengan Sheikh ini juga. Ada diceritakan di sini:
Ya Allah.. rindu sangat rasanya kepada suasana pengajian talaqqi di Syria.
Para Malaikat yang merendahkan sayap mereka menaungi majlis-majlis ilmu.
Majlis ilmu yang padat dengan ilmu dan info.
Tiada senda gurau dan hilaian ketawa.
Terasa tingginya martabat ilmu, diajar dan dituntut dengan adab-adab yang selayaknya.
10 tahun dahulu, ketika di Syria bersama-sama suami dan Abdul Rahman yang belum 1 tahun lagi, menaiki bas/ van, berjalan kaki menuju ke masjid ketika sebelum Maghrib untuk menadah kitab tafsir di jamik Kuwaiti bersama Sheikh Wahbah Zuhaili...
Allah...nyaman sangat!
Pernah diceritakan pada awal penulisan di blog tentang perkara ini di sini:
Sayu sekali rasa bila mengenangkan Sheikh Wahbah Zuhaili dan beberapa sheikh lagi yang pernah kami jejaki pengajian mereka di Syria dahulu telah meninggalkan kita.
Allahu.....
Dengan siapa lagilah kita boleh ambil ilmu dan duduk dalam majlis ilmu mereka?
Sangat beruntung peluang seperti ini jika dapat disertai banyak kali.
Pesan kepada anak-anak:
"Jika bukan kita yang menadah kitab, menuntut ilmu dari sheikh-sheikh seperti ini, siapa lagi yang akan pergi?"
"Ramai sheikh yang telah meninggal dunia, meninggalkan kita sejak akhir-akhir ini, inilah peluang yang kita kena rebut. Kita kena selalu dekat dengan majlis-majlis ilmu bersama sheikh-sheikh terkemuka seperti ini. Ilmu mereka banyak yang boleh kita manfaatkan."
Dengan itu, kami sekeluarga tekadkan hati untuk keluar seawal jam 4 pagi menuju ke Shah Alam dengan niat untuk menuntut ilmu.
Anak-anak pun kami bawa sekali.
Tapi hakikatnya, bukan kami sahaja yang bersungguh-sungguh musafir untuk menuntut ilmu bersama sheikh pada hari tersebut, terdapat rakan-rakan yang lain yang turut bermusafir malahan ada yang lebih jauh untuk menuntut ilmu pada hari tersebut.
Alhamdulillah kami sampai tepat-tepat sebelum majlis dimulakan.
Majlis yang berkat diadakan di dalam dewan Masjid Negeri Shah Alam |
Dua jam pertama bersama Abdullah, Alhamdulillah dapat fokus sepenuhnya.
Abdullah di sisi turut sama membariskan kitab Al-Adabul Mufrad. Setulus hati usahanya dipuji,
Abdullah turut mengikut dan meneliti bacaan hadis yang baca dan disyarahkan oleh sheikh.
Alhamdulillah dapat fokus dengan baik.
Sheikh menerangkan hadis-hadis tentang Bab Berbuat Baik Terhadap Ibu Bapa.
Baba membawa Ahmad Zaid keluar dewan dan menyaksikan dari skrin besar, Kurang sedikit fokusnya. |
Boleh disaksikan juga di luar dewan melalui skrin besar |
Pada waktu malam, selepas Maghrib pengajian umum diadakan di dalam masjid.
MasyaALLAH Ahmad Zaid sangat seronok berada di dalam masjid yang sangat luas.
Berguling-guling dia seperti kanak-kanak lain di belakang masjid, dapatlah kami fokus sedikit apabila anak-anak pun dalam keadaan selesa dengan keadaan masjid yang sangat luas.
Ia juga tidak mengganggu pengajian kerana sangat jauh dari hadirin.
Pada malam tersebut sheikh menerangkan tafsir Surah An-Nisa' ayat 36 dan adab pergaulan dan komunikasi dengan masyarakat terutamanya ibu bapa, jiran, anak yatim dan kaum kerabat.
۞ وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا (36)
"InsyaALLAH jika ada majlis ilmu seperti ini lagi, kita pergi lagi ya InsyaALLAH."
Alhamdulillah sangat seronok apabila anak-anak dapat faham apa yang diajar oleh sheikh dan mengulang cerita yang disampaikan oleh sheikh.
Sungguh ia pengalaman yang sangat mahal untuk dapat menuntut ilmu dari para ilmuwan yang terkemuka pada zaman ini.
Allah berikanlah kepada keluarga kami banyak lagi peluang untuk menuntut ilmu dan menyebarkannya.
Amin Ya Rabb.
No comments:
Post a Comment