Tuesday, September 27, 2016

Video Abdul Rahman ketika ujibakat Pendakwah Cilik 2016 (Siri 1)

بسم الله الرحمن الرحيم

Video kali ini adalah rakaman ketika Abdul Rahman mula menaiki pentas untuk ujibakat Pendakwah Cilik di Amanjaya Mall , Sungai Petani, Kedah pada bulan Ogos yang lalu.


Awal komen juri ialah:
"Manis senyuman kamu, Abdul Rahman."

Di dalam ujibakat ini, juri meminta Abdul Rahman membacakan Surah An-Naba'.


Alhamdulillah beliau berani membacanya dan dapat mengawal debar dalam dada.




Satu kejayaan yang patut dipuji kerana berani untuk memberi persembahan di khalayak ramai. Alhamdulillah.

Juri juga ada bertanya tentang berapa juz hafazannya dan 'menebuk' hafazan Abdul Rahman secara spontan.

InsyaALLAH video tersebut akan dikongsikan pada entri yang akan datang InsyaALLAH.



InsyaALLAH sambungan video ujibakat Pendakwah Cilik ini akan disambung pada entri yang akan datang..

InsyaALLAH.


Semoga usaha ini dapat menjadikan anak-anak ini penegak Agama ALLAH yang berani, bertaqwa  dan cintakan ALLAH di masa hadapan.

Aminnn

Saturday, September 24, 2016

Kanak-kanak sukakan aktiviti kecergasan dan lasak

بسم الله الرحمن الرحيم

- 29 Ogos 2016
- Isnin


Kanak-kanak lebih-lebih lagi kanak-kanak lelaki sangat sukakan aktiviti kecergasan dan lasak.

Keputusan untuk menyertai Kelas Taekwondo di tahfiz setiap hari Ahad juga adalah permintaan sendiri dari Abdullah dan Abdul Rahman.

Ibarat satu peluang keemasan  untuk direbut.

Tiada suruhan dari kami.


tetap tersenyum manis walaupun nak berlawan

Begitulah sifatnya anak lelaki.


Baik untuk mereka melakukan aktiviti lasak untuk mereka lebih tangkas, kuat, bertenaga dan berkeyakinan InsyaALLAH.

Dari wajah mereka, jelas terpancar riak wajah puas dan seronok ketika kelas taekwondo.



InsyaALLAH mereka menjadi pejuang Islam yang bertaqwa, bersemangat, berani dan cintakan ALLAH.

Aminn....

Friday, September 23, 2016

Rayuan Bantuan untuk pembangunan Maahad Al Iman

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum. Semoga Kepemurahan Allah sentiasa menemani kehidupan kita.

Maahad al Iman memerlukan sumbangan dana untuk kos menambun tanah di kawasan yg rendah yg memerlukan kos sebanyak rm50 ribu.

Semoga Allah membalas jasa baik dan keperihatinan tuan/puan dgn ganjaran yg sgt baik di sisiNya.

Syukran jaziilan







Tuesday, September 20, 2016

Pengalaman pertama menyertai Ujian Kenaikan Tali Pinggang Taaekwondo

بسم الله الرحمن الرحيم

-27 Ogos 2016
-Hari Sabtu


Paginya menyertai uji bakat Pendakwah Cilik, petangnya pula menyertai ujian kenaikan tali pinggang taekwondo. Begitulah seharian Abdul Rahman hari ini

Semoga hari-hari kita sentiasa sibuk dengan perkara yang memberi manfaat di dunia dan akhirat.

Ini adalah pengalaman pertama Abdul Rahman menyertai ujian seumpama ini.

Abdullah tidak dapat turut serta kerana masih belum sembuh dari demam campak, InsyaAllah akan ada peluang sebegini lagi dalam bulan September insyaALLAH.




Aktiviti seperti ini dan uji bakat syarahan bukanlah paksaan dari kami kepada anak-anak. Malahan ia adalah permintaan dari anak-anak itu sendiri kerana minat mereka dan juga kerana ingin bersama-sama dengan kawan-kawan ketika latihan taekwondo di sekolah setiap hari Ahad.

Bersama rakan tahfiz.

Semoga ada manfaatnya buat diri mereka.

Sunday, September 18, 2016

Butir berharga dari Sheikkh Kuraiyyim

بسم الله الرحمن الرحيم

Luangkanlah sedikit masa anda untuk menonton dan mengambil pengajaran dari mutiara pesanan Sheikh Kuraiyyim Rajih yang mengucapkan takziah atas pemergian TG Dr.Haron Din.

Hanya 2.23 saat sahaja!



Ya ALLAH. Moga kita juga memainkan peranan untuk membina Ganerasi Al-Quran dan pelapis ulamak...

Amin...

Saturday, September 17, 2016

Abdul Rahman di pentas Pendakwah Cilik 2016. Sungai Petani. Kedah

بسم الله الرحمن الرحيم

-27 Ogos 2016
-Hari Sabtu


Ia bermula apabila terlihat Mak Ndak like post tentang pendakwah cilik dalam Facebook dan kemudian bertanya kepada Mak Ndak tentang program tersebut.


Bila bercerita kepada Abdul Rahman, Abdul Rahman begitu suka dan berminat untuk menyertai uji bakat ini kerana sepupunya Fawwaz juga ingin turut serta.

Lebih-lebih lagi apabila Abang Abbudey tidak dapat menyertai ujibakat Little Huffaz pada awal tahun ini kerana lebih had umur, dan Abdullah sahaja yang dapat menyertainya. Jadi Abdul Rahman sangat ingin menyertai uji bakat kali ini. 


Apabila berbincang dengan baba, baba tidak setuju untuk anak-anak masuk dalam rancangan realiti TV jika ia bercorak bukan-bukan untuk menjaga diri anak-anak, dan itulah adalah persetujuan kami bersama dari dahulu lagi. Namun baba bersetuju untuk pergi tengok-tengok dahulu.

Kebetulan pula pada keesokkan harinya, kami sekeluarga agak sibuk dengan pelbagai kerja dari pagi. temuduga pelajar baru di sekolah, Taekwondo grading Abdul Rahman sebelah petangnya dan kuliah maghrib baba di Sungai Petani juga. Jadi akan berualng alik dari Kuala Ketil ke Sungai Petani 3x sepanjang hari itu.

Abdul Rahman ketika sesi ujibakat

Tetapi , apabila dalam perjalanan ke sekolah pada keesokkannya, pihak penganjur Pendakwah Cilik menelefon baba dan meminta untuk hadir berulang kali, dan wassap berulang kali juga minta untuk hadir. Entah dari mana mereka dapat nombor telefon baba pun tak tahu.

Jadinya setelah selesai temuduga pelajar baru di sekolah, kami ke Amanjaya Mall Sungai Petani untuk menyertai ujibakat Pendakwah Cilik ini.


Ia adalah untuk menambah keyakinan diri anak-anak apabila berada di khalayak ramai. Lebih-lebih lagi apabila anak-anak sendiri yang berminat untuk menyertainya.

Keyakinan dan bakat bercakap dan beraksi di depan khalayak adalah perkara yang mahal dan perlu dilatih selalu agar tidak kekok dan takut.

Alhamdulillah Abdul Rahman dapat mengawal rasa gementarnya di atas pentas,
Alhamdulillah...

Fawwaz (sepupu Abdul Rahman) di atas pentas
Abdullah tidak ingin menyertai kerana masih belum sembuh dari demam campak lagi.

InsyaALLAH usaha seperti ini dapat membentuk  diri anak-anak agar lebih berkeyakinan di hadapan orang ramai, lebih berani dan lebih bertaqwa pada masa hadapan insyaAllah.

Amin...


InsyaALLAH sedutan video persembahan Abdul Rahman dalan ujibakat Pendakwah Cilik ini telah disetkan auto publish di dalam blog ini pada 27/9/2016 dan 1/10/2016 InsyaALLAH...

Tuesday, September 13, 2016

Memori Hafazan Al-Quran Abdul Rahman 6 tahun lalu

بسم الله الرحمن الرحيم


Pada bulan lalu, memori di dalam Facebook memaparkan semula video hafazan AL-Quran Abdul Rahman pada usia 4 tahun.

Pada bulan Ogos 2010.

Abdul Rahman menghafaz Surah Asy-Syams.

MasyaALLAH.

Pantas benar masa berlalu.

Abdul Rahman kini sudah 10 tahun.

Kami juga sudah makin dewasa dan tua.

Hafazan Abdul Rahman sudah sampai Surah Yusuf hingga Surah AN-Nas.

Perjalanan menghafaz Al-Quran sejak dari bayi tidak kesudahan.

Perlu dihafaz, difahami, diamalkan, diajarkan dan berakhlak dengan akhlak AL-Quran.

MasyaALLAH.

Moga usaha gigih dan disiplin abang sulung ini akan dijejaki oleh adik-adik.

Usahalah kita untuk memuliakan Al-Quran agar kita dimuliakan AL-Quran diakhirat nanti.

Aminn...

Monday, September 12, 2016

Raikanlah ibadah kerana Allah

بسم الله الرحمن الرحيم




Alhamdulillah

Selamat hari Raya AidilAdha

Ya ALLAH.

Moga tahun depan ada rezeki kita pula menunaikan haji.

Amin Ya Rabb...

Betapa hati ini melonjak-lonjak inginkan menunaikan haji.

Rindu menanti panggilan Allah Subhanahu Wa Taala.

Moga dapat panggilan Allah dalam keadaan yang terbaik dan diredhoi Allah.

Alhamdulillah.

Kelmarin kami sekeluarga diizinkan Allah untuk sama-sama bangun bersahur untuk berpuasa pada Hari Arafah.

Ada yang hanya tahan separuh hari sahaja.

Tidak mengapa.

Ada usaha untuk berpuasa.

InsyaALLAH tahun depan dapat berpuasa penuh.

Abang Abbudey adalah antara yang berjaya berpuasa penuh sehari untuk Hari Arafah.

Alhamdulillah.

Moga anak-anak membesar dengan iman dan taqwa.

Dia juga gembira kerana kelmarin adalah harijadinya yang ke10 walaupun tidak ada apa sambutan yang kami lakukan.

Katanya dari beberapa minggu yang lepas:
"Hari Arafah sama dengan birthday abang tahun ni."



Selamat hari Raya AidilAdha.

Doakan bagi semua umat Islam.

Saturday, September 10, 2016

Hikmah di sebalik ujian kesihatan Abdullah

بسم الله الرحمن الرحيم

Pada bulan lepas Abdullah diuji dengan ujian demam campak sekam.

Ramai saudara-mara dan kanak-kanak lain yang dijangkiti demam campak seperti Abdullah juga pada ketika itu.

Ujian buat kami sekeluarga juga.

Ahmad Zaid yang ingin bermain dengan abang yang demam.
Ketika ini kami masih tidak tahu yang Abdullah kena demam campak,
kami ingatkan demam biasa-biasa sahaja

Abdullah demam panas pada hari Jumaat dan Sabtu.

Pada hari Ahad , masih demam, tapi apabila abang Abbudey pulang dari sekolah, kelihatan agak sihat dan boleh mengusik abangnya.

Tetapi pada waktu malam pula, sudah kelihatan bintik-bintik merah di badannya.

Mama dan baba saling berganti-ganti mengambil cuti untuk menjaga Abdullah di rumah.

Pada Hari Isnin Abdullah sudah mula sangat gatal.
Bintik-bintik mula naik di mukanya
Pada hari Selasa, apabila kami pulang dari sekolah, kelihatan bintik-bintik makin banyak.
Abdullah juga tidak lalu makan.
Mahu tidur sahaja.
Sangat kesian.

Begitu juga pada Hari Rabu, makin banyak bintik-bintik yang keluar di badan dan muka. Tetapi Alhamdulillah Abdullah tidak gatal seperti pada Hari Isnin

Keadaan Abdullah sangat lemah.
Asyik tidur sahaja, dia juga sering mengigau dan bercakap-cakap
dalam tidurnya.

Abdullah bertanya kepada baba:
"Esok adik baca Al-Quran dengan mama ke?"

Kedengaran juga dia membaca AL-Quran dalam tidurnya.

Hinggakan satu tahap mengingaunya,
Abdullah menurunkan dua frame gambar di dinding
sedang dalam tidurnya pada waktu tengahari Hari Rabu.


Kesian Abdullah....

Pada Hari Rabu juga Abdullah sudah agak berselera makan nasi dan minum air kelapa dengan banyak berbanding pada Hari Selasa, dia tidak lalu makan dan muntah akibat perut kosong.

Kami hidangkan kepada Abdullah nasi dan sup ayam.

"Kalau adik nak cepat sembuh, adik kena makan, barulah ada tenaga, kalau tidak, nanti adik muntah macam semalam." Nasihat untuk Abdullah

Abdullah juga diberi ubat homeopathy, bedak sejuk berubat, mandi dengan daun mambu dan daun-daun lain. 

Ikhtiar seiring dengan doa yang dipanjatkan.

Saya selalu bersembang dan bertanya kepada Ahmad Zaid (9 bulan):
"Adik doakan Abang Abdullah tak? Adik minta tak kat Allah bagi sembuhkan Abang Abdullah cepat? Kesian Abang Abdullah tak larat."


Kebanyakan masa Abdullah adalah tidur. 
Ada masanya dia akan jaga dan minta untuk menonton TV.
Saya akan pasangkan USB video kisah haiwan  dalam Al-Quran dalam bahasa Arab di TV (yang telah di download) sebagai sedikit hiburan untuk Abdullah.

Dia dapat faham Bahasa Arab dan mengetahui kisah haiwan-haiwan dalam AL-Quran.



Sepanjang tempoh sakit ini, Abdullah juga menunaikan solat Fardhu semampunya.
Jika tidak mampu solat berdiri, dia dibenarkan Solat dalam keadaan duduk.
Terserlah kasih sayang Allah yang meringankan beban hamba-hambaNya.


Semoga Abdullah cepat sembuh dan kembali ceria
Aminnn



Friday, September 9, 2016

Seruan agar terus maju. Semangat membara meneruskan perjuangan

بسم الله الرحمن الرحيم


Indahnya hidup yang Allah berikan apabila kita dikurniakan semangat yang membara untuk melakukan kebaikan dan mengajak masyarakat menyemarakkan bumi Allah dengan menuntut ilmu, mengingatiNya dan mengabdikan diri kepadaNya.


Marilah anak-anakku,
Sama-sama kita memanfaatkan nikmat kurniaan Allah yang banyak dengan sebaiknya.

Sama-sama kita belajar untuk mengusahakan nikmat anugerah Ilahi
ke jalan yang diredhaiNya.


Demikianlah seruan Allah Subahanahu Wa Taala agar kita sentiasa dan berterusan  merangka dan merencana perkara-perkara yang membawa faedah kepada diri sendiri dan juga masyarakat.

Masa yang ada tidak dibazirkan.

Setiap saat adalah amat berharga.

Setiap saat jadikanlah ia saat yang memberi pulangan kepada kita dunia dan akhirat.

(At-Tahrir Wat Tanweer : التحرير والتنوير )



Maka inilah projek terbaharu yang datang dengan izin Allah Subhanahu Wa Taala.





Projek untuk mendirikan pusat pendidikan ini adalah untuk menyemarakkan lagi usaha-usaha mendidik, membina ganerasi yang bertaqwa, berilmu, cintakan Allah, Cintakan Rasul dan memuliakan Al-Quran.







Di sinilah Allah lorongkan jalannya dan di sinilah InsyaALLAH akan dikerah idea, keringat dan usaha.


Jadikanlah tangan-tangan ini adalah tangan yang mengajak orang ke arah kebaikan.

Tangan yang memberi kesedaran kepada masyarakat.

Mengajak masyarakat untuk hidup dalam Islam.

Mendidik ganerasi hidup berpandukan Al-Quran dan Hadis.



InsyaALLAH, sepenuh hati berdoa agar Allah sentiasa memberi keberkatan, sentiasa redho, sentiasa memberi pertolongan, mengurniakan hati yang IKHLAS dan menjadikan ia ladang pahala kami..
Aminn


Semoga ALLAH menggerakkan hati-hati untuk sama-sama membantu.

KeredhoanMu adalah dambaan Kami.

Amin Ya Rabb




Setiap yang berlaku adalah ketentuan dari Allah.

Ada hikmahnya.

Di dunia atau di akhirat.

Setiap kesukaran pasti ada 'manisnya'.

KepadaMu kami bergantung harap.


Sunday, September 4, 2016

Mahalnya hikmah sebuah persahabatan

بسم الله الرحمن الرحيم



Daripada keluarga ini, saya belajar banyak perkara.

Erti merendah diri dan tawadhuk.

Sehebat manapun dirimu, sifat merendah diri, tidak sombong bongkak itulah yang membuatkan dirimu nampak hebat.


Kehebatan seseorang itu akan lebih terserlah apabila dia merendah diri, mesra dengan orang ramai dan mudah didekati.

Begitu jugalah sebaliknya, kehebatan seseorang itu terhakis apabila sombong, bongkak, takabbur menyelubungi diri.

Akhlak yang mulia itulah yang meninggikan diri seseorang di mata orang lain.

Daripada keluarga ini, saya belajar erti mengikat kuat tali hubungan dengan Allah Subahanahu Wa Taala dengan memohon dambaanNya ketika orang lain dalam lena, ketika subuh belum menjelma lagi.


Ziarah kami ke Padang Sera pada raya Aidilfitri yang lalu

Daripada keluarga ini saya belajar erti memuliakan tetamu, erti ukhuwwah, erti persahabatan, erti keikhlasan yang jelas terpancar dari reaksi, tingkah laku, bahasa badan dan gerak tubuh seseorang itu.

Erti membantu dan menggembirakan hati orang lain.


Daripada keluarga ini juga, saya belajar erti semangat dakwah, mengajak orang lain kepada kebaikan dengan pelbagai jalan.

Erti usaha gigih dalam berdakwah.

Erti dakwah tanpa jemu.

Dengan pelbagai cara.

Tidak lokek menyebarkan ilmu dan pengalaman.


Saya melihat mereka.

Saya belajar erti kegigihan untuk meneruskan hidup.

Berdikari untuk hidup mulia dan tidak meminta-minta kepada manusia yang lemah.

Sebaliknya meminta dari yang Maha Memberi, Maha Mendengar dan Memahami isi hati manusia.

Saya belajar erti kecekalan menjalani kehidupan sebagai khalifah di bumi Allah.

Saya belajar erti bersungguh-sungguh dalam jerih perit kepayahan menuntut ilmu kerana hasilnya amatlah manis.

Kunjungan kami ke rumah mereka 10 tahun yang lalu.
ketika Abang Abbudey baru berusia setahun


Daripada keluarga ini saya belajar erti pentingnya ilmu, amal soleh, memuliakan orang-orang yang berusia. Banyak pengalaman dan kebaikan yang boleh kita dapat daripada mereka. 

Saya belajar hikmahnya dan nikmatnya merantau walaupun zahirnya kelihatan pahit, seksa,sengsara, duka dan air mata.

Terlalu banyak ilmu yang boleh didapati dengan melihat budaya masyarakat di negara lain.


Lihatlah nilai-nilai positif yang boleh kita dapat dari orang lain.

Kutiplah hikmah dan pedoman dari pengalaman dan hidup orang lain.

Kita sama sekali tidak sempurna.

Kita pasti ada kekurangan.

Allah sahaja yang Maha Sempurna.

Kesempurnaan itu bukanlah sifat makhluk.

Itulah antara hikmahnya seruan agar kita saling kenal mengenali.

Agar kita saling menyempurnakan kekurangan yang ada.






Semoga keluarga ini sentiasa dalam kebaikan, keberkatan, rahmat, kasih sayang dan di bawah naungan dan peliharaan Allah.

Allah jadikanlah apa yang tidak diketahui orang dalam keluarga ini lebih indah lagi.

Keluarga Kak Ummu Hani binti Abu Hassan.

Ujian yang mendidik...Nikmat Allah yang dirindui.... Keberkatan Zulhijjah

بسم الله الرحمن الرحيم

- 3 September 2016
- 1 Zulhiujjah 1437
- Sabtu

Minggu ini tiada kedengaran alunan bacaan dan hafazan anak-anak Al-Quran.

Tiada suara anak-anak berebut-rebut ingin memperdengarkan hafazan Al-Quran.

Tiada tuntutan supaya menandatangani buku rekod hafazan mereka.

Tiada kedengaran peringatan agar anak-anak menyiapkan kerja sekolah.

Tiada kedengaran suara Abdullah dan Abdul Rahman berkelahi dan mengusik satu sama lain.

Semuanya berubah 100%


Yang ada hanya suara rengekan kecil Ahmad Zaid dan Abdul Rahman yang tidak selesa.

Pening.

Sakit Mata.

Gatal.

Sejuk.

Sakit Mulut.

Tak lalu makan.

Tak lalu minum.

Ahmad Zaid juga tidak mahu minum susu.

Sangat Kesian

Kadangkala pula suasana sunyi sepi.

Semua lena dalam keletihan di pagi hari

Penat berjaga semalaman lantaran anak kecil yang tidak sihat.

Baru 10 minit nak lena, tangisan Ahmad Zaid tinggi kedengaran.

Pujuk Ahmad Zaid supaya kembali tidur.

Dodoian beralun perlahan.

Ahmad Zaid terlena.

Sekali lagi minda memaksa-maksa untuk lena.

Terlena sebentar.

Tangisan Ahmad Zaid berulang lagi.

Adajuga Ahmad Zaid lena, tapi jeritan dari abang-abang kedengaran.

Mengigau.


senyuman manis yang hilang kerana ujian kesihatan

Jika Abdullah demam pada minggu lepas, hingga menggigil-gigil dia mengigau.

"Adik tak mau tidur, adik takut mimpi seram."

Hingga kemerahan matanya menahan dari tidur kerana takut mimpi.

Dipujuk dan dibacakan ayat-ayat Al-Quran.

Akhirnya terlena juga.

Tapi jeritan kedengaran berulangkali sepanjang malam.

Jika tidak, kedengaran pula bunyi batuk berpanjangan

Batuk Abdul Rahman kedengaran kering

Batuk Ahmad Zaid pula kedengaran berkahak.

Bunyinya penat

Kasihan sangat.

Budaya tidak tidur selepas subuh terpaksa dipecahkan kerana kepenatan yang amat sangat.

Kepala rasa bengang.

Penat

Pening

Dada rasa sesak.

Nafas pendek-pendek

Tangisan Ahmad Zaid kedengaran amat sengsara.

Sangat manja.

Kasihan sangat.

Ini baru sahaja ujian kecil dari Allah.

Tak terfikir rasanya bagaimana pula kanak-kanak yang menderita akibat peperangan di negara-negara Islam yang lain.

Sesak nafas mengenang mereka.

Sengsara kita sebentar sahaja.

Itupun rasa tidak tertanggung.

Hingga terjatuh air mata

Kepenatan

Sengsara mereka belum kesudahan.

Jauh lebih besar ujiannya.

Apa pilihan yang mereka ada?

Ke mana mereka boleh lari?


Allah berilah kedamaian kepada mereka

Bantulah mereka Ya ALLAH


Salam Zulhijjah

Bulan penuh barakah

Marilah banyak berdoa

Banyak beribadah

Banyak mengharap

Janganlah dipersiakan saat penuh barakah ini

Moga kita mati dalam husnul khotimah

Allah jadikanlah kita ganerasi yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Ganerasi yang mencintai Allah dan dicintai Allah

Aminn Ya rabb...



Ku syukuri nikmatMu Ya Rabb

Saturday, September 3, 2016

Senyuman anak-anak penyejuk hati

بسم الله الرحمن الرحيم

MasyaALLAH.

Besarnya nikmat ALLAH.

Betapa tenangnya hati kami apabila melihat senyuman anak-anak setelah penat bekerja seharian.




Itulah yang sering kami lafazkan.

Melihat senyuman anak-anak dalam perjalanan pulang dari sekolah adalah nikmat besar yang Allah kurniakan.

Alhamdulillah.




Senyuman inilah yang selalu merehatkan hati mama dan baba.


Semoga Allah memanjangkan kegemberiaan kita semua hingga ke syurga
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...