Sunday, February 26, 2017

Ziarah Sheikh di Cianjur, Indonesia

بسم الله الرحمن الرحيم

Ini adalah musafir kami kali ke-2 ke Universiti Imam Asy-Syafie, Cianjur , Indonesia untuk menziarahi Sheikh Mahir sekeluarga.


Ziarah kali pertama adalah pada 3 tahun lalu dan pernah ditulis DI SINI.


Musafir kami kali ini memang dengan tujuan utama untuk menziarahi sheikh.

Kami pun memang memasang niat dan azam untuk kami dan anak-anak membaca AL-Quran dan membetulkan tajwid bersama Sheikh dan anisah.

Anak-anak pun sangat rindu untuk bermain-main dengan rakan-rakan mereka (anak-anak sheikh) di kawasan kuarters pensyarah di universiti tersebut.



Ahmad Zaid pun tak ketinggalan keluar bermain juga di luar rumah

Cuaca di Cianjur sangat sejuk.

Hampir sepanjang tahun adalah hujan. Kalau sidai baju mungkin payah nak kering. Lebih-lebih lagi rumah mereka tiada kipas kerana sudah mencukupi dengan cuaca yang dingin.

Mereka rasakan seperti berada di syurga.
Dari pagi hingga Maghrib bermain di luar rumah, dalam kawasan universiti.

Berhenti untuk solat dan makan sahaja.

Seronoknya Ahmad Zaid dapat berjalan dan bermain-main di sini

Kawasannya InsyaALLAH selamat kerana berpagar dan orang luar tidak boleh masuk sesuka hati.

Rakan-rakan mereka yang dirindui

Walaupun mereka berbeza bangsa dan negara, namun mereka disatukan dengan Islam dan Bahasa Arab.

Kesemua anak-anak ini menggunakan Bahasa Arab untuk berkomunikasi sesama mereka.

Seronok mendengar mereka bercakap dalam Bahasa Arab

Di hadapan pejabat universiti




Saat lambaian meninggalkan kawasan penuh harmoni ini

InsyaALLAH kita akan bertemu lagi. 

InsyaALLAH ada rezeki, boleh datang lagi, membaca Al-Quran, membetulkan tajwid seperti ditulis DI SINI, dan bermain dengan rakan-rakan.

Amin...

Thursday, February 23, 2017

Jujurnya emosi kanak-kanak

بسم الله الرحمن الرحيم


Ya ALLAH.

Anak-anak kecil ini memang jujur perasaan mereka.

Tangisan mereka jujur.

Gelak tawa mereka juga jujur.

Semangat mereka jujur.

Tidak berpura-pura.

Masih saya teringat lagi betapa sedihnya anak-anak apabila berpisah dengan rakan-rakan mereka.

Suasana sedih menyelubungi perasaan

Hinggakan kami yang melihat pun terasa sebak hingga
menitiskan air mata
Begitu juga keadaan ketika dalam sesi pengajian hadis kitab Riyadus Solihin di rumah.
Pengajian kitab Riyadus Solihin bersama baba setiap malam

Alhamdulillah ketika penghujung bulan 2 yang lalu (ketika entri ini ditulis)
sudah sampai hadis ke28, bab Sabar.

Istiqamahlah hendaknya.

Ya Rabb


Pada suatu malam, dalam pengajian hadis di rumah ini, kami membaca hadis ini:

Hadis  yang menceritakan tentang betapa sakitnya Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ketika Sakaratul Maut

Maksud Hadis:

Dari Anas r.a. katanya: “Ketika Nabi s.a.w. sudah berat sakitnya, maka beliau pun diliputi oleh kedukaan (kerana menghadapi sakaratul maut), kemudian Fathimah radhiallahu ‘anha berkata: ”Aduhai kesukaran yang dihadapi ayahanda.” Beliau s.a.w. lalu bersabda: “Ayahmu tidak akan memperolehi kesukaran lagi sesudah hari ini.” Selanjutnya setelah beliau s.a.w. wafat, Fathimah berkata: “Aduhai ayahanda, beliau telah memenuhi panggilan Tuhannya. Aduhai ayahanda, syurga Firdaus adalah tempat kediamannya. Aduhai ayahanda, kepada Jibril kita sampaikan berita wafatnya.” Kemudian setelah beliau dikebumikan, Fathimah radhiallahuanha berkata pula: “Hai Anas, mengapa hatimu semua merasa tenang dengan menyebarkan tanah di atas makam Rasulullah s.a.w itu?” Maksudnya: Melihat betapa besar kecintaan para sahabat kepada beliau s.a.w. itu tentunya akan merasa tidak sampai hati mereka untuk menutupi makam Rasulullah s.a.w. dengan tanah. Mendengar ucapan Fathimah radhiallahu ‘anha ini, Anas r.a. diam belaka dan tentunya dalam hati ia berkata: “Hati memang tidak sampai berbuat demikian, tetapi sudah demikian itulah yang diperintahkan oleh beliau s.a.w. sendiri.”(HR. Bukhari)


Ketika baba menerangkan tentang hadis ini, Abdullah tidak tertahan rasa sedihnya, menekupkan muka ke buku dan menangis teresak-esak hinggakan kami yang melihatnya pun turut rasakan sebak.

Merah padam muka Abdullah menangis kesedihan mendengar huraian hadis ini.

Air mata bergenang di mata kami.

Pengajian malam itu tidak dapat diteruskan.

Abdullah terlalu sedih.

Hanya dapat baca 1 hadis sahaja.

Sebak di dada.

Begitu juga apabila bersemangat, kanak-kanak ini amat jujur pada semangat mereka.

Abdullah seringkali bertanya:
"Mama, bila mama nak transfer semua duit dalam Tabung Haji adik ke akaun Maahad Al Iman? Banyak kali dah adik suruh mama transfer semua duit dalam Tabung Haji adik. Adik nak bagi semua duit adik kat Maahad Al Iman."

Allah.....

Tidak cukup dengan duit yang keluarkan semua dari tabung peribadi mereka (pernah diceritakan dalam entri DI SINI) , semua duit simpanan dalam Tabung Haji pun ingin didermakan kepada Maahad Al Iman.

Anak-anak menyaksikan kesungguhan usaha dan kejujuran membangunkan Maahad
Al Iman hinggakan sampai ke hati mereka.

Allah...

Mereka mudah terkesan dengan suasana sekeliling mereka.

Moga mereka menjadi pemuda Islam yang jujur dan mulia di sisi Allah





Allah...

Begitulah betapa jujurnya emosi kanak-kanak ini.

Moga kita semua juga tergolong dalam kalangan orang yang jujur dan terkenal di sisi Allah sebagai orang yang jujur.

Amin Ya Rabb

Tuesday, February 21, 2017

Video: Membaca At Taawwuz dengan tajwid yang tepat


بسم الله الرحمن الرحيم

Video ini dirakam pada hujung bulan lalu. 

Ketika kami beberapa hari menziarahi sheikh sekeluarga di Cianjur, Indonesia.


InsyaALLAH cerita tentang ziarah ini akan diceritakan dalam entri-entri yang berikut. Nantikan ya, InsyaALLAH!

Alhamdulillah Abdul Rahman dan Abdullah sempat membaca Surah Al-Faatihah beberapa kali dengan Sheikh Mahir dan membetulkan tajwid dan makhraj huruf dengan lebih tepat.



Beginilah situasi semua pelajar apabila pertama kali membaca Surah Al-Faatihah untuk mengambil ijazah Al-Quran.

Satu-satu huruf yang disebut penuh dengan kesalahan dan perlu lebih teliti agar ia tepat sepertimana yang diturunkan kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

Doa saya sentiasa agar akan ada lagi peluang untuk kami dan anak-anak untuk membaca dan menghafal kesemua ayat AL-Quran  di hadapan para sheikh dan dapat membetulkan lebih banyak tajwid.

Amin Ya Rabb..

InsyaALLAH jika ada kesempatan yang lain, saya akan kongsikan sambungan video ini InsyaALLAH.

Nantikan ya?



NOTA: At Tawwuz ialah bacaan : أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

Sunday, February 19, 2017

Video: Sinopsis Buku Cerita Kanak-kanak Bahasa Arab

بسم الله الرحمن الرحيم


Video kali ini adalah tentang Abdullah yang berkongsi cerita apa yang dia fahami dari buku cerita Bahasa Arab yang telah dibacanya.

Entri tentang buku ccerita ini telah disiarkan di sini:

Perkongsian sinopsis tergendala apabila Ahmad Zaid datang ayunkan buaian dan buat bunyi-bunyi hingga Abdullah hilang fokus dan idea.

InsyaALLAh Ahmad Zaid akan dapat belajar banyak ilmu dari abang-abangnya.

Amin.

Thursday, February 16, 2017

Kisah Biji Saga

بسم الله الرحمن الرحيم

"Mama, kalau susah sangat, tak payahlah kita pi tengok pokok saga tu." Abang Abbudey tidak mahu menyusahkan orang lain.

"Takpelah. Mama nak tunjukkan kat abang juga pokok saga tu. Nanti abang tak kenal biji saga. Abang pernah ke tengok biji saga?"

Abang Abbudey menggeleng.

"Lagipun mama ada memori tentang biji saga masa mama kecik dulu."


Kereta yang dipandu baba mencari tempat yang sesuai untuk berhenti kerana pokok saga yang besar itu berderet ditepi jalan besar. Ada lopak-lopak air juga di situ. Berumput tebal dan juga berlubang-lubang tanahnya. Perlu berjalan dengan hati-hati. 

Gigih betul demi nak tunjukkan biji saga kepada anak.

Di ranting pokok saga, meriah sungguh biji saga kemerahan . Tapi, tidak tercapai tangan nak mengambilnya.

Kami mencari di balik-balik rumput yang tebal.


Dapatlah sedikit biji saga.

Berjaya!

Gigih sungguh nak tunjuk biji saga kepada anak-anak


Sejujurnya saya pertama kali nampak sarung biji saga itu dan pertama kali juga saya melihat pokok saga.

Sebelum ini tak pernah kenal pokok saga.

Hanya kenal biji saga yang kemerahan sahaja




Biji Saga.
Merahnya memikat.
Walaupun kecil, namun ada 'wataknya' dalam memori ketika zaman kanak-kanak.

Zaman kanak-kanak yang lama ditinggalkan


Teringat ketika kecil dulu, ketika tinggal di Ulu Kelang, pada waktu petang kami berjalan kaki untuk pergi mengaji, biasa terjumpa biji saga di atas tanah dalam perjalanan. Tidak banyak, hanya beberapa biji sahaja. Entah dari mana datangnya biji saga itu di tengah-tengah bandaraya ketika itu.

Namun warna merah biji saga yang berkilat untuk sangat membuatkan ia menarik dan cantik.


Warna merahnya sangat menarik dan menyerlah


"Baik-baik tau. Jangan bagi kat Ahmad Zaid dan sekali-kali jangan masukkan dalam mulut. Bahaya."


"Mama. Apa gunanya biji saga ni?"


"Untuk buat kereta Proton Saga." Jawapan selamba baba.

Tayar kereta terus berlalu bersama-sama masa yang berlalu.....

Agak emosional apabila berbicara tentang masa.

Moga ada memori indah kepada anak-anak

Monday, February 13, 2017

Mood Menulis & Karya yang berjaya

بسم الله الرحمن الرحيم

Bakat saya menulis tidaklah tinggi. Bahasa pun rasanya tidaklah indah-indah. Saya cuba untuk istiqamah dalam menulis walaupun sedikit-sedikit.

Saya sangat suka dan takjub dengan hasil karya penulis yang boleh menyentuh hati pembaca.

Walaupun tanpa gambar, tanpa suara, ia mampu menyentuh hati pembaca, membuat pembaca tertawa, atau menangis, atau insaf atau apa sahaja emosi mengikut hasil karya yang ditulis.

Bagi saya itulah hasil karya yang berjaya. Karya yang mampu mengubah pembaca, mengubah dunia!

Satu lagi yang saya perasan, apabila kita terfikir untuk menulis sesuatu, ada idea untuk menulis, tulislah segera. Ketika mood sedang naik untuk menulis. Apabila ditangguh-tangguh, hilang mood, hilang idea, tidak boleh nak mencurahkan perasaan dalam penulisan. Nak tulis pun tak ada mood.


Sebagai contoh ketika sedang mendapat mood yang ceria untuk menulis tentang sesuatu kisah yang gembira, teruslah menulis. Saat itu emosi dan idea sedang melimpah ruah. Bahasa yang indah-indah pun menderu-deru menyerbu dalam minda. Ketika itu penuh semangat dan emosi yang baik untuk mempengaruhi dan menambah rasa karya.


Begitu juga apabila mendapat idea dan mood untuk menulis tentang perkara yang menyedihkan, teruslah menulis. Ketika itu dengan hati yang pilu, duka, sedih dapat memberi gambaran yang baik dalam karya.


Idea yang biasa datang mencurah-curah  bisa membuatkan tidak tidur kerana begitu semangat memikirkan idea dan karya.

Begitulah pengalaman saya. Walaupun mata ingin pejam, tapi akal fikiran dihujani idea-idea yang mencurah-mencurah membuatkan tidak boleh lena.

Idea juga sering hadir tidak kira di mana sahaja termasuklah ketika dalam tandas dan bilik air. Di situlah selalu dapat idea yang banyak. Serius!

Idea yang datang itu tulis dan peramlah walaupun tiada yang ingin menerbitkannya. Tidak mustahil suatu hari nanti ia akan menjadi karya anda yang mahal dan memberi hasil yang lumayan kepada anda!

Itulah nasihat suami belasan tahun yang lalu.

Kata semangat dan dorongan yang saya pegang selalu.

Tulislah karya yang boleh memberatkan timbangan neraca kebaikan, bukan pemberat neraca kejahatan.

Semoga ALLAH redha.

Amin.

Saturday, February 11, 2017

"Baba ambiklah duit ni."

بسم الله الرحمن الرحيم

"Baba ambiklah duit ini untuk buat Maahad, kami sedekah untuk Maahad Al Iman. Ini duit dalam tabung kami." Sampul duit warna hijau dihulurkan oleh Abang Abbudey.

"Dalam ni ada RM85, duit dalam tabung kami."

Duit tabung Abdullah dan Abdul Rahman yang disedekahkan untuk Maahad Al Iman

"Jazakumullahu khairan kathira."

MasyaALLAH, Alhamdulillah, anak-anak kecil mudah terkesan dengan persekitaran sekeliling mereka.

Ia adalah wang simpanan mereka.

Ia adalah hasil dari keikhalasan lubuk hati mereka.

Abdul Rahman dan Abdullah sering mengikut baba ke masjid-masjid. Merekalah juga yang membantu untuk mengangkat barang ke dalam kereta, menyusun barang-barang dan bersama-sama.




Mereka biasa mendengar kata-kata memohon sumbangan untuk Pembinaan Maahad Al Iman. 

Mereka selalu melihat orang ramai menghulurkan sumbangan untuk Maahad Al Iman.

 Mereka sering melihat tangan yang ikhlas menyumbang untuk pembangunan ummah, InsyaALLAH.

Alhamdulillah ALLAH membuka hati orang yang dermawan dan budiman untuk sama-sama memberi bantuan kepada pembangunan Maahad Al Iman.

Pembinaan Maahad Al Iman sedang rancak berjalan sekarang.

Cadangan pembinaan Masjid Maahad Al Iman

Bangunan asrama kedua sedang dibangunkan


Video terkini pembangunan Maahad Al Iman.


"Adik rasa macam nak bagi lagi ja duit kat Maahad Al Iman." Abdullah suarakan rasa hati selepas Asar kelmarin.

Alhamdulillah. Biarlah merasa ada rasa seronok memberi dan rasa simpati dengan kekurangan pihak lain.


Saya pernah terbaca dalam buku Membina Keluarga Profazz (Oleh: Puan Siti Nadzrah Sheh Omar)   bahawa kepimpinan dan sifat bermasyarakat yang selalu dibincang bersama di dalam keluarga dapat membentuk sifat kepimpinan anak-anak di masa dewasa mereka kelak.





Buku ini amat menarik dan banyak mafaat yang boleh diambil
Itulah yang diharap-harapkan.

Amin,

Anak-anak lelaki biarlah dibiasakan dalam suasana berbakti kepada masyarakat agar mereka membesar dengan perasaan cintakan untuk memberi manfaat dan berbakti untuk Ummah. Untuk Islam!

Seperti yang dibaca dalam buku  Hikayat Budak PhD (Oleh Dr.Syahr Musafir) bahawa apa yang kita lakukan itu, biarlah dilakukan dengan cemerlang dan terbaik dan lakukanlah untuk ummat Islam, bukan hanya terbatas untuk diri sendiri.

Kisah benar. Bukan cerita novel



Buktikanlah bahawa orang Islam itu adalah orang yang cemerlang dan berjaya. Bukan orang biasa-biasa sahaja.

Niatkanlah apa yang kita lakukan adalah UMMAH dan tidak terhad untuk diri sendiri.

Semoga ia menjadi pemberat neraca amal soleh kita di akhirat nanti.




Tuesday, February 7, 2017

Kisah Pisang

بسم الله الرحمن الرحيم

***Kisah benar yang berlaku pada penghujung cuti sekolah tahun lepas.

"Nanti tebanglah pisang tu, dah ada yang masak sebiji tu." Pesan makcik jiran sebelah rumah.

Pokok pisang yang ditanam di luar rumah, tepi jalanraya telah berubah warna. Sebiji sahaja yang berwarna kuning.

Petang hari tersebut, tak sempat lagi pergi menebang pisang tersebut, makcik jiran sebelah rumah memanggil. 

"Ambillah pisang ni, makcik tebang dah. Lambat tebang takut nanti ada yang lain pula ambil pisang ini. Maklumlah pisang tepi jalan. Sedap pisang ni. Pisang Lemak Manis ni. Makcik ambil dah separuh, kamu ambillah yang ini, buat makan anak-anak"

MasyaALLAH.

Bersungguh-sungguh makcik ingin memberikan pisang. Tak sempat lagi kami memegang pisau menebang, makcik sendiri yang menebang dengan kederatnya yang lebih berusia dari kami.

Abdul Rahman mengambil  sebiji pisang yang sudah masak kuning itu.

Dikupas.

Dikongsi separuh dengan mama.

"Sedapnya. Ada lagi tak mama? Mama, yang hijau ni boleh makan tak?"

"Tak boleh. Takut kelat nanti."

"Lagi seminggu dua nanti masaklah pisang tu. Kalau nak cepat masak, letak dalam beras." Makcik memberikan petua. Makcik memang suka memberi petua dan bercerita tentang khasiat tanam-tanaman yang ada di laman rumahnya.

Daun-daun yang kami anggap semak samun semuanya ada khasiatnya menurut makcik.

"Dah mula sekolah nanti, baru abang boleh makan pisang ni."

Selang beberapa hari ada dua lagi pisang yang dah mula menguning.

Dikupas dan disua kepada anak-anak.

Berebut-rebut anak-anak nakkan pisang tersebut.

"Kenapalah tak ambil bawak balik pisang di masjid tadi kan banyak? Ini berebut-berebut pula pisang yang sikit ni." Tanya baba.


"Kenapa orang selalu sedekah pisang waktu sembahyang Jumaat ya?" Soalan yang bermain di minda.

MasyaALLAH memang sedap pisang tersebut. Kecil. Manis. Lemak. Tidak terlalu lembut. Ada sedikit kenyal-kenyal. Alhamdulillah sedap. ditambah sedap lagi apabila ianya sedikit dan ramai yang nak berebut-rebut pisang. 

Dalam situasi yang lain, pada hari lain, di tempat yang lain (Di sekolah), ketika sarapan pagi, sebelum masuk halaqah hafazan.

"Nah Ustazah, Pisang. Ustazah kan suka pisang." Ustazah Maizatul menghulurkan satu-satunya pisang yang ada padanya dari dalam begnya.

Seronok hati menerima pisang.

Bukan kerana pisang.

Tetapi kerana ada orang yang tahu dan ambil berat tentang kesukaan kita.

Alhamdulillah.

Itulah rezeki yang dikongsi bersama. Ibadah yang makin pupus dek kemodenan masakini.

Alhamdulillah hati yang teruja memberi dan ada hati yang teruja menerimanya.

InsyaALLAH hati-hati ini akan diberi ganjaran yang besar di akhirat sana.

Ganjaran ukhuwwah.

Ganjaran menggembirakan hati orang lain.

Ganjaran berkongsi rezeki.

Amin...

Friday, February 3, 2017

Impian menerbitkan buku ini

بسم الله الرحمن الرحيم


Saya selalu terbaca bahawa penulis-penulis buku biasanya mempunyai banyak simpanan tulisan-tulisan mereka yang lama-lama yang belum diterbitkan.

Biasanya juga akan sampai satu masa, InsyaALLAH ada rezeki, tulisan tersebut akan diterbitkan juga.

Ini juga berlaku kepada diri saya apabila terbitnya buku Aku Mahu Anakku Super AL-Quran.
Hakikatnya saya mula menulis dan membuat draf buku ini hampir 10 tahun yang lalu.!!!

Alhamdulillah ia telah diterbitkan walaupun selepas 10 tahun.

MasyaALLAH, perjalanan penerbitan yang jauh.

Sentiasa teringat-ingat pesanan suami 10 tahun lalu:
"Tulis ja apa yang kita nak tulis dan simpan dahulu, InsyaALLAH ada rezeki, satu hari nanti pasti akan diterbitkan menjadi buku."

Buku ini boleh dibeli secara online di sini:
http://galeriilmu.com/v4/index.php?route=product/product&product_id=732&search=super

atau boleh Whatsapp penulis di talian ini:

0134202206 (Ustaz Amri)

Setelah terbitnya buku ini yang lebih kepada cerita tentang pengalaman peribadi, saya mula merasa ketagih untuk terus menulis tentang pengalaman peribadi dan amat mengimpikan sangat agar buku kedua ini dapat diterbitkan dalam tahun 2017 ini.

Doa setulus hati agar Allah permudahkan urusan penerbitan buku tentang pengalaman kami sekeluarga ini yang kedua ini.



Tajuk awal yang melekat dalam hati sanubari


Buku-buku yang lain yang kami terbitkan setiap tahun adalah buku-buku islamik,
sarat dengan ilmu dan hukum hakam yang dimanfaatkan di dalam kuliah-kuliah agama di Masjid.
Alhamdulillah ada faedahnya.

Namun proses penulisan tentang hukum-hakam (buku-buku fakta) amat berbeza aromanya
berbanding dengan proses penulisan tentang pengalaman peribadi.

Setiap masing-masing ada nikmatnya dan manfaatnya yang tersendiri.
Begitulah cita-cita kebanyakan penulis yang dapat saya lihat. Sentiasa mengimpikan dapat menerbitkan lebih banyak buku.


Permudahkanlah penerbitan buku ini dan jadikanlah ia bahan yang amat bermanfaat untuk masyarakat, pemberat neraca amalan kami. Amin Ya Rabb...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...