Tuesday, March 28, 2023

Bahayanya lintasan hati

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 11/6/2021


Bersendirian, berdiam adakalanya lebih selamat.



Selamat dari lintasan hati yang macam-macam. Mengambil tahu urusan orang yang tak sepatutnya.


 Bentangkanlah hati dari prasangka.


(( Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.)) -Surah Al-Hujurat, Ayah 12

Monday, March 27, 2023

Mak-mak terawih di rumah atau masjid?

بسم الله الرحمن الرحيم


 🧕🏻: Ahmad, balik sekolah terus buat hafazan. Malam satgi mama nak pi solat terawih kat masjid. Terawih kat masjid ramai-ramai, baru tak rasa penat.


Bila malam, Ahmad tak habis lagi ulang hafazan. Petang dok kayuh 🚲 ,main ⚽, 😴.



Kena tunggu Ahmad hafal untuk tasmik dengan mama. Nampaknya hari sekolah kena terawih di rumah jelah.


Moga pahala fokus kita mendidik anak-anak di rumah juga seperti pahala ibadah orang-orang di masjid.


Moga kita semua dapat atur dan dahulukan KEUTAMAAN.

Sunday, March 26, 2023

Pesta?!

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 11/6/2021


 🧕🏻: Ahmad, mai sarapan.



👦🏻: Ahmad tak mau makan pesta.


🧕🏻: Pasta laaa.. bukan pesta😅

Friday, March 24, 2023

Ucapan doa.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/6/2021


Realiti masyarakat Arab yang terkenal dan kaya dengan ucapan doa. Siapa yang hidup dalam kalangan mereka pasti setuju.


Termasuklah juga dalam Whatsapp. Perbualan pasti diakhiri dengan doa seperti:

Allah membalasmu dengan kebaikan. 




Allah memberkati kamu. 


Allah menyinari harimu dengan kebaikan dan keberkatan. 


Allah memuliakanmu dan orang tuamu dengan syurga. 


Moga kamu sentiasa dalam peliharaan Allah.


Sejuk hati membacanya🥰🥰🥰

Wednesday, March 22, 2023

Setiap hari: Tambah ilmu, muhasabah diri.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 7/6/2021


Dalam merealisasikan tujuan yang satu ini, cara yang mudah yang sudah lama saya amalkan ialah:


1. Download video kuliah. Download awal-awal untuk elakkan line internet putus masa tengah dengar kuliah.



2. Pasang ear phone (untuk lebih fokus), sambil buat kerja rumah pagi-pagi, sambil tambah ilmu.


Bukan untuk menambah ilmu saja, malahan:

- meningkatkan motivasi

- tambah plan kehidupan

- muhasabah diri

- tambah kualiti diri dan keluarga.


Bak kata seorang teman, mood kita time lockdown ni macam roller coaster, tiba-tiba je boleh mood swing, jadi banyakkanlah pengisian hati untuk keharmonian setiap hari.

Monday, March 20, 2023

DAHSYATNYA UJIAN, HEBATNYA NIKMAT?

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 7/6/2021


Dalam meniti kehidupan, kita melihat perjalanan hidup bagai menonton drama. Ada suka duka, tawa tangis.


Apabila melihat orang yang diuji hebat, pasti terdetik dalam hati: "Ada nikmat yang besar yang Allah nak bagi kat dia tu."



Begitulah. Pada kejayaan orang, kita tak tahu jerit payah yang dia lalui.


Dan pada kepayahan orang, kita tak tahu apa KEHEBATAN yang bakal diterimanya, di dunia dan di akhirat.


((Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.)) -Surah Al-Sharh, Ayah 5-6

Saturday, March 18, 2023

Doa minta dijauhkan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 7/6/2021


Jauh dalam lubuk hati, antara perkara yang sering doa minta dijauhkan:


1. Kecelakaan yang menimpa anak-anak akibat kecuaian kita.


2. Sikap buruk anak-anak hasil kesalahan dan kejahilan kita.



Cukupkah usaha kita terhadap Al Quran?


Kepada Allah jualah kita memohon dan berserah.

Thursday, March 16, 2023

Nostalgia Al Quran dan radio

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 5/6/2021


 Yang lahir zaman 80an - 90an mesti ingat cara tekan butang play dan record untuk rakam suara dalam kaset.





Itulah yang mak lakukan untuk ajar kami hafal Al Quran pada zaman 90an dulu. Kami adik beradik sekolah tahfiz berulang (Sekolah Rendah), tiada asrama.


Bila kami balik sekolah, mak akan rakam suara mak baca ayat yang perlu kami hafal hari itu dalam kaset, lepas tu kami akan ulang mainkan rakaman suara sampai hafal. 


Zaman 90an, kemudahan audio Al Quran bukanlah mudah didapati seperti sekarang.


Begitulah detik awal kami belajar menghafaz Al-Quran sebelum mahir menghafaznya sendiri.


Jasa ibu ayah tetap dikenang, moga balasan berganda untuk mereka setiap kali kita mengulang hafazan Al-Quran.

Tuesday, March 14, 2023

MUHASABAH: Mendepani kesalahan anak.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 5/6/2021


Walaupun perit, ia harus ditelan. Perlu taubat, ubah diri. Makin anak meningkat remaja, makin mereka terdedah kepada cabaran dan fitnah semasa.


Mereka bukan malaikat. Kita juga ada kesalahan. Kita juga pernah remaja.



Moga Al Quran yang mereka ulang-ulang baca setiap hari itulah yang menjadi benteng mereka dari fitnah dan maksiat.


Kerana kita tak mampu untuk mengawal mereka sentiasa, banyak kekurangan dalam kita mendidik anak-anak, kepada Allah jualah tempat kita bergantung harap.


*Nota doa: Doa ini juga dibaca oleh Nabi SAW selepas takbiratul ihram, HR Bukhari Muslim.

Sunday, March 12, 2023

Makanan yang sedap itu ialah:

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 5/6/2021


🧕🏻: Makan tu ingat kat orang lain sama, jangan habiskan krimpuff tu.


👦🏻: Mama belilah banyak sikit. Mama asyik beli 10 biji je, tak cukup.


🧕🏻: Prinsip mama, makanan yang sedap tu, kalau sikit bertambah-tambah sedapnya. Lagi-lagi kalau kena berebut, lagilah sedap sangat tu.😆😆 Kalau banyak sangat, tak habis pula. Mama masa kecik dulu, biji mangga yang ada isi sikit-sikit tu cukup sedap, sebab sikit dan kena berebut dengan adik beradik 7 orang..



Krimpuff kastard kegemaran kami sekeluarga, banyak kali repeat order. Waris pelajar Maahad jual. Selalu order untuk majlis-majlis di Maahad. 


Terima kasih banyak Kak Shakirah ( +60 13-392 0822 ) selalu tolong kami. Semoga sentiasa dimurahkan rezeki.🤲🏻

Friday, March 10, 2023

Banyakkanlah bersabar dalam tempoh peralihan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 3/3/2021


Tahun 2021 adalah tahun peralihan untuk Abdullah (Tingkatan 1) dan Ahmad (Darjah 1), dua bulan pertama agak sukar bagi mereka.


🧑🏻‍💼 : Adik kena murajaah Al Quran 3 juzuk sehari, kerja sekolah banyak, adik tak sempat ulang hafazan. (kena tulis guna pen pun jadi isu, dah biasa guna pensil saja di sekolah rendah. Beberapa kali ustaz bagitau dia menangis dlm Halaqah)


👦🏻: Awat kena tulis banyak sangat? Ahmad tak pandai tulis.



*Apa yang boleh kami katakan:


1. Sabarlah, menuntut ilmu kena BANYAK sabar.

2. Takkan selamanya kita dok sekolah rendah saja. Walau dah selesa, mesra, tetap perlu berubah. Semua orang alaminya.


3. Cuba untuk bahagikan masa.


4. Begitulah seterusnya hidup kita. Dulu saya tahun 1 di Universiti amat payah. Siswa sgt ramai, pensyarah cakap bahasa Arab pasar, TAK FAHAM. Subjek banyak, penat..tapi semua itu perlu dilalui tanpa putus asa.


Alhamdulilah sekarang semuanya ok, awal-awal ja, tara nak serasi.

Wednesday, March 8, 2023

Kisah di sebalik bunga matahari.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 3/3/2021


Sebenarnya dah lama teringin nak tanam pokok bunga matahari. Tengok dalam gambar nampak cantik sangat.


Pernah beli benih 2 pek, tapi semua mati sebelum sempat membesar😅. Siram salah, tak siram pun salah. Memang tak ada kemahiran bercucuk tanam.


Kebetulan beberapa bulan lepas, suami terserempak dengan anak murid yang pernah belajar di Tahfiz Mutmainnah dulu, Amsyar Mohd Kamal. Kebetulan beliau menjual pokok bunga matahari. Diberinya 2 batang pokok.



Alhamdulillah tercapailah hasrat nak tanam🌻🌻.

Monday, March 6, 2023

Perjuangan Abdullah menjaga hafazan Al-Quran

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 3/3/2021


Pagi tadi sebelum Abdullah tasmik Al Quran, dia cerita:


👦🏻: Mama, Sheikh Mahmud selalu kata bila adik tasmik dengan Sheikh:

القرآن في قلبي، وقلبي عند ربي


Al-Quran itu di dalam hatiku, dan hatiku ada di sisi Tuhanku.


Abdullah yang dulu menangis bila sheikh suruh murajaah banyak sehari (sehingga 30/40 mukasurat sehari).




Tapi mama dan baba kata:

"Begitulah nak jaga hafazan, memang kena banyak murajaah banyak."


(Nak aje mama tambah: mama dulu pun macam tu jugak kat sekolah, kena ulang banyak😅, tapi satgi lagi kuat menangis lagi pulak).


Alhamdulillah sekarang menjadi kebiasaan untuk murajaah dengan jumlah begitu.


Hafaz Al-Quran perlu perjuangan yang besar. Perjuangan untuk menjaga hafazan.

Saturday, March 4, 2023

Surprise dibalas surprise

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 28/5/2021


Ada kisah di sebalik kek yang cantik ini.




Saya tempah kek puding strawberi ini sebagai tanda penghargaan kepada klinik haiwan Itqan Vet yang sering merawat kucing-kucing kami.

Saya order dengan Kak Syakirah. Memang selalu order kek, krim puff dan hidangan lain. Sedap Kak Syakirah buat kek.

Tapi Masya Allah, petang itu Kak
 Syakirah kata ada kiriman dari Cikgu Azwin.

Waris kepada pelajar Maahad yang juga mengaji Al-Quran dengan saya.


Cikgu Azwin kirimkan selepas saya bertanyakan tentang kek harijadi beliau pada hari sebelumnya.

Kek harijadi yang cantik





Tengok-tengok Cikgu Azwin tempatkan kek tersebut untuk saya.

Allah segannya...

Selalu jadi begitu. Bila kita tanya kepada orang, orang order hadiahkan untuk kita. Sehingga malu untuk bertanya, sebab nanti takut orang hadiahkan.😅

Tapi Cotton Cheese Cake tersebut memang sangat sedap.

Gebu elok. Dan berapa manis. 
Rasanya buat kita teringat-ingat.😋😋😍😍😍

Alhamdulillah semoga semua amal jariah kita diterima Allah.


Itqan Vet yang selalu memberikan servis yang terbaik.



Thursday, March 2, 2023

Teka silangkata Bahasa Arab

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 28/5/2021


Oleh kerana PKP 3.0, adalah masa untuk main game teka silangkata Bahasa Arab.




Alhamdulillah juga dapat mengeratkan hubungan antara keluarga.

Anak-anak pun dapat belajar Bahasa Arab secara tidak langsung.

Tuesday, February 28, 2023

Teruji dengan nasihat sendiri

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 28/5/2021


Pernah rasa teruji dengan apa yang kita nasihatkan/kongsikan kepada orang lain?


Contohnya macam situasi inilah: Baru nasihatkan kawan suruh berjimat cermat, esoknya kita yang terasa nak berbelanja😅.  



Kerana itulah pentingnya:


1. Kita buat apa yang kita kata. Bila jadi guru/ibu bapa lagilah selalu nasihatkan anak-.


Takkan kita nasihatkan anak/murid ulang hafazan berpuluh-puluh mukasurat, sedangkan kita tak buat pun?☹️


2. Ikhlas dengan apa yang kita kongsikan/ nasihatkan.Tak berbaloi nak rasa riya, /syok sendiri padahal amalan tak diterima Allah.

Sunday, February 26, 2023

Kenangan manis makanan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 25/5/2021


Sejak mula bekerja di SMAI ISLAH tahun 2008, antara perkara yang wajib ada di setiap tempat kerja ialah memori tentang makanan😅.


Hingga melalui rakan sekerja dapat kenal sajian-sajian baru, seperti: Kuew teow t'hng, sagu berlauk, mah syi (nasi yang dibaluti kobis), bubur ubi, jeruk lobak......



Pasti ada rakan yang kita akan ingat hidangan istimewanya. Contoh: Kalau sebut Kuew Teow T'hng, pasti teringat ustazah X.


Kalau sebut sagu berkuah, teringat ustazah X.


Dan tak pelik bila ada yang rindu masakan rakan sekerja walaupun telah berjauhan. Tiba-tiba teringin puding karamel, ayam panggang, laksa lemak, mah syi yang kawan buat. Begitulah...

Friday, February 24, 2023

Kasih sayang Allah pada kita

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 25/5/2021


Antara kasih sayang Allah, amal-amal soleh di Bulan Ramadhan tetap boleh dilakukan pada selain bulan tersebut.


Maka, apa khabar puasa sunat kita? Sedekah? Solat-solat sunat? Qiamullail? Bacaan Al Quran?


Jadikanlah semuanya amalan yang berterusan sepanjang hayat. Istiqamah insyaallah.

Wednesday, February 22, 2023

Rezeki tempat kerja

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 25/5/2021


Antara perkara terbesar yang sering disyukuri sejak dulu ialah team work yang supportive tanpa drama😅, dibina atas dasar empati, amanah dan bekerjasama.


Separuh kehidupan kita adalah di tempat kerja, selebihnya kita mendepani cabaran kehidupan di rumah bersama keluarga dan masyarakat.



Rakan sepejabat kita pasti ada masalah peribadi, kesihatan, kewangan, ibu bapa, keluarga dan lain-lain. Biarlah kehadiran ke tempat kerja dengan hati yang berbunga-bunga, tidak bertambah derita.


Tempat kerja kita bukan sekadar untuk menambah rezeki, tapi juga LADANG PAHALA MENUJU KE SYURGA.

Monday, February 20, 2023

Asas dalam sebuah keluarga

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 25/5/2021


Asas dalam keluarga adalah KEHARMONIAN.Kalau tak harmoni, semua tak boleh nak buat.


Macamana mak nak ajar anak-anak kalau anak-anak asyik nak merajuk?


Macamana anak nak datang baca Al-Quran dengan ibu bapa kalau mereka jauh hati dengan ibu bapa? Ibu ayah asyik marah-marah.



Kalau tak ada keharmonian, semua rasa pahit, panas!.Berdoalah. Usahalah. Kita sama, ingin menuju syurga harmoni. Terus buru keharmonian, membaiki diri masing-masing dalam 🏠 kita, walaupun pahit.

Saturday, February 18, 2023

Anak yang lupa mendoakan ibu ayah

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 22/5/2021


Bila menonton video ini, sebenarnya perkara ini juga baru berlaku kepada diri saya 2 hari lepas.



Anak yang menjadi imam solat kita, tak berdoa pun untuk mak ayah lepas solat. Entah merajuk dengan maknya atau terlupa?😅


Lihat semula dalam diri kita: Adakah kita juga ingat untuk mendoakan ibu ayah kita SETIAP HARI?

Thursday, February 16, 2023

Soal hati

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 22/5/2021


Usrah pagi Sabtu: SOAL HATI


Menjaga hati antara riak atau berkongsi kebaikan. Halusnya jarum syaitan.



Bila berkongsi, takut dikata riak, tak mahu berkongsi.


Mujahadah mencari keikhlasan.

Tuesday, February 14, 2023

Anak Kak Cik si kucing

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 20/5/2021


Alhamdulillah anak kepada Cattus, Kak Cik bersalin bulan lepas di dalam asrama puteri.

Lahir 4 ekor.

Tapi minggu lepas mati seekor kerana kak cik keluar dan tak susukan anak-anaknya.

Kiranya Cattus dah jadi nenek. Umurnya 4 tahun.





Sunday, February 12, 2023

Si anak bongsu

 بسم الله الرحمن الرحيم.


Entri ini ditulis pada 20/5/2021


Anak bongsu ini special. Lain sikit dari abang-abangnya. Dari baby, kalau tumbuh gigi, gigi akan pecah-pecah dan reput, walaupun dah gosok bagai nak rak, kurang kalsium kah?



Sekarang nak masuk umur 6 tahun, gigi yang tumbuh pula banyak tumbuh ke tepi gusi (bukan menegak ke atas, tapi membesar ke tepi), sampai terkoyak gusi. Maka pergi ke dentist lagi, cabut 2 lagi gigi😢


Alhamdulillah seorang yang kuat, tak pernah menangis bila jumpa dentist, Happy aje.

Friday, February 10, 2023

Jangan tunggu sempurna


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 17/5/2021


Dalam melaksanakan plan mendidik anak-anak, tak perlu kita tunggu cantik sempurna, barulah kita nak mula. 


Jika dapat lakukan dalam keadaan yang sempurna, tahniah! Anda seorang yang sangat beruntung.



Tapi, kalau plan anda disambut dengan muka mengantuk anak-anak, menguap 15x dalam masa 2 minit (Mubalaghah/over😅), bertabahlah dan teruskan perancangan, ia akan menjadi rutin harian kita sekeluarga. Selepas itu buatlah penambahbaikan sedikit demi sedikit.


Bak kata pepatah arab:

Sedikit yang berterusan lebih baik daripada banyak tapi terputus.


( فَٱسۡتَبِقُوا۟ ٱلۡخَیۡرَ ٰ⁠تِۚ)

[Surah Al-Baqarah 148] Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.

Wednesday, February 8, 2023

Tidak dapat diulang lagi.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 16/5/2021


"Antara perkara yang amat saya kesali dalam hidup ialah saya tak dapat nak melihat anak-anak membesar depan mata, tak dapat nak mendidik anak-anak dengan tangan sendiri." Rintih seorang sahabat.


Beliau yang sudah bertahun-tahun meninggalkan keluarga, tanah air dan anak-anak demi mencari sesuap rezeki di negara orang.



Kesedihan yang tak dapat kita rasakan dan tak mahu kita lalui.


"Peluang ini langsung tak akan dapat diulang lagi." Sambungnya lagi.

 

Walau bagaimana kita merungut dengan perangai anak-anak, penat suruh mereka setiap hari (lagi-lagi nak tiba musim PDPR, PKP ni), namun satu kedukaan yang besar bila kita tiada peluang untuk mendidik mereka sendiri.

Monday, February 6, 2023

Kesilapan ibu ayah

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 15/5/2021


Dalam mendidik anak-anak mungkin terzahir kesilapan dari pihak kita ibu ayah. Kita manusia biasa yang ada salah silap.



Tiada apa yang dibanggakan. Semuanya adalah milik Allah dan berlaku dengan izinNya.


Adakalanya expectation kita terhadap anak-anak setinggi Imam Al Bukhari yang akhirnya menyebabkan kedua-dua pihak merana.


"Mama, depa anak-anak yang cukup taat. Puasa sunat dengan keinginan sendiri, masuk waktu solat depa pi azan kat masjid, tiap-tiap pagi depa baca kitab hadis, dari kecik depa hafal Quran." Baba peringatkan.


Dalam meniti kehidupan, dalam mendidik anak-anak dan setiap keadaan, panjangkanlah sujud, mohon Allah bimbing setiap langkah kita sekeluarga.

Saturday, February 4, 2023

Belum tentu ia rezeki kita.


بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 15/5/2021

Faedah penulisan itu bukanlah dari 

hebatnya kejadian yang berlaku, tapi dari hati yang mendapat manfaat yang tersirat dari kejadian dan keupayaan penulis mengeluarkannya dalam bentuk penulisan.


Hargailah pengalaman hidup anda.

____________________________

Di tepi masjid Maahad ada pokok betik. Kebetulan cuti-cuti ni dapatlah sebiji betik yang elok cantik kekuningan, tak berulat dan ditebuk burung pun. Tengok saja pun dah terliur, terbayang-bayang manisnya betik.



Tapi bila dibelah, mula keluar bau gas (macam bau bawang/ nangka), rasanya pun bergas, tak mampu nak makan😢, akhirnya betik yang cantik jadi rezeki ayam jua.


Yang ada dalam genggaman kita, belum tentu lagi bermakna ia rezeki kita

Wednesday, February 1, 2023

Tidak terhenti

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 15/5/2021


"Ustazah nasihatkan dia, dia tak mau ulang Al Quran, ustazah." Suara ibu dari kejauhan (dalam talian telefon) ketika kelas tasmik Al Quran online tahun lalu.


Sebenarnya keluarga kami juga begitu. Jangan fikir bila anak-anak sudah khatam Al-Quran, bermakna kita dah boleh berehat dari ajak mereka ulang Al Quran, lagi-lagi ketika cuti.


"Dah lancarkan hafazan tak ni? Bila nak tasmik ni? Ni dah petang dah ni?"


"Jumaat Sabtu buat jugak hafazan, jangan sampai baca Al-Quran pun nak berkira."



Bila cerita tentang usaha menjaga hafazan Al-Quran anak-anak, teringat ketika kecil, abah akan panggil ustaz/ ustazah untuk datang rumah tasmik hafazan Al-Quran kami adik beradik. Begitu juga ketika di Syria.


Kenapa tak tasmik sama-sama adik beradik saja? Kan ramai yang hafaz Al-Quran. Err...sebab masing-masing suka bergaduh kot.😅

Monday, January 30, 2023

Plan untuk anak-anak

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 14/5/2021


Bila lihat perancangan Ustazah Norhafizah Musa terhadap anak-anak, ada idea yang boleh kita contohi untuk mantapkan ilmu anak-anak, ibadah mereka, hafazan Al-Quran mereka. 



Tapi ada aspek yang perlu diambilkira iaitu, sedikit-sedikit dan perlahan-lahan walaupun kita mak ayah ni macam-macam nak anak-anak pandai. Begitu juga dengan penerimaan anak-anak yang kadangkalanya tak mudah (lagi-lagi bila anak dah meningkat remaja). Perlu ajak dan terang banyak kali. Doa moga mereka dilembutkan hati. 


Beruntunglah bagi ibu ayah yang berjaya melaksanakan plan untuk anak-anak.


Semoga Allah mempermudahkan.


P/s: Teringat dulu masa umur 16 tahun, abah hantar mengaji ke Syria, menangis tak sudah-sudah. Dah sampai Syria pun menangis lagi.😅

Saturday, January 28, 2023

Harapan Dijah

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 13/5/2021


Thursday, January 26, 2023

Bilakah kali terakhir?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 12/5/2021


Pernah terfikir: Bilakah kali terakhir anak-anak mendengar suara kita membaca Al Quran? Adakah mereka masih dapat ingat lagi suara ibu bapa mereka mengalunkan Al Quran ketika kita sudah tiada?


Tak. Bukan isu riya' atau menunjuk-nunjukkan amalan, tapi untuk membentuk generasi dengan amal soleh. 


Bagaimana mereka dapat ikut amal soleh jika tiada contoh ikutannya?



Masih teringat waktu kecil-kecil dulu kalau balik kampung di Kuala Sg.Baru, Melaka, bila tengahari pasti akan lihat makwa dan pakwa bentang sejadah di ruang tamu, solat dan zikir berjemaah. Bila maghrib, lihat mereka berbuka puasa sunat bersama. Pagi-pagi, merekalah orang yang terawal bangun beribadat.


Allah rahmatilah dan ampunilah dosa mereka yang telah tiada. Amin

Tuesday, January 24, 2023

Kenangan lalu

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 11/5/2021


"Hmmm.. Separuh gaji habis pada kereta bulan ni.☹️" Terdengar kata rakan sepejabat.


Terus teringat ketika awal kehidupan bekerjaya, dengan starting gaji guru RM800. Dari situlah bayar loan kereta, daftar buat master di KUIN suami isteri, kemudian yuran setiap semester, belanja harian.


Pernah balik beraya di kampung Kuala Sg.Baru, Melaka dengan kereta Kelisa. Sampai saudara mara sedekah dua tiga ratus sebab nampak kesian yakmat😅.



Hujung bulan sering Kelisa tersebut meragam hingga akhirnya terpaksa mencari tuan baru, untuk masa depan yang lebih bahagia.😅


Tapi, macam mana nampak susah sekalipun, belum pernah sehari kebuluran tak cukup makan. Alhamdulillah Allah beri rezeki.

الله كريم.

Sunday, January 22, 2023

Proses Ahmad Zaid hafal Al Quran

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 10/5/2021


Untuk proses Ahmad hafal surah:


1. Pasang selalu audio surah tersebut, biar biasa dengar, nanti mudah nak hafal.



2. Baca dan hafaz ikut bacaan Dr.Ayman Suwaid, guna apps Al Quran For Android sebab bacaan Sheikh Ayman lambat-lambat dan sebutan makhrajnya jelas.


3. Tasmik dengan mama. Mama betulkan kalau ada salah.


Doakan Ahmad ya😁

Friday, January 20, 2023

Kisah di sebalik ampaian baju

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/5/2021


Kisah ini biasa saja terjadi. Tapi ia menusuk hati.


Pernah saya dan suami keluar ke pekan. Tiba-tiba hujan lebat. Apa yang mak-mak fikirkan?


Ye betul! 


Fikir baju dijemur di rumah. "Harap-harap anak-anak angkatlah baju tu."


Sampai saja di rumah, apa yang dicari?



Ya benar! 

Ampaian baju.


 Ampaian baju kosong, tanda baju sudah diangkat.


"Alhamdulillah ada juga anak-anak laki yang boleh tolong angkat baju."


 Syukur. Mak-mak memang begitu.


"Betapa kita bersyukur anak yang boleh menyelamatkan jemuran dari basahan hujan, tentu lebih kita bersyukur bila mereka sentiasa mendoakan kita." Kata lubuk hati.

Wednesday, January 18, 2023

Di sebalik cerita tasmik

 

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/5/2021


Sebelum ajak anak tasmik Al Quran, saya terfikir-fikir siapa yang boleh diajak untuk tasmik hafazan Al-Quran saya. Suami ada tolong tasmik, tapi masanya agak sibuk, tak dapat nak tasmik banyak.


Seiring memohon doa kepada Allah agar menemukan seorang teman untuk tasmik Al Quran, saya ligat berfikir wajah-wajah yang boleh diajak tasmik.



Teringat ketika cuti musim panas di Syria , ajak rakan untuk tasmik hafazan sejuzuk sehari.


Saya fikir untuk ajak rakan guru di kuarters di Maahad ini untuk tasmik. Kemudian hati terdetik:

" Anak sendiri dah 2 orang Hafiz AlQuran, kenapa tak ajak depa je tasmik?"


Dari situlah bermulanya kisah pada entri sebelum ini.

Monday, January 16, 2023

Remaja paling rajin tasmik

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/9/2021


Di usia awal remajanya, kami berdua sering tak bersefahaman, anak remaja suka membentak bila asyik disuruh-suruh, mama pula rimas kalau lambat bertindak. Baba lah yang berperanan untuk menjernihkan keadaan.


Usia awal remaja berbeza dengan usia kanak-kanak. Emosinya, perilakunya, sensitifnya.... Malu sendiri bila kenang perangai buruk kita juga ketika remaja dulu.



Tapi kini, dialah yang paling rajin tasmik hafazan mama 10 mukasurat setiap hari, walau ada ketikanya tersengguk-sengguk keletihan di petang hari.*


Moga kita semua dikurniakan zuriat penyejuk hati, ikutan orang-orang bertaqwa.


*(Dengan upah 5 kupang bagi setiap 1 mukasurat😆😆).

Saturday, January 14, 2023

Doakan saya

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/5/2021


"Jangan lupa doakan kami."


 Saya melihat amalan meminta doa daripada orang lain ini sangat meluas ketika di Syria. Terutamanya di hujung-hujung Ramadhan. 


Siapa saja. Pensyarah kita, warden, rakan, hatta pakcik jual sayur di pasar akan berkata begitu kepada kita.



Atau dalam bahasa nostalgia yang lama kita tak dengar: Kenang daku dalam doamu.


Saya pernah berkata begitu kepada seorang rakan, dan jawapannya sangat mengejutkan. Berulangkali!


"Hanya Allah saja yang tahu betapa banyak saya doakan kamu sekeluarga. Moga Allah jadikan saya orang yang ikhlas."


Bersungguh-sungguh beliau menjawab. Berbunga-bunga hati mendengarnya. Moga doa beliau berbalik kepada dirinya juga.

Thursday, January 12, 2023

Target cuti panjang kali ini

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/5/2021


Rasanya setiap kali cuti panjang, pasti akan letakkan target dalam keluarga, kalau tak dapat semua,dapat sikit:


Target cuti kali ni:

1. Ajar Ahmad hafal surah-surah baru, nanti buka sekolah nanti baru tak dapat ج.

2. Murajaah hafazan Al-Quran abang-abang.

3. Riyadussolihin lepas subuh.


Moga Allah beri kesihatan dan bantu kita semua.



Apa-apa pun, sebelum tu, layan lawan beyblade dulu. Masa cutilah yang boleh nak main, hari Sekolah, semua orang sibuk.

Tuesday, January 10, 2023

Antara memori dan soalan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/5/2021


Mendengar tenang merdu suara ini, pasti terimbau sangat memori.


Beliau adalah imam masjid Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro, tempat kami menuntut ilmu dulu.



Sheikh Ibrahim Al Hadid.


Allah kurniakan kepada setiap manusia perkara yang dia lebih dari orang lain.


Suara (serak) lunak merdu Allah anugerahkan kepada beliau disalurkannya kepada bacaan Al Quran dan qasidah memuji Allah dan RasulNya.


Apakah kelebihan kita dan ke mana kita salurkannya?🤔

Sunday, January 8, 2023

Luaskan doamu

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 7/5/2021


Jumaat terakhir Ramadhan ini. Di hujung hari-hari yang istimewa.


Dalam kita mendoakan diri sendiri, jangan dilupakan doa untuk pasangan kita, ibu ayah, adik beradik, rakan-rakan, guru-guru, saudara mara kita.




Dalam kita mendoakan anak kita, masukkan sekali doa untuk anak-anak saudara kita, anak-anak murid kita, anak-anak kawan kita.


Luaskan doa. Tanpa hasad dengki. Tak rugi sikit pun. Doanya tempias kepada kita juga insyaallah.


Apa yang kita miliki hari ini juga, mungkin hasil doa seseorang yang kita tak tahu.

Saturday, January 7, 2023

Prinsip dalam mendidik anak-anak.

 بسم الله الرحمن الرحيم 


Ini adalah sekadar perkongsian, moga bermanfaat untuk pembaca dan masyarakat. Amin.


Ketika ditanya tentang cara mendidik anak, saya perlu berfikir dan ingat kembali apa yang pernah dilakukan. 



1. Cuba tetapkan dalam hati, semuanya adalah ANUGERAH ALLAH YANG MAHA PENYAYANG. Jika Allah tak beri, kita tak miliki apa pun.


2. Setiap keluarga mempunyai pemikiran, prinsip dan cara mendidik yang berbeza. Apa yang kami lakukan mungkin 'cacat' dan masih banyak kekurangan di mata orang lain. 


Namun, apa yang sentiasa kita harapkan ialah PETUNJUK DARIPADA ALLAH DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA MENUJU KE SYURGA.


3. Keluarga kami tidak sempurna, masih banyak salah silap dan perlu diperbaiki. Masih banyak perlu dimuhasabah, dipelajari dan diperbaiki. الله المستعان 


Ada rakan-rakan lain yang kelihatan sangat berusaha menerapkan budaya ilmu dan penghayatan Al Quran kepada anak-anak. Moga dapat kami contohi. Amin.


PRINSIP KAMI DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK:


1. Utamakan Al Quran dalam mendidik anak-anak. Moga Al Quran yang mereka TEKUNI setiap hari itu membantu mereka mendepani cabaran remaja, menjauhkan mereka daripada maksiat.


Mula dengan kenal Al Quran, hafaz, jaga hafazan Al-Quran, dan selepas ini semoga Allah melorongkan anak-anak untuk faham, tadabbur dan amalkan Al Quran. Amin.


2. Tiada handphone peribadi untuk anak-anak dan tiada Wi-Fi di rumah. Yang ada handphone lama baba yang mereka kongsi bersama untuk main game, tengok kartun dan Whatsapp kawan-kawan ketika cuti (kecuali Ahmad yang tiada kawan nak Whatsapp 😅). Mereka akan pinjam hotspot mama baba sekejap. 


Handphone digunakan di khalayak ramai. Bukan dalam bilik. Mereka tiada akaun media sosial lain.


Ayat yang selalu diulang-ulang pesan: "Jangan tengok haram, jangan tengok aurat orang."


"Ya mama. Kami tengok yang halal je."


Sentiasa periksa handphone yang mereka kongsi walaupun tak ada Wi-Fi.


3. Ketika PKP dulu anak-anak pernah diberikan handphone yang ada data internet kerana keperluan PDPR mereka. Namun kelihatan banyak keburukan dari kebaikan. 


4. Cuba terapkan budaya ilmu, membaca hadis, perbincangan agama secara santai dengan anak-anak remaja. Fikiran anak remaja ini ligat. Banyak persoalan yang bermain dan fikiran mereka yang adakalanya mereka akan soal termasuklah tentang masa depan pengajian mereka.


5. Mujahadah utamakan solat di masjid di awal waktu. Solat tahajjud yang diamalkan di Maahad perlu istiqamah ketika cuti. Masih perlu sentiasa ingatkan dan beri kesedaran kepada mereka.


Masih perlu berikan nasihat untuk rajin tunaikan ibadah sunat. Insyaallah dengan berlalunya masa, hati mereka akan terpaut dengan ibadah sunat di samping ibadah wajib tidak sekali ditinggalkan.


6. Anak-anak remaja adakala mahu seperti rakan-rakan lain. Yang mama pesan:


"Satu hari nanti kamu ada anak, kamu akan tahu macam mana sukarnya untuk menjaga anak. Nak membentuk anak itu susah, nak rosak senang ja."


7. Ya. Bila anak dah remaja, kita tak mampu nak pantau 24 jam. Mereka mempunyai keinginan seperti rakan-rakan lain. 


Yang kita miliki adalah doa moga Allah sentiasa pelihara mereka dari keburukan. Moga Al Quran yang mereka ulang setiap itu menjadi rakan baik mereka melorongkan mereka ke arah kebaikan. 


Moga hati mereka sentiasa disemai dengan taqwa dan merasakan diri diawasi Allah setiap masa. Amin.


Sungguh makin anak meningkat dewasa, makin tinggi pengharapan dan pergantungan kita dengan ALLAH.


Anak-anak adalah amanah dan harta kita yang paling berharga. Moga ia menjadi aset selepas jasad dikandung tanah.

Friday, January 6, 2023

Buat apa masa anak-anak kecik?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/5/2021


"Dulu buat macamana masa anak-anak kecik?" Ini adalah antara soalan yang saya takut. Sebab banyak dah lupa tentang zaman anak-anak kecik.😅


'Apa ye yang buat masa anak-anak kecik?'🤔


Alhamdulillah ada beberapa perkara pernah ditulis dalam blog, jadi boleh dijadikan rujukan dan bagi link blog saja.



Mula menulis blog atas galakan suami bila suami melihat abangnya berblog 14 tahun lalu.


Topik utama adalah pendidikan Al Quran anak-anak dan coretan memori.


Ia juga adalah jariah kita selepas ketiadaan kita di dunia jika ia bermanfaat buat orang lain.


Begitulah hendaknya.🥲

Wednesday, January 4, 2023

Nostalgia Kad Raya

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 6/5/2021


Masuk kelas ajar pelajar buat Kad Raya.


🧕🏻: Kalau dulu, ustazah tulis kad raya, ustazah tulis pantun:

Pecah kaca, pecah gelas,

Sudah baca, harap balas.


👦🏻: 💡! Ana pun nak tulis pantun tu jugak lah. Nanti ana bagi kat mak ana kad raya ni, pastu mak ana balas dengan duit raya.


😅

Monday, January 2, 2023

Ingatan dari seorang ibu pelajar

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 5/5/2021


Petang Ramadhan yang syahdu, dalam hujan lebat, terbayang-bayang senyuman bahagia ibu yang menulis panjang menceritakan kejayaan anak yang saya kenali sejak usia 6 tahun di SRITM dulu kemudian di Maahad Al Iman.


Pelajar yang keindahan budi pekertinya menjadi bualan guru-guru.



Pelajar yang tiba-tiba saja hantar cod kek untuk ustazah-ustazah di Maahad walau nun jauh di Negeri Sembilan.

"Dia teringat kat ustazah-ustazah." Kata ibunya.


Alhamdulillah, selautan doa di akhir Ramadhan, semoga menjadi insan cemerlang dunia akhirat semulia hatimu menggembirakan guru-guru, insya Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...