Thursday, August 30, 2018

Liku-liku menuntut ilmu.

بسم الله الرحمن الرحيم


Ketika membaca buku ini pada cerita penulis tentang kesukaran untuk memahami pelajaran di universiti di Perancis kerana belum agak mahir dengan bahasa tersebut, saya teringatkan begitu jugalah pengalaman saya ketika belajar di tahun 1 kuliah dakwah, di Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro, Damsyik hampir 16 tahun lalu.


Saya juga melalui liku-liku pengalaman hampir sama seperti penulis.


Walaupun sudah melalui 1 tahun di diploma (khas untuk pelajar bukan arab), namun suasana dalam kuliah berbeza dengan suasana ketika diploma bahasa.

Di kuliah, majoriti adalah orang Arab, sebaliknya di diploma 100% orang bukan arab.

Pensyarah di diploma menggunakan bahasa arab fus ha (Bahasa Arab baku), manakala di kuliah ada pensyarah yang menggunakan Bahasa 'Ammi (bahasa Arab pasar).

Mereka bertutur dengan laju sehinggakan saya rasakan apa pun saya tak dapat faham dalam kelas tahun 1.

Usaha digandakan. Mengulangkaji bersama rakan-rakan di asrama, buat study group, bertanya kepada warden asrama.

Sungguh saya rasakan memang perlu usaha yang kuat untuk tahun 1.

Lebih-lebih lagi ketika itu saya baru berusia 17 tahun. Antara pelajar yang termuda dalam kuliah tahun 1.

Berbanding kakak-kakak yang lain yang sudah habis pengajian dan mendapat syahadah Thanawi agama, mereka sudah ada pengalaman mempelajari subjek di kuliah.  Saya pula banyak pelajaran yang belum pernah saya lalui seperti Tarikh Tasyrik, Subjek-subjek Balaghah, Ilmu Nafs (Psikologi), Ilmu Ijtimak (Ilmu kemasyarakatan), ia sungguh membebankan.

Sungguh seperti penulis buku ini juga, saya rasakan saya pelajar yang terbodoh dan banyak yang saya tak tahu ketika itu.

Diselubungi rasa rendah diri, sedih dan putus asa sehingga menangis-nangis, cuba juga untuk masuk peperiksaan.

Tekanan untuk peperiksaan juga amat kuat sehingga ada rakan-rakan yang menangis di luar dewan sebelum peperiksaan kerana takutkan peperiksaan.

Malahan tekanan pelajaran di kuliah tahun 1 juga membuatkan ada rakan-rakan yang menyerah diri dan mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia.

Mungkin berkat doa dari mak abah, saya yang dikira terbodoh dalam kuliah tersebut dapat lulus semua subjek tanpa ulang periksa. Berbanding rakan-rakan yang lain hatta orang Arab pun ada yang mengulang exam atau mengulang semula tahun 1 kerana sistem kuliah kalau gagal walaupun 1 subjek di peperiksaan ulangan, perlu ulang semula tahun tersebut.

Syukur dipanjatkan kepada Ilahi kerana mengurniakan semangat untuk terus menuntut ilmu. 

Saya hanyalah hamba Allah yang tidak punya apa-apa tanpa anugerah dariNya.


Tahun-tahun selepasnya, pelajaran menjadi agak mudah.

Alhamdulillah.

Pelajaran yang saya dapat dalam pengalaman hidup dalam kisah ini:

1. Jika kita tidak pandai, tidak kuat, janganlah mudah berputus asa. Teruskan usaha. Insyaallah Allah akan membantu hambaNya yang mengharap dariNya.

2. Jika kita pandai dan kuat, janganlah over confident, kufur nikmat, berlagak sombong. Gunakanlah anugerah Allah itu untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Semoga Allah sentiasa menunjukkan kita jalan yang lurus dan memberkati hidup kita semua. Amin

Monday, August 27, 2018

Bila Allah bukakan jalan untuk mendidik anak-anak

بسم الله الرحمن الرحيم

Catatan ini ditulis pada sepertiga akhir malam Raya Aidiladha (22/8/2018)
Ketika Ahmad Zaid berusia 2 tahun 9 bulan

Mungkin ada ketikanya kita terasa bahawa anak-anak lambat prestasi mereka berbanding orang lain. Cubalah untuk tidak zahirkan perasaan itu pada orang lain.

Cubalah untuk tidak menghadkan prestasi anak-anak.

Hanya pohonlah kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar dia menjadikan anak-anak ini generasi yang terbaik dan ikutan bagi orang yang bertaqwa. Kerana bila Allah bukakan jalan dan mudahkan, tiada siapa yang dapat menghalang.

Begitu juga dengan mendidik anak-anak dengan Al-Quran sejak dari kecil.

Adakalanya terasa usaha ini tidak membuahkan hasil apabila tiada respon positif dari anak kecil. Bila mengajar,macam tidak faham sahaja, namun teruskanlah usaha dengan positif dan gembira. Bila Allah tunjukkan hasilnya, MasyaAllah.. Sungguh Allah itu Maha Penyayang.

Begitulah dengan Ahmad Zaid. Walaupun kami sudah berpengalaman mendidik dua orang abang-abangnya dengan Al-Quran sejak dari kecil, namun setiap anak pasti ada perbezaannya.

Tidak sekalipun terasa bahawa kejayaan anak-anak ini adalah kerana usaha kita sendiri. Jika bukan kerana kasih sayang Allah dan nikmat anugerah terindah daripadaNya, tidaklah mampu kami kecapi apa-apa.

Sungguh dia sentiasa dipanjatkan moga Allah memudahkan urusan mentarbiah anak-anak termasuk anak-anak di Maahad agar menjadi insan bertaqwa, bermanfaat kepada Agama dan masyarakat.

Alhamdulillah Ahmad Zaid kini agak mudah diajak membaca buku Alfurqan dan juga mengulangi surah-surah pendek walaupun dalam pelat-pelat.

Beberapa minggu yang lalu, selepas Ahmad Zaid sembuh dari demam, dia jadi rajin bercakap dan membina ayat-ayat yang panjang.

Audio Ahmad Zaid rajin sembang dan bina ayat panjang-panjang:


Peluang ini digunakan untuk mengajaknya menghafaz surah-surah pendek dan rajin membaca Alfurqan.

Malahan, saya perhatikan ketika Ahmad Zaid rajin bercakap, moodnya baik untuk membaca Alfurqan dan surah-surah pendek. Seronok sahaja dia membaca bersama kita.

Alhamdulillah syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang menghadirkan insan yang turut membantu untuk mengajarkan Ahmad Zaid menghafaz Al-Quran.

Audio Ahmad Zaid Hafaz Surah An-Nas dengan mama (makcik pengasuh di Neseri)



Ahmad Zaid rajin berzikir meniru acik neseri yang selalu berzikir:

Abang Abbudey pula sekarang dalam tempoh menghitung hari menghabiskan hafazan Juz terakhirnya. Semoga Allah permudahkan anak-anak dalam memuliakan Al-Quran.

Sungguh hari-hari kita dilalui dengan pelbagai kerisauan dan penat lelah, adukanlah kepada Allah. Tunjukkan kami jalan yang benar. Permudahkanlah kami semua untuk masuk ke syurga tanpa dihisab. Ya Rabb.

Friday, August 24, 2018

Keputusan Musabaqah Hafazan Al Quran Itqan Peringkat Remaja 2018

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah pagi Hari Pilihanraya ke 14 dapat pesanan Whatsapp dari Mak Teh Siti.


Alhamdulillah..

Abdul Rahman dapat tempat pertama untuk hafazan Alquran kategori 3 juz.

Ketika itu Abdul Rahman keluar bersama baba.

"Nanti jangan habaq lagi tau kat abang, kita suruh dia baca Whatsapp. Biar dia tahu sendiri." Saya merancang bersama Abdullah untuk buat kejutan untuk Abdul Rahman.


Video hafazan Abdul Rahman ketika Musabaqah



Bila Abdul Rahman pulang, kami minta dia baca Whatsapp.



"Alhamdulillah abang no.1." Jerit Abdul Rahman gembira.

Bersedia sebelum mula Musabaqah

Para peserta bergambar dengan barisan hakim

Abdul Rahman semasa musabaqah

Jazakumullahu khairan kathira kepada semua yang mendoakan untuk Abdul Rahman.

Terubat kekecewaannya yang lalu kerana selalu tidak menang Musabaqah hafazan Al Quran.

"Sebagaimana Engkau perkenan permintaan kami ini dan gembirakan kami, perkenanlah doa kami agar kami dapat bersama dalam Syurga Firdaus Ya Rabb." Begitulah detik hati.

"Tapi hafazan kena bagi lagi mantap lagi. Tajwid dan makhraj huruf pun kena perbaiki lagi." Pesan saya kepada anak-anak.

"Mama ni, kami dah elok, mama suruh lagi elok..kami dah elok lagi, mama suruh lagi elok banyak lagi." Begitulah ayat Abdullah kata.

"Mestilah. Orang Islam mestilah kena sentiasa cemerlang, tak boleh rasa cukup baik sikit-sikit dah okay. Kena sentiasa jadi lebih baik.." Semoga Abdullah lebih faham insyaAllah.

Semoga Allah sentiasa mengurniakan kepada kita kebaikan dan kecemerlangan  dunia dan akhirat.



Tuesday, August 21, 2018

Ujian sakit ketika anak-anak Musabaqah Hafazan Alquran

بسم الله الرحمن الرحيم

Ketika pagi hari sabtu (6.5.2018) ketika kami bersiap nak bertolak ke Kuala Lumpur, Abang Abbudey sakit gigi. Pipinya bengkak. Gigi berlubang.

"Boleh ke nak pi Musabaqah ni?" 

"Boleh insyaAllah."

Saya dah mula rasa ragu-ragu untuk pergi ke Kuala Lumpur.

Begitulah, sedikit sahaja ujian datang, sudah goyah hasrat di hati.

Alhamdulillah ubat diberikan kepada Abang Abbudey dan kami keluar rumah jam 8 pagi.

Alhamdulillah trafik lancar, dan kami sampai di Setapak jam 12 tengahari.

Hampir masuk waktu Zohor.

Masing-masing kami bersiap-siap ke tandas dan ambil wudhu.

Entah bagaimana ketika dalam tandas, hendak melangkah, tergelincir dan saya jatuh terduduk. Belakang badan terhantuk pada bucu tangga tandas.

Sakitnya Ya Allah...

Saya mengerang sakit seorangan di dalam tandas.

Minggu lepas ketika di Surau Medan Idaman, Setapak ini untuk peringkat saringan, saya hampir tergelincir, namun Alhamdulillah berjaya dikawal. Minggu ini jatuh juga.

"Mama tak ambil pengajaran dari minggu lepas. Kalau minggu lepas mama dah tau selipar tu licin, kenapa mama pakai juga?" Ulas Abdul Rahman sambil gelak-gelak.

Amboi..cantiknya susunan ayat..

"Bukan mama tak ambil pengajaran, tapi mama lupa. Manusia kan selalu lupa.
لا يسمى الإنسان إنسانا إلا لنسيانه
Tidak dinamakan insan itu sebagai insan kecuali kerana sifat lupanya." Saya membalas hujjah.

Begitulah bila anak-anak sudah besar. Ada sahaja fikrah mereka dan perkara yang mereka ingin debatkan.

Moga-moga tiada orang lain yang terjatuh. Tak pasti samada lantai atau selipar tandas itu yang licin.

Sakitnya hingga mengalir air mata.

Duduk seketika menahan sakit sendirian dalam tandas.

Beberapa lama kemudian, perlahan-lahan digagahkan diri untuk berwuduk dan berjalan perlahan-lahan untuk ke tempat solat.

Badan tidak boleh bongkok. Untuk duduk pun terasa sakit.

Bahagian badan sebelah kiri terasa sakit sangat akibat terhantuk pada tebing tandas tadi.

Sakitnya dari belakang hingga depan perut. Kaki dan tangan sebelah kiri juga tidak boleh digerakkan dengan cepat. Terasa sakit di belakang badan.

Terpaksa untuk solat duduk atas kerusi selepas berdiri untuk takbiratul ihram kerana tidak mampu berdiri lama, rukuk dan sujud.

"Adik kenapa ni?" tanya seorang makcik selesai saya sudah solat. Mungkin perasan wajah saya yang menahan sakit.

Dengan bantuan suami, saya berjalan perlahan-lahan ke kereta.

Nak duduk pun tidak boleh. Sakit belakang.

Akhirnya pilihan yang paling selesa ialah berbaring mengiring di kerusi belakang


Mujur kami memang sentiasa membentangkan toto dan bantal di bahagian belakang kereta untuk anak-anak tidur jika perjalanan jauh.

Maka, saya hanya mampu mengikuti Musabaqah dari corong pembesar suara surau dari dalam kereta.

Abang Abbudey bersedia untuk Musabaqah. InsyaAllah

Abdullah menemani saya dalam kereta bagi menghulurkan bantuan jika diperlukan.

Hujan turun lebat beberapa ketika.

Alhamdulillah kami ikuti hafazan Abang Abbudey dari pembesar suara.

Doa kami berdua panjatkan sentiasa agar Abang Abbudey dapat menjawab Musabaqah dengan baik.

Selesai Abang Abbudey Musabaqah, kami terus pulang ke Kedah. Jam 3.30.

Sepanjang perjalanan dari Setapak ke Kuala Ketil selama 6 jam, saya hanya mampu untuk mengiring sebelah kanan  kerana sakit belakang belah kiri. Nak baring pun tak mampu.

Apabila kereta terhentak akibat jalan yang tak rata, terasa sakitnya badan.

Sampai di rumah, dengan perlahan-lahan dan penuh usaha menahan sakit untuk turun dari kereta.

Berpeluh-peluh.

Berminit-minit cuba untuk pusing cari cara yang selamat dan kurang sakit untuk turun dari kereta.


Ya Allah...

Terasa sakit sungguh ketika itu. Doa dipanjat moga Allah ampunkan dosa dan beri segala kebaikan dengan sakit yang dialami ini.

Begitulah keadaan diri dalam beberapa hari selepas itu.

Tidak boleh duduk lama. Rasa menyucuk amat sangat di belakang.

Jika ingin bangkit dari pembaringan juga sukar. Puas pusing cari cara paling selamat dan tidak sakit untuk bangkit.

Berpeluh-peluh.

Hati rasa tak selesa. Kerja banyak nak kena selesaikan tapi tak mampu nak duduk lama.

Duduk buat jadual sekolah untuk Bulan Ramadhan sebentar pun sudah sakit pinggang.

Terkenang-kenang artikel yang perlu disiapkan untuk dibentangkan di UNISHAMS bulan 7 nanti belum dibuat. Ucapan pelajar dalam Bahasa Arab untuk perhimpunan mingguan belum buat. Teringin nak siapkan buku travelog tak mampu nak duduk menaip. Majalah maahad untuk tahun ini juga belum siap.

Allah....

Cepatlah sembuhkan kecederaan ini.

Masa ini banyak digunakan untuk membaca buku sambil berbaring.

4 buah buku selesai dibaca dari kulit ke kulit dalam masa 2 hari.

Lagi banyak membaca lagi tinggi cita-cita nak terbitkan travelog. Perkenankanlah Ya Allah...

Ketika sakit inilah bantuan anak-anak dan keluarga sangat berharga.

Anak-anak menolong membuat kerja rumah dan menjaga rumah agar bersih.

Malahan perkara-perkara sekecil pakai kain telekung dan stokin pun anak-anak yang tolong.

"Abang, mai tolong ambikkan telekung mama, tangan mama tak boleh nak angkat tinggi."

"Adik, tolong sarungkan kain telekung mama, mama tak boleh tunduk.."

Allah... terasa sedikit kudrat yang ALLAH tarik sementara, terus macam-macam yang kita tak boleh nak buat.

Maha Suci Allah yang Maha Kuasa.


Semoga Allah sentiasa pelihara kita dari sebarang musibah.

Amin.

**InsyaAllah cerita tentang Musabaqah akan menyusul pada entri akan datang.

Saturday, August 18, 2018

Ragu-ragu yang membunuh.

بسم الله الرحمن الرحيم

Antara sikap yang agak tidak baik dalam diri ialah rasa ragu-ragu.

Bagi saya ia juga berpunca dari hasutan Syaitan.

Ragu-ragu  juga membuatkan hujjah yang kita kemukakan tidak kuat.

Terdapat syair Arab yang berbunyi:


Maksud syair:
Jika kamu mempunyai pandangan,
Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan pandangan itu.
Rosaknya sesuatu pandangan itu adalah kerana rasa ragu-ragu.

Begitulah. Jika kita sendiri tidak berpendirian teguh dengan pandangan sendiri, mudah sahaja kita kalah dengan hujjah lawan.

Lagi satu sikap ragu-ragu yang tidak baik adalah pada keputusan yang dibuat.

Adakalanya di pertengahan jalan, bila menempuhi kesukaran, mulalah terfikir:
"Betul ke tindakan aku ni? Berhasilkah apa yang aku buat ini?"

Bagi saya ini juga bisikan syaitan yang memberikan rasa was-was dalam diri kita.

Kerana itulah Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:



Antara situasi yang saya hadapi rasa ragu-ragu:

Dalam perjalanan pembentangan seminar PASAK3 di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), ketika dalam perjalanan ke musabaqah hafazan anak-anak di Setapak, Kuala Lumpur.

Anak-anak menunggu mama di luar sementara mama bentang seminar.

Yang nak bentang seminar sorang ja, yang lain
bagi sokongan.

Ketika pusingan akhir Musabaqah Al-Quran di Surau Medan Idaman, Setapak, Kuala Lumpur

Abang Abbudey ketika di peringkat akhir

Ketika peringkat saringan.

Hampir 3 minggu berturut turut kami ulang alik Kedah-Kuala Lumpur.

Dan minggu berturut turut kami pergi Kuala Lumpur pagi dan pulang ke Kedah petang. Sampai rumah malam, untuk majlis musabaqah Al-Quran ini.

Semoga ada hasilnya, diterima Allah sebagai amal kebaikan, meningkatkan lagi kualiti hafazan anak-anak.

Teringat dulu kami ketika remaja pun selalu dalam musafir yang jauh untuk pergi musabaqah Al-Quran.  Itulah yang saya ceritakan kepada anak-anak.

Perjalanan yang jauh dari Kedah ke Kuala Lumpur membuatkan saya rasa ragu-ragu dengan keputusan yang dibuat.

"Eeiii aku dok susah-susah jalan jauh-jauh, mahal-mahal ni betul ke berbaloi apa yang aku pilih ni?"

Allah..


Doa saya agar Allah sentiasa memberikan kita pilihan yang tepat dan baik untuk diri kita, keluarga kita dan masyarakat di dunia dan akhirat.

Wednesday, August 15, 2018

Nak jadi penulis kena banyak membaca?

بسم الله الرحمن الرحيم
Seringkali saya mendengar saranan bahawa jika seseorang itu ingin menjadi penulis yang baik, dia kena banyakkan membaca.

Dahulu saya fikir:
"Eiiiii lecehnya nak baca buku banyak-banyak.. Nak kena banyak mana baru boleh jadi penulis?"

Manusia sering enggan bersusah-payah untuk mencapai cita-cita, semua ingin bersenang-senang sahaja, namun hakikatnya kemanisan itu terkandung pada saat kita bersusah-payah. Bila dikenang kembali, ia adalah detik yang indah.

Kini, antara hikmah yang saya kutip dan saranan membanyakkan membaca untuk menjadi penulis yang baik ialah: Apabila kita banyak membaca ia akan mencambahkan idea kita untuk menulis.

Seringkali terdetik dalam hati apabila membaca buku:
"Ohh.. Aku juga ada kisah hidup yang boleh ditulis dan dikongsikan seperti yang penulis ini tulis."

Selepas habis baca buku ini, rasa semangat nak tulis travelog.

Begitu juga lepas habis baca buku keibubapaan, rasa semangat nak tulis buku bertemakan keibubapaan.

Biasanya jika ada semangat menulis seperti ini, saya akan menulis di blog dengan doa dan harapan semoga dapat menerbitkan lebih banyak buku selepas ini seperti penulis buku di atas.

Amin ya rabb

Namun seperti yang sering bermain di fikiran saya: Semua orang mempunyai kisah hidup tersendiri, namun tak ramai yang mampu untuk menulis semula dalam tulisan yang baik.


MasyaAllah... Saya rasa amat beruntungnya seseorang itu bila catatannya dibaca dan memberi kesedaran dan inspirasi kepada orang lain.

Itulah antara cita-cita sejak dari kecil. Memberikan manfaat kepada orang lain dalam bentuk tulisan.


  • Semoga Allah berkati dan perkenankan cita-cita yang baik untukNya.

Sunday, August 12, 2018

Perkara yang tidak disukai namun ada hikmah tersembunyi

بسم الله الرحمن الرحيم

Di dunia ini ada perkara yang kita tidak suka lakukan, namun kita lakukan dengan keterpaksaan, namun setelah berlalunya beberapa ketika, barulah kita sedar bahawa perkara itu terdapat hikmah dan kebaikan yang tersembunyi.

Antara perkara-perkara ini adalah:

1- Menuntut ilmu di Syria.

Sejujurnya ketika awal-awal dahulu saya tidak mahu untuk ke Syria. Apabila abah tunjukkan dalam gambar dalam internet, Syria kelihatan tandus, kurang pokok. Menggerunkan!
Cita-cita saya biar belajar sampai UIA cukuplah.

Ditambah pula saya tak pernah tinggal di asrama. Tidak logik nak duduk jauh-jauh. Banyak perkara difikirkan. Macamana nak masak? Basuh baju? Bilik di asrama di sana elokkah?

Namun tidak pula membantah hasrat abah bila melihat kesungguhan abah membuat perancangan untuk kami adik beradik ke Syria.

Abah sendiri yang uruskan semuanya. Emel. Fax. Hinggakan abah 2 kali pergi ke Syria untuk melihat tempat dahulu.

Sekali tidak dapat masuk pun ke Syria atas beberapa masalah. Saya pun dah lupa, apa masalahnya. Mungkin visa kot...

Walaupun kesedihan berlinangan air mata ketika abah hantar dan ikut ke Syria, namun lama-kelamaan ia menjadi biasa. Sedih berkurangan dan dapat fokus pada pelajaran. Hikmahnya banyak pengalaman dan ilmu yang ditimba di sana.

Perkara kedua ialah menjadi guru besar dan kena berucap di khalayak ramai.

Ia adalah perkara yang amat berat untuk saya terima.

Bagi saya tanggungjawab dan amanah yang diberikan amat besar.

Saya juga amat gementar bila kena berucap dengan orang walaupun jauh di sudut hati ini amat mengkagumi orang yang mahir bertutur dan ingin menjadi seperti mereka.

Walaupun kedua perkara ini merimaskan bila terpaksa dilalui, namun hakikatnya setelah bertahun-tahun, ia memberikan banyak manfaat kepada diri saya sendiri.

Menjadi lebih prihatin dan lebih kuat menjalani kehidupan dengan cabaran-cabaran yang terpaksa ditempuhi.

Menjadi lebih mahir dan sensitif dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang ramai.

Begitulah. Banyak perkara yang kita tidak suka, namun hakikatnya ia baik untuk kita.

Perkara yang berharga itu hanya dapat dimiliki dengan berusaha bersungguh-sungguh dan berkorban.

Semoga Allah sentiasa menentukan yang terbaik untuk diri kita.


Thursday, August 9, 2018

Pengajaran dari Kelas Master 10 tahun lalu

بسم الله الرحمن الرحيم

Detik-detik senyap tanpa sebarang kerja, tanpa gadjet di tangan ada kebaikannya juga. Ia sering memberikan fikrah dan tafakkur yang tidak boleh kita lakukan dalam keadaan bising dan dengan gadjet di tangan. 


Apabila membaca buku Prof Kamil yang ini di mukasurat ini, saya terkenangkan detik-detik ketika di dalam kelas Master Usuluddin di Kolej Universiti INSANIAH, Alor Setar.

Buku ini
Mukasurat ini.

Hakikatnya hingga zaman universiti pun masih ada yang mengkategorikan
guru yang disukai dan tidak.

Begitulah lumrahnya manusia, ada yang boleh serasi dengan
jiwanya dan ada yang tidak






Isi kandungan buku


Buku ini hampir menyerupai buku PhD kecil, tapi signifikan (ada reviewnya di sini)dan terdapat kisah-kisah yang sama dalam kedua buku ini.

Perjalanan (jarak yang boleh dijamak qasarkan solat) yang kami tempuhi setiap hujung minggu selepas subuh dan berakhir hampir dengan waktu Maghrib tidak dinafikan agak memenatkan, namun itulah usaha yang perlu dibayar untuk mendapatkan ilmu.

Teringat saya dengan seorang doktor yang tidak disukai ramai siswa-siswi kerana pada pandangan mereka doktor sering memberi soalan-soalan yang sukar dan ramai yang gagal dalam kelasnya. Akhirnya dalam kelas pensyarah termasuk hanya ada lebih kurang 10 orang sahaja.

Situasi ini juga sering berlaku ketika di peringkat kuliah di Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro, Damascus Syria.

Ramai yang tidak mendaftar subjek seseorang pensyarah itu (ketika master) berdasarkan pengalaman senior-senior bahawa ramai yang gagal dalam subjek pensyarah tersebut.

Kata-kata sebegini sudah tentu membuatkan kecut perut.

Manalah kami tahu begitu kerana kami pelajar baru masuk dan telah mendaftar subjek tersebut. Kami ambil keputusan untuk teruskan sahaja, semoga ALLAH permudahkan segala urusan.

Alhamdulillah, dengan kasih sayang ALLAH kami berdua lulus dalam subjek pensyarah tersebut.

Subjek itu berada di hujung kelas, selepas Solat Zohor dan habis selepas Solat Asar.

3 jam dalam kelas di masa-masa kritikal pasti memenatkan.

Seringkali ramai pelajar yang tersengguk-sengguk mengantuk dan kelas ini. Fokus juga lari.

"Kamu! Kenapa kamu tidur?!."

Terkejut kami apabila pensyarah tersebut tiba-tiba marahkan siswa yang tertidur dalam kelas. Sudahlah kelas hanya ada lebih kurang 10 orang siwa-siswi sahaja, siapa yang tertidur, pastilah pensyarah akan perasan.

"Nah..ambil gula-gula ini.." Pensyarah mencampakkan gula-gula pada setiap siswa...

Masing-masing gelak perlahan.

Pada satu ketika yang lain, seorang pelajar senyap-senyap makan gula-gula bagi menghilangkan rasa mengantuk dalam kelas itu.

"Kamu! Kenapa kamu makan dalam kelas saya?!"

Aduh! Terkejut kami dibuatnya.

Biasanya pensyarah ini tidak kisah jika pelajar makan gula-gula dalam kelasnya, kali ini dimarahi pula.

"Nah...ambil sebungkus gula-gula...agihkan kepada orang lain juga."

Hahaha...sekali lagi kami gelak kecil.

Kelas hanya 10 orang, tidak boleh untuk gelak besar.

Begitulah kenangan di alam Master.

Ada manis dan pahitnya.

Semoga ALLAH berkati.

Sunday, August 5, 2018

Kronologi: Perginya seorang wanita hebat...


بسم الله الرحمن الرحيم

Sudah lebih seminggu Ustazah Elham Abdel Halem pergi meninggalkan kita dalam kemalangan maut ketika Dr.Rabik Muahmmad Hifni dalam perjalanan datang ke Maahad pada jam 7.30 pagi hari khamis.


Berita keluarga ini mendapat liputan media sepanjang minggu tersebut.

Berikut dikongsikan beberapa perkembangan keluarga tersebut:




2 tahun sebelum ini Dr.Rabik keluar dari Mesir meninggalkan keluarga, anak-anak dan sanak saudara untuk mencari pekerjaan.

Beliau mencari pekerjaan hingga ke Uzbekistan.

Rezeki beliau temui pekerjaan di Malaysia melalui seorang kenalan.

Beliau menjual semua hartanya, kereta, rumah untuk menyara perjalanan ini.

Dr.Rabik adalah doktor falsafah dalam bidang Bahasa Arab.


Lebih dua tahun terpisah dengan keluarga, apabila keadaan beliau makin stabil, beliau meminta isteri dan anak-anaknya untuk datang menetap di Malaysia.

Itu pun banyak duit yang dibelanjakan untuk tiket kapal terbang, visa dalam macam-macam lagi hingga beliau banyak berhutang dengan rakan-rakan senegara dengan beliau di Malaysia ini.

Begitu berseri-seri muka Dr.Rabik pada hari beliau memperkenalkan ahli keluarganya kepada warga Maahad Al Iman. Senyuman tak putus-putus. Anak-anak pula asyik bermanja dengan ayah yang sudah lama terpisah.

Baru tak sampai 2 bulan beliau merasa gembira menikmati kebahagiaan bersama isteri dan anak-anak, isterinya pergi mengadap Ilahi dalam pangkuannya sendiri dalam kemalangan tersebut.

Beliau pernah berkata:
" Allah uji aku. Tak habis satu ujian, pasti ada ujian lain yang hadir, tapi aku redha."


Begitulah. Apabila Allah kasih pada hambaNya, pasti hambaNya akan diuji. Dan orang yang paling banyak ujian-nya ialah para nabi dan kemudian orang Soleh.


Ketika kemalangan

Saiful Islam dan Asiyah (anak ke 3 dan anak bongsu) yang hanya luka ringan dalam kemalangan tersebut.

Dr. Rabik memberikan sedikit ucapan ketika staf Maahad selepas solat jenazah di unit forensik, Hospital Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sungai Petani, Kedah









Semua warga Maahad, masyarakat tempatan dan hatta orang-orang yang tidak dikenali pun turut bersedih dan bersimpati dengan kemalangan yang menimpa Dr. Rabik ini














Semoga Allah memberi kebahagiaan kepada Dr.Rabik sekeluarga dan memberkati kita semua.


Friday, August 3, 2018

Indahkah Usia Dewasa?

بسم الله الرحمن الرحيم


Apabila saya menonton video Aida Azlin yang ini, banyak perkara yang saya turut bersetuju dan juga sering saya fikirkan sejak kebelakangan ini.



 Video yang baik mengulang tentang kedewasaan


Makin bertambah usia kita, cara pemikiran kita, prinsip kita, malah perilaku kita turut berubah.

Jika dahulu, ketika remaja prinsip kita:
"Aku punya pasal. orang lain boleh blah..." di usia dewasa ini banyak yang berubah.

Antaranya:

1- Sebolehnya kita cuba elakkan persengketaan dengan sesiapapun.. Diri ini inginkan ketenangan. Jauh dari huru hara dan persengkataan. Adakalanya prinsip diri dan hujjah dibelakangkan untuk menjaga tali silaturrahim. Beralahlah... Moga ALLAH gantikan dengan yang lebih baik.

2- Usia dewasa juga membuatkan kita lebih yakin dengan keputusan yang kita lakukan berdasarkan pengalaman lalu. InsyaALLAH ia dapat memberi tunjuk ajar pada ganerasi yang lebih muda.

3- Terasa ingin mendengar pengalaman generasi yang lebih tua agar kita tidak melakukan kesilapan dalam menempuh hidup.

Kerana itulah dibanyakkan membaca agar banyak ilmu dapat dikutip.

Membaca memberikan ketenangan

Mengambil pengajaran dari sejarah silam
4. Hidup mesti diteruskan. Hujan atau mendung pasti akan berlalu.

5. Kawan datang dan pergi. Namun bagi saya biarlah mereka pergi membawa kenangan indah bersama kita. Biarlah kita diingatan mereka beserta doa mereka.. Ya Rabb.

6. Kita mula yakin dengan kekuatan dan kelebihan yang ALLAH kurniakan kepada diri kita.
Adakalanya ada perkara yang kita tak suka yang terpaksa kita lakukan pada masa lampau. Namun kerana hikmah dan kebijaksaan ALLAH ia menjadi perkara yang berguna bagi kita dan bermanfaat kepada orang lain juga.

7. Ya. Kita makin sering berfikir tentang dosa pahala. Makin memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang dahulunya kita culas untuk melakukannya.

8. Mengerti bahawa kehidupan ini perlukan pengorbanan. Jika ingin menjadi orang yang pandai, korbankan masa bersuka ria, gantikan dengan banyak menuntut ilmu dan membaca.

Jika ingin menjadi orang yang dekat di sisi ALLAH, korbankan kelazatan hiburan dunia, gantikanlah dengan ibadah.

Fokus pada apa yang anda mahu dan bersedialah untuk berkorban.

9- Usia dewasa juga membuatkan kita lebih fokus dengan matlamat hidup kita. Apa yang kita lakukan dan usahakana sebelum ini makin berbuah dan menampakkan hasilnya. Doa sentiasa dipanjatkan kepada Ilahi agar usaha-usaha yang kita lakukan adalah menuju jalan yang lurus, mendapat redha Ilahi

Hati sentiasa berdoa agar ditetapkan iman dan dihindarkan dari tersungkur di muka pintu syurga... Ya Rabb.

Sungguh hidup ini adalah ujian.

Semoga ALLAH memberkati usia kita.

Amin.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...