Friday, December 31, 2021

Whitey

بسم الله الرحمن الرحيم

 Entri ini ditulis pada 27/1/2021


Inilah Whitey. Nama pemberian anak-anak



Anak kambing yang kematian ibu selepas kelahirannya bulan lalu.


Setiap pagi dan petang perlu diberi minum susu dengan botol, itu juga tugasan anak-anak.

Monday, December 27, 2021

Perbaikilah bacaan Al Quran

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 26/1/2021 


Bagi yang ingin memperbaiki tajwid dan bacaan Al Quran, saya cadangkan untuk mendengar bacaan Dr.Ayman Suwaid. Bacaan inilah yang sering dipasang di rumah sekarang.



Boleh download dalam apps Quran for Android.


Bacaan yang bertajwid dan tertib. Insyaallah banyak membantu untuk memperbaiki bacaan Al Quran di samping mengaji dengan guru.

Thursday, December 23, 2021

KISAH WALKMAN.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 26/1/2021


Ketika tahun pertama di Syria, tahun 2001 (umur 16 tahun), pergi tasmik Al-Quran di rumah Anisah (ustazah).


Perjalanan dari asrama ke rumah Anisah lebih kurang setengah jam jalan kaki. Jadi bagi melupakan penat, sambil jalan mesti dengar walkman.



Satu hari walkman tertinggal di rumah Anisah.😨


Esoknya bila datang mengaji di rumah Anisah, Anisah bagitau: "Walkman enti tertinggal kelmarin. Saya dengar sebab nak tau enti dengar apa."


Alhamdulillah dalam walkman tu dengar kaset nasyid Bahasa Arab (hakikatnya memang tak mempunyai kaset lagu). Betapa malunya kita kalau orang/ guru kita tahu aib/ sifat buruk kita. Semoga Allah menutup keaiban kita selalu dan melorongkan kita ke jalan kebaikan.



"Boleh saya pinjam kaset enti?" Tanya Anisah

Sunday, December 19, 2021

Kematian

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 25/1/2021


Topik kesukaan Ahmad Zaid kebelakangan ini ialah tentang kematian:



 👶🏻: Baba, bila kita nak meninggal?


👶🏻: Mama, kalau kita dah meninggal, macam mana kita nak main game?


👶: Mama bila tok lang nak hidup balik?


*“Orang yang paling cerdik adalah mereka yang banyak mengingati mati, dan banyak membuat persiapan untuk menghadapi mati. Mereka itulah orang-orang yang cerdik.” (Direkodkan oleh Imam Ibnu Majah, dalam Sunan Ibnu Majah, kitab Al-Zuhd, bab Zikr Al-Maut Wa Isti’dad Lahu, no hadith 4259, daripada Ibnu Umar, status hadith hasan)*

Wednesday, December 15, 2021

Jangan rasa teruk kalau anda direject

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 25/1/2021


Selepas 2x pembetulan tesis (selepas Viva Disember tahun lepas) direject dan kena buat pembetulan lagi.Akhirnya penilai hantar emel untuk pembetulan terakhir sebelum dibukukan. Insyaallah.


Tesis + reject = berpisah tiada.



Dari awal hingga ke titik terakhir akan diminta buat pembetulan. Selepas pembetulan, pembetulan lagi, lagi dan lagi.


So, cool je. 


Sampai anak tanya: "Mama tak habis lagi ke PhD? Kata dah Viva" 😅

Saturday, December 11, 2021

Kehebatan menulis dan berucap di khalayak ramai

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 23/1/2021


Ketika di Syria pada usia belasan tahun, sangat kagum bila melihat siswa/wi yang pandai menulis dan bercakap di khalayak ramai. Nampak sangat berkarisma!


Pernah menyertai bengkel menulis dan bengkel berucap di dalam majlis yang dianjurkan oleh persatuan pelajar di Syria. Bila pulang ke Malaysia, cuba menambah ilmu melalui pembacaan.


Akhirnya 2 perkara yang dapat disimpulkan:



1. Cubalah untuk tidak bercakap/ menulis perkara yang kita tidak lakukan. Dan cubalah amalkan apa yang kita tulis/ cakapkan kepada orang.


((Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.)) As Soff


2. Kata-kata dari mulut hanya sampai ke telinga. Namun kata-kata dari hati, insya Allah akan masuk ke hati pendengar. Ikhlas itulah kuncinya.

Tuesday, December 7, 2021

Respon terhadap impian dan cita-cita

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 23/1/2021


Berikut adalah respon sahabat terhadap status Whatsapp berkenaan cita-cita dan impian yang ditulis dan ditampal di dinding.



Responnya:


Mungkin sekadar lawak jenaka daripada seorang sahabat.


Begitulah. Kelakar juga bila memikirkan kita ternanti-nanti wawasan 2020. Akhirnya ia berubah 360° dengan kewujudan Covid 19.


Semoga ada hikmah di sebaliknya.


Wallahua'lam.

Saturday, December 4, 2021

Apa ada dalam kotak ini?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Kelmarin saya kongsikan video ini di dalam status Whatsapp. Bertanya tentang respon sahabat kenalan apakah yang terdapat di dalam kotak ini?




Dan inilah antara jawapan yang saya terima:






Ramai yang teka benda dalam kotak ini ialah: tasbih, kurma, kain pelekat, mainan, telekung.....tak, tak. Semuanya salah.😅

Hanya seorang sahaja yang dapat jawab betul, setelah beberapa percubaan.


Inilah benda dalam kotak itu..............(boleh tonton dalam video di bawah.)

Insyaallah saya akan dikongsikan reviu tentangnya dalam entri yang akan datang, insyaallah.






Friday, December 3, 2021

Respon terhadap amalan menghadapi kepenatan seharian

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 23/1/2021


Berikut adalah respon para sahabat terhadap status Whatsapp berkenaan amalan yang diamalkan menghadapi kepenatan melayan anak-anak kecil yang ditulis pada entri sebelum ini.





Kelihatan ramai orang sukakan tips yang boleh menyelesaikan masalah mereka.


Insyaallah semoga bermanfaat untuk semua.

Monday, November 29, 2021

Mencoret impian

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 23/1/2021


Di awal usia 20an, sering menulis dan menampal cita-cita/ impian. 


Alhamdulillah sekarang di pertengahan usia 30an, kelihatan satu persatu impian itu Allah realisasikan. Alhamdulillah.


Kini, masih lagi menulis dan menampal impian di dinding. 



Setiap hari akan lihat dan berdoa: Ya Allah. Inilah impian aku.


Sungguh impian kita terlalu banyak. 


Bersama impian itu, kita selitkan keimanan dan pengharapan pada kekuasaan Allah Yang Maha Kaya dan Penyayang. Dia terus memberi dalam pada kita yang lalai.

Thursday, November 25, 2021

Hasil berbakti pada tanah

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 23/1/2021


Dalam musim kemarau ini, setiap hari menyiram pokok di kawasan Maahad.


Untuk satu sesi siraman dari depan hingga belakang memakan masa lebih sejam setengah kerana kawasan Maahad yang luas.


Namun di sebalik itu, saya menikmati nikmat bersendirian menyiram pokok sambil mendengar kuliah melalui handphone.



Hinggakan selalu terfikir, patutlah ramai orang suka berkebun. Sungguh ia mendamaikan dan menenangkan hati. Alhamdulillah.


Berinteraksi dengan Alam, pasti ada pulangan kepada diri kita dari segi luaran dan dalaman.


Alhamdulillah.

Sunday, November 21, 2021

Penat dengan anak kecik. Tak sempat nak ajar

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 24/1/2021


Ujian kita semua berbeza, namun kita mengharapkan natijah yang sama: REDHA ILAHI.


Bila mendengar kawan-kawan bercerita tentang kepenatan dengan anak-anak kecik, tak ada masa nak ajar anak, saya teringatkan begitu jugalah kami 10 tahun lalu.


Bukanlah OCD, tapi kewajipan setiap hari untuk mop rumah dan kemas kain baju.


Jarak antara Abdul Rahman dan Abdullah 2 tahun pula terasa letihnya walau hanya 2 orang (sebelum kelahiran Ahmad 7 tahun kemudian).




Cuba juga untuk memimpin anak-anak mengenal huruf Al Quran hingga habis hafaz Al-Quran dan sekarang masih bersama-sama mengulang hafazan.


Anak remaja pula, tak susah untuk ajar pelajaran, mereka sudah berdikari. Namun fokus kita pada mantapkan akhlak dan akidah mereka.


Kita harungi semuanya bersama-sama, saat penat, sedih dan juga saat mereka membanggakan.


Apa yang Allah rezekikan saya untuk amalkan:


1. Zikir sentiasa seperti yang Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ajar kepada puteri baginda.


2. Sebelum tidur malam: doa selalu: 

"Ya Allah, berikanlah aku kekuatan ketika bangun pagi nanti, banyak perkara yang nak kena selesaikan."


3. Pilih keutamaan.

Apa yang tak penting nak buat, tinggalkan dulu.


Insyaallah ada kekuatan yang Allah kurniakan kepada ibu ayah sekalian.


Berdoalah selalu.

Wednesday, November 17, 2021

Lubuk hati guru bila diumumkan pembelajaran online

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 23/1/2021


 Berusahalah sehabis baik. Selepas itu bertawakallah kepada Allah.



Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".


حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرُ, وَلَاحَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ


Cukuplah Allah tempat berserah diri bagi kami, sebaik-baik pelindung kami, dan sebaik-baik penolong kami,

Dan tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Saturday, November 13, 2021

Respon kepada status Whatsapp


بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 18/1/2021

Berikut adalah beberapa respon kepada status di Whatsapp peribadi.




 



Alhamdulillah. Semoga ada kebaikan dan manfaat yang dapat dikongsikan. Insyaallah.


Tuesday, November 9, 2021

Penyelamat kita

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 17/1/2021

Setiap hari kita lalui dengan kesibukan. Namun janganlah dipinggirkan Al Quran dalam 24jam kita. Lebih-lebih lagi yang pernah menghafaz Al-Quran. 

Selangkah kita menjauh dari Al Quran, makin Al Quran meninggalkan kita, ibarat unta liar.

Jangan pernah jemu bertanya khabar tentang hafazan anak-anak. "Dah habis tasmik tak hari ni?"


Dengan harapan mereka prihatin menjaga hafazan Al-Quran di masa hadapan.

Kita juga tunjukkan contoh yang baik menjadi pendamping Al Quran, insya Allah.

Dunia kian di penghujungnya, Al Quranlah penyelamat kita, berpegang teguhlah dengannya. Moga hidup mati kita bersama Al Quran. Amin🤲🏻


Friday, November 5, 2021

Respon

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 16/1/2021


Inilah antara respon yang saya terima selepas berkongsi post ini di status Whatsapp.






Ya. Kehidupan seharian kita ada pelajaran. Kita belajar dari suasana dan orang sekeliling kita.


Semoga ia pelajaran yang membawa kita dekat dengan Allah Subhanahu wata'ala. Amin.

Monday, November 1, 2021

Antara tugas berat ibu ayah

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 15/1/2021


 Setuju atau tidak?

Antara tanggungjawab harian ibu ayah yang berat ialah gerak anak-anak bangkit tidur pagi-pagi.


Kalau masa kecik, bolehlah kita tarik bawak masuk toilet terus, anak dah besar, kita pun tak larat nak tarik.



Kalau mama yang gerak bangun pagi, siap dengan pakej ceramah sebelum subuh:

"Bangun terus, boleh solat tahajjud dan witir, lebih baik dari seisi dunia. Masa tak banyak dah. Kalau kat Maahad boleh tahajjud tiap-tiap hari, kat rumah pun kena buat."


Perkataan CEPAT diulang berpuluh kali.


Walaupun adakalanya penat nak kejut anak-anak di pagi hari, suruh solat subuh jemaah di masjid Maahad, tapi teruskan juga, kerana tak tentu esok kita masih ada peluang untuk lakukannya ataupun tidak?


Insyaallah pahala mereka bangkit ibadah pagi mengalir kepada ibu ayah juga. Amin.

Thursday, October 28, 2021

Kisah 2 orang pelanggan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 13/1/2021


👦🏻: Mama, tadi ada orang beli susu kambing semua, pastu dia suruh sedekah je kat semua orang.


🧕🏻: Alhamdulillah. (Dalam keadaan pandemik yang meruncing pun masih ramai yang suka bersedekah.)



👦🏻: Lepas tu ada pakcik, dia tanya harga susu kambing, bila kami habaq harga terus dia p. Pastu bila kami kata ada orang dah bayar suruh sedekah dia amik pulak😅.


🧕🏻: Takpelah. Dia tak bawak duit kot nak beli awal tu.


Duhai anak, makin kamu bermasyarakat, makin kena jaga hati dan mulut. Sepatah kata itu boleh mengheret samada KE SYURGA ATAU NERAKA.

Jagalah lidah dan sucikanlah hati ❤️

Sunday, October 24, 2021

MULAKAN

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 13/1/2021


Sungguh bila baca kita tentang kitab rumahtangga/ tarbiyah anak-anak, hati rasakan ia terlalu ideal dan tinggi untuk dicapai.


Tapi, berdoalah dan mula melangkah.


Jika masih bujang, Islah diri sendiri. Banyakkan ibadah, tingkatkan ilmu.


Jika sudah berdua. Sama-sama merancang dan membina.


Jika sudah mempunyai anak-anak, teruskan perjuangan tanpa henti.


Rumahtangga kita pasti ada keaiban yang orang tak tahu. Kitalah yang perbaikinya. Kitalah yang berusaha untuk membentuknya, bukan orang lain.


Berdoa dan usahalah ke arah keluarga mithali, diredhai Allah, bahagia dunia akhirat.



Nota: Antara kitab kesukaan sejak sebelum kahwin, "Kaedah-kaedah membentuk rumahtangga Muslim"

Wednesday, October 20, 2021

Bahagia?

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 11/1/2021


 Ada orang merasa bahagia ketika membaca Al-Quran.


Ada yang rasa bahagia ketika mengajarnya.


Ada pula yang rasa bahagia ketika menghafaz Al-Quran.



Orang yang dianugerahkan kesemua ini, sesungguhnya dia dikurniakan kebaikan yang banyak.

Saturday, October 16, 2021

Ibadah Identiti?

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 10/1/2021


 Selain dari ibadah harian, identiti kita juga mempunyai ibadah yang khusus/ utama.


Renungkan siapa diri kita dan apa ibadah istimewa yang dapat dilaksanakan.



ADAT (RUTIN) + NIAT = IBADAT


Info lanjut:

https://youtu.be/0yw2am1z348

Tuesday, October 12, 2021

JANGAN LUPA

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 10/1/2021


 Jangan sesekali kamu lupa!


Satu ketika dulu, kamu pernah berdoa kepada Allah untuk perkara-perkara yang kamu milikinya pada hari ini.



SUNGGUH! Alhamdulillah 😢

Friday, October 8, 2021

Kronologi kisah Dorayaki

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/1/2021


1. Ahmad dah 2,3 hari dok ulang minta Dorayaki, cari keliling K.Ketil, tak jumpa. Dalam masa yang sama, Ahmad on off sakit perut. Bila sihat, dia buat nakal, bila sakit, kesian sangat, asyik tidur je. Bangkit tidur cari Dorayaki.

"Baba beli dah tak Dorayaki?"😢


2. Hari ni pun 2x pusing k.ketil, Dorayaki pupus.



3. Nasib baik, pernah tangkap gambar plastik Dorayaki. Wassap nombor kat plastik tu. Nasib baik tokey tu boleh buat.


Rupanya rumah dia belakang rumah sewa Ustazah Alimah je😅.


Alhamdulillah. Mission accomplished.

Monday, October 4, 2021

TAMAN-TAMAN SYURGA

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 9/1/2021


Antara perkara yang saya ingin lakukan ketika cuti hujung tahun lepas ialah menyertai daurah kitab.


Rindunya pada suasana ketekunan menuntut ilmu. Ketenangan. Barakah.


Seperti daurah kitab Sheikh Mustofa Bugha dan Sheikh Nuruddin Al-Banjari yang pernah kami sertai beberapa tahun lepas.


Walaupun hasrat tidak tercapai, plan B ialah dengan download video kuliah di YouTube (sebab tak suka dikacau iklan kalau tengok secara live) dan dengar selalu walaupun ketika buat kerja-kerja rumah.



ما لا يدرك كله لا يترك جله


((Apa-apa yang tidak boleh dilakukan kesemuanya, maka janganlah pula ia ditinggalkan semuanya.))


Insyaallah ada peluang lagi untuk menuntut ilmu di masa hadapan. Menikmati anugerah suasana taman-taman Syurga💕💕

Friday, October 1, 2021

Ujian banjir di Maahad Al Iman Li Ulumil Quran

 بسم الله الرحمن الرحيم


Segala apa yang Allah tentukan untuk kita adalah supaya kita kembali mengingati-Nya dan banyak bersyukur kepadaNya.



Untuk diri saya , ini adalah kali pertama merasai ujian banjir.


Petang Rabu 29/9/2021, air sungai mula melimpah masuk tasik, air tasik mula naik.


Pada keesokkan harinya, air semakin tinggi dan ia berterusan naik hingga maghrib.






Kawasan depan rumah ini dinaiki air sehingga paras dada.

Rasa takut dan terus menerus berdoa kepada Allah SWT agar keadaan tidak memburuk.


Hari itu juga merupakan hari vaksin para pelajar Maahad di Maahad.












Ada masa kita diselubungi rasa TAKUT.

Takutkan bencana alam, takut menghadapi ujian, takut fikirkan masa depan, takut sakit, takut kehilangan harta dan orang tersayang, takut perkara seram, dan macam2 lagi.

((Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, *dan mengamankan mereka dari ketakutan.* )) *Surah Quraisy: 4*

Allah jualah Pemberi Ketenangan. Kepada Dialah kita memohon keamanan dan ketenangan.

Ujian yang melanda agar hati terus berpaut, bergantung harap kepada Allah.





Semoga Allah terus melihat kita semua dengan pandangan rahmat dan kasih sayang.

Amin.





Thursday, September 30, 2021

Besarkah masalah kita?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/1/2021


Sebesar mana pun masalah kita di dunia ini, adakah lebih besar dari masalah Nabi Yunus yang berada dalam perut ikan paus beberapa lama?



_((Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), Tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.))_ As Soffaat


Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita, insya Allah

Sunday, September 26, 2021

Adakah kita dah berjaya mendidik anak-anak kita?

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 6/1/2020


 "Adakah kita dah berjaya mendidik anak² kita?" Soalan saya tanyakan kepada suami minggu lepas.


Jawapannya ialah: TAK



Untuk menetapkan kejayaan mendidik anak² pada usia mereka di awal remaja ini bukanlah satu perkara yang tepat.


Perjalanan mereka masih jauh dan perlukan bimbingan.


Kukuhkah akidah mereka? Kuatkah ibadah mereka? Muliakah akhlak mereka? Mantapkah ilmu mereka?


Masih banyak perlu diusahakan dan diperbaiki.


Mungkin ada salah silap dalam didikan kita. Mungkin terlalu tegas, terlalu manja, mungkin ada aspek yang tercicir. Wallahua'lam.


Doalah sentiasa semoga dijauhkan dari segala keburukan dan dipelihara Allah.

Thursday, September 23, 2021

PENDIDIKAN BAHASA ARAB TIDAK RASMI

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis 6/1/2021 


Seperti abang-abangnya, pesanan untuk Ahmad juga sama:

"Kalau nak tengok kartun, tengok kartun Arab."


Kadang-kadang ada juga dia minta tengok kartun Melayu, cuma kebanyakannya adalah kartun Bahasa Arab.


Banyak kartun Bahasa Arab yang terkini dan menarik.



Pendidikan itu bukanlah sehari dua, sebulan dua, setahun dua, malahan ia berpanjangan sebelum kita mengutip hasilnya.


Walaupun masih ada kekurangan dalam mendidik, moga dapat kita tampung. Allah jualah tempat berharap dan sebaik-baik pembantu.

Sunday, September 19, 2021

Tujuan beragama.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 5/1/2021





Islam itu mendisiplinkan diri kita. (Lihat gambar)


Dari buku: Seteguh Gunung Fuji Berdiri.

Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud.

Wednesday, September 15, 2021

KELEBIHAN KITA?

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 5/1/2021


 KELEBIHAN YANG ALLAH BERI KEPADA KITA.


((Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.)) -Al Isra.



KELEBIHAN DI DUNIA: 

adalah ujian. Adakah disyukuri Pemberinya atau leka dengan kelebihan itu?


Adakah membawa kepada syukur, atau kufur?


KELEBIHAN DI AKHIRAT: 

Bukti Allah redha kepada kita


___________________________


Info lanjut di sini:

https://youtu.be/-o5dVr75Br0

Saturday, September 11, 2021

Kek tapak kuda viral😍😍😍

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 12/9/2021


Akhirnya dapat juga rasa kek viral sekarang ni.


Kek yang lembut, tak kering dan meriahya Nutella 😋😋😋



Penghantaran secara pos pun boleh. Harga setanding kualiti. Untuk COD area Kuala Ketil, boleh runding. Sila hubungi nombor yang tertera

+60 13-400 4552

Siti Hajar


Ya, ya...Janji esok start diet😅

1ST TIME RASA STREET FOOD DI KELANTAN


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 2/1/2021


Walaupun banyak kali pernah melancong ke Kelantan, tapi ini kali pertama merasai 2 makanan ini.


Sebelum ini hanya tengok saja tepi jalan sebab tak berani nak rasa.


Tapi bila ada kawan-kawan (anak Kelantan) yang makan dan post di media sosial, baru berani nak makan.



Mission accomplished


Putu halba.


Rasa macam putu piring tapi liat lagi sebab buat dari ubi kayu.


Not bad. Habis makan bertiga semua ni. Sedap makan panas-panas macam putu piring. Suka bau ubi kayu dia.



Beli sebab sebelum ni selalu tengok Ustazah Soleha post kat medsoc kata sedap.


Rasa ok jugak, cuma stress payah buka sampai Google camna cara mudah buka etok.

Selepas panaskan dalam oven, terus semua etok terbuka dengan mudah😍😍😍


Yang tak jumpa lagi ketupat sotong yang Ustazah Mimi selalu post. Bukan musim kot.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...