Showing posts with label Perjalanan PhD. Show all posts
Showing posts with label Perjalanan PhD. Show all posts

Sunday, November 26, 2023

PERLAHAN-LAHAN BERTATIH MENGHAFAZ AL-QURAN.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 15/11/2021


Ketika proses Abdul Rahman dan Abdullah menghafaz Al-Quran, dengan penuh sabar dan mengharap, meniti bersama-sama mereka menghafaz ayat-ayat Al Quran sedikit demi sedikit hingga khatam beberapa tahun lalu.


Setiap surah yang siap dihafaz diwarnakan dan diletakkan tarikh (jika sempat). Abdulrahman warna 💛, Abdullah 💙.



Kini giliran Ahmad Zaid (6 tahun) pula menghafaz Al-Quran seperti abang-abangnya. Begitu juga prosesnya. Dan ditanda dengan warna 💚, dengan penuh harapan dan doa moga dapat menghafaz dengan baik.


Insyaallah sama-sama seisi keluarga kita berusaha menghafaz dan menjaga hafazan Al-Quran.

Friday, June 11, 2021

Pahit manis pengajian pascasiswazah

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/12/2020 


Perjalanan pengajian sarjana kami suami isteri bermula pada tahun 2009. Ketika Abdul Rahman berusia 3 tahun dan Abdullah berusia setahun. 



Ketika itu ramai sahabat yang habis mengaji di Syria turut sambung pengajian di KUIN Alor Setar. Ada yang dari Perlis, Kedah dan Perak. 


Bermulalah rutin berulang Kuala Ketil - Alor Star (90km) setiap hujung minggu. Keluar selepas subuh, hantar anak-anak ke rumah sewa akhawat dan sampai rumah selepas Isyak. 


Pengalaman sampai ke kelas dan dapat berita kelas dibatalkan pernah dilalui.


Weekdays pula mengajar di Tahfiz Mutmainnah.


Setiap kali tiba musim peperiksaan di KUIN, Abdullah akan demam. 


Selepas selesai sarjana, bila penyelia dan dekan pelawa untuk sambung phD, terus ambil borang di pejabat. 


Berbincang dengan mak abah dan mertua, alhamdulillah semua berikan respon positif. 


Pengalaman masuk defend proposal tesis ketika usia kandungan di trimester pertama. 


Ulang banyak kali dalam hati sebelum dan semasa pembentangan :

"Jangan muntah. Jangan muntah." Alhamdulillah pembentangan berakhir tanpa muntah. Kalau muntah, sapa nak lap dewan tu? 😅


Begitulah kenangan dan cabaran mengaji di tahap pascasiswazah


Nota gambar: Kad pelajar milik suami, penuh sejarah....

Monday, June 7, 2021

Sumber semangat menulis phD

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 5/12/2020


 Walaupun pengajian pascasiswazah ini lebih fokus kepada perjuangan seorang diri, tapi bila ada kawan² yang sama melanjutkan pengajian, ia sedikit sebanyak dapat memberikan semangat kepada diri kita. 


Di Maahad Al Iman, ada 5 orang ustazah yang sedang buat master dalam Bahagian Muamalat, Bahasa Arab dan Al Quran. 


Walaupun dalam bidang yang berbeza, namun dapat berkongsi info, tolong semak terjemahan abstrak, tolong peringat bayar yuran, peringat activate status tiap awal semester, ingatkan submit report setiap penghujung sem, berkongsi perasaan saat kebuntuan dan ketandusan idea. 


Itulah antara pembakar semangat bila hadir rasa putus asa dan bila terfikir "kenapalah aku cari pasal p sambung mengaji? " 😅



*Nota: Gambar Pameran Hari Palestin di Maahad Bulan September lalu*

Thursday, June 3, 2021

Perkara penting untuk menyambung pengajian bagi yang berkerjaya + berkeluarga

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada


1. Jangan stress sampai buat ahli rumah kita turut stress. Walaupun hanya duduk berfikir menulis, tapi boleh menyebabkan sakit belakang, bahu, pening dan nak termuntah (seriously). Rehatlah bila penat.


2. Bahagikan keutamaan: Anda perlu buat kerja pejabat, kerja rumah, mendidik anak-anak, buat tesis. Apa yang boleh serahkan kepada orang lain, serah. Apa yang boleh ditangguh, tangguhkan. Apa yang perlu selesaikan dulu, selesaikan.





3. Saling bekerjasama, memberi motivasi dan mendoakan. Perjalanan ini mungkin akan ditempuhi dengan putus asa, tekanan, kebuntuan...... mereka yang paling rapatlah yang memainkan peranan memberikan motivasi dan doa. Kemanisan kejayaan pasti dirasai selepas penat berjuang.


Apa yang diharapkan dari proses ini semoga bertambah ilmu, lebih berdisiplin, lebih berakhlak, lebih dekat dengan Allah SWT dan lebih bermanfaat kepada masyarakat.

Sunday, May 30, 2021

Pengalaman Viva Voce PhD Tafsir dan Sains Al Quran- Siri 2

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 2/12/2020


Sambungan dari siri 1...


Pada malam sebelum Viva, saya cuba berlatih lagi depan suami. Malam itu juga Alhamdulillah dapat tidur awal, cuma terjaga jam 12 hingga jam 3.30pagi baru boleh lena semula.


Alhamdulillah paginya bangkit jam 4.45. Walaupun agak penat kerana terjaga di malam hari, terus bangkit kemas rumah, sidai baju, solat tahajjud dan keluar joging sebelum masuk pejabat. Saya tidak ambil cuti kerana Viva bermula jam 10.






Saya hadir ke pejabat dulu dan keluar jam 8.45.


Unishams hanya 5 minit sahaja dari rumah. Namun tempoh sejam menunggu bermulanya Viva terasa sekejap kerana perlu test line dan semak semula slide pembentangan.


Jam 10, juruacara Dr.Redha Surur, penyelia tesis Dr.Hadi , timbalan pengarah Dr.Hayati memulakan majlis.


Selepas kata-kata aluan, saya diminta untuk membentang tentang rangka tesis dalam masa 20 minit.




Alhamdulillah pembentangan berjalan lancar. Cuma yang gerunnya ketika komen penilai dan juga soalan yang diajukan oleh mereka.


Ya Allah...Rasa nak pengsan rasanya.


Dalam hati saya berkata: "Sudahlah jangan tanya lagi."😅


Namun ditabahkan hati untuk mendengar cadangan dan menjawab soalan hingga penilai yang ketiga.


Seluruh sesi Viva adalah dalam Bahasa Arab.


Selesai penilaian, saya dan penyelia diminta keluar untuk mereka berbincang dan memberikan keputusan.


Alhamdulillah berkat doa semua, saya lulus dengan minor correction.


Selepas Viva pun masih rasa gerun lagi. Saya dan suami dijemput untuk makan jamuan kecil bersama doktor-doktor yang hadir sesi Viva sebentar tadi.


Pulang ke rumah terus rasa penat sangat. Solat zohor dan terus tidur.


Alhamdulillah ucapan dan doa dari saudara mara dan sahabat handai memenuhi media sosial. Alhamdulillah semoga ia bermanfaat buat semua.


Alhamdulillah

Thursday, May 27, 2021

Pengalaman Viva Voce PhD Tafsir dan Sains Al Quran- Siri 1


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 2/12/2020


Alhamdulillah hari ini selesai Viva voce untuk tesis PhD yang ditulis dalam masa 6 tahun.


Pengalaman Viva sangat unik.


Seminggu sebelum Viva, pejabat akan telefon dan maklumkan tarikh, namun nama-nama penilai tidak diberitahu.


Sehari sebelum Viva perlu, hadir ke bilik Viva untuk test line internet dan rehearsal kerana Viva diadakan secara online kerana wabak Covid.



Penilai luar dari Indonesia dan Prof berbangsa Arab yang mengajar di UIA.


Alhamdulillah saya tidaklah terlalu takut berbanding kali pertama ketika pembentangan tajuk tesis awal-awal dahulu.


Mungkin kerana sudah banyak kali bentang dan pernah diadakan mock Viva, jadi rasa gemuruh itu sangat berkurangan.





Teringat ketika 10 tahun lalu, untuk membentangkan seminar pun sangat gemuruh.


Alah biasa tegal biasa.


Alhamdulillah. Perasaan gemuruh dapat dikawal.


Syukur ke hadrat Ilahi yang permudahkan segala urusan.


Jazakumullahu Khairan Kathira kepada Ustaz Dr.Hadi Musollin, penyelia dari Master hingga PhD, Dr.Hayati yang banyak memberikan nasihat, Puan Zura yang banyak membantu dan semua kakitangan Unishams.


Buat suami, anak-anak yang banyak berkorban. Mak abah, adik beradik, ipar duai, sahabat-sahabat tempat berkongsi suka duka. 


Allah berkati kalian semoga. Semoga bermanfaat buat semua.


Bersambung..........

Saturday, January 20, 2018

Kita lalai !

بسم الله الرحمن الرحيم


Seringkali apabila menulis tesis, mengkaji bahan-bahan dan tulisan yang ada, ada sahaja bab yang menjadi teguran kepada diri sendiri dan juga keluarga.

Banyak bab yang ditulis yang menyentuh hati pasti akan dikongsikan semula kepada khalayak di alam maya.

Seperti yang pernah ditulis di sini:



Alhamdulillah...

Itulah antara tujuan utama saya menulis tesis.

Supaya diri ini sentiasa dalam suasana ilmu dan tidak terbuai dan kesenangan, keseronokan dan kelalaian membunuh masa.

Berehat dari kepenatan itu tidak salah.

Yang menjadi kesalahan apabila berlama-lama berehat hingga membunuh semangat, kurang ibadah dan lalai.

Tajuk yang menjentik hati

Ayat yang dibahas

Kita lalai walaupun Hari Perhitungan Amalan kita kian menghampir

Antara kelalaian yang meyelimuti kita

Akibat dari kelalaian-kelaian 

Saya kongsikan antara isi-isi bab ini kepada anak-anak:

"Mama tulis bab sifat orang kafir yang suka hiburan, kelalaian dan melalaikan orang Islam. Sampai zaman lani pun.

Kita lalai dengan hiburan, internet, game, kartun, sibuk dengan fesyen, hias baju, hias kereta, sibuk nak makan macam-macam.....

Lepas tu siapa yang nak fikir tentang ilmu?

Siapa yang nak fikir tentang ibadah?

Siapa yang nak jaga ibadah malam?

Siapa yang nak hafal Al-Quran?

Sebab tu abang dengan adik kena hafal AlQuran, supaya kita tak lalai..sentiasa ada perkara yang berfaedah yang kita nak buat.

Lepas hafal Al-Quran, kita kaji pulak Al-Quran.

Sentiasa berfikir untuk Islam.

Barulah kita tak jadi orang yang lalai."


Semoga kita tidak menajdi orang yang lalai.

Amin Ya Rabb

Saturday, April 29, 2017

Perancangan yang tidak menjadi.

بسم الله الرحمن الرحيم


Hari rabu dan khamis adalah hari yang ditunggu-tunggu untuk menulis tesis. Hari rabu dan khamis agak berkelapangan untuk menulis tesis.

Tapi Ya Allah.....adakalanya apa yang kita rancang-rancang dan plan tidak menjadi sebaiknya.

Hari rabulah mula tidak sihat, kepala berat, pening, mata panas, tidak larat untuk fokus depan laptop. Ahmad Zaid pula jaga tidur awal, jika Ahmad bangun, pandai dia tak bagi orang tulis tesis, dia akan kacau, tak boleh nak fokus. Jika Ahmad jaga, sesuai ajak dia mengemas rumah. 

Kesannya sekarang walaupun Ahmad baru berusia 1 tahun 4 bulan, Ahmad sudah boleh membuang sampah di tong sampah. Alhamdulillah.

Hari khamis pula Ahmad tidur elok hingga ke tengahari, namun baba pula menggunakan laptop untuk hantar tesis pada tengahari tersebut.

Walaupun agak kecewa dengan plan yang tidak menjadi, namun cuba untuk memujuk hati sendiri agar redha dengan ketentuan Allah. Tentu ada hikmah yang Allah tahu. Syukur juga kerana baba dapat selesaikan tesisnya untuk dihantar.

Begitu juga ada ketikanya Ahmad Zaid tidur elok, namun hari hujan. Kalau tidak ada pengalaman laptop yang rosak kerana petir, tentu berani untuk on laptop dan buat bahas. Namun, sudah 1 laptop dan 1 modem total lost kerana disambar petir cukup menjadikan pengajaran untuk tidak menggunakannya ketika cuaca tidak mengizinkan.

Netbook lama yang sudah rosak, jadi mainan Ahmad Zaid sahaja sekarang ini

Kita hanya merancang, Allah lah yang menentukannya.


Semoga perjalanan phD ini berjalan lancar Ya Rabb.

Friday, April 21, 2017

Istiqamah dalam menuntut ilmu

بسم الله الرحمن الرحيم


Beberapa bulan yang lalu, ketika saya dalam keadaan 'stuck' setelah dipulangkan tesis untuk diperbaiki sebelum munaqasyah kali ke-2,  saya tinggalkan tesis dalam masa beberapa bulan juga kerana tiada idea bagaimana ingin memperbaiki tesis lagi.

Seingat saya begitu jugalah keadaannya ketika setiap kali dipulangkan tesis samada ketika peringkat Master ataupun PhD..

Mesti akan tergendala beberapa bulan dalam keadaan resah gelisah setiap hari kerana tiada idea dan mood untuk memperbaiki tesis.

Blank!

Serius blank!

Apa lagilah yang nak ditulis?


Sumber: Google

Saat-saat 'stuck' itu biasanya diisi dengan banyak membaca buku-buku secara santai dan juga menulis untuk buku-buku yang lain untuk diterbitkan.


Namun setiap hari pun sentiasa resah gelisah bagaimana ingin memperbaiki lagi tesis.?

Buku-buku yang sudah dibaca

Alhamdulillah, apabila telah menjumpai jalannya, barulah boleh mula mencari-cari maklumat untuk menambah lagi maklumat di dalam tesis.

MasyaALLAH, ketika itu terasa betapa banyak lagi ilmu yang kurang di dalam dada.

Terasa alahai..... ciputnya ilmu yang aku ada.

Ketika itu terasa Ya ALLAh betapa pentingnya istiqamah dalam menuntut ilmu.

Sumber: Google

Ilmu jika ditinggalkan pasti akan lupa.

Perlu sentiasa membaca kitab-kitab ilmu selain buku-buku yang santai.

Itu jugalah niat saya yang saya suarakan kepada orang terdekat ketika ingin menyambung PhD. Saya ingin mendisiplin diri untuk istiqamah menuntut ilmu, membuka kitab-kitab dan menggali lagi ilmu.

Saya juga sentiasa tertanya-tanya (kepada diri sendiri dan orang yang terdekat), apakah lagi perkara yang boleh saya lakukan dan sumbangkan untuk memanfaatkan lagi sedikit ilmu yang saya perolehi agar ilmu itu tidak dilupai?

Sayang sangat jika ilmu yang dipelajari dilupakan.

Doa saya sentiasa semoga Allah tunjukkan jalan yang terbaik, InsyaALLAH.
Amin.

Doakan semoga perjalanan PhD (serta munaqasyah) ini selesai dengan sempurna dan selamat dan kami mampu menghasilkan lebih banyak lagi bahan-bahan ilmu yang berkualiti untuk dimanfaatkan bersama masyarakat.

Amin.

Sunday, April 9, 2017

Info buku: PhD Mama

بسم الله الرحمن الرحيم

Perjalanan menulis tesis dalam masa yang panjang pasti ada pasang surutnya.

Adakalanya rasa bersemangat mengadap laptop berjam-jam untuk menulis tesis, ada masa yang lain pula, lebih sebulan tidak membuka tesis.

Blank!

Tiada idea mahu menulis apa?


Saya rumuskan perjalanan menulis tesis seperti di bawah:
Ketika permulaan memang amat bersemangat, ya Rabb.

Apabila dipulangkan tesis untuk dibetulkan terus hilang mood,
tidak tahu bagaimana untuk diperbaiki lagi tesis 

Ia sudah tentu berbeza dengan orang lain kerana komitmen kita berlainan, perjalanan hidup kita berlainan, ujian hidup kita juga berlainan, sikap kita juga berlainan. Ada orang yang boleh menghadap tesis setiap hari berjam-jam. Rajin teramat.

Ada pula yang baru turn on laptop, anak kecik terus turn off soket plag. Ya Rabb!



Kerana itu saya sangat suka jika dapat membaca buku tentang pengalaman orang lain dalam perjalanan menulis phD seperti buku Prof Kamil Ibrahim yang pernah ditulis DI SINI

Kebetulan ini sebuah lagi buku tentang perjalanan PhD Dr. Nik Salida yang saya sudah selesai membacanya.

Sample buku boleh dibaca
DI SINI



MasyaALLAH banyak yang saya dapat manfaat dari buku ini.

Antara helaian yang membuatkan saya tertarik ialah seperti di bawah:

Betul

Facebook juga agak menganggu ketika menulis tesis ini

Begitu juga blog...huhuhu
Makin ingin menulis tesis, makin banyak pula idea nak menulis blog dan buku-buku lain.

Ya Rabb!

Sungguh.

Adakalanya rasa ingin berhenti di pertengahan jalan.

Mengenangkan pengorbanan orang lain untuk kita dan
sokongan mereka, hati perlu kuat.

Teruskan menulis!



Benar.

Perjalanan PhD sering membuatkan kita ragu-ragu dengan keputusan
yang kita ambil.

Allah tetapkanlah hati kita semua atas jalan yang benar.

Alhamdulillah buku ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada saya untuk teruskan menulis tesis phD saya.

Mohon doakan saya dapat tamatkan ia dengan baik dan ia memberi manfaat yang bannyak kepada masyarakat.

Amin Ya Rabb

Saturday, October 29, 2016

Perjalanan hidup dan menulis tesis.

بسم الله الرحمن الرحيم


***Catatan untuk menaikkan motivasi diri menamatkan PhD !

Perjalanan hidup dan tugasan menulis tesis yang belum selesai lagi.

Kalau diikutkan, setelah tamat master usuluddin beberapa tahun yang lalu, tugasan menulis tesis boleh ditamatkan.

Tidak perlu lagi dipeningkan kepala menulis tesis dan mengadap laptop berjam-jam.

Namun tercabar dengan pelawaan Dekan Usuluddin dan juga Penyelia untuk menyambung PhD pula.

Ditambah lagi dengan godaan rakan-rakan sekelas ketika Master yang ada yang sudah tamat PhD mereka.

Kelihatan seperti mudah sahaja.

Cepat sahaja mereka tamatkan PhD mereka.

Minda pada ketika itu mengatakan:
"Kalau mereka boleh, takkan aku tak boleh kan?"

Maka tugasan menulis tesis diteruskan.

Menghadap laptop berjam-jam.

Mencari bahan.

Menaip.

Jumpa penyelia.

Pembentangan.

Dipulangkan tesis untuk pembetulan.

Pembetulan.

Pembetulan lagi

Bentang lagi.

Betulkan lagi.

Mood suam-suam air suam.

Tak ada mood.

Tak tahu nak tulis apa.


Tak tahu nak mula dari mana.

Tak tahu bagaimana nak teruskan.


Begitulah situasinya bila ingin menyelesaikan tugasan.

Ditambah lagi apabila mendapat Ahmad Zaid, anak ketiga.

Baru on laptop, Zaid dah menangis.

Dibiarkan laptop begitu sahaja.

Tiba-tiba sahaja dah pukul 11 malam.

1 huruf pun tak ditaip!

Tesis jangan dibuat dalam keadaan serabut.

Nanti stress!

Sentiasa menanti masa yang sesuai untuk menulis.

Hari-hari pulang dari kerja (sekolah), sentiasa mengharap ada kekuatan untuk menulis tesis.

Tidak boleh juga nak menulis tesis bila rumah kotor, lantai melekit, baju tak berlipat, serabut otak! Biar semua selesai dan bersih, barulah kita fikirkan tentang tesis.

Menulis tesis tidak sama seperti menulis di facebook dan blog secara santai dan suka-suka.

Menulis tesis perlu fokus, fokus fokus!

Sekali hilang fokus, terus tak ada idea nak sambung tulis.


Bila ada masa, tiada mood dan idea pula.

Aduh!


Semuanya dilalui dengan bantuan Allah.

Pada  Allah sahaja dipanjatkan doa dan memohon bantuan.

Kata-kata semangat dari keluarga dan rakan-rakan dan peringatan agar terus menulis banyak memaksa diri.

MasyaALLAH.

Allah berikan pahala yang berganda untuk kalian.


1- Tesis kita tidak akan dapat selesai jika kita tidak melakukannya.

2- Tiada orang lain dapat membantu kita jika bukan kita sendiri yang menulisnya.

3- Godaan pasti akan tiba bila ingin menulis tesis.

4- "Tiada mood! " Itu perkara biasa.

Semoga semua ini menjadi jalan untuk menambahkan lagi ilmu di dalam dada dan menjadi pendorong kepada anak-anak untuk turut sama bersemangat menuntut ilmu juga pemberat timbangan hasanah dan pemudah jalan menuju syurga....

Perkenanlah Ya ALLAH....

Saturday, July 30, 2016

Perlu ke Master & Ph.D?

بسم الله الرحمن الرحيم


Pagi ini terbaca satu catatan dalam Facebook yang dirasakan banyak benarnya:

Ia boleh dibaca lanjut DI SINI

Perlu ke Master &Ph.D?
========
Ustaz perlu ker master dan Ph.D? Soal pelajar.
Pensyarah: Perlu.
Boleh jadi sehebat imam Syafie ke? Soalnya lagi.
Pensyarah: Belum tentu.
Imam-imam mazhab tak masuk U pun? Tesis pun tak dak?
Pensyarah: Syafie telah masuk universiti "Imam Malik bin Anas"di Madinah. Tesisnya amat banyak "al-Umm" , "al-Risalah" banyak lagi. Telah di nilai para ulama sezaman dan selepasnya.
Erk. Peningla. Kadang-kadang saya tengok orang yang ada phD pun cakap macam tak tahu apa. Sesat pun ada!
Pensyarah: Itu biasa. Mereka juga manusia.
Ada masa lupa. Mungkin mereka tidak pandai bercakap.
Atau gugup sehingga poin terlupa.
Mungkin juga mereka tidak mahu berkongsi. Takut dituduh sesat.
Jangan terpedaya dan anggap mereka berilmu bila mereka pandai bercakap.
Mereka mungkin pandai "menggoreng". Itu ramai diluar sana.
Betul juga. Tapi Ijazah pun dah cukup rasanya Dr? Balas pelajar.
Pensyarah: Ijazah seumpama "bayi" baru merangkak.
Erk teruknya? Pelajar menggaru kepala.
Pensyarah: Saya terlibat dalam menggubal silibus sijil,diploma dan ijazah.
Sedikit pengalaman ini saya faham ijazah itu baru berada diluar pintu lautan ilmu.
Itupun ramai pelajar ijazah main-main.
Buat tugasan "copy n paste",ponteng, tidur masa kuliah, tidak membaca buku rujukan yang ada dalam silibus.
1001 isu pelajar ijazah ni.
Belum matang agaknya.
Hormon belum stabil.
Itu belum dikira yang aktif berpesatuan. Mereka ni meeting pandai la kot?.
Ilmu silat pun ada tahap tali pinggang kan?
Jadi Master Phd apa pulak?
Cuma saya terbaca tesis ada jugak kesalahan dan penuh nota kaki? Soal Pelajar.
"Baru mula menunjuk minat"
Pensyarah: Tesis bukan al-Quran. Selepas viva dan penjilidan pun mesti jumpa kesilapan. Itu hasil kerja manusia.
Masa pelajar tu buat dia pun masih belajar.
Orang sedang berenang dalam laut.
Sekali sekala lemas.
Terminum air laut. Di gigit tapak sulaiman.
Muka dipalit minyak kapal.
Ada perasaan nak cepat habis.
Dan macam-macam ujian ketika menghabiskan phD.
Pengalaman saya pun begitu.
Tahap tekanan amat tinggi.
Tu sebab ramai yang jadi gemuk masa phD.
Stress je makan, makan je petanda stress.
Nota kaki itu petunjuk mereka telah banyak membaca dan merujuk dalam bidang mereka.
Mereka yang buat master dan phD telah menginfaqkan masa gembira dan rehat mereka untuk membaca dan memahami karya-karya besar.
Akhirnya mereka belajar menilai. Menganalisis fakta.
Mereka belajar baca teks bagi habis. Fahamkan maksud. Bukan potong-potong maklumat untuk sokong "geng" aku daa.
Mereka telah terjun dan pernah kelemasan.
Mereka telah membayar amat mahal untuk masuk berenang dilaut itu.
Bagaimana pula yang tak buat master dan phD? Soal pensyarah.
Karya siapa yang mereka baca.
Epestimologi ilmu mana yang mereka ikut?
Falsafah ilmu faham tak?
Siapa yang telah menilai hasil ilmiah mereka?
Betul jugak ye Dr. Balas pelajar.
Pensyarah: Ya betul.
Tidak perlu ulas benda yang kita tak tahu. Jika belum pernah belayar dilautan duduk diam-diam.
Kenal lautan itu apa itu.
Jika ilmu di universiti kita kutuk. Mahu percaya kepada siapa lagi?

_______________________________________

Bila baca petikan ini banyak yang saya rasai:

1- Ketika di kuliah di Syria, Para sheikh selalu mengatakan Ijazah degree yang dapat di sini hanyalah kunci sahaja kepada pintu ilmu.

2- Orang yang ada PhD belum tentu lagi alim, banyak lagi yang tidak diketahuinya. 

3- Orang yang ada PhD juga adalah manusia biasa. Mereka juga melakukan kesalahan.

4- Banyak masa suka-suka dan kegembiraan yang dikorbankan untun mendalami ilmu itu. Banyak masa dan fokus yang perlu diberikan

Moga ada keberkatannya.
Amon Ya Rabb.

Sunday, November 29, 2015

Info Buku: Tinggi Menggapai Syurga

بسم الله الرحمن الرحيم

Buku yang diidam-idamkan ini saya beli ketika jualan murah mycybersale.
Dibeli di web mphonline. Dengan diskaun 20% untuk semua buku dan penghantaran percuma mampu menyebabkan 'gila' untuk memborong buku-buku. Tapi apakan daya, duit belanja bulan itu dihabiskan untuk bayar yuran phD semester itu.
Pujuklah hati moga ada keberkatan bila berhabis duit untuk ilmu. InsyaAllah jika ada rezeki, boleh beli lagi banyak buku lain kali.

Dengan bajet bawah rm70, inilah antara buku yang dipilih.
Buku ini saya selesai membacanya dalam masa 2 malam. Alkisahnya, bila mengikut suami menginap di chalet di Lata Bayu selama 2 malam untuk program perkhemahan sekolah. Di sana tiada line internet, jadi banyaklah masa terluang.
Jika ada internet, mesti sudah dibawa laptop untuk menulis tesis. Tanpa internet, agak sukar untuk mencari bahan rujukan...huhu...
Masa yang ada di chalet banyak terluang, banyaklah terkenang baju-baju kotor yang boleh dibasuh dan dikemaskan jika berada dirumah. Teringat juga tesis yang boleh ditulis jika berada di rumah.

Jadi, masa yang terluang digunakan untuk membaca buku ini bersungguh-sungguh.
Penulis yang banyak menulis tentang isu-isu kewanitaan dan rumah tangga.
Buku ini banyak menimbulkan keinsafan dan memberi kesedaran tentang: 1. Kasih sayang dan ketaatan kepada suami kerana Allah Taala 2. Mendidik anak-anak dengan berhikmah 3. Batas aurat dan etika pemakaian wanita dalam Islam
4. Teladan dari kisah-kisah semasa dan kisah-kisah lampau. 5. Memahami cinta hakiki dan bukan hanya cinta nafsu sahaja. 6. Tips-tips yang berguna dalam kehidupan dan rumah tangga. 7. Jawapan-jawapan bagi permasalahan dan krisis rumahtangga.

Penulis juga menghidangkan ilmu dalam buku ini secara santai dengan membawakan kisah-kisah yang santai tetapi tersirat pengajaran disebaliknya.
Bagi saya, buku ini mampu memberi keinsafan kepada yang bergelar isteri dan ibu, menyemai kasih sayang kepada suami dan anak-anak.
Sangat disarankan kepada wanita samada yang sudah berumahtangga ataupun belum untuk membaca dan menghayati buku ini.




Thursday, November 5, 2015

Nilai segulung PhD ?!

بسم الله الرحمن الرحيم

Pagi ini (saat entri ini ditulis, bukan saat entri ini dipublish) saya terbaca post ini di dalam Facebook.






Membuatkan diri ini muhasabah semula niat asal ingin membuat PhD.

Sebelum saya mendaftarkan diri untuk menyambung phD, saya meminta pandangan suami, keluarga dan mertua.

Abah kata:
"Buat lee..."

Mak dan ayah mertua pula sangat memberikan sokongan, siap bagi tunjuk ajar tolong isikan borang lagi

Saya juga memohon petunjuk dari Allah dan Solat Istikharah moga Allah tunjukkan jalan yang terbaik, InsyaALLAH.

Niat asal ingin membuat phD:

1- Ingin terus disiplin menelaah kitab-kitab.
Kerana kalau tidak menulis bahas, kurang sedikit aktiviti menelaah kitab.

Banyak membaca buku-buku yang disukai dalam Bahasa Malaysia sahaja. Kitab-kitab Bahasa Arab jarang dibuka bila tidak membuat tesis.

2- Ingin terus menambah ilmu, meneliti dan memahami ayat-ayat Al-Quran.

Oleh kerana MA dan PhD saya bawah Kuliah Usuluddin dalam bahagian Ilmu Al-Quran dan Tafsir, maka banyak kitab tafsir yang perlu dibaca, dibaca dan dibaca.


Makin banyak kitab tafsir yang dibaca, makin bertambah faham dan tadabbur Al-Quran.

Moga-moga makin bertambah ilmu.

3- Ingin memberi manfaat kepada masyarakat.

Harapan dan doa saya juga ketika awal mengisi borang pendaftaran phD, saya harap ilmu yang didapati sepanjang proses menulis tesis ini dapat dimanfaatkan kepada diri sendiri dan juga kepada masyarakat, InsyaAllah.


Namun jalan untuk menyiapkan tesis tidaklah mudah.

Bila kena reject.

Bila tiada idea.

Bila tiada masa.

Bila tiada tenaga.

Bila tiada mood.

=(

Sentiasa berdoa dan memohon doa agar dimudahkan segala urusan untuk menyiapkan tesis ini InsyaALLAH.

Moga ALLAH subhanahu wa taala menilai usaha ini di sisiNya dan tidak menjadikannya sia-sia sahaja di sisiNya.




Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah! 


Mohon pembaca blog ini juga turut mendoakan kami agar dimudahkan segala urusan dunia dan akhirat dan sentiasa dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

Amin

Saturday, May 9, 2015

Alhamdulillah, Perjuangan lebih 4 tahun

بسم الله الرحمن الرحيم

Konvokesyen itu bukanlah kemuncaknya jika sendiri tidak menguasai
apa yang kita tulis.

.......

Kejadian ini berlaku pada awal bulan Mac yang lalu. Saja tidak dikongsi gambar ini dilaman FB dan hanya dikongsi bersama saudara-mara dan rakan-rakan terdekat sahaja.

Bila ia sudah 'basi', barulah rasa nak berkongsi gambar ini. Itupun di dalam blog sahaja, bukan FB bagi mengelakkan pelbagai ucapan dan pujian. Malu rasanya nak terima pujian kerana diri ini belum lagi alim. Kalau tanya soalan, mungkin banyak tak tahu lagi.

Berkongsi di dalam blog lebih selamat dari sebarang komen samada positif ataupun tidak dan ia memberi ketenangan dan kepuasan kepada diri saya sendiri.

Alhamdulillah setelah hampir 4 tahun, kelas dan penulisan, Alhamdulillah dengan bantuan ALLAH yang amat banyak, berjaya juga habiskan penulisan tesis masters dalam bidang tafsir dan ulum quran dalam membincangkan tentang Kaedah Penyucian Nafsu dan Syahwat berpanduan Surah Yusuf Alaihissalam.
 منهج تهذيب النفس والشهوات من خلال سورة يوسف، دراسة موضوعية من خلال سورة يوسف
Boleh lihat dan download dari INSANIAH Online Library Catalogue (DI SINI)

Segala puji bagi ALLAH atas segala nikmat yang diberikan.

Pengalaman menulis tesis masters ini amat berharga. Oleh kerana kesibukan di tempat kerja, biasanya hanya sebentar sahaja masa mendapat peluang untuk mencari bahan dan menulis ketika pulang dari sekolah kerana kemudian adalah masa 'wajib' untuk mentasmik anak dan melihat kerja sekolah mereka. Kemudian nak melayan anak-anak untuk makan malam pula. 

Alhamdulillah berkat masa curi-curi itu (InsyaALLAH) ditambah masa cuti, Alhamdulillah selesai juga penulisan tesis.

Sekalung penghargaan, jazakumullahu khairan kathira, moga ALLAH membalas dan memberi ganjaran pahala yang banyak dan rezeki yang melimpah ruah kepada semua yang terlibat terutamanya:

1- Kepada suami yang membantu dalam segala aspek. 

Hinggakan sampai satu tahap menjadi penat dan jemu menulis hingga rasa nak termuntah dan sakit belakang, kepala, perut dan bahu (dahsyatnya!), suamilah yang memberi motivasi. 


Dan ada masa menjadi jemu, pergi keluar berjalan-jalan dan pergi bercuti, lari sebentar dari dunia tesis.

2- Kepada anak-anak yang sangat memberi sokongan dan bantuan ketika mama menulis.

Saya tidak menulis di tempat yang terpencil. Mengurung diri untuk menulis itu bukan amalan kami. Biasanya sambil menulis sambil tengok anak. Berhenti sekejap lipat baju. Berhenti sekejap sebab sakit belakang dan kepala. Berhenti lagi solat dan ajak anak solat. Berhenti lagi suruh anak-anak tidur. 

3- Kepada Dr. Hadi Musollin yang menjadi penyelia yang juga Dekan Kuliah Usuluddin di Kolej Universiti INSANIAH yang banyak meluangkan masa dan memberi teguran dan tunjuk ajar. ALLAH berkati doktor dan memberi ganjaran yang banyak.

4- Kepada ibu ayah (dan mertua) dan saudara-mara, ipar duai dan biras-biras yang selalu bertanya progress tesis dan memberikan motivasi untuk menyempurnakannya

5- Kepada kawan-kawan seperjuangan yang sentiasa berkongsi masalah dan saling memberi motivasi dan doa.

Rakan-rakan yang tolong menjaga anak-anak dan menjadi tempat tinggal anak-anak sementara mama dan baba ke kelas (sebelum menulis dulu). 

6- Kepada pembaca dan pengikut blog jika ada yang mendoakan diri ini sentiasa. ALLAH berkati kalian semua dan memberi ketenangan dalam hidup kalian dunia dan akhirat. amin3

Harapan saya moga tesis ini memberi manfaat kepada diri saya, lebih banyak bermuhasabah, lebih memahami tafsir Al-Quran, meningkatkan amal ibadah, rajin menuntut ilmu dan mengajarkan kepada orang lain, InsyaALLAH

MOHON DOAKAN SAYA DAPAT SEMPURNAKAN TESIS PHD (BAHAGIAN TAFSIR DAN ULUM QURAN JUGA)  DENGAN CEPAT DAN SEMPURNA...AMIN3
Ketika konvokesyen baba hampir 10 tahun yang lalu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...