Saturday, April 29, 2017

Perancangan yang tidak menjadi.

بسم الله الرحمن الرحيم


Hari rabu dan khamis adalah hari yang ditunggu-tunggu untuk menulis tesis. Hari rabu dan khamis agak berkelapangan untuk menulis tesis.

Tapi Ya Allah.....adakalanya apa yang kita rancang-rancang dan plan tidak menjadi sebaiknya.

Hari rabulah mula tidak sihat, kepala berat, pening, mata panas, tidak larat untuk fokus depan laptop. Ahmad Zaid pula jaga tidur awal, jika Ahmad bangun, pandai dia tak bagi orang tulis tesis, dia akan kacau, tak boleh nak fokus. Jika Ahmad jaga, sesuai ajak dia mengemas rumah. 

Kesannya sekarang walaupun Ahmad baru berusia 1 tahun 4 bulan, Ahmad sudah boleh membuang sampah di tong sampah. Alhamdulillah.

Hari khamis pula Ahmad tidur elok hingga ke tengahari, namun baba pula menggunakan laptop untuk hantar tesis pada tengahari tersebut.

Walaupun agak kecewa dengan plan yang tidak menjadi, namun cuba untuk memujuk hati sendiri agar redha dengan ketentuan Allah. Tentu ada hikmah yang Allah tahu. Syukur juga kerana baba dapat selesaikan tesisnya untuk dihantar.

Begitu juga ada ketikanya Ahmad Zaid tidur elok, namun hari hujan. Kalau tidak ada pengalaman laptop yang rosak kerana petir, tentu berani untuk on laptop dan buat bahas. Namun, sudah 1 laptop dan 1 modem total lost kerana disambar petir cukup menjadikan pengajaran untuk tidak menggunakannya ketika cuaca tidak mengizinkan.

Netbook lama yang sudah rosak, jadi mainan Ahmad Zaid sahaja sekarang ini

Kita hanya merancang, Allah lah yang menentukannya.


Semoga perjalanan phD ini berjalan lancar Ya Rabb.

Friday, April 28, 2017

Kepah, Gula kelapa dan memori lama

بسم الله الرحمن الرحيم


Saya pernah terbaca satu kenyataan:
"Tanda-tanda orang sudah tua ialah suka bercerita tentang zaman silam, orang muda pula suka bercerita tentang masa hadapan."


Pada saya, ada juga kebenaran kenyataan tersebut.

Sejak akhir-akhir ini minat untuk bercerita tentang memori-memori silam kepada anak-anak semakin menjadi-jadi. Terlalu banyak perkara yang ingin dikaitkan dengan zaman silam untuk diceritakan kepada anak-anak.

Itulah tanda si ibu ayah telah semakin tua dan anak-anak membesar remaja dan dewasa.

Pada hujung minggu lepas, kami sekeluarga pergi berkelah di Tanjung Asam, Pulau Pinang. Ini adalah kali pertama kali ke sana walaupun tidaklah jauh mana dari rumah.

Alhamdulillah
Allah bagi peluang berseronok di pantai

Anak-anak cukup seronok dapat mandi laut.

Mereka terjumpa satu kepah yang masih ada isi. Dibawa balik ke rumah dan diminta rebuskan.

"Masa Mama kecik dulu, bila kami balik kampung, kami selalu cari kepah kat pantai, lepas tu bawak balik rumah, Makwa (nenek) rebuskan. Best!"


Kepah nan seekor

Alahai... teringat sungguh kepada memori zaman kanak-kanak dan arwah makwa. Al Faatihah

Keesokkan harinya pula, ketika anak-anak balik dari kenduri kahwin, anak-anak bawak balik gula-gula kelapa.

"Wah... ni gula-gula kesukaan mama masa kecik dulu.! Sekarang payah nak jumpa gula-gula ni (padahal tak pernah cari pun ) 😂)


Gula-gula kelapa yang digemari ketika kanak-kanak dulu
Ada sahaja memori lama yang ingin diceritakan kepada anak-anak.

Teringat dulu masa kecik, mak pun suka ceritakan kepada kami pengalaman mak ketika belajar di England, ketika mak sekolah rendah dan macam-macam lagi memori mak.

Ini juga adalah nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Punya masa dan ketenangan untuk berkongsi cerita dengan anak-anak.


Alhamdulillah....

Wednesday, April 26, 2017

Memeriahkan kempen "Bahasa Arab Di Mana Sahaja."

بسم الله الرحمن الرحيم




InsyaALLAH kali ingin berkongsi video yang dirakam oleh anak-anak bagi memeriahkan kempen "BAHASA ARAB DI MANA SAHAJA."

Dapat berbahasa Arab dengan fasih adalah perkara yang menyeronokkan, namun jalan untuk mendapatkannya perlu kepada usaha dan praktis yang berterusan.

Banyak tips,bahan-bahan dan cara untuk berkomunikasi dalam Bahasa Arab telah ditulis di dalam blog ini seperti yang di bawah ini:

http://cinta-rasul.blogspot.my/2017/01/info-buku-buku-cerita-bahasa-arab-yang.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2017/01/pencarian-kartun-kartun-islamik.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2010/06/lagi-bahan-bahasa-arab.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2010/05/kanak2-n-flash-card.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2011/09/kartun-bahasa-arab.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2013/02/ulasan-buku-oleh-abdullah.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2013/11/tips-untuk-mengajar-anak-berkomunikasi_9.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2013/11/tips-untuk-mengajar-anak-berkomunikasi.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2014/07/info-buku-kamus-bergambar-pintar-soleh.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2014/12/abdul-rahman-si-penulis-kamus.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2016/01/aplikasi-buku-bahasa-arab-percuma.html

http://cinta-rasul.blogspot.my/2017/01/apakah-cara-untuk-pelajar-mahir.html

Semoga video ini memberi semangat kepada anda semua untuk terus mencintai Bahasa Arab dan sama-sama kita memantapkan lagi kemahiran berbahasa Arab.

Amin

Sunday, April 23, 2017

Kenapa nak bina sekolah agama lagi?

بسم الله الرحمن الرحيم

"Dunia dah nak kiamat, kenapa susah-susah nak buat sekolah agama lagi?


Begitulah. Adakalanya ada sahaja soalan yang tidak terjangkau dek akal fikiran yang timbul. 




Demikianlah antara cabaran untuk membangunkan institusi agama.


Cabaran dari dalam diri sendiri dan juga dari luaran.


Itulah sunnatullah dalam menegakkan syiar Islam sejak dahulu.

Allah mudahkanlah kita untuk menghadapinya.

Hadapilah ia dengan baik.



Untuk menjawab soalan di awal entri ini, teringat sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

إنْ قامَتِ الساعةُ وفي يدِ أحدِكمْ فَسِيلةٌ ، فإنِ استطاعَ أنْ لا تقومَ حتى يَغرِسَها فلْيغرِسْهَا
الراوي:أنس بن مالك المحدث:الألباني المصدر:صحيح الجامع الجزء أو الصفحة:1424 حكم المحدث:صحيح

ومعناه: أن المسلم يستمر في عمل الخير ومنه الغرس، ولو كان قبل القيامة بلحظات، فإنه مأجور على ذلك.




Sedangkan benih tanaman pun kita kena tanam walaupun kiamat telah tiba seperti maksud hadis yang lalu, apatah lagilah usaha untuk membentuk masyarakat yang Soleh, mencintai Al-Quran, mencintai ilmu-ilmu Islam.

Hadis di atas mengajak kita agak sentiasa membuat kebaikan walaupun beberapa detik sebelum tibanya hari Kiamat. 

Kesemuanya ada ganjarannya di sisi Alla Subhanahu Wa Taala.







Lagipun tiada antara kita yang tahu bilakah akan tibanya Kiamat?

Mungkin selepas 100 tahun, selepas lahirnya cucu cicit kita, masih belum tiba lagi kiamat.

Tiada siapa yang tahu kecuali Allah Subhanahu Wa Taala.





Jadi marilah kita terus berusaha dengan penuh bersemangat untuk memajukan agama Islam.

Optimislah!

Itulah ajaran Islam!



Marilah bersama-sama kita berusaha membina masyarakat yang soleh, mencintai Allah dan dicintaiNya.


MENUJU KEREDHAAN ALLAH.

AMIN...

Friday, April 21, 2017

Istiqamah dalam menuntut ilmu

بسم الله الرحمن الرحيم


Beberapa bulan yang lalu, ketika saya dalam keadaan 'stuck' setelah dipulangkan tesis untuk diperbaiki sebelum munaqasyah kali ke-2,  saya tinggalkan tesis dalam masa beberapa bulan juga kerana tiada idea bagaimana ingin memperbaiki tesis lagi.

Seingat saya begitu jugalah keadaannya ketika setiap kali dipulangkan tesis samada ketika peringkat Master ataupun PhD..

Mesti akan tergendala beberapa bulan dalam keadaan resah gelisah setiap hari kerana tiada idea dan mood untuk memperbaiki tesis.

Blank!

Serius blank!

Apa lagilah yang nak ditulis?


Sumber: Google

Saat-saat 'stuck' itu biasanya diisi dengan banyak membaca buku-buku secara santai dan juga menulis untuk buku-buku yang lain untuk diterbitkan.


Namun setiap hari pun sentiasa resah gelisah bagaimana ingin memperbaiki lagi tesis.?

Buku-buku yang sudah dibaca

Alhamdulillah, apabila telah menjumpai jalannya, barulah boleh mula mencari-cari maklumat untuk menambah lagi maklumat di dalam tesis.

MasyaALLAH, ketika itu terasa betapa banyak lagi ilmu yang kurang di dalam dada.

Terasa alahai..... ciputnya ilmu yang aku ada.

Ketika itu terasa Ya ALLAh betapa pentingnya istiqamah dalam menuntut ilmu.

Sumber: Google

Ilmu jika ditinggalkan pasti akan lupa.

Perlu sentiasa membaca kitab-kitab ilmu selain buku-buku yang santai.

Itu jugalah niat saya yang saya suarakan kepada orang terdekat ketika ingin menyambung PhD. Saya ingin mendisiplin diri untuk istiqamah menuntut ilmu, membuka kitab-kitab dan menggali lagi ilmu.

Saya juga sentiasa tertanya-tanya (kepada diri sendiri dan orang yang terdekat), apakah lagi perkara yang boleh saya lakukan dan sumbangkan untuk memanfaatkan lagi sedikit ilmu yang saya perolehi agar ilmu itu tidak dilupai?

Sayang sangat jika ilmu yang dipelajari dilupakan.

Doa saya sentiasa semoga Allah tunjukkan jalan yang terbaik, InsyaALLAH.
Amin.

Doakan semoga perjalanan PhD (serta munaqasyah) ini selesai dengan sempurna dan selamat dan kami mampu menghasilkan lebih banyak lagi bahan-bahan ilmu yang berkualiti untuk dimanfaatkan bersama masyarakat.

Amin.

Tuesday, April 18, 2017

Pengalaman yang sama.

بسم الله الرحمن الرحيم


Apabila saya membaca helaian ini dari buku Travelog Tarbiah, memori terimbau kepada kenangan saya dan suami ketika di alam universiti di peringkat Degree dan Master.



Kisah yang ini.

Bila ramai yang mengatakan ia adalah mustahil,
tetapi Allah jadikan ia adalah
tidak mustahil.

Kesemuanya boleh di sisi Allah



Ketika awal kami memasuki Kuliah Dakwah di Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro (suami juga ceritakan perkara yang sama selepas kami berkahwin), ramai senior yang menggambarkan bahawa pembelajaran dan peperiksaan di sana sangat susah.


Ramai yang terpaksa mengulang tahun, mengulang peperiksaan dan belajar dengan begitu tekun sekali.


Malahan ada juga yang terpaksa pulang ke tanah air dan tidak dapat menghabiskan pengajian di Syria, ia amat menyedihkan.


Begitulah cerita oleh rata-rata senior.


Begitu juga ketika mula memasuki kelas Master di Kolej Universiti Insaniah di Alor Setar.


Ramai pelajar yang tidak mahu mendaftar masuk kelas Sheikh X pada semester tersebut.

Mereka bercerita bahawa subjek Sheikh X amat susah dan hanya 2 orang sahaja yang berjaya pada semester yang lepas.

Yang lebih teruk lagi markah mereka hanya dapat 5% sahaja dan sudah tentu kena ulang semula subjek tersebut pada semester-semester akan datang.


Mereka tidak mahu mendaftar kelas Sheikh X untuk semester tersebut dan mereka tahu Sheikh X akan habis kontrak dalam semester tersebut dan semester ini adalah semesternya yang terakhir. Mereka mengharapkan mereka akan berjaya apabila ada sheikh lain yang menggantikan Sheikh X.


Kami pula baru mendaftar untuk Master dan telah mendaftar bagi subjek Sheikh X.


Sungguh semester itu, tidak lebih dari 10 orang siswa sahaja yang mengambil subjek Sheikh X. Amat mengejutkan. 

Kelas yang kosong!

Kami juga termasuk siswa yang 10 orang yang masuk ke kelas tersebut.

Menghadiri kelas dari pagi hingga ke petang pada setiap Hari Sabtu.

Selepas subuh kami menaiki kereta bersama anak-anak dari Kuala Ketil ke A.Setar.

Perjalanan yang jaraknya membolehkan solat dijamak dan diqasarkan. Kemudian meninggalkan anak-anak di rumah rakan-rakan akhawat berhampiran KUIN dan terus ke KUIN.

Pada waktu petang, selesai kelas, baru kami ambil anak-anak dari rumah akhawat dan pulang semula ke Kuala Ketil dalam keadaan penat dan mengantuk. 

Sampai di Kuala Ketil, langit telahpun gelap. 

Begitulah sedikit susah payah kami dan anak-anak usahakan dalam menuntut ilmu.

Jika kelas pada Hari Ahad pula, selesai mengajar di sekolah di Sungai Petani (kerana Kedah tidak cuti pada Hari Ahad), kami dan anak-anak bersama-sama menuju ke KUIN di Alor Setar. Meninggalkan anak-anak bersama akhawat di rumah sewa sementara kami menghadiri kelas di KUIN.

Akhirnya...... Alhamdulillah kami berdua lulus dalam subjek Sheikh X dan semua subjek lain tanpa perlu mengulang semula walau satu subjek pun. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.

Begitu juga ketika di Kuliah Dakwah Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro. Alhamdulillah Allah rezekikan kejayaan kepada kami berdua tanpa perlu sekalipun mengulang paper atau tahun walaupun kami telah mendirikan rumah tangga ketika itu.

Walaupun ada ketikanya saya amat kesedihan dan stress, merasakan bahawa saya akan gagal dalam peperiksaan pada tahun tersebut.

Hinggakan ia terbawa-bawa masuk dalam mimpi bahawa saya gagal peperiksaan walaupun lebih 13 tahun sudah saya meninggalkan Kuliah Dakwah dan kelas peringkat Master. Ia mimpi yang amat mengerikan Ya Rabb!

Mungkin apabila terlalu ramai yang bercerita perkara yang sama, jadi kita menggambarkan kita juga akan jadi begitu hingga termimpi-mimpi.

Alhamdulillah atas rezeki kejayaan yang Allah kurniakan walaupun di saat orang lain hatta diri kita sendiri merasakan ianya adalah mustahil.

Alhamdulillah !

Syukur kepadaMu Ya Rabb!

Monday, April 17, 2017

Karya Abdul Rahman: Hobi Saya


بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum

          Setiap orang mempunyai hobinya sendiri. Begitu juga dengan saya. Hobi saya ialah bermain bola sepak. 

Pemain bola kegemaran  saya ialah Eden Hazard. Pasukan pilihan saya ialah CHELSEA.



Saya dan sepupu saya ialah antara pemain sekolah. 

Juru latih kami ialah Pakcik Din. 


Setiap petang saya akan bermain bola di padang belakang rumah saya. 

Pada suatu hari bola saya telah pecah lalu saya meminta kepada ayah saya untuk membeli bola baru . Selepas itu ayah saya membeli bola baru


Tamat

Saturday, April 15, 2017

Kenapa asyik tulis tentang pendidikan anak-anak sahaja?

بسم الله الرحمن الرحيم

Tiada siapa yang pernah bertanya soalan di dalam tajuk entri ini kepada saya.

Hati sendiri sahaja yang terdetik soalan begitu.

Hampir 10 tahun menulis blog ini, temanya adalah santai, cerita perjalanan pengalaman sendiri, muhasabah diri dan juga tarbiah anak-anak.

Itulah modal dan minat saya.

Saya bukanlah orang yang bijak politik untuk mengulas tentang politik semasa, bukan juga orang yang mahir sains untuk menulis dan mengulas secara saintifik tentang sebarang perkara.

Biarlah saya menulis dalam bidang saya dengan penuh minat dan kejujuran.

Tentang mendidik anak.

Tentang muhasabah diri.

Tentang perjalanan hidup.

Yang penting, ia adalah kisah benar dan jauh nun di lubuk hati mengharapkan ada manfaat kepada masyarakat dari tulisan blog yang santai ini.

Lihat sahaja Prof.Kamil Ibrahim dan isterinya yang banyak menulis buku tentang perjalanan hidup mereka dan minat mereka dan mereka berjaya menyentuh hati masyarakat.

MasyaAllah.

Dan terlalu ramai lagi orang yang hebat-hebat dan berjaya (di serata dunia) yang menulis buku tentang perjalanan hidup mereka dan buku-buku tersebut berjaya memberi motivasi dan inspirasi kepada orang lain.

MasyaAllah.



Ia juga adalah doa saya agar dalam melakukan sedemikian.

Semoga Allah perkenankan dan menjadikan ia kebaikan kepada kami di dunia dan akhirat.

Wednesday, April 12, 2017

Terbeli buku yang sama dan memori lama.

بسم الله الرحمن الرحيم

Allah...

Adakalanya kita rasa seperti kita tidak pernah membaca sesuatu buku tersebut, namun apabila telah membelinya, menyelak beberapa helaian dan membaca beberapa mukasurat, baru perasan yang kita sudah memiliki buku tersebut.

Allah.....

Inilah yang terjadi kepada saya ketika membeli buku ini secara online di MPHonline. Setelah membaca sample buku secara online, saya merasakan bahawa saya tidak pernah membacanya, apabila mendapat buku ini di tangan barulah saya sedar bahawa saya sudah membaca buku ini. 

Rasanya sudah disedekahkan di perpustakaan sekolah.




Peristiwa ini mengingatkan saya kepada 2 peristiwa pada zaman kanak-kanak dulu.

Peristiwa pertama ketika datuk di Melaka menelefon abah memberitahu bahawa wawancara tentang keluarga kami ada keluar dalam akhbar XXX (serius saya lupa nama akhbar tersebut). 

Abah pun menelefon emak dan emak pun pergi ke kedai membeli akhbar tersebut.

Apabila abah pulang ke rumah, abah pun turut membeli akhbar tersebut.

Namun apabila kami menyelak-nyelak akhbar tersebut, tidak dijumpa pula berita tentang wawancara tersebut.

Abah menelefon datuk untuk meminta kepastian.

Rupa-rupanya wawancara itu terbit dalam akhbar XXX edisi Melaka sahaja dan tiada dalam akhbar XXX edisi Kuala Lumpur.

Untuk menghilangkan rasa bersalah membazir duit membeli akhbat tersebut, mak membaca berita-berita dalam akhbat tersebut.

Kami pun cuba untuk tidak membazir dengan membaca akhbar tersebut.

Begitu juga ketika saya terbeli buku Travelog Tarbiah ini untuk kali kedua. Saya memujuk hati membaca semula buku ini.

"InsyaAllah ada faedah yang akan diperolehi" Kata-kata memujuk hati sendiri.

Alhamdulillah ada faedah yang saya perolehi. InsyaAllah akan ditulis dalam entri blog yang akan datang.

Memori kedua pada zaman kanak-kanak yang ada kaitan dengan peristiwa ini adalah ketika saya mengoder buku dari katalog. 

Kalau tak silap dari syarikat Karangkraf. Zaman dulu manalah ada pembelian secara online. Jika ingin membayar, saya akan meminta cek dari mak dan membayar secara tunai kepada mak.

Ada satu kali, saya terbeli buku yang pernah saya miliki. Saya menghubungi syarikat dan memberitahu mereka bahawa saya sudah pernah memiliki buku tersebut. Mereka meminta saya pulangkan buku tersebut dengan pos dan pilih buku lain yang sama nilainya. 

Itulah yang saya lakukan ketika itu.

Namun kali ini, tak mahulah nak susah-susah hubungi atau emel syarikat MPHonline kerana tersilap buku. Leceh pula rasanya nak menghantar emel, pos buku pula walaupun harga buku ini RM29.

Biarkanlah.

Baca sahaja sekali lagi buku ini.

InsyaAllah ada hikmah di sana.


NOTA:
 Beberapa hari selepas saya menulis entri ini baru saya temui jawapannya, bahawa isi kandungan buku ini sama dengan Buku 'Jangan Berhenti Berlari' oleh penulis yang sama juga yang pernah saya baca dan kongsikan infonya 5 tahun lalu DI SINI

Sunday, April 9, 2017

Info buku: PhD Mama

بسم الله الرحمن الرحيم

Perjalanan menulis tesis dalam masa yang panjang pasti ada pasang surutnya.

Adakalanya rasa bersemangat mengadap laptop berjam-jam untuk menulis tesis, ada masa yang lain pula, lebih sebulan tidak membuka tesis.

Blank!

Tiada idea mahu menulis apa?


Saya rumuskan perjalanan menulis tesis seperti di bawah:
Ketika permulaan memang amat bersemangat, ya Rabb.

Apabila dipulangkan tesis untuk dibetulkan terus hilang mood,
tidak tahu bagaimana untuk diperbaiki lagi tesis 

Ia sudah tentu berbeza dengan orang lain kerana komitmen kita berlainan, perjalanan hidup kita berlainan, ujian hidup kita juga berlainan, sikap kita juga berlainan. Ada orang yang boleh menghadap tesis setiap hari berjam-jam. Rajin teramat.

Ada pula yang baru turn on laptop, anak kecik terus turn off soket plag. Ya Rabb!



Kerana itu saya sangat suka jika dapat membaca buku tentang pengalaman orang lain dalam perjalanan menulis phD seperti buku Prof Kamil Ibrahim yang pernah ditulis DI SINI

Kebetulan ini sebuah lagi buku tentang perjalanan PhD Dr. Nik Salida yang saya sudah selesai membacanya.

Sample buku boleh dibaca
DI SINI



MasyaALLAH banyak yang saya dapat manfaat dari buku ini.

Antara helaian yang membuatkan saya tertarik ialah seperti di bawah:

Betul

Facebook juga agak menganggu ketika menulis tesis ini

Begitu juga blog...huhuhu
Makin ingin menulis tesis, makin banyak pula idea nak menulis blog dan buku-buku lain.

Ya Rabb!

Sungguh.

Adakalanya rasa ingin berhenti di pertengahan jalan.

Mengenangkan pengorbanan orang lain untuk kita dan
sokongan mereka, hati perlu kuat.

Teruskan menulis!



Benar.

Perjalanan PhD sering membuatkan kita ragu-ragu dengan keputusan
yang kita ambil.

Allah tetapkanlah hati kita semua atas jalan yang benar.

Alhamdulillah buku ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada saya untuk teruskan menulis tesis phD saya.

Mohon doakan saya dapat tamatkan ia dengan baik dan ia memberi manfaat yang bannyak kepada masyarakat.

Amin Ya Rabb

Friday, April 7, 2017

Penglibatan anak-anak terhadap isu peperangan di Syria

بسم الله الرحمن الرحيم

Kelmarin anak-anak tengok video rakyat Syria yang diserang dengan gas beracun.




 Walaupun rasa hati tak sanggup nak tengok video tersebut tetapi ditunjukkan juga kepada anak-anak supaya mereka tahu apa yang berlaku di dunia sekarang.

Kezaliman tentera Syria amat menyedihkan kita semua.

 Abdullah yang menonton video tersebut bersama Abdul Rahman menjadi amat sedih dan menangis apabila selesai menonton video tersebut.

Video yang menggambarkan kanak-kanak Syria yang sukar bernafas akibat serangan gas beracun itu memang menyedihkan.

Diberitahu kepada anak-anak tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk membantu orang di Syria sana.

Antaranya yang mesti kita buat ialah: sentiasa mendoakan mereka.

Kemudian jika ada lebihan wang boleh didermakan kepada badan-badan yang membantu Rakyat di Syria sana.

 Semoga Allah membantu semua umat muslimin di dunia ini Amin ya rabb


Nota: Jom baca Surah Al Kahfi dan doakan untuk ummat Islam!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...