Thursday, November 29, 2018

Risaukan masa hadapan.

بسم الله الرحمن الرحيم

Saya kira ramai orang risaukan masa hadapan sendiri.

Begitu juga diri saya.

Kadangkala persoalan tentang masa depan membuatkan diri takut untuk membuat keputusan.

Contohnya tentang kesediaan untuk menambah ahli keluarga vs pelbagai soalan-soalan yang menakutkan. Seperti takut penat, mengganggu urusan kerja yang lain, phD tak siap lagi, alahan.... Itulah antara soalan yang menakutkan.

Hmmmm...

Tapi dalam masa yang sama, teringin nak tambah ahli keluarga juga.

Berfikir sendirian perkara ini memang memeningkan kepala dan memenatkan.

Penat dan pening pada perkara yang tak sepatutnya.

Akhirnya stress sendirian.

Begitulah juga dengan memikirkan masa depan pendidikan anak-anak.

Allah.. banyak sangat yang nak difikirkan.

Apa-apapun saya cuba ubati kebimbangan terhadap masa hadapan dengan sentiasa berzikir dan tawakkal.

Semoga Allah sentiasa menentukan yang terbaik untuk kita.

Teringat pula video Aida Azlin yang pernah ditonton:


Ya Allah, tentukanlah perkara yang terbaik untuk kami sekeluarga Ya Rabb.

Monday, November 26, 2018

Keibubapaan sering dilanda ragu-ragu.

بسم الله الرحمن الرحيم

Sejak dari dulu hingga sekarang, mungkin kerana kurang keyakinan diri, sering membuatkan saya berasa ragu-ragu dengan keputusan dibuat. 

Setiap perkara pasti akan ada pro dan kontranya untuk kita timbang-timbangkan membuat pilihan yang tepat.

Namun segala keraguan itu, saya cuba ubati dengan memohon doa kepada Allah agar dikurniakan pilihan yang terbaik dan mendapat keberkatan dunia dan akhirat.



Contoh-contoh perkara yang menjadi keraguan ialah:

1. Pendidikan awal anak-anak. Mengajar membaca Al-Quran dan buku di usia kecil.


*Pandangan 1:*
Bagus ajar dari kecil.

*Pandangan 2:*
 Biaq pi lah kat anak-anak main. Kesian depa kecik lagi. Nanti lama-lama pandailah depa.

*Pilihan saya:*
Saya memilih untuk mengambil jalan tengah. Anak-anak diajar sejak kecil, namun tidak serius. Mungkin hanya 5 minit sahaja dalam satu sesi.

Dan pendidikan Al-Quran menjadi keutamaan kerana bagi saya ia adalah asas dan kunci untuk membuka gerbang ilmu yang besar.

2. Contoh kedua: bab anak-anak buat kerja-kerja rumah seperti sidai baju, mop lantai, strika baju.

Alhamdulillah mereka sudah biasa buat dari kecil, tapi kerja-kerja yang lebih advance seperti masak nasi goreng, lauk....belum lagi.

Tolong menjaga adik-adik dan bermain dengan adik-adik pun banyak faedahnya.  D


Adakalanya kita nak minta mereka buat, tapi adakalanya ragu-ragu samada nak suruh mereka atau buat sendiri kerana fikirkan nak cepat masa bagi selesai kerja.

Akhirnya saya fikir, kalau mereka duduk sahaja, biar mereka yang buat. Tak mahu pula ibu ayah menjadi hamba kepada anak-anak.

Tapi jika mereka sedang sibuk dengan hafazan atau kerja sekolah, biarkan kita sendiri yang buat.

Tetapi kerja-kerja peribadi perlu dilakukan sendiri seperti basuh pinggan sendiri, sidai tuala sendiri, bubuh baju sendiri dalam mesin basuh, kemas katil sendiri. Biarlah membesar sebagai orang yang bertanggungjawab. Insyaallah.

Semoga Allah sentiasa beri kita pilihan yang terbaik.

Friday, November 23, 2018

Kata-kata Abdullah yang dramatik

بسم الله الرحمن الرحيم

Abdullah (10 tahun) mungkin dilihat sebagai seorang yang pendiam dengan orang yang baru dikenalinya, namun dia boleh juga menjadi seorang yang banyak cerita pada beberapa ketika.


Antara keunikan yang Allah berikan kepada Abdullah (10 tahun) ialah sikap dan kata-katanya yang dramatik dan bombastic. Kadangkala ia menjadi lucu.

Seperti kata orang sekarang 'drama king/ drama Queen'.

Sebelum ini banyak kata-kata Abdullah seperti itu, namun sudah lupa kerana tidak ditulis.

Antara yang masih diingati ialah:

1. Ketika dalam perjalanan beraya, kami saling berpesan kepada anak-anak dalam kereta supaya sentiasa menjaga kata-kata, menjaga lisan, menjaga mulut.

 Tiba-tiba Abdullah berkata:
"Ikan pun akan dapat masalah kalau tak jaga mulut tau."



Hahaha.. seperti lucu pula perumpamaan Abdullah. Tapi bila dijelaskan semula, benarlah, kalau ikan tak jaga mulut dan makan umpan pasti akan mendatangkan masalah kepada dirinya. Seperti orang yang tidak menjaga kata-kata, pasti menimbulkan masalah di dunia dan akhirat.

2. Beberapa hari sebelum beraya, gigi hadapan belah atas beliau patah.

Ketika beraya di Melaka

Sepanjang raya tahun ini, banyak masa dihabiskan dalam kereta. Dengan jem lagi

Kedah ke Perak ke Kuala Lumpur ke Melaka ke Selangor ke Kedah ke Penang ke Perlis.

Begitulah banyaknya masa dihabiskan dalam kereta. Kami banyak berbual dan berbincang tentang banyak perkara dalam kereta.


Abdullah datang ke bilik saya dan berkata:
"Mama, gigi adik patah. Gelaplah masa depan raya adik."

Adoi.. sampai gelap masa depan rayanya dirasa bila gigi depannya patah.

"Tak apa adik. Sikit je tu..orang tak perasan pun. Kecik je gigi tu."

Cubaan memujuk supaya dia tidak rasa ia adalah masalah yang besar. 

Insyaallah ada banyak lagi masalah besar yang perlu dirisaukan.

Tapi sepanjang raya, alhamdulillah Abdullah ok sahaja, tidak sebut pun pasal giginya yang patah, mungkin dia pun sudah terlupa.


3. Abdullah sedang menaip di tepi saya tentang Puasa 6 syawal untuk entri dalam blog.

Tiba-tiba Abdullah berkata:
"Mama, takpe ke adik tulis ni? Nanti takut ada orang kecam."

Terkejut dan gelihati dengar ayat Abdullah.

"Siapa yang nak kecam adik? Lagipun adik tulis hadis sahih pasal Puasa 6 Syawal."


Begitulah ragam anak-anak yang akan menjadi kenangan manis bagi kita di masa hadapan.


Tuesday, November 20, 2018

Pengulangan adalah ibu segala pengetahuan?

بسم الله الرحمن الرحيم

Ayat ini saya baca dari buku mukmin profesional.




Bila membaca ayat ini terus saya teringatkan situasi pengajian dari bangku sekolah ke alam universiti dan hingga kini.

Kebanyakan yang kita pelajari adalah sama. Topiknya adalah sama. Namun perbahasannya lebih mendalam sejajar dengan meningkatnya tahap pendidikan kita.

Sebagai contoh dalam pelajaran fekah. Zaman sekolah kita belajar bab bersuci. Zaman universiti pun itu juga bab yang diulang semula. Namun dengan lebih terperinci.

Begitulah ilmu diperolehi dengan pengulangan.

Makin diulang makin kita ingat dan peka dengan ilmu tersebut.

Begitu juga jika ingin sematkan sesuatu sifat mahmudah dalam diri. Ulang, ulang dan ulang.

Jika ingin berfikiran positif, sentiasalah membaca artikel dan buku motivasi supaya dapat melatih minda berfikiran positif.

Ulang, ulang dan ulang. Jika ingin berfikiran positif, ulang dan sentiasa baca bahan bacaan yang baik(positif). Gagalkan cubaan syaitan untuk mencucuk jarum hasutan-hasutannya dalam hati untuk fikir negatif

Insyaallah ulang sehingga berjaya.

Saturday, November 17, 2018

Ada masa untuk menulis?

بسم الله الرحمن الرحيم

"Ada masa untuk menulis buku lagi ye? Dengan jaga sekolah lagi, jaga anak, phD lagi...."


" Kalau kitab-kitab yang besar, orang yang banyak ilmu macam ustaz ustazah sahaja yang pandai baca, kami orang biasa-biasa ni baca kitab macam ni pun tak tentu faham lagi."

Dua kata-kata yang saya dengar ketika menghadiahkan buku susunan kami kepada rakan-rakan terdekat ketika raya Aidilfitri yang lalu (namun entri ini lambat disiarkan dalam blog kerana ikut susunan bank entri)  memberikan saya beberapa kesedaran dan pelajaran.

Buku yang baru diterbitkan Bulan Ramadhan tahun ini


1. Insyaallah kita sentiasa ada masa yang kita akan luangkan dan khaskan untuk hobi kita.

Apabila kita buat sesuatu perkara dengan penuh minat, insyaAllah kita akan lakukan dengan bersungguh-sungguh dan habiskan.

Begitulah dengan bidang penulisan.

Dulu saya rasa seperti membazir masa apabila selalu menulis buku, blog, tesis dan karya-karya lain.

Rasa seperti sentiasa dengan laptop padahal dalam masa yang sama kita tak nak ajar anak-anak menghadap laptop (padahal kita menghadap laptop untuk buat kerja).

Namun kini, saya cuba positifkan minda dan berdoa moga-moga kerja-kerja yang dilakukan ini diredhai Allah, menjadi ibadah dan dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Saya juga cuba fikirkan bahawa usaha saya menulis di dalam blog adalah sebagai latihan kepada diri untuk lebih mahir menulis seterusnya dapat menyampaikan usaha dakwah kepada masyarakat dengan lebih meluas lagi insyaAllah.

2. Saya jadikan kata-kata ini sebagai motivasi untuk terus menulis. Insyaallah ada orang yang terinspirasi dan mendapat manfaat dari tulisan kita insyaAllah.


Antara hasil karya kami.

Semoga Allah beri rezeki untuk kami memberi lebih lagi manfaat kepada masyarakat.

Amin


Banyakkan menulis, kerana kita tidak tahu mana satu karya kita yang boleh berikan hidayah dan manfaat kepada orang lain seterusnya memberatkan timbangan amal kebaikan kita, insyaAllah.

3. Bagi saya, biarlah tidak terkenal (introvert agak sukar perasaannya bila bertemu dengan ramai orang, bagaimana pula nak terkenal?) , namun biarlah hasil usaha kita tersebar luas, berjaya dimanfaatkan oleh ramai orang.

Semoga Allah redha.

Wednesday, November 14, 2018

Budaya mewakafkan bahan bacaan?

بسم الله الرحمن الرحيم

Antara perkara yang sudah lama saya lakukan yang mungkin ada sesetengah orang tidak setuju dengan perbuatan saya ialah MEWAKAFKAN BUKU YANG SUDAH DIBACA kepada perpustakaan sekolah.

Sejak dahulu itulah amalan saya dan saya pernah tuliskan dalam entri di sini:



Namun pernah ada rakan yang memberitahu:
"Sayangnya nak bagi buku milik kita kepada orang lain..."

Rak buku yang sudah padat

Tapi bagi saya, lebih baik saya sedekahkan atau wakafkan kepada perpustakaan sekolah dari biarkan ia menjadi sekadar hiasan selepas dibaca.

InsyaALLAH ada pahala yang mengalir setiap kali anak-anak pelajar membaca buku yang kita wakafkan itu.

Malahan juga, buku di rumah sering bertambah menyebabkan rak buku penuh dan padat.

Beli rak baru dan besar juga, sekejap sahaja ia menjadi penuh.

Jadi, saya fikirkan, lebih baik ia diwakafkan sahaja di perpustakaan sekolah.




Disedekahkan kepada perpustakaan sekolah

Jika kita ingin rujuk kembali, pinjam sahaja dari perpustakaan sekolah tersebut.

Alhamdulillah seronok rasa hati bila para pelajar membalut buku yang diwakafkan.

Usaha untuk menjaga buku dengan lebih cermat.


Alhamdulillah minat membaca dikongsi bersama orang ramai.

Moga membaca mendekatkan kita kepada ALLAH.

Amin...

Sunday, November 11, 2018

INFO BUKU: Belasungkawa Dato' Dr.Haron Din - Bila Ulama Mula Dihilangkan Musibah Buat Umat

بسم الله الرحمن الرحيم

Buku yang ingin dibuat riviu pada kali ini adalah dibeli di Big Bad Wolf dengan harga rm6


Buku ini dibeli untuk mengenali lebih lagi tentang insan hebat ini



MasyaALLAH bila melihat usaha dan kerja yang dilakukan oleh TG Dr.Haron Din.

Sisi hebat yang tidak diketahui dan dilupakan


Beliau antara ulama tersohor yang hebat dari hasil didikan seorang ayah. Begitu juga TG Nik Aziz, Sheikh Saied Ramadan Al Bouti, Sheikh Ahmad Kiftaro dan ramai lagi. Begitulah kejayaan peranan seorang ayah.

Ketika membaca tentang cabaran mereka ketika ingin mula membina Darussyifa', terkenang
juga begitulah ketika membina Maahad Al Iman.

Sentiasa dalam keadaan tawakkal dan sangka baik dengan Allah Subhanahu Wa Taala



 Di dalam buku ini, mungkin cerita tentang TG Dr.Haron Din hanya 10% sahaja dalam buku.

Banyak menceritakan tentang kelebihan ulama, muhasabah diri dan musibah ummat bila ulama mula dihilangkan.

MasyaALLAH, banyak ayat-ayat di dalam buku ini yang menusuk kalbu.

Inilah antaranya:






Hayatilah kata-kata yang terkandung dalam buku ini. Amat terkesan dalam hati.

















InsyaALLAH banyak faedah yang boleh diperolehi dari buku ini.

Thursday, November 8, 2018

Rezeki Allah di saat hati disapa rasa putus asa.

بسم الله الرحمن الرحيم

Ada dua situasi dalam hidup saya yang sering saya terkenangkan kasih sayang dan kepemurahan Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada diri ini di saat minda  berfikir negatif dan hati berputus asa.

Kisah pertama adalah pada tahun pertama saya di Syria. Ketika di peringkat diploma (Ta'hilli 2) di hujung pengajian, ketika musim pertukaran musim dan badan mula tidak sihat, sakit yang berpanjangan, batuk-batuk dan selsema yang masih tidak lega mengganggu fikiran dan emosi sehingga membuatkan saya rasa tidak mampu untuk belajar. Musim peperiksaan pula kian dekat.

Hingga pada hari peperiksaan hadith, saya tak tahu apa yang saya jawab dan saya rasa saya akan gagal.

Keadaan makin menjadi-jadi dan emosi kian tidak stabil hingga menangis di hadapan Anisah (cik puan pensyarah) Huda (pensyarah Bahasa Arab, bukan pensyarah subjek hadis) dan berkata:
"Saya takut saya gagal dalam peperiksaan."

Anisah dengan penuh kehairanan kembali menyoal: "Kamu gagal? Tidak."

Apabila tiba hari keputusan peperiksaan, saya dapat 100%.

Saya benar-benar seakan tidak percaya!

Masya Allah. Ketika saya rasa saya gagal, Allah beri kegembiraan.

Begitu juga kisahnya ketika anak-anak menyertai musabaqah hafazan Al-Quran Itqan.

Bacaan peserta lain Masya Allah...!

Sangat baik. Tak ada salah.

Ditambah lagi Abdullah danAbdul Rahman yang pertama kali menyertai pertandingan hafazan Al-Quran Itqan berbanding terdapat peserta yang lebih berpengalaman dan pernah menyertai pertandingan ini pada tahun-tahun sebelum ini.







Bacaan Abdullah dan Abdul Rahman ada beberapa kesalahan.

Kami semua ingat tak dapat lepasi peringkat saringan.

Alhamdulillah.. Abdul Rahman lepasi peringkat saringan.

Ketika peringkat final juga, Abdul Rahman juga ada 1 kesalahan pada hafazannya, tapi ramai peserta lain yang tiada kesalahan.

Macam tidak percaya bila Abdul Rahman mendapat johan bagi kategori yang disertainya.

MasyaAllah.

Abdul Rahman kata mungkin kerana bacaannya paling bertajwid walaupun ada salah satu.

MasyaAllah.

Video hafazan Abdul Rahman ketika Musabaqah...


Sungguh saya rasakan betapa kehidupan ini hanyalah anugerah dan nikmat Allah semata.

Begitu juga kisahnya seperti apa yang pernah saya tulis dalam entri di sini:


Semoga Allah sentiasa memberi kejayaan kepada diri kita semua, insyaAllah.

Monday, November 5, 2018

Buku anak-anak, mereka pilih atau kita yang pilih?

بسم الله الرحمن الرحيم


Ketika peringkat awal ingin mengenalkan anak-anak dengan buku dan menjadikan buku sebagai rakan karib mereka, kami sering membawa anak-anak ke kedai buku dan biarkan mereka memilih buku sendiri namun masih dalam kriteria dan garis panduan yang dibenarkan. Tiada unsur-unsur hiburan melampau dan lukisan yang tidak menutup aurat.

Apabila mereka membeli buku yang mereka suka, insyaAllah mereka akan baca dengan penuh minat.

Apabila anak-anak meningkat remaja,saya fikir banyak lagi jenis buku yang lebih baik yang mereka perlu baca.

Seperti buku-buku ketokohan Islam. Dari buku ini saya sering rasa bermotivasi dan inginkan anak-anak menjadi hebat seperti tokoh-tokoh Islam tersebut. Begitu juga harapan saya apabila anak-anak membaca buku tentang ketokohan Islam. Semoga mereka mendapat motivasi dan ingin mencontohi tokoh-tokoh Islam.

Buku aktiviti kesukaan Abdullah..

Ini adalah buku yang ketiga dibeli






Buku-buku ilmiah yang banyak info dan juga menerapkan akhlak mulia.

Malahan saya kini lebih gemar membeli buku secara online apabila ada promosi hebat kerana kita akan fokus untuk beli buku yang kita inginkan sahaja.


Saya selalu berharap dan berdoa agar anak-anak mempunyai minat untuk membaca buku-buku yang lebih ilmiah, insyaAllah.


Jika di kedai buku, adakalanya buku yang kita inginkan tiada, sebaliknya terbeli buku yang lain.

Apa-apapun kadangkala boleh juga ke kedai buku untuk melihat buku apa yang menarik.

Jauh di sudut hati, doa dan harapan saya agar anak-anak mendapat banyak manfaat melalui membaca dan menjadi orang yang cintakan ilmu dan buku kerana hampir kesemua alim ulama dan orang hebat pasti cintakan buku. Insyaallah.

Friday, November 2, 2018

Info buku: Ke arah keperibadian unggul, pembudayaan kerja cemerlang

بسم الله الرحمن الرحيم

Sungguh saya membaca buku ini dengan penuh semangat.






MasyaAllah.

Bagi pendapat saya buku ini amat bagus untuk dibaca untuk meningkatkan motivasi diri untuk menambahkan kecemerlangan diri.

Terlalu banyak isi menarik untuk dikongsikan dari buku ini.


Setiap gambar helaian buku ini memaparkan isi kandungan yang menarik.





Hinggakan saya berniat untuk membuat nota tentang buku ini insyaAllah.

Sungguh banyak info berguna dari buku ini.




Di akhir buku ini pelbagai persoalan yang timbul di minda, antaranya:

1. Apakah lagi yang perlu saya perbaiki untuk meningkatkan kecemerlangan diri?



2. Apakah yang perlu saya kongsikan kepada orang lain agar mereka juga dapat meningkatkan kecemerlangan diri.



Doa sejujur hati semoga kita dapat mencapai kecemerlangan yang tertinggi dan dekat dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.









Bukan model.

Anak-anak suka membelek buku yang saya baca, lebih-lebih lagi apabila suruh buat kerja lain, lagi ralit mereka membaca buku..

Apa nak dikata?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...