Sunday, April 30, 2023

INFO BUKU: Masuk syurga laju-laju. Ahmad Damha

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 1/7/2021


Buku ini sangat menarik. 



Setiap mukasurat mempunyai kisah pendek yang berlainan. Adakalanya lucu dan sinis, tapi tetap ada unsur nasihat dan keagamaan.






Ditambah dengan ilustrasi yang lucu dan menarik.

Friday, April 28, 2023

Info buku: Bidadari bumi

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 27/6/2021


Selesai baca buku ini. Rasanya macam pernah baca dah sebelum ini, tapi hampir 98% jalan ceritanya dah lupa😅. 



Begitulah bila jumpa semula buku yang lama tak baca.


Menceritakan kisah seorang pelajar perempuan yang merantau untuk menuntut ilmu di Yaman. Beliau menceritakan kisah pengajiannya di sana bersama guru-guru yang solehah. Indahnya. Penceritaan tentang suasana di sana juga membuatkan rasa teringin nak ke Yaman. Tak pernah lagi menjejakkan kaki ke sana.


Membaca buku ini terus terkenangkan memori menuntut ilmu di Syria dengan pensyarah dan guru-guru yang ikhlas. Mudahnya menuntut ilmu ketika itu. Bumi Syam yang subur dengan ilmu. Indahnya, Masyaallah.


Kita juga ada pengalaman begitu, cuma tak dibukukan..Huhu...

Wednesday, April 26, 2023

Kisah handphone arm holder.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 26/6/2021


Kelmarin sampai handphone arm holder yang beli di Shopee (Gambar A). Alah...yang untuk letak handphone kat lengan tu...Murah je, tak sampai RM10. Ok jelah.



Sebelum beli, saya cuba jahit sendiri cincai-cincai guna kain perca dan getah (gambar B), tapi lama-lama, jadi dhaif sangat la pulak😅. Beli jelah.


Ini adalah usaha untuk menambah ilmu, mendengar kuliah ketika buat kerja rumah. 


Kita kan buat kerja rumah berjam-jam setiap hari. Jadi, letak handphone di lengan, pasang ear phone dan boleh dengar kuliah berjam-jam. Kurang penat buat kerja rumah juga sebab ralit dengar kuliah.


Sebelum ini pernah letak dalam poket baju, tapi bila terlanggar handphone, akan terbuka apps lain dan mengganggu kerja kita. Tak syok.

Monday, April 24, 2023

Menghargai karya Hamka

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 26/6/2021


🧕🏻: Baba, apa pendapat baba tentang Hamka.


🧔🏻: Seorang yang hebat.


Sejujurnya, sebelum ini berulang cuba untuk menghayati dan menghargai karya Hamka, tapi tak mampu.


Tak faham. Tak dapat hadam.😢


Cemburunya melihat kawan yang telah memiliki belasan karya Hamka yang telah ditelaahnya.


Saya terus cuba untuk mencari kehebatan Hamka yang disebut-sebut.





Melalui buku (Hamka Permata Tafsir Bumi Nusantara) saya jelajahi kisah hidup beliau secara ringkas, kehebatan karya-karya beliau.


Buku ini membuatkan rasa lebih ingin meneroka karya Hamka untuk percubaan yang kesekian kalinya.


Semoga dapat temui.

Saturday, April 22, 2023

Baca banyak buku dalam sehari

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 25/6/2021


Hari-hari cuti adalah hari untuk membaca lebih banyak lagi.


Dulu saya tak dapat faham macam mana ada kawan yang boleh baca beberapa buku serentak dalam sehari. Hilang fokus kot.😅



Tapi, bila dah cuba baca banyak buku dalam sehari, rasa seronok pula. 


Rasa macam kalau nak mai rasa mengantuk, buka buku lain. Terus segar minda nak teruskan membaca.


Walaupun ada yang mempertikaikan cara membaca setiap perkataan ini membazir masa, tapi saya termasuk kategori yang menghargai setiap perkataan yang penulis tulis dan menikmati susunan ayat, baca dari awal muka hingga penghabisannya.

Thursday, April 20, 2023

Reviu buku: Denai Cinta. Nik Nur Madihah.


بسم الله الرحمن الرحيم 


Karya Nik Nur Madihah bukanlah karya yang boleh dibaca cepat-cepat.



Susunan ayatnya indah penuh sastera perlu dihayati dan dibaca perlahan-lahan. Malah seringkali juga mukasurat itu perlu diulang baca semula untuk dihayati.


Ada juga ayat-ayat yang bernada sayu dan sedih mampu menitiskan air mata pembaca. Bagai berkongsi rasa yang mungkin ada dalam hati pembaca.








Mencari kekuatan diri dalam meneladani para ummahatul mukminin dan wanita-wanita yang syurga.


Beberapa petikan isi kandungan buku yang menyentuh hati:





Petikan ayat Al-Quran dan hadis di dalam buku ini juga disertakan dengan rekodnya (takhrij).





Bacalah. 



Mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang daripada lembaran Sirah dapat kembali direnungi dalam karya ini. Insyaallah.




Insyaallah saya akan ulang baca lagi buku ini perlahan-lahan untuk lebih mendalami. 


Buku ini membuatkan kita menghayati, merenung dan berfikir.

Diriku dalam dakapan Ramadhan 1444H

 


بسم الله الرحمن الرحيم


Ramadhan kali ini banyak kelainannya. 


Pertamanya mungkin kerana Ramadhan tahun ini sepenuhnya dengan pelajar di Maahad kecuali 3 hari akhir sahaja. Agak penat juga. Namun begitulah Ramadhan yang perlu kita laluinya.


Kepenatan, tak larat sentiasa menjadi aduan kita kepada Allah Subhanahu wata'ala.


Ramadhan kali ini juga, Allah letakkan hati ini banyak dalam keadaan sayu dan hiba. Ada kesalahan yang menikam hati. 


Malu dengan diri sendiri. Bagai tidak mahu dikenali. 


Ramadhan ini dilalui dengan penuh rasa kekurangan. Kurang pada amalan. Namun sentiasa berdoa kepada Allah agar dapat memilih dan melakukan yang terbaik.



Tak tahu samada kita layak untuk mendapat Al Qadr atau pun tidak, tapi tinggi doa dipanjatkan kepada Allah agar Al Qadr menjadi milik kita.


Allah letakkan hati ini dalam keadaan sayu, terluka, insaf dan malu sendiri. 


Moga Allah terima segala amalan kita, memperkenankan permintaan kita dan menjadikan kita hambaNya yang bertaqwa.

Identiti anda ialah?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 23/6/2021


Bila saya membaca wassap sahabat ini, saya teringatkan ilmu yang dipelajari dalam SPR (Sekolah Penulisan Ramadhan) yang lalu.



Setiap penulis (malah setiap manusia) ada identitinya tersendiri. Isu yang sering diulang sebut/tulis selalu. Bukan kerana tak ada cerita lain, tapi kerana itu adalah fokus hidupnya, matlamatnya.

Tuesday, April 18, 2023

DI SEBALIK NIAT

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 18/6/2021


Ketika remaja dan di universiti, semacam jemu bila belajar hadis tentang niat.


💭 "Alah...tau dah hadis ni, dari kecik dah belajar hadis ni, asyik ulang hadis ni je."



Namun bila dewasa, kita lebih hayati dan menghargai bila sebut tentang niat. Niatlah yang menjadi tumpuan sepanjang hidup kita.


Sia-sia sahaja seumur hidup kita jika segala kehidupan tidak diniatkan ikhlas semata-mata kerana Allah. 😢

Monday, April 17, 2023

Ramadhan, bulan memanggil kita mengadu kepada Allah.

 

بسم الله الرحمن الرحيم


Ramadhan mungkin membuatkan diri tidak biasa dengan perubahan yang berlaku.


Dengan jadual makan, ibadah, tidur yang diubah.


Dengan lapar dahaga, penat, keletihan dan tidak bertenaga membuatkan diri tidak selesa.


Ketika inilah, kita wajar membawa segala kesukaran kita untuk diadukan kepada Allah subhanahu wata'ala.



Allah mahu kita tempuhi kesukaran ini dan Allah mahu kita adukan dan panjatkan doa kepadaNya.



Ramadhan bulan untuk gandakan doa.

Sunday, April 16, 2023

Allah perkenankan niat murni.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 16/6/2021


Satu petang Khamis di tengah-tengah bulan. Tiba-tiba terfikir: "Esok Jumaat, bagus kalau dapat sedekah, tapi sengkek tengah-tengah bulan ni, tunggu masuk gaji nanti jelah baru sedekah."


Malam tu, masa nak tidur, tiba-tiba masuk wassap. Kebetulan memang sedang wassap rakan sekerja, family dan pelajar.



Rupanya ada pelajar maklumkan dah bayar duit mengaji. Terus teringat niat yang petang tadi, nasib baik tak klik masuk kat BEG OREN (S) (rujuk gambar) tu lagi😅.


Begitulah Allah mudahkan kita melaksanakan niat murni. Allah berikan niat dan jalan untuk buat kebaikan. Moga dapat kita istiqamah di jalanNya.

Pelajaran dari Bulan Ramadhan


بسم الله الرحمن الرحيم 


Ramadhan mengajar erti kesabaran.


Penat tak larat ketika puasa. Digagahkan juga diri. Kegembiraan dan kepuasan tak terkira bila tiba masa berbuka.


Ramadhan mengajar erti kesabaran dan kekuatan dalam berjemaah.



Kepenatan dan tak larat selepas berbuka puasa. Terasa tak larat nak pergi terawih. Digagahkan diri berterawih berjemaah di masjid. Ia banyak memberikan kekuatan berbanding terawih sendirian.


Alhamdulillah. Seikhlas lafaz ketika selesai tunaikan terawih dan witir bersama imam.


Dan pahala berjemaah itu lebih besar berbanding solat bersendirian.


Alhamdulillah.

Alhamdulillah.


Kesabaran dan kekuatan dalam berjemaah.


Nikmat Ramadhan.

Friday, April 14, 2023

INFO BUKU: USTAZ TRAVELLER, ROMANSA KEMBARA INDONESIA, BUKAN TRAVELOG BIASA.


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 17/6/2021


Membaca buku ini terasa dekat dengan hati. Buku dengan ketebalan 346 m/s ini saya habiskan dalam masa seminggu. Baca bila selesai tanggungjawab harian.


Sarat dengan pelbagai perasaan. Manis bila mengenangkan semula tempat yang pernah kami pergi dalam buku ini seperti, Bogor, Cianjur, Jakarta, Tangkuban Perahu, Bandung.



Istimewa buku ini bila penulis menceritakan secara terperinci tentang suasana tempat-tempat menarik, makanan, hukum-hukum, segala yang indah, renungan di sebalik kehidupan penuh pancaroba, kesukaran bermusafir serta banyak lagi info berkaitan tempat tersebut, rasa terbuka minda.


Alhamdulillah. Puas hati rasanya membaca buku ini. Bagai dapat melancong walau jasad terkurung.

Wednesday, April 12, 2023

Sedekah setiap hari?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 17/6/2021


Saya lihat ada rakan-rakan melazimi sedekah setiap hari.


Timbul soalan: kenapa tak sedekah je sejumlah yang banyak terus?


1. Sedekah setiap hari dapat melatih diri memikirkan:


a) Kebaikan apa yang nak dibuat hari ini?


b) Siapakah yang nak dibantu hari ini?


 c) Tingkatkan ingatan kepada Allah. Setiap kali sedekah harapkan Allah terima & ampunkan dosa kita


2. Namun tak ada masalah kalau nak sedekah dengan sejumlah yang banyak sekaligus jika mampu. 


Ia juga dapat banyak membantu mereka yang susah lagi-lagi ketika PKP ni. Yang penting, bersedekahlah dan rasailah KESANNYA.




Nota video: tabung sedekah tu ucap terima kasih dan doakan pemberi sedekah setiap kali masukkan duit kat dalam tu. Unik kan?

Monday, April 10, 2023

Doa orang yang sakit

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 16/6/2021


Pagi kelmarin, ketika baba syarah hadis ini dalam bab doa-doa orang yang sakit dari kitab Riyadussolihin (seperti dalam gambar) , kata baba:



🧔🏻: Lepas ni, siapa-siapa sakit, kita kena doa macam ni, amalkan apa yang Nabi ﷺ ajarkan dalam hadis sohih. Selain berubat, kita amalkan sunnah yang warid daripada Nabi ﷺ.


🧕🏻: (Mama teringat), masa baba sakit operation di hospital tahun lepas, ada waris Maahad yang mai dan buat macam ni.


🧔🏻: Alhamdulillah berkat doa dan amalkan hadis Nabi ﷺ antara sebab-sebab baba sihat semula.

Saturday, April 8, 2023

Perihal tarbiyah anak-anak

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 16/6/2021


Bila menulis tentang pendidikan anak-anak, saya hanya mampu handle pada keadaan semasa peribadi sahaja.


Dengan 3 orang anak lelaki (usia 6/13/16) dan kami suami isteri yang bekerja sebagai guru. Itu pun bersilat kepung nak tarbiah anak-anak.



Alahai, kalaulah anak-anak saya ada 10 orang (5 lelaki, 5 perempuan) ketika itu saya perlu usaha cara lain. (Overthinking tahap 1)


Zaman anak-anak pun kita sudah rasakan penuh cabaran nak tarbiyah mereka, bagaimana pula zaman cucu cicit kita nanti?(overthinking tahap 2😅)


Sentiasalah berpegang pada tali Allah, berdoa sentiasa moga Allah pelihara zuriat keturunan kita. Insyaallah

Thursday, April 6, 2023

Tarbiyah hati terhadap medsoc.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 16/6/2021


Ibarat melihat rakan sebelah meja yang dah siapkan kerja, laporan, soalan exam, dah hias kelas cantik-cantik, kita yang asalnya tak ada mood nak buat kerja pun rasa tercabar, semangat untuk siapkan kerja. Itulah motivasi dari persekitaran yang membina.


Apabila melihat post modsoc, setkan dalam hati: jadikanlah ia sebagai inspirasi/motivasi. Janganlah ada hasad dengki.



Masing-masing ada kelebihan tersendiri dan manusia itu sentiasa boleh berubah kepada yang lebih baik. ✌🏻 (Macam Ahmad)

Tuesday, April 4, 2023

Ragam ayam dan Whitey

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 14/6/2021





 Kan dah kena debik dengan Whitey... Sibuk nak makan makanan kucing... padahal dia tu ayam😅






Sikit masa lagi boleh mengiau ayam-ayam ni😑.. Punya pulun makan makanan kucing

Monday, April 3, 2023

Wajah-wajah yang hilang

 


بسم الله الرحمن الرحيم



Minggu ni Ahmad murajaah juz 29 dan 30. Surah-surah yang agak mudah. Harap-harapnya setiap hari dapat habis hafazan awal, boleh berterawih di masjid.


Terawih di masjid Maahad terasa kehilangan beberapa wajah-wajah riang yang sering menyapa, bertanya khabar dan bersalaman.


Masing-masing sudah menuju ke peringkat pengajian seterusnya, terus mengutip mutiara ilmu dan pengalaman.


Begitulah fasa kehidupan berterusan. Moga semuanya dalam lindungan Allah, terus MENGAMALKAN ILMU yang bertahun-tahun dipelajari di Maahad💕



( Gambar lama, ketika era penaklukan virus covid19 di muka bumi😅)

Sunday, April 2, 2023

Santai petang: Antara masalah PKP

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 14/6/2021


Rata-rata baca di medsoc antara masalah mak-mak ketika PKP ni ialah anak malas mandi.



Walaupun nampak kecik, tapi jenuh suruh banyak kali, tiap2 hari.



Termasuklah sorang ni.


🧕🏻: Ahmad pi mandi..


(🏃🏻💨💨💨 Terus lari pi kandang kambing)😑

Saturday, April 1, 2023

Doa yang sangat dekat di hati

 بسم الله الرحمن الرحيم 


Suka tengok video ini. Para Sheikh menceritakan doa yang paling mereka sukai, yang dekat di hati.


Kita juga pasti ada DOA yang sangat BERKESAN DI HATI. Bulan Ramadhan bulan untuk kita perbanyakkan doa, moga-moga Allah perkenankan.



Doakanlah untuk diri, ibu bapa, keluarga, anak zuriat, saudara mara, sahabat, guru-guru dan seluruh muslimin muslimat.



Doa yang sangat terkesan di hati saya sejak dulu:

{ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا } { رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَیۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةًۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ }


Bila melafazkan doa dia terasa ia sangat dekat dalam hati.


Moga Allah perkenankan doa kita semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...