Sunday, December 31, 2017

Menempuhi Tahun Baharu: Lemau vs Semangat

بسم الله الرحمن الرحيم


Boleh sahaja berlaku pada hari semalam kita bangun dari tidur pada waktu pagi dalam keadaan lesu, risau, lemah dan tidak bermaya dan hari ini kita bangun pagi dengan rasa penuh semangat yang membara.

Itulah yang saya rasakan.

Sepanjang hari semalam, dari bangun tidur, rasa tidak semangat, lesu dan sangat risau.

Itulah antara kelemahan diri sejak dahulu. Overworried. Risau yang melampau terhadap semua perkara.
Risau dengan tesis phD yang sudah memakan masa 3 tahun.

Risau dengan persiapan anak-anak ke sekolah.

Risau dengan perjalanan Maahad Al Iman.

Ini jugalah sikap kebanyakkan wanita berbanding kaum lelaki yang lebih tenang menghadapi masalah.

"Sebab itulah orang perempuan tak boleh jadi ketua. Asyik risau tak sudah-sudah. Banyak memikir sangat." Hujah saya kepada suami.

Kerisauan melampau ini selalu disulami dengan doa yang dipanjatkan kepada Ilahi tidak kira masa dan tempat.

"Ya Allah, Engkau Maha Mengetahui apa yang aku sering risaukan. Permudahkan dan licinkanlah urusan dirisaukan itu Ya Rabb. Moga semuanya baik-baik sahaja."

Walaupun biasanya apa yang dirisaukan itu tidak berlaku pun.

Seperti risaukan Abang Abbudey ketika nak masuk darjah 1 sehingga tidak boleh tidur malam, (padahal anak itu cool je ke sekolah) pernah dituliskan di sini:

Juga bertahun-tahun risaukan Abdullah yang akan berkhatan, tapi Abdullah tak menangis langsung ketika khatan.

Begitu juga risau dan takut dengan peperiksaan sehingga menangis-nangis (Saya sering melihat situasi ini ketika di kuliah dan juga kepada pelajar-pelajar sekolah menengah.).

Kerisauan kali ini ada untuk menghadapi persekolahan tahun baru. Dengan rakan kerja baru, pelajar-pelajar baru, dan suasana baru. Risau hingga tidak bersemangat.

Sepanjang hari berdoa dalam hati:
"Ya Allah, datangkanlah semangat kepadaku."

Ditanamkan dalam hati sangka baik terhadap Allah.

Akhirnya Allah temukan dengan video amanah dan wasiat dari dekan Kuliah Dakwah Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro untuk graduan pada tahun 2007.


InsyaALLAH saya akan ulas tentang video ini pada entri yang akan datang.

Amanah yang sama seperti ini juga kami terima pada hari-hari akhir kami di kuliah:
Lembaran amanah yang diberi kepada graduan Kuliah Dakwah Mujammak Sheikh Ahmad Kiftaro


Amanah ini memberi semangat dan menghilangkan rasa lemau.

Memang tak seronok bila rasa lemau.

Teringat video ini yang juga mempunyai banyak tips untuk mengatasi masalah lemau


Amalkanlah selalu doa ayang diajar oleh rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini.


Semoga kita terhidar dari sikap malas dan rasa lemau.


Semoga tahun baru 2018, sesi persekolah baru, tempat kerja baru, rakan-rakan kerja baru dapat kita hadapi dengan lebih ceria dan cergas.

Amin

Saturday, December 30, 2017

Proses Ahmad Zaid belajar membaca Al-Quran.

- 27/9/2017


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah suasana bersama Alquran sentiasa bersama anak-anak saban hari dan malam. Ia adalah satu nukmat yang mesti disyukuri.

Moga-moga adalah kesannya pada kehidupan kami di dunia dan akhirat. Amin

Begitu juga dengan Ahmad Zaid.

Ahmad Zaid (Lagi 2 bulan masuk 2 tahun) juga tertarik dengan Al-Quran.

Setiap malam Ahmad Zaid akan melihat abang-abang menghantar hafazan kepada mama.

Ahmad Zaid juga akan mengambil Al-Quran dan membaca mengikut caranya sendiri:

"Anna..... Anna.... Anaa." Gayanya seperti membaca Al-Quran penuh khusyuk dan tadabbur.


Selain memperkenalkan Ahmad Zaid dengan flashcard hijaiyyah sejak bayi (BACA DI SINI DAN SINI) kini Ahmad Zaid telah diperkenalkan dengan Buku Al-Furqan.

Abang-abanglah yang semangat nak tolong ajar adik buku Al-Furqan.

Kami juga memperkenalkan video Al-Furqan yang menarik kepada Ahamd Zaid

Ahmad Zaid menonton video Al-Furqan




InsyaALLAH semoga ALLAH permudahkan Ahmad Zaid untuk mempelajari Al-Quran.


Inilah video yang Ahmad Zaid tonton:



Alhamdulillah banyak alat bantu mengajar yang boleh digunakan untuk mengajar anak-anak kecil mengaji.

Semoga kita dapat memanfaatkannya.

Wednesday, December 27, 2017

Karya Abdul Rahman: Hotwheels

بسم الله الرحمن الرحيم

Setiap orang ada mainan kegemaran.

Saya juga ada mainan.

Mainan kegemaran saya ialah kereta kecil besi yang berjenama HOTWHEELS kerana ia cantik.





Kereta HOTWHEELS saya yang rare ialah COSTUM '01, ACURA INTEGRA (GSR), BMW E36 M3 RACE dan HONDA S2000 TEIN

Tamat


Sunday, December 24, 2017

Info Buku: Travelog HJ Mr. Traveller

بسم الله الرحمن الرحيم

Bila berbicara tentang haji saya agak emosi sedikit.

Teringin sangat nak menunaikan haji di usia muda.

Terinspirasi dengan mak dan abah yang dapat menunaikan haji di usia muda.

Begitu juga kerana sikap diri yang suka selesaikan  kerja dengan segera.

Terasa seperti ada hutang masih belum diselesaikan jika masih belum menunaikan haji.

Allah.....

"Kita pi cek nak nama kita kat Tabung Haji...? Kot-kot depa tercicir ke? Dah lebih 10 tahun kita daftar haji dah, tapi tak sampai lagi giliran kita." Diri mula kalut apabila mendengar khabar angin bahawa giliran haji akan sampai selepas 7 tahun mendaftar haji.


Suami lebih tenang tentang perkara ini:
"InsyaALLAH mesti ada rezeki kita nanti. Sampai masanya yang sesuai insyaALLAH kita akan pi jugak."

Ya.
Ada keyakinan dan doa kuat-kuat disematkan dalam hati:
"InsyaALLAH, ALLAH akan  panggil kita menunaikan haji pada masa yang paling terbaik."

Rezeki ALLAH itu tidak dapat dijangka.

Begitulah kisah yang terdapat dalam buku kali ini:


Kisah peluang haji pemuda berusia 26 tahun.

Beliau mendapat peluang menunaikan haji 
selepas memenangi cabutan bertuah.

MasyaALLAH ia adalah hadiah yang sangat besar!




Kisah-kisah perjalanan haji Mr. Traveller dan usahanya untuk
menjadikan cita-citanya untuk menunaikan haji di usia muda menjadi kenyataan


Pelbagai gambar sekitar proses haji disertakan dalam buku ini.

Kebetulan juga pada hari membaca buku tersebut,
baru menerima tamar, buah tangan dari pensyarah INSANIAH
yang baru pulang dari haji.

MasyaALLAH.

Rasa dan doa untuk
menunaikan haji di usia muda
semakin dipanjatkan


Perkenankanlah 
Ya Rabb!

Thursday, December 21, 2017

Info Buku: Ada Iman, Baru Syok, Ada Fight

بسم الله الرحمن الرحيم


Buku kali ini menarik perhatian saya untuk membacanya untuk mengetahui pengalaman saudara baru memeluk Islam.




Pelbagai rintangan dan cabaran yang mereka lalui.


Mungkin juga ada kesalahan yang biasa kita lakukan tanpa sedar, tetapi  'buruk' di mata mereka.

Ini adalah kelebihan buku ini:
Kata-kata yang 'menampar muka' kita selaku muslim.

Kelalaian kita sebagai orang yang telah lama muslim
yang menjadi tanda tanya kepada saudara baru.



InsyaALLAH, banyak teguran dan inspirasi yang boleh diperolehi dari buku ini.

Selamat membaca.

Tuesday, December 19, 2017

Ibadah Hari Arafah.


بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah Allah rezekikan untuk kami sekeluarga untuk sama-sama beribadah pada Hari Arafah.

Ibarat kata Sheikh Dr.Muhammad Al Arifi di dalam khutbahnya pada awal Bulan Zulhijjah yang menyarankan agar ibu bapa sama-sama mengajak anak-anak untuk meningkat ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah pada hari-hari yang hebat ini.



Tunjukkanlah amal ibadah di hadapan anak-anak dan sama-samalah ajak mereka beribadah. Itulah tanggungjawab ibu bapa.

Abah juga tak lupa untuk ajak kami semua sama-sama menunaikan Ibadah Puasa Sunat Hari Arafah.

Alhamdulillah kami sekeluarga berjaya bersahur bersama-sama walaupun pada hari semalamnya agak kepenatan kerana berada selama 6 jam di atas jalan dari Selangor pulang ke rumah.

Puasa pada hari tersebut juga agak menguji kerana cuaca yang panas terik. Terbayang suasana wukuf di Arafah.

Selepas Asar, pada masa bersamaan dengan wukuf di Arafah, kami sekeluarga 'wukuf' di dalam bilik air cond, berdoa dan membaca Alquran walaupun anak-anak sudah agak layu kepenatan berpuasa.

Alhamdulillah puasa berjaya ditunaikan dan  dapat berbuka bersama-sama.

Selepas Isyak, anak-anak mengikut ayahnya menunaikan qiamullail dan Solat Sunat Tasbih di Masjid Taman Peruda hingga jam 11.30 malam.

Ahmad Zaid tidak dapat ikut sekali kerana demam.

Keesokkannya sama-sama kami menunaikan Solat Sunat Raya di Masjid Sungai Petani dan melihat ibadah korban di sana.
Walaupun demam, tetap bangkit awal untuk bersama-sama
pergi Solat Raya

Ibadah korban

Syukur kepada Allah yang memberi peluang kepada kami sekeluarga untuk beribadah. Moga Allah menerimanya dan mrmperkenankan ibadah kami.

Ya Rabb.

Sunday, December 17, 2017

Percutian ke Amverton Cove Golf And Island Resort, Pulau Carey, Selangor.

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah...

Setelah selesai mengasingkan sebahagian wang untuk ibadah korban dan sedekah kepada saudara-mara, ada sebahagian lagi wang yang Allah rezekikan untuk digunakan untuk menggembirakan hati anak-anak. 

Ini bermula apabila terlihat post dari Facebook Love Travel tentang tempat yang menarik untuk anak-anak ini.

Jika mencari tempat-tempat percutian, mesti fikirkan tempat yang seronok untuk anak-anak supaya mereka tidak jemu.

Alhamdulillah, sungguh tempat ini sangat menyeronokkan anak-anak.

Terima kasih banyak juga kepada sahabat saya, Ibu Yusuf dan Maryam yang rajin menjawab PM saya tentang tempat ini kerana beliau juga pernah bercuti di sini pada tahun lalu.



Kami membeli package family fun yang berharga RM388.




Pakej ditempah melalui PM ke Facebook hotel dan juga email.



Ia termasuk:
1. Bilik ( bilik yang besar, bersih, buka pintu terus  beberapa langkah ke swimming pool, sangat puas hati.) katil king size + single.



Pada asalnya ketika masuk bilik hanya ada 1 katil king sahaja, kami rujuk email, sepatutnya ada katil single 1, jadi kami call rujuk semula ke receptionist, terus housekeeping datang pasang katil single.


2. Breakfast 2 dewasa + 2 kanak-kanak.


Sarapan pagi di Rabbit Room

Nama saja Rabbit Room, tak ada arnab pun

Ahmad Zaid seronok dok pusing-pusing bahagian
atas meja tu

Melihat ikan dalam atasik selepas makan


3. Menaiki bot ke Animal Island untuk 2 dewasa +  2 kanak-kanak
Menaiki bot ke Animal Island

Dalam 2 minit je naik bot, sampai dah ke Animal Island

Seberang tasik sana kawasan hotel..
dekat saja

Di Animal Island



4. 2 tiket ATV atau kayak (anak-anak pilih ATV)
ATV untuk kanak-kanak.
tak laju pun, untuk keselamatan
5. 2 tiket memanah (anak-anak minta tukar dengan menaiki kereta kayuh ini, alhamdulillah boleh tukar.)
Tiket memanah yang ditukar menjadi
tiket menaiki kereta kayuh ini.

20 minit 

Yang percuma di sini:
1.Untuk kanak-kanak bawah 4 tahun semuanya percuma

2. Playroom percuma

Playroom yang selesa.
mempunyai pendingin hawa

Seronok anak-anak bermain di playroom



luar play room panas, sejuk di dalam playroom




3. Games room percuma

Pelbagai permainan ada di sini termasuk video games, congkak, chess, board games
dan macam-macam lagi.


4. Swimming pool percuma.

Kami minta bilik tingkat bawah dalam emel.
Senang anak-anak nak pergi ke swimming pool.
Sangat dekat.
Senang nak pantau.
Pengawal kolam pun ada.
 5. Ping pong percuma

Staf-staf di sini juga amat membantu dan ramah.

Alhamdulillah secara keseluruhannya memang puas hati dengan percutian kali ini.


Bab makan kami beli siap-siap untuk makan petang dan malam di Kuala Lumpur kerana melihatkan kedai makan yang agak jauh dari hotel.
Makan tengahari di luar bilik.


Sarapan di hotel Alhamdulillah sedap-sedap dan banyak pilihan.
Alhamdulillah...

Laksa di Gerai ini sedap.
Kira-kira 5KM sebelum sampai ke Amvertone Cove

Friday, December 15, 2017

G2G Animal Garden MAEPS, Tempat menarik mendekati haiwan dengan harga berpatutan

بسم الله الرحمن الرحيم


"Kita bawa anak-anak tengok binatang-binatang ya? Mesti Ahmad Zaid seronok nanti."  Cadangan baba bagi meraikan anak-anak yang menghitung hari menanti kepulangan baba dari menunaikan umrah beberapa hari yang lalu.

Dengan izin Allah juga terlihat post tentang G2G Animal Garden di MAEPS, Kajang, Selangor di SINI.

Sudah banyak kali kami sekeluarga ke MAEPS dalam beberapa tahun ini untuk pelbagai aktiviti: Pesta buku antarabangsa, MAHA 2016 dan lain-lain lagi.

Kami ke MAEPS seawal jam 9.15pagi bagi mengelakkan kesesakan dan orang yang ramai.

Alhamdulillah kami sampai tepat jam 10 pagi dan terus membeli tiket masuk.

Pengalaman baru dapat menyentuh dan beri makan kepada racoon

Alhamdulillah hari tersebut terdapat promosi 50% untuk tiket masuk.

Jadi, untuk kami 2 dewasa, 2 kanak-kanak hanya membayar rm30 sahaja. Zaid percuma kerana baru 2 tahun.


Harga yang murah berbanding tempat-tempat lain.

Survey di laman maya menunjukkan ramai yang berminat dengan G2G Animal Garden yang baru dibuka beberapa hari yang lalu.


G2G Animal Garden ini berkonsep menyentuh dan mendekati haiwan lebih dari sekadar melihat haiwan sahaja.

Beli tiket dan masuk di sini untuk ke G2G Animal Garden

Dari pintu masuk, turun tangga ke sini


Jadi bukan setakat anak-anak sahaja mencabar keberanian untuk menyentuh haiwan, ibu bapa juga memaksa diri membuang perasaan geli dan takut untuk menyentuh haiwan.

Jumpa kambing dahulu

Dari pintu masuk kaunter tiket, turun tangga, sebelah kanan untuk melihat kambing, kawasan sebelah kiri pula adalah untuk pergi ke kawasan burung kakak tua.

Selepas kawasan kambing, naik tangga, terdapat 2 bilik.

Sebelah kiri terdapat bilik yang menempatkan ular-ular, biawak dan haiwan eksotik.

Sebelah kanan pula terdapat bilik yang ada hamster, sugar glider dan arnab

Bilik sebelah kiri

Terdapat ular-ular dan haiwan lain dalam kotak-kotak di atas meja.

Ada petugas yang peramah dan mesra yang akan keluarkan haiwan jika ingin pegang.

Abdullah mencabar dirinya memegang ular.

Petting zoo ini tidaklah terlalu besar hingga memenatkan. Kira-kira sekitar 40minit, anak-anak selesai bermain dengan haiwan-haiwan di sana.


Bilik sebelah kanan.



Ia masih baru dan banyak usaha penambahan yang sedang dilakukan.

Tempat ini juga banyak bertangga, jadi tak perlu bawa stroller untuk anak kecil.

Terus naik tangga untuk beri makan kepada burung dan racoon



Tempatnya sangat bersih, cantik dan terjaga. Tak ada bau busuk langsung pada hari tersebut. Harap-harapnya ia terus terjaga sebegitu.

Cantik sangat tengok design tempatnya menggunakan bahan-bahan dari kayu. Memang menarik.


Tempat yang cantik.
Turun sahaja dari tangga pintu masuk, sebelah kanan adalah untuk melihat kambing. Sebelah kiri terdapat beberapa burung kakak tua.


Antara haiwan yang boleh dipegang, diberi makan dan bermain dengannya ialah kambing, racoon, burung kakak tua, arnab, ular, hamster, sugar glider, pelbagai jenis burung dan ayam.


Jangan lupa untuk beri makan kepada burung kakak tua di kawasan sebelah kiri selepas turun tangga dari pintu masuk

Terdapat juga persembahan binatang pada masa yang ditetapkan. 

Seronoknya anak-anak memberi makan kuaci kepada burung

Jangan risau, terdapat banyak paip air untuk mencuci tangan


Berehat sebentar sebelum pulang



InsyaAllah anak-anak pasti seronok pergi ke G2G ANIMAL GARDEN DI MAEPS.


Maklumat lanjut tentang tempat ini boleh dilihat di sini:
https://www.facebook.com/G2GAnimalGardenOfficial/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...