Friday, September 30, 2022

Mendidik Ahmad Zaid di Masjid

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/4/2021


Seperti abang-abangnya juga dahulu, kini Ahmad Zaid yang berusia 6 tahun pula sering kami bawa ke masjid.


Oleh kerana abang-abang yang sudah Sekolah Menengah sibuk dengan kerja sekolah dan hafazan Al-Quran malam hari di Maahad, jadi kami hanya membawa Ahmad Zaid sahaja ke masjid.


Alhamdulillah sejak dari kecil, kami bawa anak-anak ke masjid.


Terlalu banyak faedah dan manfaat yang boleh didapati dengan membiasakan mereka dengan masjid:


1. Keberkatan Ilahi di rumahNya

2. Hidup dalam suasana yang Soleh.

3. Suasana ilmu, semangat mencari ilmu.

4. Bergaul dengan orang ramai, seperti entri jawapan Ahmad Zaid kepada makcik-makcik yang bertanyakan umurnya.


Begitulah sedikit sebanyak manfaat membiasakan anak-anak ke masjid yang dapat saya rasakan.


Ia lebih dirasai ketika mereka kanak-kanak, kerana apabila anak-anak meningkat remaja, mereka makin sibuk dengan urusan menuntut ilmu. Hanya dapat membawa mereka ke masjid ketika cuti sekolah sahaja. Hari-hari lain, mereka sibuk dengan Hafazan dan kerja sekolah.


Alhamdulillah ala kulli hal.

Tuesday, September 27, 2022

Penat menantikan penghujung?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/4/2021


"Buku kau kat pejabat abah tinggal 2 lagi, tapi abah beli bagi habis." Kata Dijah.


Sifat nak cepat habis itu juga ada dalam diri saya.


Rasa rimas menunggu penghujung. Nak cepat habis belajar. Nak cepat habis itu, nak cepat habis ini.


Kadangkala, hinggakan terfikir:

'Aku dah habis phD, dah ada anak? Bila agaknya aku nak mati?'


Bukan kerana angkuh kerana banyaknya amalan. Sekali-kali tidak begitu. Namun kerana sifat nak cepat habis. Itu sahaja.


Ada ketikanya juga, apabila terasa penat dek kerja, terfikir: 

'Bilalah aku nak mati ni? Penat dah rasanya jatuh bangun dalam hidup. Suka duka dalam hidup.'


Namun hati menjawab semula:

' Allah hidupkan aku lagi atas dunia ini, pasti ada anugerah kegembiraan besar yang Allah nak berikan lagi, untuk menghapuskan dosa dan mengangkat darjat di syurga nanti.' 

Optimis.


Melihat pula keadaan orang lain yang jauh lebih susah, bagai ditempeleng muka ini. Tak layak bagi diri yang jauh lebih senang ini untuk berkata begitu.


Allah.....


Merenung hidup yang menghampiri usia 40. 

Ya Allah, aku dah dewasa. Teringat-ingat perangai dan kenangan ketika kanak-kanak. Kini aku dah dewasa.

Perlu lebih matang.

Perlu lebih bijak mengawal suasana.

Perlu lebih tenang.

Hinggalah dipanggil Allah.


Semoga Allah bantu.

Amin.


Saturday, September 24, 2022

Umur Ahmad?


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 4/4/2021


Bila makcik² bertanya kepada Ahmad tentang umur?



- Jawapan Ahmad kepada 🧕🏻 A:

"Umur 6 tahun."



- Kepada🧕🏻B:

"Umur 6 tahun, tapi sekolah darjah 1."


- Kepada 🧕🏻 C:

"Umur 6 tahun, tapi sekolah darjah 1. Tak pi Pasti dah lani. Masa umur 5 tahun pi Pasti."


😅😅Makin lama makin panjang pulak jawapannya😅

Wednesday, September 21, 2022

Kita ada.........

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 3/4/2021


Kita semua ada.........kerisauan, kebimbangan tentang masa depan, fikirkan cabaran anak-anak yang makin meningkat remaja, penyakit, kesempitan, kesedihan, konflik, masalah......



Adukan dan rayulah kepada Allah SWT. Terutamanya di malam hari. Berulang-ulang kali. Sepenuh hati.

Sunday, September 18, 2022

Menuntut ilmu secara formal?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 3/4/2021


 Menuntut ilmu itu menyeronokkan, tetapi untuk belajar secara formal memerlukan BANYAK perhatian dan pengorbanan, lagi-lagi bagi mereka yang bekerjaya dan berkeluarga. 



Realitinya, makin lama ditinggalkan alam universiti, hati rasa malas, otak pun rasa berkarat untuk membaca kajian panjang-panjang, ditambah lagi badan sakit-sakit bila duduk lama menaip tesis sendirian. Sakit sangat. Berbeza keadaan ketika belajar di alam degree yang penuh dengan semangat, kekuatan dan rakan-rakan. Seriously.


Ketika itu doa berpanjangan agar ditabahkan hati hingga ke akhirnya. Cekal! Bantuan Allah dirayu sepanjang jalan..

Thursday, September 15, 2022

Sebelum dosa terbongkar

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 2/4/2021


Teringat kata-kata pensyarah ketika di Kuliah Dakwah dulu:



"Dosa yang dilakukan, Allah akan tutup, sebagai peluang untuk kita bertaubat. Namun jika masih berpanjangan dan kekal dalam maksiat, pasti akan terbongkar juga kejahatan itu akhirnya. Pasti orang akan tahu juga. Bertaubatlah."

Monday, September 12, 2022

Penantian dan isi hati

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 31/3/2021




Apa yang ditulis oleh rakan saya ingin amat saya rasakan bila kena menunggu. Lebih-lebih lagi kena menunggu untuk ujian.


Rasa beruntung bila ada ayat Al-Quran/ Surah-surah penenang hati yang boleh dibaca.


Doa, zikir-zikir, selawat semua dibaca bagi hilang gelisah menunggu.

Friday, September 9, 2022

Sakura dan buah gheyang

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 28/3/2021

Entri ini hanya untuk kekalkan memori.

Ketika cuti pertengahan penggal pertama 2021, oleh kerana tidak boleh merentas negeri kerana Covid, kami bercuti sehari semalam di Raia Hotel, Alor Setar.

Dahulu ketika namanya TH hotel, sudah beberapa kali tinggal di hotel ini.

Aktiviti pagi ialah joging, atau jalan-jalan.

Kebetulan terjumpa pokok buah gheyang kecil yang sudah jarang dijumpai sekarang.


Buah gheyang.
Rasa buahnya manis-manis kelat.
Jangan makan bijinya, pahit.

Sempat merakamkan kenangan di hadapan pokok sakura Malaysia, pokok Tecoma.

Jalan-jalan tepi bendang

Panjat pokok gheyang.


Buah gheyang yang merimbun.
Geramnya
Masyaallah

Bahagia itu sederhana



Tuesday, September 6, 2022

Respon kelakar

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 28/3/2021

Ketika saya menulis status Whatsapp ini, beberapa rakan memberikan respon yang kelakar.


Antaranya ialah:




Begitulah kisahnya 😅

Saturday, September 3, 2022

Macamana nak hidupkan suasana Al Quran dalam rumahtangga kita?


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 28/3/2021


❓: Macamana nak hidupkan suasana Al Quran dalam rumahtangga kita?


▶️: MULAKAN, Allah akan bantu niat murni kita.


Anak-anak mula ditasmik hafazan sejak umur setahun setengah (walau tak sempurna bacaannya).


Ada masa terluang, gunakan untuk tasmik. Tasmik dalam kereta adalah perkara biasa, apa lagi boleh dibuat dalam kereta?



Ketika Abd Rahman sekolah di Ihsaniah Tikam Batu (2013), perjalanan dari Kuala Ketil ke sana (lebih 30KM) diisi dengan ulangan hafazan.


Mulakan. Doa setulusnya, insya Allah dipermudahkan-Nya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...