Tuesday, July 30, 2024

Tasmik hafazan Al-Quran online dalam Bulan Ramadhan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 20/4/22


Sebelum Ramadhan, saya risau tentang masa tasmik online saya ketika Ramadan, sebab selalunya tasmik jam 9 malam hingga jam 10 malam. 20 mukasurat untuk satu sesi. Bulan Ramadhan ada terawih.


Pagi saya kerja. Petang Ustazah pula mengajar kelas. Jadi selepas berbincang, masa yang sesuai adalah selepas ustazah habis kelas. Selepas jam 6 petang. 10 surat sahaja. Kalau 20 mukasurat takut, tak sempat nak siap buka puasa pula😅.



Begitulah sedikit usaha untuk menjaga hafazan Al-Quran. Walaupun kurang separuh masa dari sebelum Ramadhan, tapi alhamdulillah masih dapat tasmik online.

Sunday, July 28, 2024

Kad yang berusia lebih 20 tahun

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 19/4/22


Antara insan-insan yang sering dikenang ketika Bulan Ramadhan.


Pensyarah Usul Hadis di Syria dulu. Anisah Maha Al-Harbali. Masih sentiasa berhubung dan saling mendoakan.


Terharu bila Anisah Maha masih menyimpan kad yang saya berikan lebih 20 tahun lalu, ketika itu masih remaja belasan tahun.





Seperti anak remaja lain juga, suka melukis, buat kad ucapan untuk mereka yang dikasihi.

Friday, July 26, 2024

Kenangan indah

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 18/4/22



"Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;


"Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;


"Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim;


(Asy-Syu'araa: 83-85)

Sejarah berulang


بسم الله الرحمن الرحيم 


Walau beza masa mama belajar dan abang Abbudey lebih 20 tahun, tapi ada saja pengalaman yang dilaluinya sama seperti mama.


Pengalaman kena ligan anjing masa balik mengaji, pastu menyorok dalam bangunan, driver service/ tramco suruh turun sebab dia tak mau sambung jalan. Begitulah pahit manis hidup di perantauan.




Cumanya teknologi masakini mendekatkan kita. Setiap hari masih boleh menasihati anak walaupun nak 18 tahun ulang nasihat yang sama. Selagi bernyawa, insyaallah selagi itulah kita mengingatkan.


Jangan tinggal Al Quran, tahajud. Gunakan peluang tuntut ilmu sebaiknya. Jangan ralit dengan Hp. Jangan tengok haram. Solat berjemaah. Jangan kawan dengan banat. Jangan lupa makan..... dan banyak lagi 😅


دمتم في حفظ الله ورعايته

Wednesday, July 24, 2024

Fasa-fasa kehidupan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 18/4/2022


Ketika baca komen dalam FB adik daripada kawan-kawan abah saya memikirkan:

Ada jasa-jasa abah yang orang ingat.



Komen pertama daripada kawan abah di Syria, ayahnya adalah guru B.Arab abah di sana dulu.


Yang kedua ialah: ustaz kami dari Senegal yang turut ikut abah hantar kami ke Syria awal-awal dulu.


Dulu abah aktif travel atas urusan kerja/anak-anak/ belajar. Setiap bulan naik kapal terbang!


Kini abah berada di fasa yang lain. Tidak lagi terbang ke oversea. Hanya di rumah dengan mak yang tabah menguruskan abah setiap masa.


Bila melihat abah, selalu terfikir, bagaimanalah pula laluan hidup kita di masa hadapan? Semoga Allah kurniakan kehidupan yang terbaik dunia dan akhirat. Amin.

Siri Kembara Ilmu ke Mesir: Bahagian 6: Tidak Rugi Bertanya


 Oleh: Muhammad Abd Rahman bin Amri.


بسم الله الرحمن الرحيم 


Pengalaman di Mesir memberikan saya banyak tentang pengajaran di dalam hidup . 


Antaranya ialah: 

Bertanya tidak membuatkan kita rugi.


Antara kisah tentang ini ialah ketika saya pulang berseorangan pada hari pertama dan tersalah menaiki bas. 


Perkara ini terjadi kerana saya malu bertanya dan beranggapan bahawa bas yang saya naik akan lalu di kawasan tempat saya tinggal… telah diceritakan sebelum ini di sini:

https://cinta-rasul.blogspot.com/2024/07/siri-kembara-ilmu-ke-mesir-bahagian-2.html

Bas dan tramco/ van antara pengangkutan awam yang sangat murah di Mesir.



Kisah lain: 

Daurah kedua yang saya sertai di Mesir merupakan daurah Qawaid Fiqh dan Tasawwuf yang disampaikan oleh Sheikh Hisyam Kamil yang selalu berkunjung ke Malaysia. 


Banyak melawak dalam Bahasa Melayu. Kelas yang santai namun penyampaiannya padat. 


Apa-apa pun yang ingin disampaikan dalam penulisan kali ini ialah tentang tak rugi bertanya. 


Sebaliknya kita akan RUGI jika TIDAK BERTANYA 


Sheikh memulakan daurah dengan dars Qawaid Fiqh trlebih dahulu. Kitab Qawaid Fiqh telah disediakan oleh pihak penganjur daurah. 


Jadi saya tidak bertanya tentang kitab tasawwuf iaitu kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Al Ghazali. 


Selepas tamat dars Qawaid Fiqh, Sheikh mengisi ruang antara dua dars ini dengan solat asar berjemaah kerana dars Qawaid Fiqh tamat 5 minit selepas masuknya waktu asar.

Kitab yang akan digunakan dalam pengajian kali ini.

Nota Usul Fiqh yang diberikan 


Menziarahi Masjid Al Imam Al Hussain 

Ketika menunggu Sheikh mengambil wuduk. Saya disapa oleh seorang pelajar. Dia bertanya tentang nama dan warganegara kepada saya.


Selepas berkenalan antara satu sama lain. Saya telah mengetahui bahawa pelajar tersebut berasal dari Thailand. Dia meneruskan bicara dan bertanya kepada saya:

“ليس معك كتاب؟"


Saya menjawab:

"هل لا يعطون لنا الكتاب؟"


Dia menjawab:

 "لا"


“Kamu tiada kitab?” 


Saya menjawab:

“Adakah mereka tidak menyediakan kitab?”


Dia menjawab: 

”Tidak” 


Saya terdiam seketika…. Lalu pelajar tersebut mengeluarkan kitab yang telah dia bawa ketika itu lalu menunjukkan kepada saya.


Saya meminta izin darinya untuk membelek helaian dari kitab tesebut dan mengambil gambar kitab tersebut. 


Selepas habis membelek, saya memberanikan diri untuk bertanya:

"من أين اشتريت هذا الكتاب ؟"


Dia menjawab:

"من المكتبة خلف الأزهر"


Dia meneruskan bicara:

" ممكن نذهب معا بعد المحاضرة "


Saya menolak dan berkata:

"شكرا ، لا أريد أن أزعجك "


“Dari mana kamu beli kitab ini?”


Dia menjawab: 

“Dari maktabah belakang Al Azhar”


Dia meneruskan bicara 

“Kita boleh pergi bersama selepas kelas ini”


Saya menolak dan berkata:

“Tidak mengapa, saya tidak mahu mengganggu kamu”


Terdetik di dalam hati. Alangkah baiknya jika aku bertanya dari sebelum kelas dimulakan😌


Ahad

21/7/2024

Tuesday, July 23, 2024

Siri Kembara Ilmu ke Mesir: Bahagian 5: Mesir: Bumi yang penuh dengan majlis ilmu


 Oleh: Muhammad Abd Rahman bin Amri.

بسم الله الرحمن الرحيم

Seminggu sebelum berangkat ke bumi mesir, Sheikh Mahmood ada memberikan kepada saya satu link berkenaan majlis-majlis ilmu yang terdapat di Mesir. 

https://whatsapp.com/channel/0029VaaO92J2Jl87trfird3Y

Saya follow channel tersebut. Saya mendapati bahawa terlalu banyak majlis ilmu di Mesir ini. Namun realitinya belum diketahui.

Sewaktu di Malaysia saya beranggapan bahawa majlis-majlis ilmu tersebut terletak berdekatan antara satu sama lain. 

Mengikut Ahmad untuk kursus Nahu pada musim panas di Universiti Al Azhar 

Dalam kursus Nahu di Universiti Al Azhar 

Kursus Nahu yang disertai pada hari kedua setelah tiba di Mesir.


Selepas tamat kursus Nahu, saya sertai kelas Usul Fiqh dan Syarah kitab Bidayah Wan Nihayah.


Apabila tiba sahaja di sini, pada hari kedua, saya meminta kepada Ahmad agar menemani saya ke Jamek Azhar kerana saya ada terbaca iklan tentang kelas nahu.

Apabila saya mendapati bahawa Sheikh tidak hadir. Saya terus membuka semula channel yang telah saya ikuti. 

Saya dapati bahawa banyak lagi dars yang sedang berlangsung pada waktu tersebut. 


Saya terus meminta kepada Ahmad untuk membawa saya ke tempat tersebut. Namun katanya tempat itu terletak jauh dari Jamek Azhar. 


Disebabkan itu, saya memutuskan untuk murajaah Al Quran di Jamek Azhar kerana bagi saya bukan mudah untuk menjejakkan kaki ke Jamek Azhar. 


Selepas murajaah tidak smpai 10 muka surat, telefon saya berbunyi kerana notifikasi wassap yang telah dihantar oleh Ustaz Daniel.

Kawan Ahmad masak nasi di rumah sewa kami.

Syawarma beli 70 Geneih 


Saya terus membukanya lalu mendapati bahawa terdapat daurah yg akan diadakan berhampiran Jamek Azhar. 

Saya terus bergegas ke tempat itu bersama Ahmad lalu berjaya menyertai daurah tersebut. 

Setelah selesai daurah pada jam 1 petang. Ahmad mempelawa saya untuk pergi ke dars umumi yang sedang berlangsung di Jamek Azhar. 


Tanpa berfikir panjang, saya terus mengikutinya kembali ke Jamek Azhar. 

Pahit manis menaiki Tramco/ van/ service untuk ke majlis ilmu

Menaiki Tramco menuju kelas mengaji


Terdetik ketika itu di dalam hati bahawa padatnya majlis ilmu yang diadakan di Mesir ini lalu saya teringat kata-kata Sheikh Mahmood. 

"مجالس العلم هناك كثيرة ، من يريد أن يتعلم يتعلم، ومن لا يريد لا يتعلم"

Majlis ilmu di Mesir ini sangat banyak. Siapa yang ingin belajar, dia akan belajar. Siapa yang tak mahu, dia tak akan belajar.

اللهم يسر لنا في طلب العلم🤲🏻

Sunday, July 21, 2024

Siri Kembara Ilmu ke Mesir: Bahagian 4: Mutiara Hikmah

 

بسم الله الرحمن الرحيم 


Oleh: Muhammad Abd Rahman bin Amri 


Sebelum menjejakkan kaki ke bumi Mesir ini saya ada menolak pendapat mama untuk menghantar saya buat beberapa waktu yang tak panjang bagi tujuan menimba ilmu atas alasan bahawa saya masih muda dan penguasaan bahasa arab yang masih di tahap yang rendah.


Antara kata-kata yang menyebabkan saya menerima pendapat mama tersebut ialah “mama waktu umur 16 tahun dah kena hntaq pi Syria”


Seminggu selepas itu, mama bertanya semula tentang keputusan saya untuk datang ke Mesir. Saya tanpa ragu-ragu mengatakan “ok boleh”. 


Selang beberapa jam…. Telefon saya berbunyi kerana notifikasi dari wassap yang telah dihantar oleh mama. 


Saya membuka mesej tersebut lalu mendapati bahawa mama telah membuat pembelian tiket untuk saya ke Mesir.


Perkara tersebut menjadikan saya begitu terkejut. Tetapi saya tidak menunjukkan riak perasaan begitu. Sebaliknya saya berpura-pura tenang. 


Hari-hari terakhir saya sebelum berangkat ke Mesir berlalu dengan perkara-perkara yang penting harus diselesaikan sebelum berangkat.

Buka puasa Hari Asyura di Restoran Ikhwan (Melayu Malaysia) di Kaherah 

Sahur di Mesir 
Guna bekas apa yang ada saja

Makan tengahari pada hari lain.



Antaranya ialah :

Sahabat saya telah terlibat dalam satu kemalangan seminggu sebelum saya berangkat ke Mesir. 


Perkara tersebut menjadikannya sibuk dalam satu urusan iaitu membaiki kerosakan pada kereta yang telah dilanggarnya. 


Saya amat bersimpati terhadap perkara tersebut dan secara tidak langsung saya telah campur tangan dalam menyelesaikan masalah. 


Saya telah mencadangkan kepadanya untuk menghantar kereta yg telah dilanggar tersebut ke kedai mengecat yang selalu baba menggunakan perkhidmatan di situ kerana harga yang dikenakan di situ adalah lebih rendah dari kedai-kedai mengecat yang lain.


Hal ini menjadikan hari-hari saya lebih sibuk dan padat kerana persediaan untuk ke Mesir belum dibuat lagi.





Apa-apa pun perkara-perkara tersebut telah selesai sebelum saya ke Mesir.


Alhamdulillah 


Apa yang dapat disimpulkan di sini :


Pertama: 

sebagai manusia kita memerlukan bimbingan, dorongan dan kata-kata semangat daripada mereka yang lebih berpengalaman terutamanya kedua ibu bapa. 


Kedua: 

Janganlah kita berpandangan bahawa menolong orang itu akan merugikan kita. 


Namun sebaliknya kita harus percaya bahawa pertolongan kita itu akan Allah gantikan dengan pertolongan dari-Nya dari sudut yang kita tak sangka.


Cukuplah hadith Nabi Muhammad bersabda:

ومَن يسَّر على مُعسرٍ يسَّر الله عليه في الدنيا والآخرة، ومَن ستر مسلمًا ستره الله في الدنيا والآخرة، والله في عون العبد ما كان العبدُ في عون أخيه 


Barangsiapa memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat, dan barangsiapa yang menutupi seorang muslim, Allah akan menutupinya di dunia dan akhirat, dan Allah menolong hamba selama hamba itu. membantu saudaranya.


اللهم حقق لنا جميع الأحلام🤲🏻

الجمعة

١٩/٧/٢٠٢٤

Saturday, July 20, 2024

Cara orang yang berjaya?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 17/4/22


Setiap kali buat kerja rumah, saya akan cari benda-benda ini.



Pakai di lengan, pasang ear phone, buat kerja rumah.


Ilmu dapat, kerja rumah selesai. Kurang penat dan jemu buat kerja rumah sebab kita fokus pada apa yang sedang kita dengar.


Ketentuan Allah juga, mendengar tips jadi produktif:

Buat banyak kerja dalam 1 masa!


Begitulah cara orang yang berjaya menghargai masa.

Siri Kembara Ilmu ke Mesir: Bahagian 2: Kehebatan tawakkal

 

Oleh: Muhammad Abd Rahman bin Amri.


بسم الله الرحمن الرحيم


Kisah kedua: 


Hari pertama saya pulang dari daurah bersendirian tanpa teman. 


Ketika menaiki bas dari tempat daurah untuk pulang ke rumah sewa, saya telah menaiki bas yang menuju ke tempat yang salah. 


Dalam waktu itu juga, saya sudah kehabisan data internet. 


Jadi tiada siapa yang saya boleh hubungi untuk minta bantuan. 

Jamik Al Azhar 


Baru tiba di Mesir

Sarapan 


Saya cuba berinteraksi dengan penduduk Mesir tetapi mereka kurang memahami saya kerana saya menggunakan bahasa Arab baku yang jarang digunakan oleh masyarakat di Mesir ini. 


Saya buntu, minda berkecamuk. Tiba-tiba kalimah

 بسم الله توكلت على الله 

keluar dari bibir saya. 


Selepas lama menunggu dalam kebuntuan, Allah menghantarkan kepada saya syabab Indonesia yang mereka menyediakan khidmat kereta sewa. 


Lalu saya meminta untuk mereka menghantar saya ke rumah sewa, namun permintaan itu ditolak atas alasan mereka tidak melalui kawasan tersebut.


 Lalu saya meminta kepadanya untuk menggunakan hotspotnya untuk memesan Uber dan permintaan tersebut diterima. 


Saya berterima kasih kepada syabab tersebut sebelum meninggalkannya selepas Uber yang dipesan telah tiba. 


Lalu saya dapat pulang ke rumah sewa dengan selamat.


الحمد لله على كل حال


Sabtu 

17/7/2024

Friday, July 19, 2024

Siri Kembara Ilmu ke Mesir: Bahagian 3: Setiap ilmu ada manfaatnya

 

Oleh: Muhammad Abd Rahman bin Amri.


بسم الله الرحمن الرحيم 


Hari kedua saya di Mesir, selepas merasakan diri sudah sesuai dengan perubahan masa. Saya terus berhubung dengan Ustaz Daniel dan bertanyakan kepadanya tentang daurah yang ada di sekitar Cairo. Ustaz Daniel telah menghantar satu iklan tentang daurah ilmu Nahu yang akan mula pada hari tersebut.


Ketika itu saya berada di Jamek Azhar sedang menunggu seorang shiekh yang katanya akan mensyarahkan Matan Alfiyah.

Subuh di masjid berkenaan rumah sewa.
Masya Allah ramai jemaahnya.

Makan tengahari 

Menaiki bas menuju kursus Nahu

Alhamdulillah selesai mengikuti kelas ini hingga tamat 

Ijazah yang diterima 

Pengalaman mengikuti kelas Talaqqi Nahu


Selepas menunggu beberapa ketika, shiekh masih tidak kelihatan, saya terus bergegas ke tempat daurah telah dikhabarkan oleh Ustaz Daniel iaitu مضيفة الشيخ إسماعيل صادق العدوي. 


Setelah tiba di situ saya dikejutkan dengan bayaran yang dikenakan untuk menyertai daurah tersebut. 


Yurannya tidaklah mahal, tetapi ketika itu duit Mesir saya belum ada. Jadi Ahmad membuat keputusan untuk meminjamkan duitnya kepada saya. Lalu saya berjaya menyertai daurah tersebut.


Ketika hari ketiga saya di daurah tersebut, selepas tamat kelas, saya menunggu Ahmad di hadapan tangga dewan daurah untuk pulang bersamanya. Namun pada hari tersebut Ahmad muncul agak lewat dari kebiasaan.


Nak dijadikan cerita. Seperti biasa sheikh yang mengajarkan kami daurah nahu itu akan mengajak kami untuk solat zohor berjemaah bersamanya setiap hari. Tetapi pada hari tersebut saya tidak mempunyai wudhuk.


Ketika itu saya bertanya kepada rakan sekelas yang berasal dari Sudan tentang tempat untuk mengambil wudhuk. Lalu dia memberitahu bahawa terdapat masjid berhampiran dewan daurah. 


Lalu saya mempercepatkan langkah ke masjid tersebut dan berjaya tiba di dewan daurah ketika shiekh baru memulakan rakaatnya yang kedua. 


Ketika menunggu Ahmad di hadapan tangga dewan daurah itu, saya ditegur oleh pelajar sudan yang saya telah bertanya kepadanya tentang tempat mengambil wudhuk tersebut.


Dia memulakan bicara dgn bertanya:

”أين ذهبت للوضوء؟ “

Saya menjawab kepadanya :

" ذهبت الى المسجد ".

Ketika itu ada seorang lagi pelajar yang berasal dari Sudan juga telah mendengar perbicaraan kami. 


Lalu dia dengan spontan berkata kepada saya :

“أعرب كلمة ذهبتُ". 


Berbekalkan sedikit ilmu yang telah dipelajari di Maahad saya dapat menjawab soalan pelajar Sudan tersebut dengan betul. 


Ketika itu riak wajahnya seperti hairan dan pelik lalu bertanya:

 " كيف تجاوب والشيخ لم يدرّس بعد؟


 Saya hanya mampu senyum dan pelajar Sudan itu terus beredar dari tempat itu. 


Ketika awal belajar nahu terutamanya dalam i’rab. Saya merasakan bahawa i’rab itu tiada manfaat kerana kita hanya menentukan baris akhir kalimah dengan memberikan sebab-sebab terhadap baris tersebut walaupun ada saja banyak manfaat dari i’ rab itu sendiri. 


Jadi ketika ini terdetik dalam hati saya bahawa ilmu yg dipelajari tidak ada sedikit pun yang tidak bermanfaat. 


Setiap dari ilmu yg dipelajari akan datang manfaatnya pada waktunya. مع مرور الزمن. 


اللهم انفعنا بما علمتنا وعلمنا ما ينفعنا 🤲🏻


١٨/٧/٢٠٢٤

الخميس

Siri Kembara Ilmu ke Mesir: Bahagian 1: Kehebatan tawakkal

 

Oleh: Muhammad Abd Rahman bin Amri.


بسم الله الرحمن الرحيم


Kisah 1: 


Ketika melaksanakan umrah brsama Dr. Adel. Waktu nk masuk pintu Nombor 79 di Masjidil Haram kami dihalang kerana Dr Adel membawa beg yang terkandung di dalamnya laptop.


Jadi kami buat keputusan untuk lakukan umrah secara berasingan supaya beg laptop Dr. Adel dapat dijaga di luar dr pintu Masjidil Haram. 


Jadi saya memberikan peluang kepada Dr. Adel untuk melaksanakan umrah terlebih dahulu. 



Kami berdua tiada data atau internet. Hanya berbekalkan tawakal yang tinggi kepada Allah selepas kami ikhtiar dengan menetapkan satu tempat untuk saya menunggunya. 


Saya menunggu dalam perasaan yang berkecamuk memikirkan pelbagai perkara. 


Lalu saya dapat keluar dari keadaan tersebut dgn saya membuka telefon dan membelek galeri gambar di dalam telefon saya. 


Setelah waktu yang tidak lama, gambar di dalam galeri pun habis dibelek. 


Kemudian saya baru teringat bahawa saya berada di Tanah Haram yang mana amalan akan digandakan dengan gandaan yang lebih dari amalan di tempat lain. 



Lalu saya membuka aplikasi Al Quran yg telah dimuat turun di dalam telefon ini. 



Saya memulakan bacaan pada mukasurat 77 Surah al Maidah kemudian meneruskan bacaan sehingga tamat surah al An’am. 


Cuaca di saudi sangat panas menyebabkan saya tidak dapat meneruskan bacaan al Quran kerana tekak saya terasa sangat sakit. 



Kemudian saya terus menunggu sehingga lebih kurang 3 jam lalu saya ternampak Dr Adel datang dlm keadaan mukanya tersenyum lebar lalu memperingatkan saya tentang rukun umrah yang saya akan kerjakan. 


Sheikh memberitahu kepada saya bahawa beliau akan menunggu saya di pintu yang kami telah dihalang untuk memasukinya pada awal tadi dan berkata kepada saya:

 توكل على الله،نراكم هنا إن شاءالله . 


Lalu saya meneruskan langkah dengan memasuki pintu Nombor 79 untuk menyelesaikan ibadah umrah. 



Setelah selesai tawaf saya meneruskan ibadah dengan solat 2 rakaat bertepatan belakang Hijr Ismail. 


Sebelum musafir saya ada membawa bersama saya beberapa keping gambar atas tujuan untuk menangkap kepingan gambar tersebut hadapan kaabah. 


Saya telah selesaikan hasrat ini sebelum meneruskan saie. 


Sepanjang tawaf mulut saya tak lekang dgn perkataan :


بسم الله توكلت على الله dan بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء 


Kerana saya merasakan ketika itu bahawa Allah sahajalah sebaik-baik tempat bersandar. 


Alangkah baiknya jika perasaan ini timbul di dalam hati saya setiap masa. 


Kemudian saya meneruskan saie sehingga masuk waktu Jumaat dan saya meneruskan saie ketika khatib sedang berkhutbah dan berjaya menyelesaikan saie pada awal khutbah kedua.

Abang Abbudey bersama Dr.Adel



Selepas selesai solat jumaat, saya terus ke pintu keluar berdekatan Safaa iaitu pintu nombor 13. 


Apabila saya mendekati pintu tersebut saya dapati bahawa pintu itu tidak dibuka. 


Lalu saya meneruskan perjalanan mengikut landasan saie sehinggalah saya menemui pintu nombor 17 terbuka. 


Saya terus bertanya kepada polis tersebut tentang jalan untuk menuju ke pintu nombor 79 seperti yg dijanjikan oleh dr Adel bahawa beliau akan menunggu saya di situ. 


Apabila smpai di hadapan pintu 79, Dr.Adel kerana beliau tidak berada di situ. 


Saya tidak mampu untuk menghubungi beliau kerana ketiadaan data internet. 



Lalu secara spontan kalimah:

 بسم الله توكلت على الله 

keluar dr bibir saya sebelum saya meneruskan perjalanan ke tempat yang saya telah menunggu Dr. Adel ketika beliau melaksanakan ibadah umrah. 


Dalam perjalanan saya terserempak dgn beliau dan saya mengatakan kepada beliau:

 الله يتقبل منا.


Jadi boleh disimpulkan di sini bahawa tiada yang mustahil selepas kita berikhtiar dan mengikatnya dengan tawakal kepada Allah Yang Maha Berkuasa.



Sabtu

17/7/2024

Thursday, July 18, 2024

Mengubah manusia.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 17/4/22


Saya sangat percaya bahawa kata-kata dan penulisan dapat mengubah manusia.


(إن من البيان لسحرا)

“Sesungguhnya pada sebahagian kata itu sungguhlah ia dapat memukau dan mempengaruhi orang lain. HR ABU DAUD & IBNU MAJAH




Dulu saya pernah terinspirasi dengan blog keibubapaan yang membuatkan saya menangis di tengah malam dan azam sungguh-sungguh untuk mendidik anak-anak. Saya jumpa penulis blog tersebut di Kelantan dan berterima kasih kepadanya.


Kita mungkin tak pandai dalam semua perkara, tapi ada perkara yang Allah lebihkan dalam diri kita. Gunakanlah sebaiknya dan berikanlah manfaat kepada orang lain.


Kita semua sama. Perlukan inspirasi, motivasi dan kekuatan.

Tuesday, July 16, 2024

Patutkah beri ganjaran kepada anak-anak?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 16/4/22


Mama janji dengan Ahmad, habis hafal juz 29, baru mama belikan beyblade. Ahmad berbaki Surah Al Qalam dan Al Mulk.


Dulu masa abang-abang mula hafaz Al-Quran, kami beri semangat kepada mereka untuk terus menghafaz dengan hadiah. 


Apalah salahnya kita ganjari anak-anak atas usaha susah payah mereka menuntut ilmu dan hafaz Al-Quran. 


Dulu masa kami kecik, setiap juzuk yang dihafal, abah bagi RMxxx. Tentang ikhlas lama kelamaan, akan faham.



👦🏻: Mama, Ahmad nak belikan beyblade untuk baba dalam Shopee mama.


Daripada cara sengih tu rasanya baba ke yang nak main beyblade tu?😅

Monday, July 15, 2024

Macamana Abang Abbudey boleh pi Mesir? (Siri 3)

بسم الله الرحمن الرحيم 

Entri ini ditulis pada 13/7/2024


Sambungan dari entri lepas.....


Sheikh Adil akan transit di Jeddah untuk menunaikan umrah.


Bertambahlah overthinking mama.

1. Macamana nak dapat visa umrah?

2. Abang Abbudey lagi 2 bulan nak cukup 18 tahun. Ada yang kata bawah 18 tahun kalau nak naik kapal terbang, kena ada surat kebenaran/ isi borang.


Ya Allah. Mama sangatlah risau dan overthinking. Doa banyak-banyak.


Kami minta kawan yang ada di Mekah, Ustaz Ashan yang baru selesai haji untuk uruskan Visa umrah untuk abang Abbudey.

Alhamdulillah visa abang Abbudey untuk tunaikan umrah siap sehari sebelum bertolak.

Ya Allah. Syukur sangat.


Ustaz Ashan juga minta buat surat pengakuan bahawa Abang Abbudey musafir dengan Dr.Adil.


Alhamdulillah Allah mudahkan urusan Abang Abbudey untuk tunaikan umrah pada hari Jumaat.

Abang Abbudey dan Dr.Adil simpan bagasi-bagasi semua di airport Jeddah kemudian naik teksi pi buat umrah.

Selesai umrah, balik airport dan tunggu untuk terbang ke Mesir.

Hari Jumaat, kawasan Masjidil Haram ramai orang. Teksi berhenti jauh. Abang Abbudey kata jalan 10 minit.

Lepas tu Dr.Adil bawa laptop. Tak boleh masuk Masjidil Haram. Maka Abang Abbudey dan Dr.Adil bergilir-gilir buat umrah sambil sorang yang lain tunggu di luar untuk jaga laptop.


Allah himpunkan kita semua di Syurga Al Firdaus.

Amin.


Alhamdulillah.


Semoga Abang Abbudey selamat masuk ke Mesir dan dapat menuntut ilmu dengan baik.


Amin 

Bila anak mula merantau menuntut ilmu.

 بسم الله الرحمن الرحيم 


Bila anak dah mula berdikari merantau menuntut ilmu di negara orang, apa yang terdetik dalam hati ialah pengorbanan mak ayah kita dulu yang jauh lebih hebat. Dengan anak-anak yang lebih ramai dan teknologi masa tu yang tak seberapa ketika itu.


Masa tu, kalau dah lepas KLIA, naik kapal terbang, terus terputus hubungan, tak ada berita sampailah kalau jumpa telefon. Nak telefon pun bukan mudah. Mahal.



Begitulah mengenangkan pengorbanan mak abah hinggalah kita dewasa. Moga Allah ampuni dosa mereka dan masukkan mereka dalam Al Firdaus.




Abang Abbudey di Mesir tak lama. Pergi untuk bertalaqqi sementara tunggu sambung mengaji insyaallah. Semoga Allah anugerahkan perasaan cintakan ilmu dalam hati Abang Abbudey, sentiasa dalam peliharaan Allah, terhindar dari segala keburukan dan maksiat. Amin.

Sunday, July 14, 2024

Bukan soal KEPINTARAN semata.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 16/4/22


Menulis itu merawat.

Menulis itu terapi.

Menulis itu peningkat motivasi.

Menulis itu penguat hati.


💕💕💕💕💕💕💕💕


Saya tak merasakan menuntut ilmu itu begitu mudah.

Usaha untuk faham dan hafaz subjek ketika sekolah tak mudah. 

Bertambah sukar bila kuliah dakwah di Syria. Pensyarah cakap Arab Pasar. Tak paham langsung!

 Zero! 

Usaha cari study grup dengan akhawat-akhawat Melayu.


Pascasiswazah: 

Kenal peritnya direject! Berbulan-bulan tulis tesis, ditolak. Pernah setahun stuck, tak jumpa jalan nak sambung tulis tesis. Perit!



Menuntut ilmu bukan soal KEPINTARAN semata, ia tentang KETABAHAN JIWA dan TINGGI KEBERGANTUNGAN KEPADA ALLAH.


لَوْ كَانَ الْعِلْم يُدْرَكُ بِالْمُنَى# ما يَبْقَى فِى الْبَرِيَّةِ جَاهِلٌ.


اجْهَدْ وَلاَ تَكْسَلْ وَلاَ تَكُ غَافِلاً#فنَدَامَةُ الْعُقْبَى لِمَنْ يَتَكَاسَلُ


Jika ilmu didapati dgn angan-angan, tak wujudlah orang jahil dibumi.

Bersungguhlah, jangan malas dan lalai # Kekesalan bagi orang yang malas

Macamana Abang Abbudey boleh pi Mesir? (Siri 2)

 بسم الله الرحمن الرحيم 


Entri ini ditulis pada 13/7/2024


Sambungan dari siri lepas....


Alhamdulillah Abang Abbudey setuju untuk Talaqqi di Mesir. Tapi beberapa kemusykilan yang berlaku:


1. Nak pi dengan sapa?

2. Nak tinggal dengan siapa di Mesir?

3. Visa macammana?


Mama pernah tanya abang Abbudey:

🧕🏻: Abang doa tak nak pi Mesir ni?

🧒🏻: Iye, abang doa.


Allah takdirkan masa baba pi semak tesis dengan penyelia baba di UNISHAMS, Dr.Adil, Dr.Adil bagitau dia akan balik ke Mesir minggu hadapan.


Masya Allah, terus baba tanya kalau boleh Abang Abbudey ikut sekali.


Alhamdulillah Abang Abbudey akan tinggal di Mesir dengan Ahmad, anak Sheikh Mahmood, guru di Maahad ini yang tinggal di kuarters guru di sini.


Ahmad dah belajar di Al Azhar Mesir. Sekarang tengah cuti musim panas dan dia mengaji Talaqqi di Masjid Al Azhar, Mesir.


Tentang visa insyaallah semoga semuanya baik-baik saja. Sheikh Mahmood kata dapat 3 bulan.


Mama sangat overthinking dan banyak berdoa untuk keselamatan Abang Abbudey.



Alhamdulillah Mak Teh Dijah tolong belikan tiket online. Mama tak pandai bab-bab ni.

Punyalah mama risau overthinking dalam tempoh ni. Banyak sangat berdoa dan baca Al Quran dengan niat untuk keselamatan Abang Abbudey. 

Anak pertama nak lepaskan pi mengaji di negara orang.


Semuanya berlalu dengan cepat. Masya Allah.


2/7 mama tanya Abang Abbudey nak pi Mesir, seminggu lepas tu Abang Abbudey terbang pi sana.


Segunung nasihat mama untuk Abang Abbudey.

Moga sentiasa dalam jagaan dan redha Allah.

Amin.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...