Showing posts with label Perjalanan Al-Quran Abdul Rahman. Show all posts
Showing posts with label Perjalanan Al-Quran Abdul Rahman. Show all posts

Monday, October 28, 2024

Belajar hafal Quran: Cara yang sama, bahan belajar yang berbeza

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 17/7/22


30 tahun dulu, saya hafal Quran dengan cara ulang dengar BACAAN EMAK yang mak record dalam kaset dalam radio. Dah hafal lancar, baru tasmik dengan mak.


10 tahun dulu, Abd Rahman dan Abdullah hafal Quran dengan ulang dengar bacaan daripada pen Al Quran. Dah hafal,tasmik dengan mama.


Sekarang Ahmad Zaid hafal Quran dengan ulang dengar bacaan guba apps Al Quran Android dalam handphone. Dah hafal, baru tasmik dengan mama.





Teknik yang sama, dengan bahan bantu belajar yang berbeza mengikut PEREDARAN ZAMAN.


Dengan mama anak-anak belajar hafal Quran, dengan baba anak-anak belajar ilmu kehidupan, kemasyarakatan, ilmu bela lembu kambing dan banyak lagi.

Sunday, November 26, 2023

PERLAHAN-LAHAN BERTATIH MENGHAFAZ AL-QURAN.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 15/11/2021


Ketika proses Abdul Rahman dan Abdullah menghafaz Al-Quran, dengan penuh sabar dan mengharap, meniti bersama-sama mereka menghafaz ayat-ayat Al Quran sedikit demi sedikit hingga khatam beberapa tahun lalu.


Setiap surah yang siap dihafaz diwarnakan dan diletakkan tarikh (jika sempat). Abdulrahman warna 💛, Abdullah 💙.



Kini giliran Ahmad Zaid (6 tahun) pula menghafaz Al-Quran seperti abang-abangnya. Begitu juga prosesnya. Dan ditanda dengan warna 💚, dengan penuh harapan dan doa moga dapat menghafaz dengan baik.


Insyaallah sama-sama seisi keluarga kita berusaha menghafaz dan menjaga hafazan Al-Quran.

Thursday, July 13, 2023

Alhamdulillah johan pertandingan hafazan Al-Quran peringkat zon 3, Negeri Kedah

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 12/7/23


Alhamdulillah berkat doa dan tunjuk ajar semua guru, Allah rezekikan Abang Abbudey dapat johan peringkat zon bagi kategori hafazan Al-Quran antara sekolah-sekolah di Kedah.





Setiap tahun bersungguh-sungguh berlatih, Alhamdulillah Allah rezekikan untuk menang tahun ini. Di tahun akhir pengajian Abang Abbudey di thanawi. Tahun ini Abang Abbudey dah tingkatan 5 dan akan menduduki SPM insyaallah.


Semoga Allah permudahkan segala urusan Abang Abbudey, dapat buat yang terbaik dan mendapat johan bagi peringkat Negeri Kedah dan kebangsaan. Amin.


Saya kongsikan berita gembira nikmat Allah ini.


Alhamdulillah respon daripada keluarga dan rakan-rakan:









Alhamdulillah syukur kepada Allah.

Moga Allah kurniakan rezeki kepada anak-anak dan pelajar dapat terus maju dan cemerlang dalam semua bidang dunia dan akhirat. Amin.








Wednesday, June 24, 2020

Mengharap

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 19/12/2019





Alhamdulillah Abdullah dan Abdul Rahman peringkat menjaga hafazan Al-Quran yang telah dihafaz. Langkah Ahmad Zaid pula baru bermula... Rasanya peringkat permulaan ini paling kritikal. Nak kena pujuk, ajak baca, upah mainan/ ceklat. Macam tu jugaklah abang2 dulu.... Bila dah pandai hafal nanti, mereka akan pandai berdikari ulang sendiri dengan pantauan ibu ayah.

Moga Allah permudahkan segala urusan mendidik anak-anak.

Saturday, November 16, 2019

Abdullah: Berbaki hafazan 5 juz setengah

بسم الله الرحمن الرحيم

**Entri ini ditulis pada 1/6/2019


Alhamdulillah hari ini Abdullah masuk hafazan juz 10. Berbaki 5 juz setengah lagi untuk khatam hafazan Al-Quran. Doakannya dapat khatam hafazan tahun ini insya-Allah.

Dikongsikan dalam status Whatsapp peribadi video hafazan Al-Quran Abdullah di juz 10



Mama khatam hafazan tahun 1999 (diusia 14), abang Abbudey khatam hafazan diusia 12 (2018). Insyaallah Abdullah tahun ni (11 tahun).

Baba selalu kata: Ahmad Zaid lagi hebat, insya-Allah Ahmad khatam hafazan usia 8 tahun. Amin... Berkat doa baba selalu, Allah perkenankan, insyaallah.


Wednesday, April 10, 2019

"Alhamdulillah ada pelapis bila kami mati nanti."

بسم الله الرحمن الرحيم

**Entri ini ditulis pada 14/12/2018

Kisahnya bermula begini:
"Mama, hari tu bilal Masjid Jamek Kuala Ketil habaq, minggu depan dia suruh abang mai subuh hari Jumaat awal di masjid, dia suruh abang jadi imam. Dia tanya abang habis dah tak Al-Quran? Abang kata abang habis dah." Begitulah cerita Abang Abbudey beberapa hari yang lepas.

Dia teruja untuk menjadi imam subuh di masjid Jamek Kuala Ketil.



Sebelum ini abang Abbudey sudah pernah menjadi imam terawih dan imam solat fardhu di masjid-masjid lain apabila mengikut baba pergi kuliah.

Kami mula melatih anak-anak menjadi imam dengan menjadi imam di rumah dahulu. Kemudian mereka menjadi imam solat di Maahad. Apabila nampak bacaan Al-Qur'an mereka semakin baik, kami beritahu mereka, mereka perlu mula menjadi imam di masjid.

Seperti yang ditulis dalam entri di sini:
https://cinta-rasul.blogspot.com/2018/06/pengalaman-pertama-anak-anak-menjadi.html

Bermula dengan imam terawih, pelbagai nasihat dan teguran sering diberikan agar anak-anak memperbaiki mutu bacaan Alquran dan solat mereka.

Abdullah juga turut menjadi imam di masjid-masjid.

Apabila mereka menjadi imam, pada permulaan memang mereka takut, namun, lama-kelamaan mereka  menjadi biasa.

Ia juga satu motivasi, memberi kepuasan dalam diri mereka.

Namun sebelum ini, mereka tidak pernah menjadi imam di Masjid Jamek Kuala Ketil.

"Alhamdulillah, kalau kami mati, dah ada orang yang boleh ganti." Itulah antara kata-kata dari jemaah masjid.

Ya Allah...

Cepatnya masa berlalu...

Dahulunya, anak-anak inilah yang berlari, bising di masjid (sekarang Ahmad Zaid pula yang bising di masjid) kini mereka sudah menjadi imam di masjid...

MasyaAllah...

Semoga Allah memberkati kita semua dan menjadikan kita ikutan bagi orang yang bertaqwa.

Amin Ya Rabb.


Syukur ke hadrat ALLAH Subhanahu wa taala yang melorongkan kami sekeluarga ke jalan ini, Ya Rabb.

Wednesday, February 6, 2019

Alhamdulillah, semangat dalam melaksanakan plan selepas khatam AlQuran

بسم الله الرحمن الرحيم

**Entri ini ditulis pada 2/11/2018

Apabila Abdul Rahman dah khatam Al-Quran, apabila kelihatan Abdul Rahman agak banyak ralit dan bermain, kami letakkan kepadanya perancangan seterusnya seperti yang saya pernah tulis di sini:


Allah ilhamkan saya untuk tulis sedikit plan tersebut menggunakan Microsoft Word dalam handphone dan print wireless selepas saya lupa untuk lakukan salah satu dari plan tersebut pada suatu malam.

Tulis dan printkan, kemudian lekatkan di bilik Abdul Rahman agar dia terus bersemangat untuk melaksanakan plan ini setiap hari.

Maksudnya:
Harta ilmu Abdul Rahman.
Agan menjadi ulama besar.

Setiap hari selepas Maghrib:
1- Tebuk hafazan
2- Baca tafsir
3- hafal 1 hadis dari Riyadus Solihin

Plan tersebut ialah:
Setiap malam selepas maghrib Abdul Rahman perlu:
1- Tebuk hafazan Al-Quran
2- Membaca tafsir 1 mukasurat
3- Hafaz 1 hadis dari Kitab Riyadus Solihin

Saya ubah sedikit dari plan asal bagi menyesuaikan dengan masa yang ada.

Dari dahulu, pada ketika Abdul Rahman belum khatam, masa Maghrib adalah masa untuk menghafaz dan mengulang Al-Quran.

Apabila Abdul Rahman sudah khatam, kelihatan masanya agak banyak terluang.

Jadi saya cadangkan kepadanya untuk melalukan 3 plan ini agar masa tidak terbuang begitu sahaja, kelak ia akan ditanya oleh Allah Subhanahu Waa Taala.

Saya tidak merasakan plan ini sangat besar jika dibanding dengan para ulama terdahulu yang lebih banyak menghafaz banyak kitab-kitab besar.

Ada yang beberapa kali habis membaca Hadis Sohih Bukhari.

Pelbagai matan ilmu yang mereka hafal.

Sungguh dalam lubuk hati saya, saya mengharapkan anak-anak bersungguh-sungguh menghafaz dan menuntut ilmu agar dapat menjadi seperti ulama-ulama silam yang masih dikenali selepas kematian mereka kerana ketinggian ilmu mereka.

Semoga anak-anak ini menjadi ulama besar yang tinggi ilmu dan akhlaknya, dekat dengan ALLAH dan mendekatkan orang lain kepada Allah Subhanahu wa taala

Semoga Allah merezekikan kami konsisten dalam amalan sebagaimana Dia merezekikan kami semangat dalam memulakan amalan.



Tuesday, January 22, 2019

Plan seterusnya

بسم الله الرحمن الرحيم

Catatan ini ditulis pada 24.10.2018


Bila Abang Abbudey dah habis hafazan, kelihatan masanya agak lapang.

Jadi, saya berbincang dengannya untuk penuhkan masanya dengan ilmu yang bermanfaat agar dia tidak lalai dengan masa lapang.

Inilah plannya.

Saya kongsikan dalam status whatsapp agar ia menjadi cabaran kepada diri saya sendiri agar istiqamah.

Semoga Allah berkati usaha kami ini dan menjadikan usaha ini berpanjangan.

Perkenankan lah Ya Rabb.










Abdullah juga sekarang berbaki hafazan AlQuran lagi 9 juz dan dia berazam untuk menghafaz hafazan baru semuka sehari supaya dapat khatam tahun hadapan, insyaallah.




Friday, January 18, 2019

Tasmik Al-Quran dengan Sheikh Mahir Al-Munajjid

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, sepanjang 3 minggu Sheikh Mahir berada di Maahad Al -Iman, para pelajar termasuk Abdullah dan Abdul Rahman sempat  tasmik dan membetulkan tajwid bersama Sheikh Mahir Al-Munajjid yang mempunyai ijazah sanad Al-Quran.

Abdul Rahman juga khatam Al-Quran pada ketika itu. Saya sentiasa mendoakan untuk anak-anak supaya mereka dapat tasmik Al-Quran dengan Sheikh Mahir dan dapat khatam dan mendapat sanad Al-Quran insyaALLAH.


InsyaALLAH semoga ALLAH memberikan rezeki kepada anak-anak untuk menuntut ilmu dengan sheikh terkemuka.

Berikut adalah antara video anak-anak tasmik al-Quran dengan Sheikh Mahir:














br />


Tuesday, December 11, 2018

Video Abdul Rahman mengalunkan Surah AnNur dalam Seminar Projek Mega Dalam Rumah

بسم الله الرحمن الرحيم



Sedikit sedutan video Abdul Rahman (12 tahun) menghafaz Surah AnNur pada Seminar Projek Mega Dalam Rumah yang dikelolakan oleh Ustazah Fatimah Syarha.

Warna warni kehidupan

Entri tentang Seminar ini ada ditulis di sini:
https://cinta-rasul.blogspot.com/2018/12/seminar-projek-mega-dalam-rumah.html


Dalam seminar ini juga, kami bertemu dengan sepasang suami isteri yang pernah sama-sama mengikuti seminar kami beberapa tahun yang lalu.

Seperti yang pernah ditulis dalam entri di sini:
https://cinta-rasul.blogspot.com/2012/11/alhamdulillahselesai-sudah-seminar.html

"Besar dah Abdul Rahman." Kata mereka.

MasyaAllah pantas sungguh masa berlalu. Moga ia berlalu dalam keberkatan Ilahi.

Mereka melihat perkembangan anak-anak dari kecil, ketika baru menghafaz Al-Quran sehingga sudah khatam hafazan Al-Quran.

MasyaAllah.

Semoga ada manfaatnya dan keberkatan.



Wednesday, October 24, 2018

Pertandingan Amal Islami HESA (Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah) 2018

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah tahun ini adalah rezeki untuk Abang Abbudey bila dia menang lagi dalam pertandingan hafazan Al-Quran di dalam pertandingan Amal Islami, HESA.

Walaupun pemilihan Abang Abbudey sebagai peserta pertandingan hafazan pada sehari sebelum pertandingan dan hanya sempat berlatih 2,3 kali sahaja, alhamdulillah Abang Abbudey lebih berkeyakinan untuk menjawab soalan dalam musabaqah kali ini.

Keyakinannya bertambah selepas memenangi musabaqah hafazan Al-Quran ITQAN pada bulan 4 yang lalu.

Kisah tentang musabaqah hafazan Al-Quran ITQAN ada dalam entri di sini:





Abang Abbudey bersama rakannya yang turut menyertai dalam pertandingan pidato Bahasa Arab

Abang Abbudey ketika pidato Bahasa Arab

Abdullah bersama rakannya yang mendapat johan pidato Bahasa Inggeris

Abang Abbudey mendapat tempat ketiga dalam musabaqah Hafazan 


Berikut adalah sedutan dari musabaqah hafazan :





Ini pula sedutan dari pertandingan pidato Bahasa Arab.




Abdulllah pula menyertai pertandingan nasyid dalam pertandingan Amal Islami 2018



Alhamdulillah bertambah pengalaman anak-anak.

Alhamdulillah syukur atas rezeki yang Allah kurniakan

Monday, September 24, 2018

Detik yang dinanti-nantikan

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah.

Syukur kepada Allah Subhanahu Wa Taala yang memanjangkan usia kita dan memberi rezeki dan nikmat yang amat banyak hingga dapat kita sampai mengecapi detik bahagia ini.

Alhamdulillah Abang Abbudey berjaya menghafaz semua ayat Al-Quran pada hari yang bersejarah ini. 

Syukur ke hadratMu Ya Ilahi.

Perjalanan selama 12 tahun ini yang penuh dengan usaha moga diberkati dan diredhai ALLAH.

Jagalah Al-Quran yang dihafal dalam 12 tahun ini. Janganlah ditinggalkan pula selepas sempurna menghafaznya. Kelak nanti sia-sia sahaja usaha selama 12 tahun ini bila hafazan ayat Al-Quran yang ditinggalkan dilupakan.

Ingatlah. Jagalah diri, peribadi dan akhlak seiring dengan Al-Quran yang dihafaz. Janganlah jadikan Al-Quran yang dihafaz sebagai fitnah kepada dirimu.

Teruskanlah perjalanan bersama Al-Quran sepanjang hayatmu.

Jangan dibiarkan sehari berlalu tanpa membaca dan mengulang ayat Al-Quran.

Tadabburlah isinya.

Renungkan. Apa yang ALLAH nak beritahu dan sampaikan kepada kita di dalam ayat-ayatnya.

Tunjukkanlah kecintaan kepada AlQuran kepada masyarakat agar ia dapat diteladani. Biarlah orang lain juga sama-sama mencintai Al-Quran.

Tidak cukup hanya kita sahaja yang mendalami ilmu Al-Quran. Ajarkanlah dan sambungkanlah ilmu ini kepada ganerasi hadapan.

Ilmu Al-Quran itu amat luas dan tiada pengakhirnya. Selamilah ia. Ajarkanlah kepada orang lain. Jadilah insan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Biarlah Al-Quran yang dihafaz itu menjadi benteng kepada diri kita dari melakukan kejahatan dan maksiat serta menjadi penggerak untuk kita terus beribadah, mengenal ALLAH, mendekatkan diri kepadaNya dan terus maju dunia dan akhirat.

Jagalah Al-Quran.

Jadikanlah Al-Quran sahabat karib kita sepanjang hayat hingga ke syurga nanti. 

Semoga ALLAH berkati kita.

Amin.








Thursday, September 6, 2018

Majlis Anugerah Al-Quran Tahunan Itqan 2018

بسم الله الرحمن الرحيم

MasyaAllah.

Alhamdulillah.






Abang Abbudey ketika menerima hadiah.

Saya katakan kepada Abdullah:
"Adik doa adik makbul."

Abdullah tanya:
"Doa yang mana?"

"Kan kita doakan abang dapat juara musabaqah. Allah makbulkan dah. Alhamdulillah."



Sebelum masuk dewan


Walaupun penat berulang alik 3 minggu berturut-turut dari Kedah ke KL dan balik hari, Alhamdulillah kemenangan Abang Abbudey amat membahagiakan kami.

Pandangan dari sudut atas.

Sebelum mula majlis


Pemenang-pemenang musabaqah hafazan Al-Quran ITQAN adalah mereka yang bertuah di antara 600 orang yang bertanding.


Para pemenang masuk ke dewan dengan diiringi nasyid yang penuh semangat.

Sheikh Ali AlMaasharawi turut hadir ke majlis tersebut


Terdetik dalam hati:
"Bahagianya bila Allah perkenankan doa agar Abang Abbudey menjadi juara musabaqah ini, tentu lebih bahagia bila Allah perkenankan doa untuk masuk ke syurga Al Firdaus. Ya Rabb."

Rasa lain bila majlis diisi dengan persembahan nasyid dalam Bahasa Arab.

Ramai hadirin dalam dewan pun terdiri dari orang-orang Arab.

Untuk Abang Abbudey yang lama tidak memenangi pertandingan, tentulah ia adalah saat yang manis untuknya.

Semoga Allah memberkati kita semua dan menjadikan kita orang yang cemerlang dunia dan akhirat.




Friday, August 24, 2018

Keputusan Musabaqah Hafazan Al Quran Itqan Peringkat Remaja 2018

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah pagi Hari Pilihanraya ke 14 dapat pesanan Whatsapp dari Mak Teh Siti.


Alhamdulillah..

Abdul Rahman dapat tempat pertama untuk hafazan Alquran kategori 3 juz.

Ketika itu Abdul Rahman keluar bersama baba.

"Nanti jangan habaq lagi tau kat abang, kita suruh dia baca Whatsapp. Biar dia tahu sendiri." Saya merancang bersama Abdullah untuk buat kejutan untuk Abdul Rahman.


Video hafazan Abdul Rahman ketika Musabaqah



Bila Abdul Rahman pulang, kami minta dia baca Whatsapp.



"Alhamdulillah abang no.1." Jerit Abdul Rahman gembira.

Bersedia sebelum mula Musabaqah

Para peserta bergambar dengan barisan hakim

Abdul Rahman semasa musabaqah

Jazakumullahu khairan kathira kepada semua yang mendoakan untuk Abdul Rahman.

Terubat kekecewaannya yang lalu kerana selalu tidak menang Musabaqah hafazan Al Quran.

"Sebagaimana Engkau perkenan permintaan kami ini dan gembirakan kami, perkenanlah doa kami agar kami dapat bersama dalam Syurga Firdaus Ya Rabb." Begitulah detik hati.

"Tapi hafazan kena bagi lagi mantap lagi. Tajwid dan makhraj huruf pun kena perbaiki lagi." Pesan saya kepada anak-anak.

"Mama ni, kami dah elok, mama suruh lagi elok..kami dah elok lagi, mama suruh lagi elok banyak lagi." Begitulah ayat Abdullah kata.

"Mestilah. Orang Islam mestilah kena sentiasa cemerlang, tak boleh rasa cukup baik sikit-sikit dah okay. Kena sentiasa jadi lebih baik.." Semoga Abdullah lebih faham insyaAllah.

Semoga Allah sentiasa mengurniakan kepada kita kebaikan dan kecemerlangan  dunia dan akhirat.



Saturday, August 18, 2018

Ragu-ragu yang membunuh.

بسم الله الرحمن الرحيم

Antara sikap yang agak tidak baik dalam diri ialah rasa ragu-ragu.

Bagi saya ia juga berpunca dari hasutan Syaitan.

Ragu-ragu  juga membuatkan hujjah yang kita kemukakan tidak kuat.

Terdapat syair Arab yang berbunyi:


Maksud syair:
Jika kamu mempunyai pandangan,
Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan pandangan itu.
Rosaknya sesuatu pandangan itu adalah kerana rasa ragu-ragu.

Begitulah. Jika kita sendiri tidak berpendirian teguh dengan pandangan sendiri, mudah sahaja kita kalah dengan hujjah lawan.

Lagi satu sikap ragu-ragu yang tidak baik adalah pada keputusan yang dibuat.

Adakalanya di pertengahan jalan, bila menempuhi kesukaran, mulalah terfikir:
"Betul ke tindakan aku ni? Berhasilkah apa yang aku buat ini?"

Bagi saya ini juga bisikan syaitan yang memberikan rasa was-was dalam diri kita.

Kerana itulah Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:



Antara situasi yang saya hadapi rasa ragu-ragu:

Dalam perjalanan pembentangan seminar PASAK3 di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), ketika dalam perjalanan ke musabaqah hafazan anak-anak di Setapak, Kuala Lumpur.

Anak-anak menunggu mama di luar sementara mama bentang seminar.

Yang nak bentang seminar sorang ja, yang lain
bagi sokongan.

Ketika pusingan akhir Musabaqah Al-Quran di Surau Medan Idaman, Setapak, Kuala Lumpur

Abang Abbudey ketika di peringkat akhir

Ketika peringkat saringan.

Hampir 3 minggu berturut turut kami ulang alik Kedah-Kuala Lumpur.

Dan minggu berturut turut kami pergi Kuala Lumpur pagi dan pulang ke Kedah petang. Sampai rumah malam, untuk majlis musabaqah Al-Quran ini.

Semoga ada hasilnya, diterima Allah sebagai amal kebaikan, meningkatkan lagi kualiti hafazan anak-anak.

Teringat dulu kami ketika remaja pun selalu dalam musafir yang jauh untuk pergi musabaqah Al-Quran.  Itulah yang saya ceritakan kepada anak-anak.

Perjalanan yang jauh dari Kedah ke Kuala Lumpur membuatkan saya rasa ragu-ragu dengan keputusan yang dibuat.

"Eeiii aku dok susah-susah jalan jauh-jauh, mahal-mahal ni betul ke berbaloi apa yang aku pilih ni?"

Allah..


Doa saya agar Allah sentiasa memberikan kita pilihan yang tepat dan baik untuk diri kita, keluarga kita dan masyarakat di dunia dan akhirat.

Wednesday, June 13, 2018

Video viral: Majlis memuliakan para penghafaz Al-Quran

بسم الله الرحمن الرحيم

Baru-baru ini viral di laman Facebook, video yang mempamerkan perarakan masuk para penghafaz Al-Quran ke majlis dengan penuh dimuliakan dan semangat, dengan nasyid yang bersemangat juga.

Inilah videonya:



Apabila saya menonton video ini, saya perasan ia hampir serupa dengan majlis penyampaian hadiah pertandingan hafazan Al-Quran Itqan pada bulan lalu yang disertai oleh Abang Abbudey.

Saya tunjuk kepada anak-anak dan bagitahu:
"Tengok, macam nak sama kan dengan majlis masa abang ambil hadiah kat UIA hari tu."

Saya ada menulis entri tentang majlis ini, namun bank entri tersusun hingga bulan 8 nanti.

Saya lihat di YouTube rasmi Itqan, belum diupload lagi video majlis tersebut:



Namun sedikit sedutan video perarakan masuk para pemenang ke dalam majlis tersebut dari rakaman kami (yang tidak berapa berkualiti)




Perasaan ibu-ibu biasalah, kadang-kadang atau selalunya kitalah yang lebih teruja dari anak-anak dengan kemenangan mereka.

Alhamdulillah satu kenangan yang indah, dimuliakan kerana Al-Quran.

MasyaAllah.







Semoga kita terus dimuliakan kerana Al-Quran di dunia dan akhirat.

Amin Ya Rabb.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...