Tuesday, May 29, 2018

Memberi manfaat kepada orang lain

بسم الله الرحمن الرحيم

**entri ini ditulis sebelum Bulan Ramadhan kemudian disetkan auto published.


Apabila di dapur juga, pelbagai idea yang sering timbul.

Di tempat kerja sekarang, ada seorang rakan yang sering membawa makanan dan hasil tumbuhan dari kebunnya.

MasyaALLAH.

Ramai-ramai rakan kerja dapat merasai keenakkan hasil kebun rakan tersebut.

Antara yang menjadi kesukaan ramai ialah jeruk cabai.

MasyaALLAH, sedapnya apabila dapat makan jeruk cabai tersebut dengan nasi pada waktu tengahari.

Alhamdulillah...

Puas..

Jeruk cabai yang dicampur dengan pelbagai sayuran.

Daun anggur.

Epal Hijau..

Kobis

dan macam-macam lagi

Lebihan jeruk tersebut dibawa pulang untuk ditopap lagi.


Terlintas di fikiran bahawa masing-masing manusia mempunyai kelebihan tersendiri dan mampu untuk memberi manfaat kepada orang lain dengan kelebihannya yang dianugerahkan oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala.


Jika berkemahiran berkebun dan memasak, boleh berkongsi hasil tanaman dan makanan dengan orang lain.

Menggembirakan hati orang lain dapat menambahkan pahala kita.


Jika berkebolehan mengajar, boleh berkongsi ilmu dengan orang lain.

Jika mempunyai lebih rezeki, boleh dikongsikan dengan bersedekah orang lain.

Begitulah...

Alhamdulillah.

Allah beri semua peluang untuk memberi manfaat kepada makhluk lain.

Jeruk yang sedap.

Alhamdulillah


Bilas cabai bawang daun anggur dan juga balang/bekas kita nk guna dgn air mendidih..
Didihkan air 1/3 dan cuka 2/3..masukkan sedikit gula dan 3 atau 4 sudu besar garam..bila mendidih masukkan hirisan bwg,daun anggur..dan agak bawang lembut masukkan cabai..kacau dan perĺahankan api 4,5 min dan tutp api..sejukkan..org putih buat cara ni dah berkurun..insyaallah tk rosak..balang tu ditutup rapat dan di steamkan plak..kakton skip langkah ni sb kita boh dlm fridge..cara ni boleh diguna utk jeruk halia,betik,timun dan apa saja sayur atau buah insyaallah..lepas 3 hari baru di makan..kalau suka perisa kari boleh letak daun kari..org puteh tk guna kapur utk rangupkan jd depa guna daun anggur muda..sedap dimakan jg.


RESEPI JERUK YANG DIKONGSIKAN DALAM FB RAKAN TERSEBUT


Moga kita sentiasa dapat memberi manfaat kepada orang lain.

InsyaALLAH

Saturday, May 26, 2018

Mudah dan banyaknya diskaun membeli di Pustaka Cahaya Kasturi

 بسم الله الرحمن الرحيم

Setelah membaca buku-buku terbitan Pustaka Cahaya Kasturi seperti yang ditulis dalam entri di sini:
http://cinta-rasul.blogspot.my/2018/05/info-buku-nota-untuk-anakku-dan-pustaka.html

Saya rasa teruja untuk mendapatkan lagi bahan bacaan yang berkualiti dari syarikat tersebut.

Melihat barisan buku yang menarik, saya terus whatsapp bertanya tentang pembelian buku.

Dengan hanya menghantar gambar-gambar buku yang diinginkan, staf syarikat tersebut terus memberikan harga perlu yang dibayar termasuk diskaun atas pembelian yang banyak.

Alhamdulillah.


Adakalanya rasa jemu dan terus tidak jadi beli apabila penjual barangan online bertanya macam-macam tanpa menjawab soalan harga barang yang dijual.


Senarai buku yang dibeli


Saya berpendapat biarlah berhabis duit untuk ilmu dari berhabis duit untuk perkara lain.

Bahan bacaan memang boleh dikategorikan dalam barangan yang mahal. Namun benda yang baik selalunya mahal. Dan juga kita tidak akan rasa mahal apabila membeli barang yang kita suka dan menjadi hobi kita.

Pasti kita akan berjimat duit pada perkara lain untuk mendapatkan barang kita minati.

Sebahagian dari gaji pasti akan diasingkan untuk membeli bahan bacaan kami sekeluarga.



Alhamdulillah ada rezeki yang Allah kurniakan kepada kami untuk mendapatkan bahan bacaan untuk kami dan juga anak-anak.

Syukur padaMu Ya Rabb.

Semoga kita semua dapat menghidupkan budaya ilmu dalam rumah dan masyarakat kita.

Amin...

Wednesday, May 23, 2018

Kunci kebahagiaan

بسم الله الرحمن الرحيم


Semakin dewasa, makin kita jelas dengan kehidupan di dunia ini, makin kita temui kelebihan dan kekurangan diri, makin kita tahu kunci-kunci untuk masuk ke dalam pintu-pintu kebahagiaan.

Beberapa cetusan idea yang terlintas dalam minda ketika membuat kerja rumah seorang diri (waktu-waktu sebegini memang banyak lintasan hati dan idea yang datang, lagi-lagi waktu sebelum subuh. Sambil masak dan kemas rumah, macam-macam idea yang timbul, sampai tak tercatat, ditambah lagi tangan sedang sibuk buat kerja rumah)

Antara kunci kebahagiaan yang saya rasakan dan kongsikan dalam Whatssapp status untuk manfaat bersama:

Petikan dari hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

Di antara keindahan islam seseorang ialah meninggalkan perkara tidak berkenaan dengannya.

Jangan sibuk dengan hal orang lain.

Sebelum bertanya, fikir dahulu:
"Ada kena mengena dengan aku tak hal yang aku nak tanya ni?"

Kalau tak, jangan sibuk.

Petikan dari ayat Al-Quran.

 Jangan banyak sangkaan yang buruk-buruk.

Zaman sekarang ini, kita ditelenggami dengan banyak sangkaan buruk.

Lihat Facebook orang lain, pelbagai sangkaan dan andaian yang kita buat.

Mesej whatsapp dari orang pun boleh disalahertikan.

Latih diri untuk dengan berfikiran positif dalam setiap ketika.

Jika terbit sangkaan buruk, ingat kembali:
إن بعض الظن إثم

Sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa.


Petikan dari ayat Al-Quran juga.

Cukuplah kita fikirkan diri kita.

Janganlah mengintip urusan orang lain

dan janganlah mengumpat.

Hindari dari masuk campur urusan orang lain,
InsyaALLAH pasti akan temui kebahagiaan

Sentiasalah bersama ALLAH dan jangan hiraukan
perkara lain.

Berdoalah semoga ALLAH sentiasa
lorongkan kita ke jalan yang benar.

Amin

Makin meningkat dewasa ini, dirasakan tak mahu semak-semak fikiran untuk bergaduh dan bermusuhan dengan orang lain.

Nak hidup tenang-tenang dan bahagia sahaja.

Dan bagi saya, inilah antara caranya untuk hidup tenang dan bahagia.

Moga kebahagiaan milik kita di dunia dan akhirat

Sunday, May 20, 2018

Bersama anak-anak meningkat remaja

بسم الله الرحمن الرحيم


Bersama anak-anak yang berusia meningkat remaja ini membuatkan kita perlu lebih kreatif untuk menjawab soalan mereka.

Sebagai contoh, ketika Abang Abbudey melihat banyak lukisan abstrak yang terpampang di dinding IJN (Institut Jantung Negara), Abang Abbudey bertanya: 

"Mama, boleh tak abang nak lukis conteng-conteng macam ni untuk majalah Maahad. Abstrak kan ni? Mahal pulak tu?"

Aduh... susah pula nak jawab soalan Abang Abbudey.

Kalau dijawab tidak, seperti membunuh keinginan seninya.

Kalau nak jawab ya.. Hmmm.. macam pelik pula karya abstrak begitu dalam majalah maahad..

Begitulah antara soalan-soalan kreatif dari anak-anak yang makin meningkat remaja ini.

Menziarahi tok wan di IJN

Ketika ini sehari sebelum tok wan dibedah

Lukisan abang Abbudey untuk majalah maahad bertajuk
'Desaku' selepas mama tak benarkan dia buat
lukisan abstrak untuk majalah.
huhu


Macam lukisan kita zaman kanak-kanak dulu jugak.
Pokoknya.
Matahari antara bukit
Rumahnya
Rumputnya
Awannya


Abdullah tolong taip untuk majalah maahad ketika kami di Hotel De Palma
ketika menziarahi tok wan di IJN

Untuk terus menaip tanpa bosan, Abdullah menggunakan chopstick pula untuk
menaip..

=D

Seringkali merenung nikmat ALLAH kepada kami yang mengurniakan anak-anak yang sihat dan cerdik.

Alhamdulillah...

Sungguh ia adalah amanah dan nikmat yang amat besar.

Lihat pula anak-anak sahabat yang sering sakit dan ada antara mereka yang mempunyai anak yang sakit berpanjangan.

Allah...

Saya sematkan kukuh-kukuh dan hati:
"Ya ALLAH bantulah aku untuk menjana nikmat (anak-anak yang sihat dan cerdik) yang Engkau anugerahkan kepada kami ini dengan mereka menjadi orang dekat denganMu, banyak menuntut ilmu, menggunakan sepenuh masa untuk beribadah dan menuntut ilmu serta banyak memberi manfaat kepada masyarakat."


12 tahun membesarkan anak-anak ini, hati ini benar-benar dapat rasakan, terlalu banyak doa yang ALLAH perkenankan untuk anak-anak ini.

Terasa sungguh kekuasaan dan keagungan ALLAH.

Tidak berhenti doa moga ALLAH pelihara anak-anak ini sepanjang masa, menjadikan kami dan zuriat kami ikutan bagi orang yang bertaqwa. 

Amiin.

Friday, May 18, 2018

Info buku: Nota Untuk Anakku dan Pustaka Cahaya Kasturi

بسم الله الرحمن الرحيم

Buku karangan datuk mufti wilayah Persekutuan Dr.Zulkifli Mohamad Al-bakri selalunya menusuk hati dan memberi keinsafan. Buku-bukunya banyak memberi inspirasi dalam membudayakan ilmu dan Al Quran.

Antara buku karya Dr.Zulkifli yang pernah saya tulis reviunya bertahun yang lalu ialah seperti dalam entri ini:
http://cinta-rasul.blogspot.my/2013/08/info-buku-hebatnya-kuasa-hafazan.html


MasyaAllah..


Mula membelek buku ini sahaja sudah membuatkan hati tertarik untuk membacanya.



Hasil karya mufti wilayah ini juga menusuk kalbu, masyaAllah.

Begitu juga cita-cita kami untuk melihat anak-anak dapat menghafaz Al-Quran dengan baik

Nasihat yang amat baik untuk anak


Melihat isi kandungannya ibarat warkah yang diutuskan kepada sang anak, sarat dengan nasihat, penuh kasih sayang dan emosi amat berbekas di hati.


Besar harapan dalam hati agar anak-anak sentiasa berakhlak mulia

Kisah yang memberikan inspirasi

Indahnya apabila bertemankan buku dan ilmu.

Kata-kata yang indah menggambarkan kenikmatan membaca, masyaAllah.

ilmu yang menarik

Ada rasa sayu di hati.

Dan ada juga harapan, begitu juga yang kita harapkan untuk anak kita.

Ibarat risalah ayyuhal walad yang dikarang oleh Imam AL Ghazali, buku ini amat bermanfaat.

Membaca buku ini juga membuatkan saya rasa (seperti biasa) ingin menulis buku seperti ini juga. Semoga Allah perkenankan.
Realiti yang ditakuti

Moga Allah pelihara kita dan keluarga kita dari permusuhan dan berpecah belah. Amin Ya Rabb

Sungguh buku ini banyak info yang berguna dan memberikan inspirasi.

Buku ini juga amat baik jika dibaca oleh anak-anak.

Buku ini juga menemukan saya dengan web Pustaka Cahaya Kasturi yang menjual hasil karya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

https://pustakacahayakasturi.com.my

MasyaAllah begitu banyak hasil tulisan Dr.Zulkifli yang menarik.

Sangat memberi inspirasi.

Ada rakan-rakan pencinta buku menyarankan kepada saya untuk mendapatkan buku 'Puteriku, Nasihat Abah Untukmu' dan ''Perpustakaan dalam Islam'.

Kedua-dua buku ini sangat menarik kata mereka.




Pelbagai siri buku yang bermanfaat ada di sana


Insyaallah pasti akan dapatkan pada masa hadapan, insyaAllah

Selamat membaca

Thursday, May 17, 2018

Mengimbau Kenangan lagi. Ketabahan dalam menuntut ilmu.

بسم الله الرحمن الرحيم


Antara ayat yang pernah dibaca (namun lupa dari mana di baca?) dan sering bermain-main di fikiran ialah:

"Orang tua sering berbicara tentang masa lampau dan orang muda pula sering berbicara tentang masa hadapan."

Ketika zaman kanak-kanak, seringkali mendengar mak bercerita tentang zaman kanak-kanaknya.

Kini apabila kita sudah dewasa dan mempunyai anak-anak, kita pula yang bercerita tentang zaman lampau kita kepada anak-anak.

Begitulah kitaran hidup.

Hinggakan ada ketikanya, Abbudey akan berkata:
" Abang tau dah cerita ni, mama dah pernah cerita dah banyak kali."

Hahaha.. itu juga antara tanda-tanda orang tua. Suka ulang cerita banyak kali tanpa disedarinya.

Inilah antara cerita yang sering dikisahkan kepada anak-anak yang dikongsikan dalam status Whatsapp..


Banyak kali telah saya kongsikan tentang makanan yang membuatkan diri mengimbau kenangan ketika zaman kanak-kanak, seperti di sini:

dan juga di sini:



Begitu juga hampir setiap kali perjalanan pergi ke Alor Setar, mesti akan bertanya kepada anak-anak:

"Ingat tak masa mama dengan baba buat M.A kat KUIN kat Alor Setar, tiap-tiap  Hari Sabtu, kita mesti bangkit pagi-pagi, lepas subuh terus pi KUIN kat Alor Setar. Pastu balik rumah dekat nak Maghrib...Sampai rumah dah malam dah... Penatnya...

Abang dengan adik pula duduk dengan acik-acik di rumah sewa akhawat dari pagi sampai ke maghrib. Alhamdulillah ada acik tolong jagakan

Kalau kelas mama dengan baba Hari Ahad, mesti lepas kerja (lepas Zohor) terus cepat-cepat pergi ke KUIN Alor Setar, hantar anak tinggal sat dengan akhawat di rumah sewa. Dah habis kelas, sampai rumah dalam malam dah. 

Alhamdulillah, habis juga M.A mama dengan baba."

Begitu sedikit kesukaran lalu yang selalu bermain di minda.

Teringat pula setiap kali peperiksaan, pasti anak-anak akan demam.

"Ko stress tu. Tu anak ko demam tu setiap kali nak exam." Ulas akak bila ditanya tentang ini.

Walaupun adakalanya rasa tak ada tekanan pun terhadap peperiksaan, anak-anak masih juga demam apabila tiba musim peperiksaan untuk mama dan baba.

Kepayahan untuk menuntut ilmu diharungi sama seisi keluarga. Semoga anak-anak juga mendapat iktibar untuk terus bersemangat menempuhi kepayahan menuntut ilmu.

Ada sedikit kemanisan selepas melaluinya.

Perjalanan pulang dari Alor Setar


Biarlah kita berpenat dalam membuat kebaikan, dari kita penat tak buat apa-apa.

Duduk depan TV sepanjang hari pun boleh penat..


Moga ada keberkatan di sisi ALLAH.

Monday, May 14, 2018

Hafaz Al Quran Cara Abang Abbudey

بسم الله الرحمن الرحيم

Abdullah berusaha menghafaz banyak kali hafazan ayat baru dari ayat 187 Surah Al-Baqarah:


Ayatnya panjang dan agak sukar untuk nak dihafal.

"Mama dulu susah tak nak hafal ayat ni?" Abdullah bertanya.

Mama mula berfikir-fikir mengingat kembali. Ayat ini agak sukar dulu, tapi bila dah dihafaz dan selalu diulang, tidaklah susah sangat.

Nak jawab susah, bimbang pula anak rasa sukar dan hilang semangat untuk menghafaznya. nak jawab senang pula, khuatir pula tidak berkongsi perassaan dengan anak dan seperti ada nada bongkak diri.

"Hmmm... nampaknya adik kena hafaz cara abang hafaz." Abdullah membuat keputusan menyelesaikan sendirinya masalahnya tanpa sempat mama menjawab soalan.

"Hafal cara abang macammana?" Mama kehairanan.

Abdullah mengambil handset dan tekan play pada ayat Al-Quran tersebut.

Selang beberapa minit, Abdullah berjaya menghafaz ayat Surah Al-Baqarah tersebut.

Rupanya Abdullah mengikut cara Abang Abbudey yang selalu mendengar ayat Al-Quran untuk menghafaznya.


Alhamdulillah... Allah ilhamkan idea untuk Abdullah selesaikan kesukaran dirinya menghafaz Al-Quran. 

Syukur kepada Allah juga yang sentiasa memberi semangat yang berkobar-kobar untuk anak-anak menghafaz Al-Quran.

Moga sentiasa berkekalan semangat untuk menuntut ilmu dan menyampaikannya kepada masyarakat.

Amin...

Friday, May 11, 2018

Nun jauh di sudut hati.....

بسم الله الرحمن الرحيم



Bila mama tengok gambar ini, terus terdetik dalam hati mama:
"Abang Abbudey dah besar."

Terbayang-bayang muka tembam bulat Abang Abbudey dalam minda mama.




Teringat mama post entri pertama dalam blog ini:

Allah....

Abang Abbudey dah besar. Mama pun makin tua.

12 tahun ini Abang Abbudey membesar depan mata mama dan baba.

Hampir setiap malam mendengar alunan hafazan Al-Quran Abang Abbudey.

Melihat kesungguhan Abang Abbudey menghafaz Al-Quran.

"Mama, lagi 6 mukasurat lagi hafazan Abang nak jadi 24 juzuk." Penuh semangat Abang Abbudey memberitahu prestasi hafazannya tanpa ditanya.

Mama benar-benar panjatkan kesyukuran dan pujian kepada ALLAH atas anugerah yang hebat ini.

Semua ini adalah antara tanda luasnya kasih sayang Allah kepada kita.

Sunnatullah juga menetapkan kita pasti akan berjauhan juga.

Berjauhan untuk menjadikan kita lebih hebat di sisi ALLAH.

Berjauhan untuk kita lebih dekat kepada ALLAH.

Berjauhan untuk lebih mengenali ALLAH.

Berkat kesungguhan Abang Abbudey menghafaz Al-Quran setiap hari, mama doakan semoga ALLAH memelihara Abang Abbudey dan adik-adik setiap masa di mana sahaja.

Semoga kita semua sentiasa dalam peliharaan ALLAH.

Tuesday, May 8, 2018

Merenung Sifat Mahmudah Dalam Diri Orang Lain

بسم الله الرحمن الرحيم

Seringkali terlihat pelbagai kelebihan dan sifat mahmudah yang ALLAH kurniakan kepada orang lain.

Sebagai contoh:
Ada orang yang sangat terkehadapan dengan sifat muliakan tetamu.

Ada pula yang menyerlah dengan sifat pemaafnya kepada orang lain.

Ada yang sangat memuliakan tetamu dan para ulama.

Ada yang manis dan sopan kata-katanya.

Ada yang sangat kasih pada kanak-kanak.

Ada yang tidak lokek untuk membantu orang lain.

Ada yang berusaha dan bersungguh-sungguh dalam melakukan tugasan.

Setiap orang ada sifat mahmudah yang menyerlah dalam diri mereka.

Walaupun manusia ini diciptakan punya kekurangan dan kelemahan (Hanya ALLAH sahajalah yang memiliki kesempurnaan), namun pasti ada sinar keisitimewaan yang ALLAH ciptakan dalam dirinya untuk diambil teladan oleh orang lain.

Ya. kelebihan pada diri orang bukanlah untuk didengki, namun untuk kita renungi dan contohi.

Sebaliknya pula dengan sifat mazmumah dan kekurangan orang lain. Ambillah ikhtibar, cuba hindarinya, berdoalah moga kita tak seperti itu.

Manusia ini saling memerlukan dan menyempurnakan antara sesama mereka.

ALLAH hiasilah diri kita semua dengan sifat mahmudah agar terpancar nilai keimanan dan tutupilah serta hapuskanlah segala keaiban sifat mazmumah dalam diri kita. Amin

Saturday, May 5, 2018

Tuhan Memanggilku - Siri Kedua

بسم الله الرحمن الرحيم

ALhamdulillah segala puji bagi ALLAH yang memudahkan urusan penghasilan buku yang ke-8 ini insyaALLAH.

Buku yang ke-8 ini adalah sambungan siri ke-2 bagi Siri Tadabbur Al-Quran, Tuhan Memanggilku yang mengulas tentang ayat-ayat Al-Quran yang bermula dengan firman ALLAH ((Wahai Orang Yang Beriman.)

Siri ke-2 Tuhan Memanggilku

Info tentang buku Tuhan Memanggilku siri pertama pernah ditulis dalam entri di sini:


Baru 8 buah buku yang pernah kami hasilkan
Semoga bertambah banyak lagi ... Amin Ya Rabb

Semoga ALLAH mengira ia sebagai amal soleh dan menjadi pemberat timbangan amalan kebaikan kita.

Amin Ya Rabb.

Doakan kami semakin rancak menulis.

Amin Ya Rabb

Wednesday, May 2, 2018

Memeram idea

بسم الله الرحمن الرحيم

Adakalanya idea di dalam otak akan melimpah ruah. Saat itu sering terfikir: "Kalaulah ada alat yang boleh menyalin semula semua idea banyak tak henti-henti mengalir di dalam minda."

"Alat itu ialah pen dan kertas." Komen adik beradik di dalam Facebook ketika dikongsikan dalam lingkungan famili.

Benar, tapi tak sempat. Ia sering hadir ketika bangun awal untuk masak dan mengemas rumah. Tak sempat pula nak pegang pen dan kertas ketika menyiapkan tugasan rumah.

Namun, satu pesanan suami yang sentiasa dipegang dan diamalkan sejak berbelas tahun yang lalu:
"Kalau ada idea untuk menulis, tulis sahaja dahulu walaupun tak ada siapa yang nak terbitkan. Peram sahaja dahulu. Insyaallah sampai masanya nanti, insyaAllah ia pasti akan diterbitkan juga."

Ya, insyaallah sampai satu masa, apabila  mutiara karya kita diperlukan dan  kita ketika itu terlalu sibuk dan tak cukup masa dan idea untuk menulis, insyaALLAH ada karya yang telah tersedia  diperam untuk diterbitkan. Jadi sementara ada masa dan idea, tulis dan simpan sahaja dahulu.

Dan ia benar-benar berlaku.

Beberapa kali kami ingin menerbitkan buku dalam tempoh masa yang singkat. Dalam serba kekalutan, Alhamdulillah ada bahan tulisan yang telah tersedia untuk diterbitkan. Alhamdulillah.

Seperti buku kecil yang bertajuk Pesan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Kepada Kita yang diterbitkan sempena majlis perasmian Maahad Al Iman pada September 2017.



Pernah ditulis dalam entri di sini:


Begitu juga apabila ingin menerbitkan buku siri Tuhan Memanggilku untuk Bulan Ramadhan 1439.

Alhamdulillah, bahan-bahannya telah tersedia untuk diterbitkan. Allah permudahkan segala urusan penerbitannya. Amin.


Entri tentang siri 1 buku ini pernah ditulis di sini:




Begitu juga kisahnya dengan penulisan dalam blog ini.

Saya cuba istiqamah dengan menerbitkan entri selang 3 hari dalam 10 tahun ini. Caranya ialah dengan menulis entri ketika ada masa dan idea kemudian setkan auto publish pada masa hadapan. Kerana kita tidak sentiasa ada idea dan masalah, jadi kenalah rebut peluang keemasan ketika ia hadir.

Idea dan perasaan ketika idea datang itu sangat mahal, jika ditangguhkan, perasaan itu mungkin tidak akan berulang kembali. Contohnya: kita dalam keadaan sedih dan mempunyai idea untuk menulis sesuatu tentang kesedihan itu. Jika tidak diambil peluang untuk menulis idea tersebut, feel dan idea itu sukar untuk hadir semula.

"Adik nak tolong taip untuk majalah maahad tak?"

"Nak." Jawab Abdullah suka hati.

Abang dan baba ke IJN memantau keadaan tok wan di sana, kami tidak dapat
turut serta kerana kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke ICU.
Jadi masa yang terluang di hotel digunakan dengan sebaiknya, Alhamdulillah.

Agak kekok untuk mencari huruf menaip, Abdullah menghiburkan hatinya
menaip dengan chopstick.

Dia buat dengan penuh semangat hingga selesai.
Begitu juga contohnya: jika kita dalam mood muhasabah diri dan timbullah pelbagai idea yang menginsafkan diri, jika tidak diambil peluang untuk menyalin apa yang terlintas di hati dan minda itu, sukar untuk mengulanginya semula. Menulis dengan penuh penghayatan.

Dahulu saya merasakan serba salah apabila sering dengan kerja menaip di laptop.

Rasa seperti tidak berkesudahan kerja-kerja menaip. Tesis, buku, blog, kerja-kerja sekolah....

Namun sekarang, saya fikir, biarlah masa di depan laptop itu digunakan untuk menyebarkan ilmu, memberi inspirasi dan manfaat kepada orang lain. Insyaallah ada ganjarannya di sisi Allah.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...