Monday, September 30, 2024

Hikmah Kembara Jordan Syria. Siri 4

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis 12/6/22


Bagi yang pernah musafir ke negara Arab pasti tahu perkara ini adalah biasa bila ditahan tak dibenarkan masuk ke negara tersebut dengan alasan yang mereka rekakan atau alasan yang tidak masuk akal.


Baba tunggu di imigresen sempadan agak lama. Hikmah Allah takdirkan juga mereka tidak cop (tidak boleh masuk Syria) atas passport, tapi hanya tulis atas kertas.


Malahan apabila imigresen Jordan bertanya sebab baba tidak boleh masuk ke Syria kepada imigresen Syria, mereka tidak berikan sebab. Hanya katakan tidak boleh sahaja.


Agak lama baba di sana hingga baba dan Abang Abbudey solat di dalam pejabat Imigresen Jordan.


Masya Allah baba cerita dalam kesusahan ini, pemandu teksi yang membawa baba ke sempadan itu sangat membantu bertanyakan keadaan baba kepada pegawai imigresen dan amat mengambil berat dengan keadaan baba. Masya Allah.



Malahan beliau tunggu hingga selesai urusan walaupun mengambil masa yang sangat lama.


Beliau juga memujuk baba agar cari hotel dan berehat dulu. Tidak terus ke pejabat agen pelancongan ambil tiket pulang.


Baba dan Abang Abbudey naik teksi semula dan ke bandar Amman, Jordan yang memakan masa lebih 2 jam.



Bersambung.......

Saturday, September 28, 2024

Hikmah Kembara Jordan Syria. Siri 3

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis 12/6/22


Sepanjang ketiadaan baba di rumah, mama banyak mengemas rumah. Cuti seminggu rasa bagai sekelip mata cepatnya, masyaallah.




Pintu rumah sentiasa dikunci untuk keselamatan. Anak-anak sentiasa diingatkan untuk solat di masjid walaupun ketika cuti sekolah.


Mama wajibkan sehari paling minimum sekali mereka kena azan di masjid Maahad. Jadi mereka kena pergi awal untuk azan. Selain daripada itu mereka pergi solat berjemaah di masjid walaupun ada warga Maahad yang tinggal di kuarters sudah azan di masjid.


Mama sangat terkesan dengan ceramah Prof Kamil Ibrahim yang sentiasa menekankan solat berjemaah di masjid.


Hari kedua di Jordan (7/6/22- Selasa).


Baba merancang bersama rombongannya untuk masuk ke Syria hari ini pada jam 9 pagi (waktu Jordan) melalui sempadan Jordan-Syria.


Mama pula pagi tersebut gagahkan diri untuk memandu kereta ke rumah tokwan, bersarapan di rumah tokwan. Alhamdulillah selamat sampai dan balik.



Tokwan cerita bahawa tayar kereta tokwan pecah sebab terlanggar lubang di jalan di Desa Bidara. Rupanya lubang yang sama yang mama terlanggar semalam. Kuat bunyi jatuh. Alhamdulillah Allah selamatkan dan tayar kereta kami tak apa-apa. Kalau pecah, jenuh, sudahlah baba tak ada.


Di pihak baba, semuanya berjalan lancar hinggalah bila masuk Syria, di imigresen Syria, mereka bertanya nama baba dan mak baba, kemudian mereka tak benarkan masuk Syria.


Padahal rakan-rakan lain semuanya lepas masuk.


Ya Allah.


Luluh hati baba.


Rasa penat sangat.


Terus baba rasa nak balik Malaysia.


Abang Abbudey mula menangis:

"Baba, kita tunggulah dulu. Ikhtiar lagi. Abang nak masuk Syria."


Bersambung.....

Thursday, September 26, 2024

Hikmah Kembara Jordan Syria. Siri 2

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis 12/6/22


Walaupun plan kedua ahli rombongan untuk ke Yaman yang membuatkan baba berhasrat untuk membatalkan hasrat untuk turut bersama mereka ke Jordan, namun selepas itu mereka membatalkan hasrat untuk ke Yaman kerana harga tiket yang mahal.


Jadi plan kembali ke asalnya untuk ke Jordan dan Syria.


Alhamdulillah jam 2.30 pagi Hari Ahad 5/6/22, baba dan abang Abbudey mula bersiap-siap untuk ke Lapangan Terbang Penang dan bertolak ke Kuala Lumpur, seterusnya transit di Oman dan kemudian terbang ke Jordan.



Tiket balik.


Perjalanan agak lama kerana transit lama di Oman.


Mama sentiasa doakan Allah permudahkan urusan musafir mereka.


Alhamdulillah sampai di Jordan, mereka tinggal di hotel Concord dengan harga RM120 sehari. Hotel taraf biasa.






Alhamdulillah keesokan harinya (6/6/22 Isnin) mereka ke Universiti di Jordan untuk melakukan perjanjian untuk menghantar pelajar ke sana.







Kemudian rombongan mereka sempat menziarahi gua Ashabul Kahfi. Alhamdulillah pengalaman yang menarik untuk Abang Abbudey.





Seperti ketika baba menjadi Mutawif umrah 4 tahun lalu, ketika Ahmad berusia 3 tahun, Ahmad demam di rumah pada awal musafir baba, begitulah juga kali ini, Ahmad demam lagi.





Alhamdulillah mama beli ubat di Farmasi Mahsuri di Merbau Pulas, Alhamdulillah demam Ahmad makin kebah.


Mama juga harus kuat jiwa bersama Abdullah (14 tahun) dan Ahmad (7 tahun) di rumah.


Sangat jarang sekali untuk kami tinggal di rumah tanpa kewujudan baba. Pasti terasa amat janggal sekali.


Kerana itulah, selepas baba pulang ke rumah, Ahmad bersungguh-sungguh mengajak baba main bola sepak, jala ikan dan macam-macam lagi. Padahal baba hanya tinggalkan rumah 6 hari sahaja?


6 hari sahaja?


Nanti akan diceritakan semua kisahnya.



Bersambung....

Tuesday, September 24, 2024

Hikmah Kembara Jordan Syria. Siri 1


بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis 12/6/22


Saya catatkan kisah pengembaraan yang unik ini.


Kisahnya bermula apabila rakan-rakan baba ingin ke Jordan untuk mencari peluang untuk para pelajar menyambung pengajian di sana.


Baba juga berminat untuk menyertai kembara ini untuk masuk ke Syria, jiran Jordan. Dengan tujuan untuk membawa permohonan pelajar untuk masuk pusat pengajian di Syria.



Mama mencadangkan untuk bawa Abang Abbudey yang berusia 16 tahun, supaya Abang Abbudey dapat pengalaman yang mematangkan dirinya menjadi muslim yang bertaqwa. Mama doakan banyak ilmu pengalaman dan pengajaran yang Abang Abbudey perolehi.


Cabaran pertama ialah apabila ahli rombongan membatalkan plan untuk masuk ke Syria dan ditukar untuk ke Yaman.


Mendengar perubahan tersebut, baba membatalkan hasrat untuk turut serta kerana tujuan utama baba adalah untuk masuk ke Syria.


Mama sentiasa doakan agar Allah mempermudahkan urusan mereka dalam musafir ini. Amin.


Bersambung.....

Sunday, September 22, 2024

Terlepas peluang?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 12/6/22



Sungguh sepanjang cuti ini ada 2 program yang saya NAK SANGAT join, tapi tak dapat.


Salah satunya adalah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.


Pujuk hati, setiap peluang yang kita terlepas yakinlah Allah akan gantikan dengan peluang yang lebih besar, insyaallah.



Usah kecewa berpanjangan, kita baca buku-buku menarik dalam ebook.

Friday, September 20, 2024

Seronok, tapi.....

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 10/6/22



Berpasangan itu seronok,

Namun ada tanggungjawab di sebaliknya.

Ada baby itu seronok,

Tapi jangan lupa kewajipan terhadap mereka.

Dunia itu indah dan menyeronokkan,

Namun jangan lupa matlamat sebenar kita.



Semuanya berpaksikan:

(( Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu)).

At Tahrim: 6

Wednesday, September 18, 2024

Sendiri di daerah sunyi

 

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis 9/6/22


Ada ketikanya

Hati meronta

Ingin jauh dari segalanya

Tinggalkan semua

Menolak komunikasi manusiawi

Jauh-jauh

Bersendiri

Merenung dalam

Hanyut berfikir

Di daerah sunyi

Namun

Tidak boleh lama

Hidup perlu diteruskan

Ambillah secebis masa

Berseorangan

Pujuk hati

Kumpul semangat

Untuk terus hidup.




Saturday, September 14, 2024

Pasti ada hikmahnya

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/6/22


Ada duka yang kusembunyi.

Biarlah

Allah Maha Bijaksana.

Pasti ada hikmahnya.

Sabarlah

Duhai hati.

Yakinlah.

Pasti ada kebaikan.




Thursday, September 12, 2024

LUKA MENDIDIK ANAK-ANAK.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/6/22


Perjalanan mentarbiyah anak-anak tak lepas dari luka dan duka. Kerana itu Al Quran banyak mengajar doa untuk anak-anak dan zuriat.



Doa kita sebagai ibu ayah adalah antara kunci utama dalam menjadikan mereka insan yang bertaqwa.


SENTIASALAH DOAKAN MEREKA.

Tuesday, September 10, 2024

Perlukah tasmik hafazan Al-Quran anak remaja belasan tahun?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/6/22


Walaupun anak-anak dah remaja belasan tahun, masih lagi tasmik dengan mama. Sungguh, Hafazan Al Quran yang dihafal terlalu mahal untuk dilupakan.



Nota gambar: Asalnya mama tulis nota untuk Ahmad supaya murajaah Surah At Tolaq. Esoknya tengok-tengok, dah ditukar kepada nama abangnya - tingkatan 2- yang dipanggil 'adik' (Abang adik) 😅

Sunday, September 8, 2024

Hadiah bahagia dalam hati anak-anak.

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 7/6/22


 SERTAILAH ANAK-ANAK DAN BERIKANLAH MOTIVASI UNTUK MENGHAFAZ AL-QURAN.


Setiap hari cuba untuk tasmik hafazan anak-anak. Motivasi dan ganjaran tak dilupakan. 


Menghafaz Al-Quran adalah satu misi dan kerja besar yang sangat wajar diganjari. Doa semoga tetap hati untuk terus menghafaz, menjaga hafazan, menuntut ilmu Al Quran dan mengamalkannya.



Walaupun di Maahad ada hadiah untuk tokoh halaqah pada setiap dwi bulanan + ada juga inisiatif sendiri daripada guru-guru yang pemurah yang beri hadiah untuk anak halaqah yang terbaik, tetapi hadiah dari kita ibu bapa pasti ada manisnya dalam hati anak-anak.


Hadiah pilihan Ahmad tentulah Beyblade😅

Friday, September 6, 2024

Perisai diri

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 6/6/2022


Ketika mengikuti pengajian Kitab Perisai Muslim, tentang doa-doa harian, saya sedari:


1. Kita makin lupa dan tinggalkan sunnah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam berdoa pada rutin harian kita. Dari bangun tidur hingga tidur semula ada doa.






2. Cuba untuk ajar dan terapkan dalam diri pelajar. Besar doa dan harapannya moga mereka dapat menghidupkan sunnah ini. Begitulah juga dengan diri kita. Amin.


Ia adalah perisai diri kita dari anasir jahat, menambah keberkatan dan mendekatkan diri kita dengan Allah.

Wednesday, September 4, 2024

TERLALU MAHAL

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 6/6/2022


HAFAZAN AL-QURAN YANG KITA HAFAL TERLALU MAHAL UNTUK DILUPAKAN.


Jangan tinggalkan murajaah Al Quran walaupun cuti.



Makin kerap kita ulang hafazan, makin BERKUALITI hafazan kita.


Al Quran pedoman kita. Mestilah dibaca, difaham, diamalkan, direnung, tambah ilmu tentangnya setiap hari. Moga dapat kita laksanakan. Amin.

Monday, September 2, 2024

Memberikan pendidikan yang terbaik

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 20/5/22


Makin anak-anak hampir tamat zaman persekolahan, makin saya terkenangkan usaha abah memberikan pendidikan yang terbaik kepada kami semua dulu.


Dari sekolah rendah tahfiz yang abah juga merupakan lembaganya, hingga abah sendiri pergi ke Syria bertemankan ustaz alumni Syria sebelum abah pergi sekali dengan anak-anak mengaji di Syria.



Allah takdirkan Abdul Rahman dan adik-adiknya juga lalui jalan yang sama seperti saya. 


Mama, baba, mak pak menakan adalah lembaga, guru-gurunya dari sekolah rendah hingga menengah. Sentiasa bawah pandangan saudara mara. Semuanya Allah tentukan.

Perjalanan hidup abah memberikan pendidikan kepada anak-anak, abah tuliskan dalam blog abah dulu.



Selepas ini ke peringkat universiti pula. Bersungguh-sungguh doa untuk mereka.


Sungguh kita usaha sebaiknya untuk mentarbiah anak-anak, bersulam doa tak henti moga menjadi hamba yang dekat dengan Allah, ikutan golongan bertaqwa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...