Showing posts with label Kenangan bersama ABAH. Show all posts
Showing posts with label Kenangan bersama ABAH. Show all posts

Friday, November 10, 2023

WARISKANLAH TELADAN YANG BAIK.

 

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 30/10/2021


3 ibadah yang dapat dicontohi daripada abah tanpa abah pernah suruh, tapi kami sering lihat abah lakukannya sejak kecil. 


Sedekah, puasa dan tahajjud.


"Ecah, abah infak RM xxxxx untuk Maahad, aku transferkan dah."Bagitahu Dijah.



1 nilai yang abah sangat ambil berat: Ketepatan masa


Sehingga ketika abah sakit sekarang, tepat pukul 10 Dijah bagi ubat, abah kata: 

"Bagus, abah suka orang yang punctual."


Kelihatan ia juga hasil didikan arwah pakwa (dahulunya guru besar) yang sangat tekankan bab ketepatan masa.


NOTA GAMBAR: TULISAN BLOG ABAH 15 TAHUN LALU TENTANG KETEPATAN MASA.

Monday, November 6, 2023

Hati yang dihiris

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 30/10/2021


Setiap kali nak pulang dari ziarah abah, hati bagai dihiris-hiris, sebak. Adakah selepas ini masih dapat berjumpa lagi dengan mak abah?


"Abah, Ecah minta maaf."


 Sejujurnya tak pasti abah dapat dengar dan faham atau tidak.



Detik masa dan siapa yang pergi dulu itu samar, namun ia pasti tiba. 


Husnul Khatimah dambaan kita semua.

Tuesday, October 10, 2023

SEMUA KITA DIUJI. KAU TIDAK BERSENDIRIAN



بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/10/2021


Bila bersembang dengan rakan-rakan, fasa ujian kami juga sama. Dulu fasa ujian menuntut ilmu, membina keluarga, menguruskan anak-anak kecil, anak-anak remaja. Begitulah juga rakan-rakan.


Kini fasa berbakti kepada ibu bapa yang sudah tua, begitu juga dengan rakan-rakan. Tinggi kesabaran mereka yang boleh dicontohi. 



“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)


Kehidupan ini adalah medan ujian.

Sunday, October 8, 2023

Saat muda dan tua

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 6/10/2021


Mereka pernah muda dan kini mereka tua.


Kini kita muda dan kita akan tua (jika dipanjangkan usia).


Saat akal fizikal lemah, hidup mengharapkan belas ihsan insan sekeliling.



((Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?)) Yasin: 68


Janganlah sekali-kali dilupakan jasa mereka.


رب ارحمهما كما ربياني صغيرا

Saturday, September 23, 2023

Makan mesti licin

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 29/9/2021


Sejak dari kecil, abah ajar makan mesti sampai BERSIH LICIN.


Ia melatih kita agar tidak membazir, timbul rasa sayang kalau makanan terbuang begitu sahaja. Semua itu rezeki, ada keberkatannya. Sama-sama kita jaga, insyaallah



Rasulullah SAW apabila selesai makan, Baginda akan menjilat ketiga jarinya sambil bersabda: “Apabila suapan salah seorang daripada kalian terjatuh, hendaklah dia bersihkan kotoran (atau habuk) padanya dan kemudian memakannya. Jangan biarkan makanan itu untuk syaitan (dimakannya)”. Juga, Baginda berpesan kepada kami agar membersihkan sisa makanan yang berada di atas pinggan (habiskan). Baginda bersabda : “Kerana sesungguhnya kalian tidak tahu pada bahagian mana daripada makanan kamu yang mengandungi keberkatan." Riwayat Muslim (2034)

Tuesday, September 19, 2023

Pengajaran kehidupan.

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 23/9/2021.


Bila abah sakit, banyak perkara tentang kehidupan yang saya renungkan.


Setiap kita ada ujian yang tersendiri untuk kita lalui dan lulus masuk ke syurga, insyaallah.


Ada orang tiada anak.

Ada orang inginkan pasangan.

Ada orang diuji dengan kesakitan.

Ada orang diuji dengan harta yang tidak kurang.

Semua kita diuji dengan aspek yang berbeza.


Kenangan indah



Janganlah juga kita melabelkan ujian orang itu adalah kerana dosa lampaunya, adakah kita ini suci dan tidak berdosa?


Ujian yang dilalui oleh orang lain juga adalah ujian kepada kita. Apakah tindak kita terhadap ujian mereka? Adakah kita peduli, bantu, atau kita buat tak tahu?


Moga kita semua berjaya dalam ujian.


Sunday, September 17, 2023

Jambu dan asam.

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 23/9/2021.


Antara nikmat yang saya perolehi ketika menziarahi abah sakit ialah dapat rapatkan hubungan dengan adik beradik dan mak abah yang selama ini sukar untuk pulang ke KL, lebih-lebih lagi ketika pkp.


Peluang untuk menetap di rumah mak selama seminggu juga adalah peluang keemasan untuk saya berbakti kepada mak walaupun sangat kurang bantuan yang saya berikan.


Anak-anak juga dapat bermesra dengan makwa.


Antaranya Ahmad Zaid yang menemani saya ketika tinggal seminggu di KL.


Selalu pagi-pagi Ahmad dan Maryam akan makan jambu atau epal cicah asam. Di rumah jarang makan begitu.


Ketika minggu hadapannya kami pulang semula ke KL, pagi-pagi bangun, Ahmad tanya kepada makwa: ada jambu dengan epal dan asam tak?

Membaca buku dalam perjalanan yang jauh

Fish And chips yang sedap

Wassap dengan abang Abbudey ketika mama dan baba berada di hospital


Ahmad ada juga tanya kepada mama dan baba. Tapi mama dengan baba kata: tunggu balik Kedah satgi. 


Tengok-tengok ketika kami bawa abah ke hospital, mak pergi pasar untuk beli jambu , epal dan asam.


Dijah cerita Maryam pun minta sama.


Mak pinjam duit Dijah kerana dompet mak ada bersama saya yang bawa abah ke hospital.


Walaupun kisah kecil sahaja, tapi kasih sayang seorang nenek kepada cucu itu berbekas dalam hati anak.


Semoga rahmat Allah SWT sentiasa bersama ibu ayah kita.



Wednesday, September 13, 2023

Bakti yang masih belum sempurna

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 23/9/2021


Sungguh terasa betapa diri kita ini serba kekurangan.



Saya tengok video ustazah Hafizah Musa cerita pasal ayahnya meninggal baru-baru ni.





Ustazah cerita pasal berbakti pada ibu ayah yang tua.. rasa kita ni banyak sangat kurangnya. Tidak sabar. 


Sungguh terasa betapa hinanya diri kita ini tidak dapat berbakti sebaiknya kepada abah..


Biarlah catatan ini menjadi kenangan di masa hadapan.


Kesihatan abah kian memburuk sejak tahun ini.


Abah strok dan diabetes. Selepas kena pulih dari covid, abah selalu sesak nafas.


Mak banyak berbakti untuk abah.


Ada minggu yang abah menjerit-jerit selalu. Sehingga malam pun abah menjerit-jerit. Betapa mak sabar menjaga abah.


Ketika bawa abah check up di hospital. Kesian abah tunggu lama. Dari pukul 10 hingga pukul 1. Abah tak selesa dengan mask tu.

Sungguh inilah peluang untuk membalas jasa ibu bapa kita yang sudah sakit.

Di mata terbayang-bayang kenangan lalu ketika abah sihat.

Dulu kalau naik kereta, abah suka bersembang. Kita abah diam seribu bahasa.

Dulu abah yang merawat orang. Kini abah dirawat. Nak buat apa pun apa tak mampu.

Mungkin ini ujian untuk kami membalas jasa-jasa abah.


Monday, September 11, 2023

HAKIKAT KEHIDUPAN

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 23/9/2021


Setiap kali pulang dari ziarah abah di Kuala Lumpur, fikiran saya sentiasa memikirkan tentang erti sebenar kehidupan.


Bila bersendirian atau sedang tasmik dengan ustazah, fikiran ini melayang-layang memikirkan hakikat kehidupan. Hati terasa amat sayu.

Alhamdulillah Allah beri peluang untuk bawa abah check up di hospital


Hakikat kehidupan : Semuanya milik Allah termasuk diri kita. Bila tiba masanya, ia akan kembali kepadaNya.


Kecantikan, kekuatan, kesihatan, kepandaian, harta, rezeki, sanjungan, anak, semuanya tak kekal. Gunakanlah pada jalan yang boleh memberi faedah kepada kita di hari akhirat kelak.


Kebahagiaan pada hati yang bersyukur.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...