Saturday, April 30, 2016

Abdul Rahman Selesai Surah AL-Israa'

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah dengan bantuan Allah dan kurniaanNya, kesukaran ABdul Rahman untuk menghafaz Surah AL-Israa' dapat diselesaikan.

Alhamdulillah Abdul Rahman habis menghafaz Surah AL-Israa' selepas lebih kurang sebulan menghafaznya.


ALHAMDULILLAH MAKIN MUDAH MENGHAFAZ SURAH AL-ISRAA'

Masih terbayang-bayang lagi keadaan Abdul Rahman yang menangis kerana sukar ingin menghafaz Surah AL-Israa'

Alhamdulillah kegembiraan dapat dimilikinya apabila sudah dapat menghafaz dengan mudah kembali.


Inilah yang dicatatkan dalam entri DI SINI dan DI SINI

CATATAN GRED DAN PENILAIAN OLEH GURU AL-QURANNYA


Setiap kesukaran pasti ada jalan penyelesaiannya, InsyaALLAH.

Moga kita semua diberkati ALLAH.

Tuesday, April 26, 2016

Aku Insan Biasa. Aku Tidak Sempurna

بسم الله الرحمن الرحيم

Sejak awal menulis blog ini 10 tahun yang lalu, niat di hati ingin berkongsi kebaikan dan ilmu untuk mendidik.

Tiadalah rasa untuk menunjuk kehebatan diri ataupun keluarga kerana sedar bahawa tiada apalah keistimewaan dalam keluarga kami. Hanya seperti insan biasa-biasa sahaja.

Kami lalui hari suka dan duka bersama-sama, sedih gembira bersama-sama. Kelebihan dan kekurangan sama-sama kami telan.


Sama-sama mengharungi ujian menjadi khalifah di muka bumi. Samada mahu bersyukur atau kufur.

Sama-sama bermujahadah melawan noda-noda mazmumah, keegoana diri sendiri, rasa ujub, takabbur dan merasa diri hebat.

 Menyedari bahawa semuanya adalah KURNIAAN ALLAH.

Sama-sama mencari jalan keluar bila hati tersasar dari landasan agama.

Tutuplah keaiban kami di dunia dan akhirat Ya Allah.

Walaupun ketika awal penulisan di dalam blog ini, masih mencari-cari rentak untuk menulis, tanpa disedari 10 tahun telah berlalu.


Diri ini juga sentiasa berpesan kuat-kuat dalam hati:

"Aku tiada kuasa untuk menjadikan sesiapa hatta anak sendiri untuk baik, hanya Allah yang punya kuasa. Kerana tiada kuasa itulah, betapa aku perlu untuk BERUSAHA DAN BERDOA agar anak-anak ini menjadi nsan yang bertaqwa."

Dan tiada apa petua yang dirahsiakan jika anak-anak ini berjaya. S

emuanya sentiasa dikongsikan di dalam blog ini, moga-moga ia memberi manfaat kepada orang lain dan memberatkan neraca timbangan kebaikan kami. Amin Ya Rabb.

Ruang lingkup menyebarkan ilmu juga lebih luas melalui alam blog ini.

Sama-samalah kita beruasaha mendidik anak-anak seawal mungkin.

Jauhkanlah kami dari sifat mazmumah, wahai Yang Maha Sempurna.

Saturday, April 23, 2016

Hikmah di sebalik ujian kesukaran Abdul Rahman menghafaz Al-Quran (siri 2)

............. SAMBUNGAN DARI ENTRI LEPAS


4- NIKMAT DAN KELEBIHAN YANG KITA ADA SEMUANYA MILIK ALLAH

Allah yang mengurniakan semua nikmat dan kebolehan. Allah juga berkuasa untuk menariknya kembali. Maka kita mestilah bersyukur dengan nikmat yang Allah beri.

Begitu juga dengan nikmat kepandaian dan kebolehan menghafaz Al-quran dengan mudah.

Bersyukurlah dan janganlah berbangga, sombong dan takabbur dengan anugerah Allah.

5- GUNAKANLAH KELEBIHAN YANG ADA UNTUK MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN.

Itulah nasihat yang sering dipesan kepada anak-anak hatta anak murid di sekolah sekalipun.

Jika Allah bagi kita pandai, amanah kita adalah untuk mengajar sahabat-sahabat lain. Barulah kelebihan yang Allah beri kepada kita itu diberkati bila dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan dapat dikongsi oleh orang lain. InsyaALLAH.

Barulah bernilai kelebihan anugerah ALLAH.


Alhamdulillah, ujian yang punya banyak pelajaran bagi kami.



Abdul Rahman

Anak Sulung yang banyak sangat membantu.

Alhamdulillah

Monday, April 18, 2016

Hikmah di sebalik ujian kesukaran Abdul Rahman menghafaz Al-Quran (siri 1)

بسم الله الرحمن الرحيم

Pelajaran dan hikmah yang kami sekeluarga pelajari apabila Abdul Rahman diuji dengan kesukaran menghafaz Al-Quran walaupun cuma seketika , dan Alhamdulillah masalahnya dapat diatasi dengan bantuan Allah Subahanahu wa Taala:

1- DOA- ALLAH MAHA MEMPERKENANKAN

Saat air mata Abdul Raman menitis kerana penat menghafaz dan tidak dapat ingat hafazan baru, saya nasihatkannya agar berdoalah supaya Allah membantunya agar dipermudahkan kembali kebolehan menghafaz Al-Quran dengan cepat.

Sematkan dalam diri anak, andai dirimu dirundung masalah, kedukaan, mendapat kegembiraan, nikmat, apa sahaja keadaanmu, kaitkanlah dirimua dengan Allah.

Bila gembira ingatlah ALLAH.

Bila sedih, sukar ingatlah ALLAH

2- USAHA

Tetaplah berusaha dan carilah 1001 jalan untuk mencari penyelesaian bagi masalah kita.

Ketika Abdul Rahman sukar menghafaz, hati ibu berdoa kepada Allah agar ALLAH ilhamkanlah kepada kami jalan penyelesaian bagi masalah yang dialami oleh anak ini.

Alhamdulillah Allah memberi kami idea untuk lebih bersungguh-sungguh dan lebih kerap untuk memasang audio surah hafazannya sahaja.

Alhamdulillah, dalam seminggu, Abdul Rahman sudah dapat merasakan dia makin mantap menghafaz Surah Al-Israa’.

Bila audio Surah Al-Israa diperdengarkan, Abdul Rahman akan turut sama membaca mengikut bacaan sheikh. Alhamdulillah dia dapat menghafaz dengan baik.

Sebenarnya saya dahulu ketika sekolah rendah bukanlah seorang yang pandai membaca Al-Quran.

Tergagap-gagap.

Sangat rendah diri apabila kawan-kawan lain dapat membaca alquran lancar macam air, tapi kita tersangkut-sangkut dan tergagap-gagap satu-satu huruf.

Itu baru membaca, belum menghafaz lagi.

Tapi perjalanan menghafaz AL-Quran perlukan kesabaran dan istiqamah hinggalah 30 juz dapat dihafal.

Itulah kenangan zaman kanak-kanak yang tidak dapat dilupakan.

3- SETIAP MASALAH ADA JALAN PENYELESAIANNYA.

Sematkan dalam diri anak, walau sebesar manapun masalah yang kita alami, InsyaALLAH ada jalan keluarnya.


Yang penting bersabarlah, berdoalah dan mintalah bantuan dari Allah subhanahu wa taala.


.................. BERSAMBUNG

Saturday, April 16, 2016

Indahnya ujian dalam menghafaz Al-Quran (Siri Akhir)

.....................Sambungan dari siri yang lepas 


Namun kemahuan anak-anak yang ingin direalisasikan oleh ibu ayah perlulah berlandaskan Islam. Janganlah kemahuan yang buruk dan bertentangan dengan agamapun turut dipenuhi untuk anak-anak.

Perkara yang melibatkan anak-anak selalu akan berkait rapat dengan emosi dan air mata ibu bapa, suka dan duka. Suka pun menangis. Apatah lagi duka. 


Menonton persembahan anak-anak di hadapan pun, ibu ayah boleh mengalir air mata terharu dan bangga, tapi pasti ditahan-tahan kerana malu dengan khalayak.


Begitulah nikmat perasaan yang halus yang Allah campakkan dalam hati ibu ayah


Begitu juga dalam setiap situasi. Ibu bapa pasti mahukan anak-anaknya sentiasa menjadi yang TERBAIK.

Bagaimanapun ibu bapa perlu menerima baik buruk, kelebihan dan kekurangan anak-anak. Sedang si ibu ayah pun tidak sempurna, bagaimana mahukan anak yang serba serbi boleh dalam setiap bidang. BERSEDERHANALAH. Betulkanlah niat.

Meleret-leretlah pulak catatan apabila melibatkan air mata anak. Sampai 3 siri.

Apa kesudahan masalah Abdul Rahman yang sukar menghafaz Surah Al-Israa?

Alhamdulillah masalah sukar menghafaz itu dapat diatasi dengan cepat dengan cara yang diilhamkan Allah itu. Dengan sentiasa memasang audio Surah Al-Israa di dalam bilik Abdul Rahman dan ketika perjalanan pergi dan pulang dari sekolah. Alhamdulillah

Abdul Rahman kembali merasai mudahnya menghafaz Al-Quran. Alhamdulillah syukur kepada Allah yang telah memudahkan bagi anak-anak untuk menghafaz Al-Quran.


Allah bimbinglah kita menjadi HAMBA YANG BERTAQWA.

Monday, April 11, 2016

Manisnya ujian dalam menghafaz Al-Quran (Siri 2)

------- sambungan dari siri 1


Jalan penyelesaian mesti dicari secepat mungkin agar anak tidak merasa putus asa dan terlalu runsing memikirkan masalahnya tidak mampu nak menghafaz Al-Quran.

Jalan penyelesaian yang Allah ilhamkan kepada kami adalah dengan memasangkan audio Surah AL-Israa’ sahaja di dalam kereta dan di dalam bilik anak-anak.

Jadi bila Abdul Rahman bermain di dalam biliknya, dia akan sentiasa mendengar Surah Al-Israa’. Begitu juga dalam pergi dan pulang ke sekolah. Sekurang-kurangnya dia akan mendengar 2x Surah Al-Israa’ dalam sehari di dalam kereta sahaja, tidak termasuk ketika dia berada di dalam biliknya.

Begitulah perasaan menjadi ibu ayah.

Kita sentiasa sedih apabila anak-anak dirundung masalah. Ibu ayah yang akan lebih mencarikan jalan keluar untuk anak-anak lebih lagi dari anak itu sendiri.

Sebolehnya tidak mahu anak-anak sedih dengan masalah yang melandanya. Walaupun setiap hari si ibu meleteri dan memarahi anaknya, namun dia tetap kasihankan anak-anak yang kedukaan.

Sebolehnya juga ibu bapa akan penuhkan segala kemahuan anak-anak demi tidak mahu melihat kedukaan di wajah anak.

Bersambung---------

Saturday, April 9, 2016

Manisnya ujian dalam menghafaz Al-Quran (Siri 1)

بسم الله الرحمن الرحيم

Jalan yang dilalui dalam usaha menghafaz Al-Quran adakala dihiasi dengan ujian untuk penghafaz Al-Quran dapat merasakan betapa manisnya nikmat anugerah mengingati dan menghafaz Al-Quran yang Allah kurniakan.

Anak-anak yang biasanya mudah menghafaz Al-Quran, 5, 6 kali ulang sahaja sudah ingat setengah mukasurat Al-Quran menghadapi masalah tidak dapat ingat walaupun telah lebih 20, 30kali mengulang ayat baru.

Apa yang terjadi? Mereka akan menangis kerana penat dan merasakan usaha mereka menghafaz tidak berhasil. Rasa banyak salah dan tidak boleh ingat.

Itulah yang berlaku kepada Abdul Rahman beberapa minggu lalu ketika mula menghafaz Surah Al-Israa’ awal Juz 15.

Dirasanya begitu sukar untuknya menghafaz sehingga penat dan menangis.

Sebenarnya, ia juga pernah berlaku kepada diri saya.

Kenangan yang tidak boleh dilupakan ketika menghafaz Surah Hud ketika usia remaja dahulu. Rasa sukar menghafaz ayat baru hingga menangis dan mengamuk kerana tidak boleh nak hafaz. Hantar hafazan kepada ustazah pun tak lepas hari itu padahal hari-hari lain, rasanya elok sahaja menghafaz Al-Quran.


Menjadi ibu bapa, hati mana yang tidak sayu apabila anak tidak boleh nak menghafaz walaupun dia telah membuktikan bahawa dirinya telah mampu menghafaz setengah Al-Quran.


Bersambung................

Saturday, April 2, 2016

Kampung Boy

بسم الله الرحمن الحيم

Kalau dah namanya anak lelaki, mesti mahu buat aktiviti yang mencabar.

Ini adalah gambar mereka ketika cuti bulan 3 yang lalu.

Tetapi semuanya masih dalam pantauan dan jagaan orang dewasa.

Air tasik juga cetek kerana kemarau yang berpanjangan dan musim panas yang melampau.

Bakal menjadi pengalaman mereka ketika dewasa nanti.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...