Monday, January 30, 2023

Plan untuk anak-anak

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 14/5/2021


Bila lihat perancangan Ustazah Norhafizah Musa terhadap anak-anak, ada idea yang boleh kita contohi untuk mantapkan ilmu anak-anak, ibadah mereka, hafazan Al-Quran mereka. 



Tapi ada aspek yang perlu diambilkira iaitu, sedikit-sedikit dan perlahan-lahan walaupun kita mak ayah ni macam-macam nak anak-anak pandai. Begitu juga dengan penerimaan anak-anak yang kadangkalanya tak mudah (lagi-lagi bila anak dah meningkat remaja). Perlu ajak dan terang banyak kali. Doa moga mereka dilembutkan hati. 


Beruntunglah bagi ibu ayah yang berjaya melaksanakan plan untuk anak-anak.


Semoga Allah mempermudahkan.


P/s: Teringat dulu masa umur 16 tahun, abah hantar mengaji ke Syria, menangis tak sudah-sudah. Dah sampai Syria pun menangis lagi.😅

Saturday, January 28, 2023

Harapan Dijah

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 13/5/2021


Thursday, January 26, 2023

Bilakah kali terakhir?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 12/5/2021


Pernah terfikir: Bilakah kali terakhir anak-anak mendengar suara kita membaca Al Quran? Adakah mereka masih dapat ingat lagi suara ibu bapa mereka mengalunkan Al Quran ketika kita sudah tiada?


Tak. Bukan isu riya' atau menunjuk-nunjukkan amalan, tapi untuk membentuk generasi dengan amal soleh. 


Bagaimana mereka dapat ikut amal soleh jika tiada contoh ikutannya?



Masih teringat waktu kecil-kecil dulu kalau balik kampung di Kuala Sg.Baru, Melaka, bila tengahari pasti akan lihat makwa dan pakwa bentang sejadah di ruang tamu, solat dan zikir berjemaah. Bila maghrib, lihat mereka berbuka puasa sunat bersama. Pagi-pagi, merekalah orang yang terawal bangun beribadat.


Allah rahmatilah dan ampunilah dosa mereka yang telah tiada. Amin

Tuesday, January 24, 2023

Kenangan lalu

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 11/5/2021


"Hmmm.. Separuh gaji habis pada kereta bulan ni.☹️" Terdengar kata rakan sepejabat.


Terus teringat ketika awal kehidupan bekerjaya, dengan starting gaji guru RM800. Dari situlah bayar loan kereta, daftar buat master di KUIN suami isteri, kemudian yuran setiap semester, belanja harian.


Pernah balik beraya di kampung Kuala Sg.Baru, Melaka dengan kereta Kelisa. Sampai saudara mara sedekah dua tiga ratus sebab nampak kesian yakmat😅.



Hujung bulan sering Kelisa tersebut meragam hingga akhirnya terpaksa mencari tuan baru, untuk masa depan yang lebih bahagia.😅


Tapi, macam mana nampak susah sekalipun, belum pernah sehari kebuluran tak cukup makan. Alhamdulillah Allah beri rezeki.

الله كريم.

Sunday, January 22, 2023

Proses Ahmad Zaid hafal Al Quran

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 10/5/2021


Untuk proses Ahmad hafal surah:


1. Pasang selalu audio surah tersebut, biar biasa dengar, nanti mudah nak hafal.



2. Baca dan hafaz ikut bacaan Dr.Ayman Suwaid, guna apps Al Quran For Android sebab bacaan Sheikh Ayman lambat-lambat dan sebutan makhrajnya jelas.


3. Tasmik dengan mama. Mama betulkan kalau ada salah.


Doakan Ahmad ya😁

Friday, January 20, 2023

Kisah di sebalik ampaian baju

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/5/2021


Kisah ini biasa saja terjadi. Tapi ia menusuk hati.


Pernah saya dan suami keluar ke pekan. Tiba-tiba hujan lebat. Apa yang mak-mak fikirkan?


Ye betul! 


Fikir baju dijemur di rumah. "Harap-harap anak-anak angkatlah baju tu."


Sampai saja di rumah, apa yang dicari?



Ya benar! 

Ampaian baju.


 Ampaian baju kosong, tanda baju sudah diangkat.


"Alhamdulillah ada juga anak-anak laki yang boleh tolong angkat baju."


 Syukur. Mak-mak memang begitu.


"Betapa kita bersyukur anak yang boleh menyelamatkan jemuran dari basahan hujan, tentu lebih kita bersyukur bila mereka sentiasa mendoakan kita." Kata lubuk hati.

Wednesday, January 18, 2023

Di sebalik cerita tasmik

 

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/5/2021


Sebelum ajak anak tasmik Al Quran, saya terfikir-fikir siapa yang boleh diajak untuk tasmik hafazan Al-Quran saya. Suami ada tolong tasmik, tapi masanya agak sibuk, tak dapat nak tasmik banyak.


Seiring memohon doa kepada Allah agar menemukan seorang teman untuk tasmik Al Quran, saya ligat berfikir wajah-wajah yang boleh diajak tasmik.



Teringat ketika cuti musim panas di Syria , ajak rakan untuk tasmik hafazan sejuzuk sehari.


Saya fikir untuk ajak rakan guru di kuarters di Maahad ini untuk tasmik. Kemudian hati terdetik:

" Anak sendiri dah 2 orang Hafiz AlQuran, kenapa tak ajak depa je tasmik?"


Dari situlah bermulanya kisah pada entri sebelum ini.

Monday, January 16, 2023

Remaja paling rajin tasmik

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/9/2021


Di usia awal remajanya, kami berdua sering tak bersefahaman, anak remaja suka membentak bila asyik disuruh-suruh, mama pula rimas kalau lambat bertindak. Baba lah yang berperanan untuk menjernihkan keadaan.


Usia awal remaja berbeza dengan usia kanak-kanak. Emosinya, perilakunya, sensitifnya.... Malu sendiri bila kenang perangai buruk kita juga ketika remaja dulu.



Tapi kini, dialah yang paling rajin tasmik hafazan mama 10 mukasurat setiap hari, walau ada ketikanya tersengguk-sengguk keletihan di petang hari.*


Moga kita semua dikurniakan zuriat penyejuk hati, ikutan orang-orang bertaqwa.


*(Dengan upah 5 kupang bagi setiap 1 mukasurat😆😆).

Saturday, January 14, 2023

Doakan saya

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 9/5/2021


"Jangan lupa doakan kami."


 Saya melihat amalan meminta doa daripada orang lain ini sangat meluas ketika di Syria. Terutamanya di hujung-hujung Ramadhan. 


Siapa saja. Pensyarah kita, warden, rakan, hatta pakcik jual sayur di pasar akan berkata begitu kepada kita.



Atau dalam bahasa nostalgia yang lama kita tak dengar: Kenang daku dalam doamu.


Saya pernah berkata begitu kepada seorang rakan, dan jawapannya sangat mengejutkan. Berulangkali!


"Hanya Allah saja yang tahu betapa banyak saya doakan kamu sekeluarga. Moga Allah jadikan saya orang yang ikhlas."


Bersungguh-sungguh beliau menjawab. Berbunga-bunga hati mendengarnya. Moga doa beliau berbalik kepada dirinya juga.

Thursday, January 12, 2023

Target cuti panjang kali ini

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/5/2021


Rasanya setiap kali cuti panjang, pasti akan letakkan target dalam keluarga, kalau tak dapat semua,dapat sikit:


Target cuti kali ni:

1. Ajar Ahmad hafal surah-surah baru, nanti buka sekolah nanti baru tak dapat ج.

2. Murajaah hafazan Al-Quran abang-abang.

3. Riyadussolihin lepas subuh.


Moga Allah beri kesihatan dan bantu kita semua.



Apa-apa pun, sebelum tu, layan lawan beyblade dulu. Masa cutilah yang boleh nak main, hari Sekolah, semua orang sibuk.

Tuesday, January 10, 2023

Antara memori dan soalan

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/5/2021


Mendengar tenang merdu suara ini, pasti terimbau sangat memori.


Beliau adalah imam masjid Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro, tempat kami menuntut ilmu dulu.



Sheikh Ibrahim Al Hadid.


Allah kurniakan kepada setiap manusia perkara yang dia lebih dari orang lain.


Suara (serak) lunak merdu Allah anugerahkan kepada beliau disalurkannya kepada bacaan Al Quran dan qasidah memuji Allah dan RasulNya.


Apakah kelebihan kita dan ke mana kita salurkannya?🤔

Sunday, January 8, 2023

Luaskan doamu

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 7/5/2021


Jumaat terakhir Ramadhan ini. Di hujung hari-hari yang istimewa.


Dalam kita mendoakan diri sendiri, jangan dilupakan doa untuk pasangan kita, ibu ayah, adik beradik, rakan-rakan, guru-guru, saudara mara kita.




Dalam kita mendoakan anak kita, masukkan sekali doa untuk anak-anak saudara kita, anak-anak murid kita, anak-anak kawan kita.


Luaskan doa. Tanpa hasad dengki. Tak rugi sikit pun. Doanya tempias kepada kita juga insyaallah.


Apa yang kita miliki hari ini juga, mungkin hasil doa seseorang yang kita tak tahu.

Saturday, January 7, 2023

Prinsip dalam mendidik anak-anak.

 بسم الله الرحمن الرحيم 


Ini adalah sekadar perkongsian, moga bermanfaat untuk pembaca dan masyarakat. Amin.


Ketika ditanya tentang cara mendidik anak, saya perlu berfikir dan ingat kembali apa yang pernah dilakukan. 



1. Cuba tetapkan dalam hati, semuanya adalah ANUGERAH ALLAH YANG MAHA PENYAYANG. Jika Allah tak beri, kita tak miliki apa pun.


2. Setiap keluarga mempunyai pemikiran, prinsip dan cara mendidik yang berbeza. Apa yang kami lakukan mungkin 'cacat' dan masih banyak kekurangan di mata orang lain. 


Namun, apa yang sentiasa kita harapkan ialah PETUNJUK DARIPADA ALLAH DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA MENUJU KE SYURGA.


3. Keluarga kami tidak sempurna, masih banyak salah silap dan perlu diperbaiki. Masih banyak perlu dimuhasabah, dipelajari dan diperbaiki. الله المستعان 


Ada rakan-rakan lain yang kelihatan sangat berusaha menerapkan budaya ilmu dan penghayatan Al Quran kepada anak-anak. Moga dapat kami contohi. Amin.


PRINSIP KAMI DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK:


1. Utamakan Al Quran dalam mendidik anak-anak. Moga Al Quran yang mereka TEKUNI setiap hari itu membantu mereka mendepani cabaran remaja, menjauhkan mereka daripada maksiat.


Mula dengan kenal Al Quran, hafaz, jaga hafazan Al-Quran, dan selepas ini semoga Allah melorongkan anak-anak untuk faham, tadabbur dan amalkan Al Quran. Amin.


2. Tiada handphone peribadi untuk anak-anak dan tiada Wi-Fi di rumah. Yang ada handphone lama baba yang mereka kongsi bersama untuk main game, tengok kartun dan Whatsapp kawan-kawan ketika cuti (kecuali Ahmad yang tiada kawan nak Whatsapp 😅). Mereka akan pinjam hotspot mama baba sekejap. 


Handphone digunakan di khalayak ramai. Bukan dalam bilik. Mereka tiada akaun media sosial lain.


Ayat yang selalu diulang-ulang pesan: "Jangan tengok haram, jangan tengok aurat orang."


"Ya mama. Kami tengok yang halal je."


Sentiasa periksa handphone yang mereka kongsi walaupun tak ada Wi-Fi.


3. Ketika PKP dulu anak-anak pernah diberikan handphone yang ada data internet kerana keperluan PDPR mereka. Namun kelihatan banyak keburukan dari kebaikan. 


4. Cuba terapkan budaya ilmu, membaca hadis, perbincangan agama secara santai dengan anak-anak remaja. Fikiran anak remaja ini ligat. Banyak persoalan yang bermain dan fikiran mereka yang adakalanya mereka akan soal termasuklah tentang masa depan pengajian mereka.


5. Mujahadah utamakan solat di masjid di awal waktu. Solat tahajjud yang diamalkan di Maahad perlu istiqamah ketika cuti. Masih perlu sentiasa ingatkan dan beri kesedaran kepada mereka.


Masih perlu berikan nasihat untuk rajin tunaikan ibadah sunat. Insyaallah dengan berlalunya masa, hati mereka akan terpaut dengan ibadah sunat di samping ibadah wajib tidak sekali ditinggalkan.


6. Anak-anak remaja adakala mahu seperti rakan-rakan lain. Yang mama pesan:


"Satu hari nanti kamu ada anak, kamu akan tahu macam mana sukarnya untuk menjaga anak. Nak membentuk anak itu susah, nak rosak senang ja."


7. Ya. Bila anak dah remaja, kita tak mampu nak pantau 24 jam. Mereka mempunyai keinginan seperti rakan-rakan lain. 


Yang kita miliki adalah doa moga Allah sentiasa pelihara mereka dari keburukan. Moga Al Quran yang mereka ulang setiap itu menjadi rakan baik mereka melorongkan mereka ke arah kebaikan. 


Moga hati mereka sentiasa disemai dengan taqwa dan merasakan diri diawasi Allah setiap masa. Amin.


Sungguh makin anak meningkat dewasa, makin tinggi pengharapan dan pergantungan kita dengan ALLAH.


Anak-anak adalah amanah dan harta kita yang paling berharga. Moga ia menjadi aset selepas jasad dikandung tanah.

Friday, January 6, 2023

Buat apa masa anak-anak kecik?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 8/5/2021


"Dulu buat macamana masa anak-anak kecik?" Ini adalah antara soalan yang saya takut. Sebab banyak dah lupa tentang zaman anak-anak kecik.😅


'Apa ye yang buat masa anak-anak kecik?'🤔


Alhamdulillah ada beberapa perkara pernah ditulis dalam blog, jadi boleh dijadikan rujukan dan bagi link blog saja.



Mula menulis blog atas galakan suami bila suami melihat abangnya berblog 14 tahun lalu.


Topik utama adalah pendidikan Al Quran anak-anak dan coretan memori.


Ia juga adalah jariah kita selepas ketiadaan kita di dunia jika ia bermanfaat buat orang lain.


Begitulah hendaknya.🥲

Wednesday, January 4, 2023

Nostalgia Kad Raya

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 6/5/2021


Masuk kelas ajar pelajar buat Kad Raya.


🧕🏻: Kalau dulu, ustazah tulis kad raya, ustazah tulis pantun:

Pecah kaca, pecah gelas,

Sudah baca, harap balas.


👦🏻: 💡! Ana pun nak tulis pantun tu jugak lah. Nanti ana bagi kat mak ana kad raya ni, pastu mak ana balas dengan duit raya.


😅

Monday, January 2, 2023

Ingatan dari seorang ibu pelajar

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 5/5/2021


Petang Ramadhan yang syahdu, dalam hujan lebat, terbayang-bayang senyuman bahagia ibu yang menulis panjang menceritakan kejayaan anak yang saya kenali sejak usia 6 tahun di SRITM dulu kemudian di Maahad Al Iman.


Pelajar yang keindahan budi pekertinya menjadi bualan guru-guru.



Pelajar yang tiba-tiba saja hantar cod kek untuk ustazah-ustazah di Maahad walau nun jauh di Negeri Sembilan.

"Dia teringat kat ustazah-ustazah." Kata ibunya.


Alhamdulillah, selautan doa di akhir Ramadhan, semoga menjadi insan cemerlang dunia akhirat semulia hatimu menggembirakan guru-guru, insya Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...