Saturday, January 7, 2023

Prinsip dalam mendidik anak-anak.

 بسم الله الرحمن الرحيم 


Ini adalah sekadar perkongsian, moga bermanfaat untuk pembaca dan masyarakat. Amin.


Ketika ditanya tentang cara mendidik anak, saya perlu berfikir dan ingat kembali apa yang pernah dilakukan. 



1. Cuba tetapkan dalam hati, semuanya adalah ANUGERAH ALLAH YANG MAHA PENYAYANG. Jika Allah tak beri, kita tak miliki apa pun.


2. Setiap keluarga mempunyai pemikiran, prinsip dan cara mendidik yang berbeza. Apa yang kami lakukan mungkin 'cacat' dan masih banyak kekurangan di mata orang lain. 


Namun, apa yang sentiasa kita harapkan ialah PETUNJUK DARIPADA ALLAH DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA MENUJU KE SYURGA.


3. Keluarga kami tidak sempurna, masih banyak salah silap dan perlu diperbaiki. Masih banyak perlu dimuhasabah, dipelajari dan diperbaiki. الله المستعان 


Ada rakan-rakan lain yang kelihatan sangat berusaha menerapkan budaya ilmu dan penghayatan Al Quran kepada anak-anak. Moga dapat kami contohi. Amin.


PRINSIP KAMI DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK:


1. Utamakan Al Quran dalam mendidik anak-anak. Moga Al Quran yang mereka TEKUNI setiap hari itu membantu mereka mendepani cabaran remaja, menjauhkan mereka daripada maksiat.


Mula dengan kenal Al Quran, hafaz, jaga hafazan Al-Quran, dan selepas ini semoga Allah melorongkan anak-anak untuk faham, tadabbur dan amalkan Al Quran. Amin.


2. Tiada handphone peribadi untuk anak-anak dan tiada Wi-Fi di rumah. Yang ada handphone lama baba yang mereka kongsi bersama untuk main game, tengok kartun dan Whatsapp kawan-kawan ketika cuti (kecuali Ahmad yang tiada kawan nak Whatsapp 😅). Mereka akan pinjam hotspot mama baba sekejap. 


Handphone digunakan di khalayak ramai. Bukan dalam bilik. Mereka tiada akaun media sosial lain.


Ayat yang selalu diulang-ulang pesan: "Jangan tengok haram, jangan tengok aurat orang."


"Ya mama. Kami tengok yang halal je."


Sentiasa periksa handphone yang mereka kongsi walaupun tak ada Wi-Fi.


3. Ketika PKP dulu anak-anak pernah diberikan handphone yang ada data internet kerana keperluan PDPR mereka. Namun kelihatan banyak keburukan dari kebaikan. 


4. Cuba terapkan budaya ilmu, membaca hadis, perbincangan agama secara santai dengan anak-anak remaja. Fikiran anak remaja ini ligat. Banyak persoalan yang bermain dan fikiran mereka yang adakalanya mereka akan soal termasuklah tentang masa depan pengajian mereka.


5. Mujahadah utamakan solat di masjid di awal waktu. Solat tahajjud yang diamalkan di Maahad perlu istiqamah ketika cuti. Masih perlu sentiasa ingatkan dan beri kesedaran kepada mereka.


Masih perlu berikan nasihat untuk rajin tunaikan ibadah sunat. Insyaallah dengan berlalunya masa, hati mereka akan terpaut dengan ibadah sunat di samping ibadah wajib tidak sekali ditinggalkan.


6. Anak-anak remaja adakala mahu seperti rakan-rakan lain. Yang mama pesan:


"Satu hari nanti kamu ada anak, kamu akan tahu macam mana sukarnya untuk menjaga anak. Nak membentuk anak itu susah, nak rosak senang ja."


7. Ya. Bila anak dah remaja, kita tak mampu nak pantau 24 jam. Mereka mempunyai keinginan seperti rakan-rakan lain. 


Yang kita miliki adalah doa moga Allah sentiasa pelihara mereka dari keburukan. Moga Al Quran yang mereka ulang setiap itu menjadi rakan baik mereka melorongkan mereka ke arah kebaikan. 


Moga hati mereka sentiasa disemai dengan taqwa dan merasakan diri diawasi Allah setiap masa. Amin.


Sungguh makin anak meningkat dewasa, makin tinggi pengharapan dan pergantungan kita dengan ALLAH.


Anak-anak adalah amanah dan harta kita yang paling berharga. Moga ia menjadi aset selepas jasad dikandung tanah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...