بسم الله الرحمن الرحيم
Entri ini ditulis pada 29/9/2021
Ketika saya memujuk hati sendiri agar percaya dengan penjagaan Allah. Usah terlalu risau dan sedih, saya terbaca post Facebook oleh sahabat sekuliah di Syria dulu, Ummu Huda:
Ini postnya yang terus memujuk hati saya bahawa dunia ini adalah tempat kita diuji, bersyukur dan sabarLaH
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=4608917775837809&id=100001588959200&sfnsn=mo
Yang mana satu ujian?
Pagi tu dalam perjalanan ke sekolah.., dalam keriuhan anak-anak di belakang tiba-tiba kak long bersuara ..
Kak long : Ummi Ummi, tengok makcik tu.
Ummi : Mana? Kenapa ?
Kak long: Alah..Dah lepas dah.
Ummi : Oh..sorry kakak, ummi tak perasan sebab tengah memandu. Kenapa dengan makcik tu ?
Kak long : Kesian tengok makcik tadi tu. Pagi-pagi dah keluar kerja sapu daun-daun. Kak long nampak dia dah tua macam nenek tapi masih lagi kerja.
Ummi : Allah...kesiannya.
Kak long: Kenapa Allah tak bagi makcik tu banyak duit supaya dia tak susah-susah kerja. Kenapa Allah bagi dia susah?
Ummi : Hurm... Ummi jadi teringat sesuatu pulak. Nak dengar tak?
Huda : Nak nak.
Ummi : Surah Al-Fajr, ayat15:
فَأَمَّا الْإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ
Maka kebanyakan manusia apabila diuji olehTuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"
Surah Al-Fajr, ayat16:
وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"
Dalam ayat ni Allah cerita tentang kira-kira manusia.
Bila ikut kira-kira manusia, dia beruntung dan Allah muliakan dia bila dia kaya, sihat, cerdik, cantik dan serba serbi sempurna pada pandangan manusia. Yang memandang pun pasti iri hati dan berkata alangkah beruntungnya dia..
Sebaliknya bila seseorang itu miskin, ditimpa penyakit, kurang cerdas atau kurang sempurna anggotanya pasti dia akan kata kenapalah Allah uji aku dengan macam-macam ujian.
Tapi sebenarnya kan...keduanya merupakan ujian dari Allah.
(Ummi ulang baca ayat tadi)
Perhatikan penggulangan perkataan ابتلاه
ابتلاء ini dalam bahasa arab maksudnya ujian. Allah uji dia iaitu manusia pada ketika senang dan susah. Tapi manusia faham masa senang Allah muliakan, masa ditimpa kesusahan Allah menghina dia.
Susah itu ujian senang pun ujian. Setiap kita diuji dengan ujian yang berbeza bergantung pada kemampuan kita. Macam kakak kat sekolah la, kan last week exam. Pelajar tahun 5 soalannya lagi susah dari tahun 4. Tahun 1 lagi senang dari tahun 2. Semua tak sama kan? sebab kemampuan pelajar setiap tahun berbeza.
Ujian Allah untuk manusia pun tak sama. Ada yang Allah uji dengan harta banyak nak tengok syukur tak dia, banyak mana orang yang turut dapat merasa senang dengan hartanya, dan itu mungkin ujian yang paling layak dengan kemampuannya.
Ada orang yang Allah uji dengan susah bagi melihat sejauh mana dia bersabar dengan kesusahannya dan terus menerus berusaha untuk keluar dari kesusahan itu. Itu mungkin ujian yang paling sesuai dengannya.
Kak long : Oh...Allah tahu yang terbaik kan ummi?
ummi : Ya betul tu.
Cuma kita kena selalu doa supaya Allah tidak membebankan kita dengan ujian yang tak mampu kita tanggung.
Surah Al-Baqarah, ayat 286:
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan iajuga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang
telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
Kak long : Tapi kakak rasa tak ramai yang mampu tahan dengan ujian susah. Masa exam hari tu pun rasa seksa sangat nak bagi cepat-cepat habis. Rasa geram kat cikgu pun ada kenapalah cikgu buat exam ni. Kan best belajar sahaja.
Ummi : Hehe..Exam tu untuk cikgu tahu sejauh mana pelajar dia faham dan ujian itu untuk manusia buktikan bahawa dia betul-betul kenal dan yakin dengan Allah bukan sekadar cakap sahaja.
Kalau kakak nak tahu ramai manusia yang kembali bergantung, yang kembali dekat dengan Allah, yang kembali cari Allah untuk berpaut saat dia diuji dengan kesusahan.
Ibarat orang yang bila sakit baru cari doktor.
Kak lang : Macam masa sakit gigi hari tu jumpa dentist?
Ummi : Ya, dentist tu cucuk gusi kak lang kan korek-korek yg hitam-hitam tu tampal balik lubangnya kan. Sakit tak?
Kak lang: Sakit sangat ummi.
Ummi : Tapi kak lang tak marah doktor kan sebab kak lang tahu kalau doktor tak buat macam tu mesti tak boleh tidur, tak boleh makan sebab sakit gigi kan?
Kak lang : A'ah..Alhamdulillah, gigi kak lang dah ok.
Ummi : Sama juga kita selaku hamba Allah asal mana kita faham ujian kesusahan dan kesakitan tu untuk bersihkan kita dari dosa-dosa dan semua penyakit hati yang menggagalkan kita ke syurga maka kita akan berterima kasih banyak-banyak pada Allah.
Sebaliknya ramai manusia yang gagal bila Allah uji dengan kesenangan, rupa paras yang baik, sihat tubuh badan, cerdas akalnya. Nikmat yang pelbagai buat dia jadi makin jauh dengan Allah. Dia jadi tersangat yakin dengan dirinya sehingga melanggar semua aturan Allah.
Kalau dia seorang pemerintah, kuasa dan kesenangan yang ada bukan untuk berkhidmat kepada rakyat tetapi mengerah keringat rakyat.
Kalau dia seorang jelitawan, rupanya bukan untuk disyukuri dengan dipelihara sebaiknya auratnya tetapi didedahkan malah mengajak semua untuk turut serta.
Kalau dia seorang genius dia malah mempertikaikan hukum hakam Allah dan mempersendakannya.
Mereka inilah orang yang sangat kasihan.
Surah Al-Fajr, ayat 23:
وَجِيءَ يَوْمَئِذٍ بِجَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الْإِنسَانُ وَأَنَّىٰ لَهُ الذِّكْرَىٰ
Serta diperlihatkan neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya?
Surah Al-Fajr, ayat 24:
يَقُولُ يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِي
Ia akan berkata: "Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!"
Kak long: ( diam dan termenung )
Ummi : Terima kasih kak long tanya ummi pagi-pagi ni. Ingatan untuk ummi juga terutamanya. Asal susah je terus ingat barangkali inilah peluang untuk ummi tambah bekalan untuk ke syurga. Sekadar ibadah sahaja mungkin jauh dari mencukupi untuk melayakkan diri ke syurga Allah. Sabar, terus usaha dan tawakkal pada Allah. Bila senang pula lagi kena hati-hati takut-takut ada hak orang lain yang tak tertunai. Sangka baik selalu dengan Allah, insya Allah hati kita akan tenang. Insya Allah malam ni kita sambung cerita surah Alfajr. Sangat menarik..Masya Allah.
Kak long : Yea..terima kasih ummi.
Ummi : Sama-sama sayang.
* Dialog 3 tahun lalu. Teringat bila dapat berita ramai sahabat yang diuji dengan berbagai ujian. Semoga kita termasuk mereka yang lulus ujian. Syukur ketika senang dan sabar ketika susah.
No comments:
Post a Comment