Monday, June 30, 2025

Secebis rasa

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 28/12/22




Satu detik

Rasa

Jauh di sudut terpencil

Dalam kalbu

Tiada yang tahu

Harapan

Hanya DIA yang MAHA TAHU.

Saturday, June 28, 2025

Pentingnya ada generasi pelapis Al Quran yang berkualiti.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 28/12/22


Antara pesanan Sheikh Solah dan Sheikh Mahir Al Munajjid dalam Ijtimak Ahli Al Quran di Kompleks Maahad Tahfiz Intan-TINTA :


1️⃣- Jangan merungut keletihan jika ingin menghasilkan KEJAYAAN.


2️⃣- Hafiz Al Quran tidak boleh sekadar menghafaz. Mesti MENGUASAI hukum hakam syara', Bahasa Arab, Syariah, Fekah dan lain-lain, kerana Hafiz itu akan jemu bila MENGHAFAZ TANPA FAHAM.


3️⃣- Seorang yang sibuk dengan Al Quran adalah pilihan dan anugerah Allah KEPADANYA. Mesti bersyukur dan merendah diri.


4️⃣- Ahli Al Quran perlu melahirkan pewaris sehingga hari kiamat.


Jazakumullahu Khairan Kathira kepada penganjur Ijtimak Ahli Quran Media Tahfiz Kedah , Maahad Tahfiz Intan , Idrus Ahmad . 


Alhamdulillah manfaat program yang sangat banyak. Moga dapat diadakan lagi dan lebih maju.


Tajdid himmah (perbaharui semangat) dan motivasi dalam majlis ilmu.



Semoga memberi kesan yang mendalam dalam diri anak-anak juga.


Pentingnya ada generasi pelapis Al Quran yang berkualiti. Moga Allah permudahkan dan perkenankan.


جعلنا الله من أهل القرآن وخاصته.

Thursday, June 26, 2025

SUKAR MENGAJAK KELUARGA KE ARAH KEBAIKAN?

 


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 28/12/22


Untuk mencorakkan keluarga kita dengan kebaikan dan persekitaran yang soleh seperti membudayakan ta'lim, baca kitab, tasmik Al Quran, solat berjemaah, nasihat menasihati, dan lain-lain.... PADA MULANYA mungkin SUKAR, SEGAN dan KEKOK.



Namun, masa terus berlalu tanpa menunggu kita. Anak-anak terus membesar dan akan hidup di luar. Jika kita tidak mulakan DARI SEKARANG, dari anak kecik, adakah masih ada peluang di masa hadapan?

الله المستعان.

Tuesday, June 24, 2025

Pasti ada yang lebih tahu, dan ALLAH yang MAHA MENGETAHUI.

 

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 26/12/22





Inilah yang diterangkan kepada anak2 pagi ini. Moga BERBEKAS SENTIASA dalam hati.


Kita hebat pada satu tahap, tapi di tahap lain, pasti ada orang lebih hebat, lebih baik dan lebih berilmu daripada kita. Begitulah sifir kehidupan. 


Ada ustaz di Maahad pesan kat adik: 

" Abdullah bukan tahap sekolah dah (sebab selalu johan musabaqah)." Perlu cuba di tahap yang lebih tinggi.


Teruslah berusaha menuntut ilmu TANPA HENTI HINGGA KE AKHIR HAYAT, tanpa jemu.


Dan Allah jualah yang Maha Hebat dan Maha Sempurna.




Sheikh Mahir Al Munajjid antara hakim musabaqah kelmarin. 


Sheikh kenal dengan baba sejak 20 tahun lalu. Ketika baba masih bujang lagi. Ketika menuntut di Syria.


Mama dah siap2 'tolong overthinking' bila Sheikh bagitau Abang Abbudey suruh pesan kat baba: " Habis SPM, Abang Abbudey dengan adik kena sambung mengaji kat tempat Sheikh. Ayah kamu tak ada pilihan lain."😅

Sunday, June 22, 2025

Pengalaman baru untuk anak-anak berdikari.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 25/12/22


Alhamdulillah hari ini Abdul Rahman dan Abdullah menyertai pertandingan hafazan Al-Quran yang diadakan oleh Persatuan Tahfiz Al-Quran Negeri Kedah (PETANDA) di Maahad Tahfiz INTAN, Sungai Petani, Kedah.


Abdullah masuk kategori 10 juzuk dan Abdul Rahman masuk kategori 30 juzuk.




Kami cuba merancang untuk dapat ambil mereka berdua selepas tamat musabaqah. Dan untuk plan B , jika baba tak sempat nak ambil kerana ada kuliah di Penang, kami ajar mereka untuk naik Grab.


Abdul Rahman dah berusia 16 tahun dan Abdullah 14 tahun. Insya Allah sudah sampai usia untuk boleh berdikari di samping kami pesan selalu untuk sentiasa telefon baba sebelum dan ketika naik Grab sebagai langkah keselamatan.


Anak-anak tak mempunyai handphone. Jadi mereka pinjam handphone mama.



Alhamdulillah satu pelajaran baru dalam hidup mereka menuju dewasa. Pelajaran untuk berdikari di samping pengalaman dan pelajaran dari musabaqah agar lebih bersemangat untuk menuntut ilmu dan mengulang hafazan Al-Quran, insyaallah.


Alhamdulillah satu kebahagiaan bila anak-anak balik dan bercerita tentang pengalaman mereka.


Semoga anak-anak terus maju, cemerlang dunia dan akhirat. Amin.

Friday, June 20, 2025

Apa yang mama impikan.

 

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 22/12/22


"Mama, kenapa kami tak boleh ada handphone, tak boleh keluar naik motor? Kenapa kami kena minta izin bila nak keluar?Kawan-kawan lain boleh je." Tanya salah seorang anak remaja kami selepas Maghrib.


" Sebab hampa anak mama. Manusia ni nak rosak mudah saja. Bukan mama nak mengongkong, tapi nak jaga hampa." Walaupun banyak perkara yang masih terbuku dalam hati, tapi itulah yang mampu dijawab.







Banyak perkara lain yang mama doakan , mama luahkan dan panjatkan kepada Allah.


Anak remaja mula mencari kehidupan remaja mereka. Jika tidak dibimbing, rugilah usia remaja mereka. Bimbinglah mereka agar usia remaja mereka cemerlang, bermanfaat buat agama dan masyarakat.


Mama tak ada apa-apa lagi keinginan untuk dunia. Semuanya dah cukup untuk mama. 



Yang selalu mama ulang-ulangkan sepenuh hati biarlah anak-anak ini cemerlang dalam ilmu, akhlak, agama, menjadi ikutan golongan yang bertaqwa, berjaya dunia dan akhirat.


Amin.

Wednesday, June 18, 2025

Apakah ibadah rahsia yang sheikh lakukan?

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 20/12/22


Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Sa'id Al Kamali:

"Apakah ibadah rahsia yang sheikh lakukan, yang hanya Allah sahaja yang tahu? (supaya dapat dicontohi)"


Jawab Sheikh: 

"Jika saya beritahu, ia tidak lagi menjadi ibadah rahsia antara aku dan Allah."


"Jika begitu, bolehkah sheikh beritahu secara umum?."


Petikan video tersebut boleh ditonton di sini:



Kata Sheikh: 

"Tiada amalan yang lebih mulia daripada kamu BENAR-BENAR IKHLAS dalam perkara yang kamu fikir kamu sudah ikhlas."


اللهم اجعلنا من المخلصين.

Monday, June 16, 2025

Bila anak minta hotspot

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 18/12/22


👦🏻: Mama nak hotspot sikit, boleh?. Nak main game bola.


🧕🏻: Ahmad hafal 3 baris Surah Al Qamar, kalau lancar tasmik dengan mama, mama bagi hotspot 10 minit.




*Begitulah juga masa abang-abang kecil, kalau nak sesuatu, perlu usaha dan lakukan sesuatu untuk dapatkannya.

Saturday, June 14, 2025

MENGHAYATI SIRAH NABI S.A.W


بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 18/12/22


Petikan video yang sangat menyentuh hati Asy Syahid Sheikh Saied Ramadhan Al Buthi ini sentiasa saya ingati.


Kisahnya ialah suasana selepas Perang Hunain.


Pembahagian harta ghanimah Perang Hunain menimbulkan keluhan dalam kalangan Ansar kerana tidak dapat ghanimah.


Rasulullah SAW bersabda: "Adakah kamu tidak redha, biarlah orang lain pulang ke kampung mereka dengan membawa unta dan kambing, adapun kamu membawa Rasulullah pulang bersama kamu?"




Mendengarkannya, mereka menangis sehingga basah janggut dan berkata: "Kami redha dengan Rasulullah menjadi bahagian kami."


صلى الله عليه وعلى آله وصحبه وسلم

Thursday, June 12, 2025

Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam dalam kenangan. Al Faatihah

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 18/12/22


"Baba tak mau tulis buku pasal Al Marhum Sheikh Fahmi macam ni ke?"


Baba diam. Merenung jauh.


Al Marhum Sheikh banyak memberikan sokongan dan nasihat pada awal penubuhan Maahad Al Iman Li Ulumil Quran.


Walaupun dalam keadaan Maahad Al Iman yang serba kekurangan, berulang kali Al Marhum Sheikh Fahmi meluangkan masa untuk berehat di rumah tamu Maahad Al Iman jika terdapat kuliah di sekitar Kuala Ketil/ Baling.



"Sheikh tak mau tinggal di homestay yang kami sediakan. Sheikh nak berehat di rumah tamu di Maahad Al Iman. Kata Sheikh nak duduk dekat dengan anak muridnya." Kata ustaz yang menguruskan kuliah Sheikh pada hari tersebut.


Semoga kita dapat meneruskan perjuangan para nabi dan guru-guru kita yang terdahulu dan menyiapkan generasi pelapis. Amin.


رحمة الله عليه وأسكنه الله فسيح جناته

Tuesday, June 10, 2025

Jambatan Pelangi, Kuala Perlis 2022

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 17/12/22


Menaiki Jambatan Tuanku Syed Putra/ Jambatan Pelangi yang menghubungkan ke Kampung Pelangi, Kuala Perlis. Tapi tak turun pun kat Kampung Pelangi sebab hujan lebat.



Sebelum itu, baba mengenang memori bersama Arwah Cik Nan (Al Fatihah) yang selalu bawa mereka adik-beradik makan laksa Kuala Perlis di situ ketika kanak-kanak dulu. 


Kata baba: " Rasa laksa sama macam dulu."

Sunday, June 8, 2025

Nilai padang pasir bagi orang Malaysia

بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 17/12/22


 Kenangan umrah 3 tahun lalu.


Pulang dari Badar, melalui kawasan padang pasir. Bagi kita yang tak pernah melihat padang pasir, terasa indahnya. Bukan setakat rasa nak pegang pasir, malah kalau boleh nak sand skiing.


"Kita berhenti sat 5 minit boleh tak?." Cadang jemaah 


"Kamu nak buat apa? Bukan ada apa pun. Pasir sahaja." Balas pemandu bas.



Teringat bila kita gelakkan pekerja Myanmar/ Bangladesh yang bergambar di roundabout Desa Bidara. Begitulah agaknya peliknya driver bas melihat Orang Malaysia beria-ia bergambar di tepi jalan padang pasir.😅


Nak buat camna, tak ada kat Malaysia 😅

Friday, June 6, 2025

Kelebihan tanda kejayaan?

 بسم الله الرحمن الرحيم

Entri ini ditulis pada 14/12/22


Duhai diri

Ingatlah kamu

Kelebihan adalah UJIAN

Kamu syukur atau kufur


Kelebihan tak menjanjikan kejayaan

Jika hati ujub takabbur



Kelebihan itu milik Allah

Allah yang Maha Memberi

Bukan milikmu

Wednesday, June 4, 2025

KESALNYA bila lupa

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 16/12/22


Contoh kesukaran untuk mengingati nama dan watak dalam Sirah.


- Baru beberapa bulan lepas ajar Banat tafsir ayat tentang 3 sahabat yang tidak pergi perang (Tabuk/Ahzab?), lani dah keliru nama dah.🧠


- Keliru nama Hatib bin Abi Balta'ah dan Huyay bin Ahtab. Jika Hatib penyebab turun Surah Al Mumtahnah, siapa pula Huyay?💭



- Keliru yang bersama Nabi SAW, ketika dihalang menunaikan umrah: Ummu Salamah atau Ummu Habibah?💬


Begitulah KESALNYA bila LUPA perkara yang pernah belajar dan baca☹️. 


Walaupun semua boleh diGoogle, tapi lain kepuasannya bila menggunakan kekuatan minda berbanding bergantung dengan Google.

Monday, June 2, 2025

Usaha untuk mendalami Sirah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat.

 بسم الله الرحمن الرحيم


Entri ini ditulis pada 15/12/22


Seriously, saya SUKAR untuk ingat nama dan peranan individu dalam sejarah/ Sirah. Cuba baca semula buku MADINAH TAKKAN REBAH.



Kali ini cuba cari kisah lain di sebalik NAMA dan bandingkan kisah dengan teks Arab, untuk gambaran yang lebih menyeluruh dan lebih faham.


Contohnya kisah Salim bin 'Ubaid mencari Sayyidina Abu Bakar di Sunh sejurus selepas kewafatan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.




Semoga kita dapat faham Sirah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabat.

Sunday, June 1, 2025

SALING MENGINGATKAN.

 

بسم الله الرحمن الرحيم 


10 hari kebesaran,

10 awal Zulhijjah,

berbaki separuh.


Tak mampu puasa, bersedekah.


Tak mampu sedekah, banyakkan baca Al Quran.



Yang pasti insyaallah semua kita mampu BANYAKKAN ZIKIR.


Moga kita tak terlepas dari dapat GANJARAN HARI-HARI YANG MULIA INI.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...