Kalau tak silap, buku ini adalah hadiah khatam Al-Quran anak-anak daripada ustaz/ah.
Kisah-kisah berpandukan Al Quran/hadis (disertakan takhrij). Menambah ilmu baharu pada kisah yang tak tahu dan ulangkaji semula pada kisah yang pernah tahu.
Sungguh nikmat kesihatan adalah satu nikmat yang amat besar. Amat terasa bila kehilangannya.
Ketika sihat banyak rutin harian, ibadah, kewajipan yang boleh dilakukan.
Untuk terbaring sahaja beberapa hari ketika tidak sihat juga adalah satu perkara yang tidak seronok dan membosankan.
Teringat kata-kata seorang rakan Arab:
البركة في الحركة
Al barakah fil Harakah
Keberkatan itu ada pada pergerakan (buat kerja).
Seronok apabila dapat melakukan perkara yang bermanfaat. Mengemas rumah, mengajar anak-anak, atau apa sahaja perkara yang bermanfaat selain hanya terbaring berhari-hari.
Sungguh ketika sakit amat mengingatkan kita kepada kematian.
Takut sangat dengan sakit dan takut juga untuk masuk hospital.
Dengar cerita kena tunggu lama di hospital sebelum masuk wad dan macam-macam cerita lagi di hospital membuatkan diri trauma dengan hospital.
Moga Allah pelihara kita semua dan beri kesihatan kepada kita semua.
Bila anak remaja, mereka bukan lagi kanak-kanak yang 100% depan mata kita. Doa dan nasihat makin menggunung. Moga Allah pelihara sentiasa dan jauhkan dari maksiat.
Nasihat selalu agar jaga keselamatan diri baik-baik, Allah bagi nyawa 1 saja, baca doa banyak-banyak, jaga solat, jangan balik lambat, jangan buat perkara haram.
Alhamdulillah tok, wan, saudara mara, guru-guru pun banyak nasihatkan. Moga sentiasa menjadi bekalan diri.
Jika bersua dengan anak-anak remaja ini, nasihatilah mereka sebaiknya, moga tak leka dengan dunia remaja, banyak lagi ilmu perlu diterokai dengan bersungguh. Berseronok seadanya, jangan hingga lupakan Allah.
Untuk membiasakan anak-anak menjaga hafazan Al-Quran:
1. Cuba untuk patuhi jadual ulangan hafazan SEBAIKNYA.
2. Semak hafazan anak-anak tanpa jemu. Tak cukup sekadar tanya: "Dah buat murajaah ke belum ?"
3. Doakan moga Allah buka hati mereka untuk mudah ingat hafazan, diberikan keikhlasan, kecintaan terhadap Al-Quran dan terus bersemangat mendalami ilmu Al Quran.
4. Tiada perkara yang mudah melainkan Allah yang permudahkan. Doa banyak-banyak. PERJUANGAN kita bersama Al Quran sepanjang hayat. Masih banyak lagi kekurangan. Moga Allah permudahkan dan lihat USAHA kita semua. Amin.
Anak sulung beraya dengan kawan. Anak bongsu pergi beraya dengan mama cik, berjanji dari kelmarin.
Tinggal anak tengah ikut mama baba pi beraya sesi petang.
Dalam nikmat keriangan berhari raya, Allah tunjukkan beberapa HIKMAH untuk DIRENUNGI.
Melihat air mata warga emas menghargai nikmat KEMAMPUAN beribadah di bulan Ramadhan, mengharapkan penerimaan Allah. Sedar bahawa masih ada peluang lagikah untuk Ramadhan hadapan?
Melihat juga air mata sebak warga emas tanpa dapat faham isi hatinya. Mungkin ada rahsia yang terbuku, mungkin juga air mata kegembiraan.
Dan terus merenung ERTI HIDUP YANG HAKIKI. Mengharapkan kesabaran menjadi khaira ummah.
Selamat hari raya Aidilfitri semua. Mohon maaf jika ada terkasar bahasa, salah silap. Jangan simpan dalam hati.
Besar pengharapan kita moga Allah ampunkan dosa-dosa kita, terima segala amal ibadat kita sepanjang Ramadhan dan sepanjang hayat.
"Cakap kt adik kalah org x ingat, org ingat yg menang je 😂."
Hakikatnya menang dan kalah lumrah kehidupan menguji adakah kita bersyukur, redha, sabar bila menang atau kalah.
Kemenangan pasti menjadi kenangan dan memori indah untuk masa hadapan. Kekalahan pula menjadi panduan, pedoman dan renungan untuk masa hadapan, insyaallah.
Penat, resah, runsing, rasa serba salah, sedih, kesepian, rasa serba kekurangan, stress mungkin ada dalam diri mereka yang bergelar ibu.
Buku yang ringkas tapi penuh emosi, memberi MOTIVASI untuk menguatkan diri insan yang bernama IBU, agar terus membentuk anak-anak dengan sebaiknya. Ubati hati, tingkatkan motivasi.
Kehidupan kita bukan BERTERUSAN riang ceria, itu di SYURGA nanti.
Dalam tenang, datang ujian sakit, sedih, kecewa, resah, gelisah.
Cubalah untuk tidak berlama-lama melayan perasaan. Zaman sekarang ramai mudah depresi. BAHAYA.
Pujuk hati. Ingat nikmat yang pernah ALLAH berikan,yang ketika itu kita rasakan kitalah manusia paling BAHAGIA.
Ujian akan pergi, yang tinggal ialah HIKMAH/ PELAJARAN untuk kita.
(( Oleh itu, maka (tetapkanlah KEPERCAYAANMU) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.)) Surah Asy Syarh.
Ujian dalam hidup ibarat LATIHAN PRAKTIKAL selepas mendapat INFO TEORI.
Tahu secara TEORI tentang kesabaran, kelebihan ibadat, berbakti, berbaik sangka dan banyak lagi.
PRAKTIKALNYA mampukah bersabar, berbaik sangka, terus beribadat, berbakti ketika DIUJI?
Isi pada minit 3:15 menerangkan tentang topik ini
Begitulah dengan perkara lain. TAHU dan akan DIUJI dengan TAHU. Ujian kesedihan, pemergian insan tersayang, kesihatan, keluarga, harta, hati, anak-anak dan banyak lagi.
Kecewa apabila kita berbuat baik dengan orang, tapi dikhianati. Atau itu hanya pada sangkaan buruk kita☹️.
Apa-apapun, antara ayat memujuk hati ialah:
الدنيا دار العمل ليس دار الجزاء
Dunia ini adalah tempat beramal, bukan tempat terima pembalasan.
Ikhlaslah dalam memberi walau dibalas dengan sebaliknya. Di situlah mahalnya keikhlasan. Ketika disakiti.
Mengubati hati dengan kuliah ini:
Alhamdulillah.
Juga ingatlah firman Allah subhanahu wata'ala di dalam Surah Al Insan:
"Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,
Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut".(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati):
Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).
Ketika membaca ebook Projek Muhammad, terdetik dalam hati:
Ada yang dicukupkan rezeki, tapi diuji pada kesihatan, anak-anak, pasangan hidup, tanggungjawab, amanah, keluarga dan lain-lain.
Walaupun tidak terlihat secara zahir, hakikatnya seluruh kehidupan manusia ADALAH UJIAN.
((Demi sesungguhnya Kami akan MENGUJI kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah KHABAR GEMBIRA kepada orang-orang yang SABAR.)) al-Baqarah: 155