بسم الله الرحمن الرحيم
Ketika membaca buku ini pada cerita penulis tentang kesukaran untuk memahami pelajaran di universiti di Perancis kerana belum agak mahir dengan bahasa tersebut, saya teringatkan begitu jugalah pengalaman saya ketika belajar di tahun 1 kuliah dakwah, di Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro, Damsyik hampir 16 tahun lalu.
Saya juga melalui liku-liku pengalaman hampir sama seperti penulis.
Walaupun sudah melalui 1 tahun di diploma (khas untuk pelajar bukan arab), namun suasana dalam kuliah berbeza dengan suasana ketika diploma bahasa.
Di kuliah, majoriti adalah orang Arab, sebaliknya di diploma 100% orang bukan arab.
Pensyarah di diploma menggunakan bahasa arab fus ha (Bahasa Arab baku), manakala di kuliah ada pensyarah yang menggunakan Bahasa 'Ammi (bahasa Arab pasar).
Mereka bertutur dengan laju sehinggakan saya rasakan apa pun saya tak dapat faham dalam kelas tahun 1.
Usaha digandakan. Mengulangkaji bersama rakan-rakan di asrama, buat study group, bertanya kepada warden asrama.
Sungguh saya rasakan memang perlu usaha yang kuat untuk tahun 1.
Lebih-lebih lagi ketika itu saya baru berusia 17 tahun. Antara pelajar yang termuda dalam kuliah tahun 1.
Berbanding kakak-kakak yang lain yang sudah habis pengajian dan mendapat syahadah Thanawi agama, mereka sudah ada pengalaman mempelajari subjek di kuliah. Saya pula banyak pelajaran yang belum pernah saya lalui seperti Tarikh Tasyrik, Subjek-subjek Balaghah, Ilmu Nafs (Psikologi), Ilmu Ijtimak (Ilmu kemasyarakatan), ia sungguh membebankan.
Sungguh seperti penulis buku ini juga, saya rasakan saya pelajar yang terbodoh dan banyak yang saya tak tahu ketika itu.
Diselubungi rasa rendah diri, sedih dan putus asa sehingga menangis-nangis, cuba juga untuk masuk peperiksaan.
Tekanan untuk peperiksaan juga amat kuat sehingga ada rakan-rakan yang menangis di luar dewan sebelum peperiksaan kerana takutkan peperiksaan.
Malahan tekanan pelajaran di kuliah tahun 1 juga membuatkan ada rakan-rakan yang menyerah diri dan mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia.
Mungkin berkat doa dari mak abah, saya yang dikira terbodoh dalam kuliah tersebut dapat lulus semua subjek tanpa ulang periksa. Berbanding rakan-rakan yang lain hatta orang Arab pun ada yang mengulang exam atau mengulang semula tahun 1 kerana sistem kuliah kalau gagal walaupun 1 subjek di peperiksaan ulangan, perlu ulang semula tahun tersebut.
Syukur dipanjatkan kepada Ilahi kerana mengurniakan semangat untuk terus menuntut ilmu.
Saya hanyalah hamba Allah yang tidak punya apa-apa tanpa anugerah dariNya.
Tahun-tahun selepasnya, pelajaran menjadi agak mudah.
Alhamdulillah.
Pelajaran yang saya dapat dalam pengalaman hidup dalam kisah ini:
1. Jika kita tidak pandai, tidak kuat, janganlah mudah berputus asa. Teruskan usaha. Insyaallah Allah akan membantu hambaNya yang mengharap dariNya.
2. Jika kita pandai dan kuat, janganlah over confident, kufur nikmat, berlagak sombong. Gunakanlah anugerah Allah itu untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Semoga Allah sentiasa menunjukkan kita jalan yang lurus dan memberkati hidup kita semua. Amin
No comments:
Post a Comment