Monday, June 8, 2020

Kisah kasut hilang di Mekah dan Madinah

بسم الله الرحمن الرحيم 

Entri ini ditulis pada 14/12/2019

Walaupun sering mendengar cerita orang yang kehilangan kasut di Mekah dan Madinah  namun tidak pula saya terfikir untuk membawa kasut yang murah dan kasut lebih. 

Saya fikirkan insyaAllah saya dapat menjaga kasut dengan baik dengan membawanya dalam karung kasut. 

Namun seringkali juga risau di hati jika kehilangan kasut. 

Kali pertama kasut hilang ketika Abdullah,  baba dan Ahmad hendak keluar dari masjidil haram selepas solat subuh pada hari terakhir kami di Mekah. 

Mereka menunggu saya seperti biasa di pintu 89.

Kasut kami letakkan dalam beg bawah stroller Ahmad seperti biasa.

Abdullah dan baba mengeluarkan semua kasut dan mereka memakai kasut mereka. 

Mereka juga turut meletakkan kasut saya di atas lantai sambil menunggu saya datang dari tempat solat wanita dalam masjidil haram. 

Tak berapa saat,  kasut saya yang diletakkan di atas lantai terus ghaib. 


Mungkin ada orang tersepak. 

Bila saya tiba,  lihat kasut sudah tiada. 

Kesudahannya,  saya memakai selipar Abdullah, muat sahaja. 

Abdullah pula memakai selipar Ahmad Zaid yang sangat kecil. 

Suruh Abdullah naik atas stroller dengan Ahmad Zaid ,  dia tak mahu,  malu. 

Selepas sarapan,  saya turun ke kedai di bawah hotel dengan selipar hotel untuk membeli kasut dan kemudian mengerjakan tawaf widak selepas solat zohor. 

Sandal yang paling mudah ditemui berharga 60 riyal.  Beli sahaja memandangkan masa yang singkat nak solat zohor dan tawaf widak pula. 

Mujur ada beberapa selipar hotel. 

Sandal yang dibeli di Mekah dengan harga 60 riyal itu pula dipakai beberapa hari sahaja apabila hilang ketika letak di rak kasut di dalam masjid Nabawi selepas subuh ketika ingin masuk Raudhah. 


Letak di sini 

Saya tak mahu membawa banyak barang ke dalam Raudhah kerana khuatir tercicir kerana berhimpit-himpit, jadi saya tinggalkan  sandal tersebut di rak kasut sebelah dalam masjid nabawi. 

Ini adalah kali ke 4 saya masuk Raudhah. 

Hari-hari sebelum itu juga saya letakkan di rak kasut ini dan ia tidak hilang pun. 

Namun pada hari itu,  balik dari Raudhah tak jumpa dah sandal itu.  Malahan ramai orang yang letak kasut di rak kasut tersebut pun mengadu hilang. 

Siapa pula yang membuang kasut-kasut yang diletakkan di rak kasut. 

Padahal tidaklah lama sangat.  Dalam 2 jam sahaja. 

Saya menelefon suami yang sedang sarapan di dalam bilik hotel dan  minta bawakan selipar Abdullah ke gate 25.

Memandangkan hari masih pagi dan banyak kedai belum dibuka saya pakai dahulu selipar Abdullah. 

Tengahari sedikit, saya pakai selipar hotel semula dan beli selipar berharga 10 riyal dari kedai berhadapan Masjid Nabawi. 

Selipar 10 riyal

Ramai juga jemaah kami yang dapat pengalaman hilang kasut termasuk ibu mertua. 

Katanya lupa bahawa dia masuk dari pintu lain dan letakkan kasut di rak kasut di sana.  Dia keluar dari pintu lain dan pulang dengan stokin sahaja.  Bila ingat semula,  dia pergi mencari semula kasut, namun sudah tidak ada. Nasib baik mak bawa 2 kasut.

Jadi kesimpulannya,  bawa kasut yang murah sahaja untuk ke tanah suci. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...