بسم الله الرحمن الرحيم
Entri ini ditulis 12/6/22
Sepanjang ketiadaan baba di rumah, mama banyak mengemas rumah. Cuti seminggu rasa bagai sekelip mata cepatnya, masyaallah.
Pintu rumah sentiasa dikunci untuk keselamatan. Anak-anak sentiasa diingatkan untuk solat di masjid walaupun ketika cuti sekolah.
Mama wajibkan sehari paling minimum sekali mereka kena azan di masjid Maahad. Jadi mereka kena pergi awal untuk azan. Selain daripada itu mereka pergi solat berjemaah di masjid walaupun ada warga Maahad yang tinggal di kuarters sudah azan di masjid.
Mama sangat terkesan dengan ceramah Prof Kamil Ibrahim yang sentiasa menekankan solat berjemaah di masjid.
Hari kedua di Jordan (7/6/22- Selasa).
Baba merancang bersama rombongannya untuk masuk ke Syria hari ini pada jam 9 pagi (waktu Jordan) melalui sempadan Jordan-Syria.
Mama pula pagi tersebut gagahkan diri untuk memandu kereta ke rumah tokwan, bersarapan di rumah tokwan. Alhamdulillah selamat sampai dan balik.
Tokwan cerita bahawa tayar kereta tokwan pecah sebab terlanggar lubang di jalan di Desa Bidara. Rupanya lubang yang sama yang mama terlanggar semalam. Kuat bunyi jatuh. Alhamdulillah Allah selamatkan dan tayar kereta kami tak apa-apa. Kalau pecah, jenuh, sudahlah baba tak ada.
Di pihak baba, semuanya berjalan lancar hinggalah bila masuk Syria, di imigresen Syria, mereka bertanya nama baba dan mak baba, kemudian mereka tak benarkan masuk Syria.
Padahal rakan-rakan lain semuanya lepas masuk.
Ya Allah.
Luluh hati baba.
Rasa penat sangat.
Terus baba rasa nak balik Malaysia.
Abang Abbudey mula menangis:
"Baba, kita tunggulah dulu. Ikhtiar lagi. Abang nak masuk Syria."
Bersambung.....
No comments:
Post a Comment