بسم الله الرحمن الرحيم
Entri ini ditulis pada 21/7/2021
Membaca buku ini membuatkan rasa sayang untuk lelapkan mata selagi tidak habis membacanya hingga ke noktah terakhir.
Sebelum berbicara lebih lanjut tentang buku 'Seruan Lelaki Budiman, lebih baik kita fahamkan maksud perkataan 'Budiman' supaya dapat membetulkan sudut pandang kita terhadap buku ini.
Budiman bermaksud bijaksana dan tidak terfokus kepada romantisme terhadap kaum hawa sahaja.
Buku ini adalah himpunan tulisan dan kajian tentang kehidupan dan karya Hamka.
Setiap dari penulis mengkaji aspek yang berbeza yang membentuk diri Hamka menjadi seorang yang hebat.
Bukan sekadar hebat sebagai seorang penulis, pengkarya dan ulamak sahaja, malahan banyak sudut pandang yang baru yang dapat ditemui dalam buku ini.
Sebagai contoh dari sudut Hamka adalah seorang sejarawan dan pengembara.
Begitu juga ilmu baru yang saya perolehi bila membaca tentang peranan surau dalam membentuk diri Hamka menjadi seorang yang berdikari dan berani.
Apabila kita melihat perjalanan hidup Hamka, ia yang bermula sebagai seorang anak yang nakal, memberontak, ingkar dan enggan terhadap perintah ibu ayahnya, namun ia tidak berterusan begitu.
Siapa sangka beliau akhirnya begitu menyanjungi dan menjiwai permintaan ayahnya untuk menjadi seorang ulamak walaupun pada awalnya hatinya sangat tidak dapat menunaikan hasrat ayahnya.
Dari sudut ini, kita lihat bahawa janganlah kita terus menghukum kesudahan hidup seseorang dengan kejahatan yang dilakukan sekarang atau dahulu. Allah itulah yang memberi hidayah dan mengubah diri seseorang.
Malahan perubahan itu bukan terhad kepada dirinya sahaja, bahkan mengubah masyarakat menjangkau masa dan tempat, hatta sesudah pemergiannya.
Begitulah besarnya peranan Hamka.
Manfaat kehidupan dan karyanya menjangkau usianya. Walaupun jasad telah dikandung badan, namun kehidupan dan ilmunya terus dikaji, memberi inspirasi, teladan dan keinsafan buat masyarakat.
Membaca buku ini juga membuatkan saya teringatkan permintaan Nabi Ibrahim Alaihissalam di dalam Surah Ash Shuara', ayat 84:
Firman Allah Subhanahu wata'ala:
(وَٱجۡعَل لِّی لِسَانَ صِدۡقࣲ فِی ٱلۡـَٔاخِرِینَ)
[Surah Ash-Shu'ara 84]
Yang bermaksud:
"Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;"
Imam Ibnu Katsir dan Imam Al Qurtubi mentafsirkan bahawa ia bermaksud seseorang itu diingati dan disebut-sebut kebaikannya, menjadi contoh dan inspirasi kepada masyarakat.
Apabila menjadi ikutan kepada orang lain, pastilah akan memberatkan timbangan kebaikan pada hari badan dikandung tanah dan tak mampu melakukan sebarang kebaikan.
Betapa beruntungnya Hamka, menjadi ikutan dan inspirasi ramai walau berpuluh tahun telah pergi. Moga kita juga berpeluang menjadi seperti itu, insyaallah. Amin.
No comments:
Post a Comment