Tuesday, April 18, 2017

Pengalaman yang sama.

بسم الله الرحمن الرحيم


Apabila saya membaca helaian ini dari buku Travelog Tarbiah, memori terimbau kepada kenangan saya dan suami ketika di alam universiti di peringkat Degree dan Master.



Kisah yang ini.

Bila ramai yang mengatakan ia adalah mustahil,
tetapi Allah jadikan ia adalah
tidak mustahil.

Kesemuanya boleh di sisi Allah



Ketika awal kami memasuki Kuliah Dakwah di Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro (suami juga ceritakan perkara yang sama selepas kami berkahwin), ramai senior yang menggambarkan bahawa pembelajaran dan peperiksaan di sana sangat susah.


Ramai yang terpaksa mengulang tahun, mengulang peperiksaan dan belajar dengan begitu tekun sekali.


Malahan ada juga yang terpaksa pulang ke tanah air dan tidak dapat menghabiskan pengajian di Syria, ia amat menyedihkan.


Begitulah cerita oleh rata-rata senior.


Begitu juga ketika mula memasuki kelas Master di Kolej Universiti Insaniah di Alor Setar.


Ramai pelajar yang tidak mahu mendaftar masuk kelas Sheikh X pada semester tersebut.

Mereka bercerita bahawa subjek Sheikh X amat susah dan hanya 2 orang sahaja yang berjaya pada semester yang lepas.

Yang lebih teruk lagi markah mereka hanya dapat 5% sahaja dan sudah tentu kena ulang semula subjek tersebut pada semester-semester akan datang.


Mereka tidak mahu mendaftar kelas Sheikh X untuk semester tersebut dan mereka tahu Sheikh X akan habis kontrak dalam semester tersebut dan semester ini adalah semesternya yang terakhir. Mereka mengharapkan mereka akan berjaya apabila ada sheikh lain yang menggantikan Sheikh X.


Kami pula baru mendaftar untuk Master dan telah mendaftar bagi subjek Sheikh X.


Sungguh semester itu, tidak lebih dari 10 orang siswa sahaja yang mengambil subjek Sheikh X. Amat mengejutkan. 

Kelas yang kosong!

Kami juga termasuk siswa yang 10 orang yang masuk ke kelas tersebut.

Menghadiri kelas dari pagi hingga ke petang pada setiap Hari Sabtu.

Selepas subuh kami menaiki kereta bersama anak-anak dari Kuala Ketil ke A.Setar.

Perjalanan yang jaraknya membolehkan solat dijamak dan diqasarkan. Kemudian meninggalkan anak-anak di rumah rakan-rakan akhawat berhampiran KUIN dan terus ke KUIN.

Pada waktu petang, selesai kelas, baru kami ambil anak-anak dari rumah akhawat dan pulang semula ke Kuala Ketil dalam keadaan penat dan mengantuk. 

Sampai di Kuala Ketil, langit telahpun gelap. 

Begitulah sedikit susah payah kami dan anak-anak usahakan dalam menuntut ilmu.

Jika kelas pada Hari Ahad pula, selesai mengajar di sekolah di Sungai Petani (kerana Kedah tidak cuti pada Hari Ahad), kami dan anak-anak bersama-sama menuju ke KUIN di Alor Setar. Meninggalkan anak-anak bersama akhawat di rumah sewa sementara kami menghadiri kelas di KUIN.

Akhirnya...... Alhamdulillah kami berdua lulus dalam subjek Sheikh X dan semua subjek lain tanpa perlu mengulang semula walau satu subjek pun. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah.

Begitu juga ketika di Kuliah Dakwah Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro. Alhamdulillah Allah rezekikan kejayaan kepada kami berdua tanpa perlu sekalipun mengulang paper atau tahun walaupun kami telah mendirikan rumah tangga ketika itu.

Walaupun ada ketikanya saya amat kesedihan dan stress, merasakan bahawa saya akan gagal dalam peperiksaan pada tahun tersebut.

Hinggakan ia terbawa-bawa masuk dalam mimpi bahawa saya gagal peperiksaan walaupun lebih 13 tahun sudah saya meninggalkan Kuliah Dakwah dan kelas peringkat Master. Ia mimpi yang amat mengerikan Ya Rabb!

Mungkin apabila terlalu ramai yang bercerita perkara yang sama, jadi kita menggambarkan kita juga akan jadi begitu hingga termimpi-mimpi.

Alhamdulillah atas rezeki kejayaan yang Allah kurniakan walaupun di saat orang lain hatta diri kita sendiri merasakan ianya adalah mustahil.

Alhamdulillah !

Syukur kepadaMu Ya Rabb!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...