Wednesday, April 12, 2017

Terbeli buku yang sama dan memori lama.

بسم الله الرحمن الرحيم

Allah...

Adakalanya kita rasa seperti kita tidak pernah membaca sesuatu buku tersebut, namun apabila telah membelinya, menyelak beberapa helaian dan membaca beberapa mukasurat, baru perasan yang kita sudah memiliki buku tersebut.

Allah.....

Inilah yang terjadi kepada saya ketika membeli buku ini secara online di MPHonline. Setelah membaca sample buku secara online, saya merasakan bahawa saya tidak pernah membacanya, apabila mendapat buku ini di tangan barulah saya sedar bahawa saya sudah membaca buku ini. 

Rasanya sudah disedekahkan di perpustakaan sekolah.




Peristiwa ini mengingatkan saya kepada 2 peristiwa pada zaman kanak-kanak dulu.

Peristiwa pertama ketika datuk di Melaka menelefon abah memberitahu bahawa wawancara tentang keluarga kami ada keluar dalam akhbar XXX (serius saya lupa nama akhbar tersebut). 

Abah pun menelefon emak dan emak pun pergi ke kedai membeli akhbar tersebut.

Apabila abah pulang ke rumah, abah pun turut membeli akhbar tersebut.

Namun apabila kami menyelak-nyelak akhbar tersebut, tidak dijumpa pula berita tentang wawancara tersebut.

Abah menelefon datuk untuk meminta kepastian.

Rupa-rupanya wawancara itu terbit dalam akhbar XXX edisi Melaka sahaja dan tiada dalam akhbar XXX edisi Kuala Lumpur.

Untuk menghilangkan rasa bersalah membazir duit membeli akhbat tersebut, mak membaca berita-berita dalam akhbat tersebut.

Kami pun cuba untuk tidak membazir dengan membaca akhbar tersebut.

Begitu juga ketika saya terbeli buku Travelog Tarbiah ini untuk kali kedua. Saya memujuk hati membaca semula buku ini.

"InsyaAllah ada faedah yang akan diperolehi" Kata-kata memujuk hati sendiri.

Alhamdulillah ada faedah yang saya perolehi. InsyaAllah akan ditulis dalam entri blog yang akan datang.

Memori kedua pada zaman kanak-kanak yang ada kaitan dengan peristiwa ini adalah ketika saya mengoder buku dari katalog. 

Kalau tak silap dari syarikat Karangkraf. Zaman dulu manalah ada pembelian secara online. Jika ingin membayar, saya akan meminta cek dari mak dan membayar secara tunai kepada mak.

Ada satu kali, saya terbeli buku yang pernah saya miliki. Saya menghubungi syarikat dan memberitahu mereka bahawa saya sudah pernah memiliki buku tersebut. Mereka meminta saya pulangkan buku tersebut dengan pos dan pilih buku lain yang sama nilainya. 

Itulah yang saya lakukan ketika itu.

Namun kali ini, tak mahulah nak susah-susah hubungi atau emel syarikat MPHonline kerana tersilap buku. Leceh pula rasanya nak menghantar emel, pos buku pula walaupun harga buku ini RM29.

Biarkanlah.

Baca sahaja sekali lagi buku ini.

InsyaAllah ada hikmah di sana.


NOTA:
 Beberapa hari selepas saya menulis entri ini baru saya temui jawapannya, bahawa isi kandungan buku ini sama dengan Buku 'Jangan Berhenti Berlari' oleh penulis yang sama juga yang pernah saya baca dan kongsikan infonya 5 tahun lalu DI SINI

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...