Monday, August 27, 2018

Bila Allah bukakan jalan untuk mendidik anak-anak

بسم الله الرحمن الرحيم

Catatan ini ditulis pada sepertiga akhir malam Raya Aidiladha (22/8/2018)
Ketika Ahmad Zaid berusia 2 tahun 9 bulan

Mungkin ada ketikanya kita terasa bahawa anak-anak lambat prestasi mereka berbanding orang lain. Cubalah untuk tidak zahirkan perasaan itu pada orang lain.

Cubalah untuk tidak menghadkan prestasi anak-anak.

Hanya pohonlah kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar dia menjadikan anak-anak ini generasi yang terbaik dan ikutan bagi orang yang bertaqwa. Kerana bila Allah bukakan jalan dan mudahkan, tiada siapa yang dapat menghalang.

Begitu juga dengan mendidik anak-anak dengan Al-Quran sejak dari kecil.

Adakalanya terasa usaha ini tidak membuahkan hasil apabila tiada respon positif dari anak kecil. Bila mengajar,macam tidak faham sahaja, namun teruskanlah usaha dengan positif dan gembira. Bila Allah tunjukkan hasilnya, MasyaAllah.. Sungguh Allah itu Maha Penyayang.

Begitulah dengan Ahmad Zaid. Walaupun kami sudah berpengalaman mendidik dua orang abang-abangnya dengan Al-Quran sejak dari kecil, namun setiap anak pasti ada perbezaannya.

Tidak sekalipun terasa bahawa kejayaan anak-anak ini adalah kerana usaha kita sendiri. Jika bukan kerana kasih sayang Allah dan nikmat anugerah terindah daripadaNya, tidaklah mampu kami kecapi apa-apa.

Sungguh dia sentiasa dipanjatkan moga Allah memudahkan urusan mentarbiah anak-anak termasuk anak-anak di Maahad agar menjadi insan bertaqwa, bermanfaat kepada Agama dan masyarakat.

Alhamdulillah Ahmad Zaid kini agak mudah diajak membaca buku Alfurqan dan juga mengulangi surah-surah pendek walaupun dalam pelat-pelat.

Beberapa minggu yang lalu, selepas Ahmad Zaid sembuh dari demam, dia jadi rajin bercakap dan membina ayat-ayat yang panjang.

Audio Ahmad Zaid rajin sembang dan bina ayat panjang-panjang:


Peluang ini digunakan untuk mengajaknya menghafaz surah-surah pendek dan rajin membaca Alfurqan.

Malahan, saya perhatikan ketika Ahmad Zaid rajin bercakap, moodnya baik untuk membaca Alfurqan dan surah-surah pendek. Seronok sahaja dia membaca bersama kita.

Alhamdulillah syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang menghadirkan insan yang turut membantu untuk mengajarkan Ahmad Zaid menghafaz Al-Quran.

Audio Ahmad Zaid Hafaz Surah An-Nas dengan mama (makcik pengasuh di Neseri)



Ahmad Zaid rajin berzikir meniru acik neseri yang selalu berzikir:

Abang Abbudey pula sekarang dalam tempoh menghitung hari menghabiskan hafazan Juz terakhirnya. Semoga Allah permudahkan anak-anak dalam memuliakan Al-Quran.

Sungguh hari-hari kita dilalui dengan pelbagai kerisauan dan penat lelah, adukanlah kepada Allah. Tunjukkan kami jalan yang benar. Permudahkanlah kami semua untuk masuk ke syurga tanpa dihisab. Ya Rabb.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...