Sunday, August 12, 2018

Perkara yang tidak disukai namun ada hikmah tersembunyi

بسم الله الرحمن الرحيم

Di dunia ini ada perkara yang kita tidak suka lakukan, namun kita lakukan dengan keterpaksaan, namun setelah berlalunya beberapa ketika, barulah kita sedar bahawa perkara itu terdapat hikmah dan kebaikan yang tersembunyi.

Antara perkara-perkara ini adalah:

1- Menuntut ilmu di Syria.

Sejujurnya ketika awal-awal dahulu saya tidak mahu untuk ke Syria. Apabila abah tunjukkan dalam gambar dalam internet, Syria kelihatan tandus, kurang pokok. Menggerunkan!
Cita-cita saya biar belajar sampai UIA cukuplah.

Ditambah pula saya tak pernah tinggal di asrama. Tidak logik nak duduk jauh-jauh. Banyak perkara difikirkan. Macamana nak masak? Basuh baju? Bilik di asrama di sana elokkah?

Namun tidak pula membantah hasrat abah bila melihat kesungguhan abah membuat perancangan untuk kami adik beradik ke Syria.

Abah sendiri yang uruskan semuanya. Emel. Fax. Hinggakan abah 2 kali pergi ke Syria untuk melihat tempat dahulu.

Sekali tidak dapat masuk pun ke Syria atas beberapa masalah. Saya pun dah lupa, apa masalahnya. Mungkin visa kot...

Walaupun kesedihan berlinangan air mata ketika abah hantar dan ikut ke Syria, namun lama-kelamaan ia menjadi biasa. Sedih berkurangan dan dapat fokus pada pelajaran. Hikmahnya banyak pengalaman dan ilmu yang ditimba di sana.

Perkara kedua ialah menjadi guru besar dan kena berucap di khalayak ramai.

Ia adalah perkara yang amat berat untuk saya terima.

Bagi saya tanggungjawab dan amanah yang diberikan amat besar.

Saya juga amat gementar bila kena berucap dengan orang walaupun jauh di sudut hati ini amat mengkagumi orang yang mahir bertutur dan ingin menjadi seperti mereka.

Walaupun kedua perkara ini merimaskan bila terpaksa dilalui, namun hakikatnya setelah bertahun-tahun, ia memberikan banyak manfaat kepada diri saya sendiri.

Menjadi lebih prihatin dan lebih kuat menjalani kehidupan dengan cabaran-cabaran yang terpaksa ditempuhi.

Menjadi lebih mahir dan sensitif dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang ramai.

Begitulah. Banyak perkara yang kita tidak suka, namun hakikatnya ia baik untuk kita.

Perkara yang berharga itu hanya dapat dimiliki dengan berusaha bersungguh-sungguh dan berkorban.

Semoga Allah sentiasa menentukan yang terbaik untuk diri kita.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...