بسم الله الرحمن الرحيم
***Entri ini ditulis pada bulan 4/2018
Antara perkara yang selalu terfikir dan didoakan ialah semoga Allah melorongkan hati ini untuk mengajar anak-anak perkara yang bersesuaian dengan umurnya.
Seperti untuk usia sekarang (Abdullah 10 tahun dan Abdul Rahman 12 tahun) antara yang mula kami ajarkan dalam tahun ini ialah:
1. Bangkit awal, solat tahajjud dan witir.
2. Solat Subuh berjemaah di Masjid.
3. Membaca buku Bahasa Arab tanpa baris.
Tulisan dalam buku seperti ini |
4. Berlatih menjadi imam di masjid (Walaupun di sekolah ada giliran menjadi imam, namun apabila di masjid mereka masih merasa takut, maklumlah makmumnya orang yang lebih dewasa, kalau di sekolah, makmumnya kawan sebaya sahaja).
Dan seringkali saya terfikir bahawa usaha menuntut ilmu perlu lebih serius. Lebih-lebih lagi ketika membaca Kitab tentang Biografi Imam Al-Bukhari dan Imam AsySyafie.
Betapa mereka ini walaupun hidup sebagai yatim, tiada ayah, namun cemerlangnya mereka dalam menuntut sejak dari kecil (khatam Al-Quran di usia kecil, mampu menghafaz hadis dan banyak ilmu, cerdas mindanya) dan menyebarkan ilmu sehingga masih ada kesannya kepada kita walaupun mereka telah lama meninggalkan kita.
"Mama nak adik dan abang jadi macam Imam Al-Bukhari dan Imam AsySyafie tau. Tengok khatam Al-Quran banyak kali dalam Bulan Ramadhan, banyak hafal hadis, banyak ilmu, banyak manfaat kepada orang lain.." Suara hati dijelaskan kepada anak-anak setiap kali selepas mereka membaca buku biografi Imam Al-Bukhari. Begitulah betapa bersemangatnya rasa hati apabila membaca ketekunan dan kealiman para ulama.
Adakalanya terasa janggal juga apabila nak mula semula mengajar Ahmad Zaid yang kini hampir 3 tahun. Kerana telah lama meninggalkan alam Alif ba ta.
"Adik dengan abang kena tolong mama ajar Ahmad Zaid baca Al-Quran tau. Mama nak Ahmad pun pandai baca dan hafal Al-Quran macam adik dengan abang. Janji tau."
Sebenarnya janji-janji sebegini membuatkan diri lebih bersemangat dan lebih ingat untuk mengajar Ahmad Zaid mengenali Al-Quran.
Semoga Allah sentiasa mendorong kita menjadi orang yang cemerlang di dunia dan akhirat. Amin..
No comments:
Post a Comment