Tuesday, November 1, 2016

Sedutan Rakaman Ceramah Teknik Menghafaz Al-Quran Kanak-Kanak

بسم الله الرحمن الرحيم


Ini adalah sedutan rakaman ceramah teknik menghafaz Al-Quran bagi kanak-kanak yang diadakan di Sekolah Tahfiz Sains Annajihin di Kulim Kedah.

Ceramah diadakan sempena jemputan dari pihak sekolah pada 31 Julai 2016 yang lalu.







InsyaALLAH semoga ada manfaatnya kepada hadirin  dan semoga anda juga mendapat faedah dari sedutan video ini InsyaALLAH.

Amin....


Saturday, October 29, 2016

Perjalanan hidup dan menulis tesis.

بسم الله الرحمن الرحيم


***Catatan untuk menaikkan motivasi diri menamatkan PhD !

Perjalanan hidup dan tugasan menulis tesis yang belum selesai lagi.

Kalau diikutkan, setelah tamat master usuluddin beberapa tahun yang lalu, tugasan menulis tesis boleh ditamatkan.

Tidak perlu lagi dipeningkan kepala menulis tesis dan mengadap laptop berjam-jam.

Namun tercabar dengan pelawaan Dekan Usuluddin dan juga Penyelia untuk menyambung PhD pula.

Ditambah lagi dengan godaan rakan-rakan sekelas ketika Master yang ada yang sudah tamat PhD mereka.

Kelihatan seperti mudah sahaja.

Cepat sahaja mereka tamatkan PhD mereka.

Minda pada ketika itu mengatakan:
"Kalau mereka boleh, takkan aku tak boleh kan?"

Maka tugasan menulis tesis diteruskan.

Menghadap laptop berjam-jam.

Mencari bahan.

Menaip.

Jumpa penyelia.

Pembentangan.

Dipulangkan tesis untuk pembetulan.

Pembetulan.

Pembetulan lagi

Bentang lagi.

Betulkan lagi.

Mood suam-suam air suam.

Tak ada mood.

Tak tahu nak tulis apa.


Tak tahu nak mula dari mana.

Tak tahu bagaimana nak teruskan.


Begitulah situasinya bila ingin menyelesaikan tugasan.

Ditambah lagi apabila mendapat Ahmad Zaid, anak ketiga.

Baru on laptop, Zaid dah menangis.

Dibiarkan laptop begitu sahaja.

Tiba-tiba sahaja dah pukul 11 malam.

1 huruf pun tak ditaip!

Tesis jangan dibuat dalam keadaan serabut.

Nanti stress!

Sentiasa menanti masa yang sesuai untuk menulis.

Hari-hari pulang dari kerja (sekolah), sentiasa mengharap ada kekuatan untuk menulis tesis.

Tidak boleh juga nak menulis tesis bila rumah kotor, lantai melekit, baju tak berlipat, serabut otak! Biar semua selesai dan bersih, barulah kita fikirkan tentang tesis.

Menulis tesis tidak sama seperti menulis di facebook dan blog secara santai dan suka-suka.

Menulis tesis perlu fokus, fokus fokus!

Sekali hilang fokus, terus tak ada idea nak sambung tulis.


Bila ada masa, tiada mood dan idea pula.

Aduh!


Semuanya dilalui dengan bantuan Allah.

Pada  Allah sahaja dipanjatkan doa dan memohon bantuan.

Kata-kata semangat dari keluarga dan rakan-rakan dan peringatan agar terus menulis banyak memaksa diri.

MasyaALLAH.

Allah berikan pahala yang berganda untuk kalian.


1- Tesis kita tidak akan dapat selesai jika kita tidak melakukannya.

2- Tiada orang lain dapat membantu kita jika bukan kita sendiri yang menulisnya.

3- Godaan pasti akan tiba bila ingin menulis tesis.

4- "Tiada mood! " Itu perkara biasa.

Semoga semua ini menjadi jalan untuk menambahkan lagi ilmu di dalam dada dan menjadi pendorong kepada anak-anak untuk turut sama bersemangat menuntut ilmu juga pemberat timbangan hasanah dan pemudah jalan menuju syurga....

Perkenanlah Ya ALLAH....

Tuesday, October 25, 2016

Zaman kanak-kanak mereka akan berakhir tidak lama lagi

بسم الله الرحمن الرحيم

"Mama, boleh tak adik nak tuang semua mainan dalam kotak ni? Adik nak cari mainan binatang lagi" Abdullah meminta izin pada tengahari jumaat.

Pagi tadi baru sahaja selesai mengemas rumah dan mengemop satu rumah.

Apabila Ahmad Zaid sudah merangkak, kebersihan rumah perlu lebih dijaga rapi.

Mengingatkan yang anak-anak kini sudah makin membesar, sudah hampir ke penghujung usia kanak-kanak dan akan masuk ke alam remaja, tidak lama lagi mereka tidak akan mahu bermain permainan mereka. Kita pun tidak akan dapat lihat lagi mereka bermain. Nikmat dan memori  yang perlu kita hargai.

Teringat juga gelagat Abdullah ketika kecil yang cukup suka dengan permainan binatang dan robot. Mesti nak beli dan tambah koleksi.


Abang Abbudey dah 10 tahun, Abdullah pula dah 8 tahun. Zaman kanak-kanak mereka akan tamat dan menuju ke remaja.

Zaman kanak-kanak yang berbaki ini biarlah dinikmati dan kita pun dapat nikmati momen-momen tersebut.

Satu hari nanti, tak boleh dah nak tengok mereka bermain-main seperti ini. Hilang sudah suasana riang ria kanak-kanak di dalam rumah kami.

" Boleh, tapi nanti adik janji adik kutip semula mainan-mainan adik ya?"

Lihatlah video yang baba rakam ketika mereka seronok bermain.

Habis dituang permainan dalam kotak simpanan, dijadikan kotak tersebut sebagai kereta pula.

Ahmad Zaid pun tak lepas peluang untuk sertai sekali.

Tengoklah betapa ceria dan puasnya muka anak kecil yang tak sampai setahun lagi ini bermain dengan abang-abangnya.

Sampai terhantuk-hantuk pun masih ceria.

Pandai pula Abdullah menjaga Ahmad Zaid.

Abang Abbudey yang sulung melayan adik-adik dengan penuh seronok.

Sangat suka melihat reaksi Ahmad Zaid dipeluk dan dijaga oleh Abang Abdullah.


Begitu juga apabila saya melihat gambar-gambar lukisan yang dilukis oleh putera-putera Ummu Muhammad, saya rasa sangat seronok dan betapa beruntungnya Ummu Muhammad dapat menikmati karya mahal lukisan anak-anak setiap hari.

Karya jujur yang mahal.

Boleh disimpan sebagai memori indah di masa hadapan.

Zaman kanak-kanak mereka juga adalah memori indah untuk kita selaku ibu bapa.

Alhamdulillah.

Nikmat anugerah Allah!


Saturday, October 22, 2016

Info Buku: Rumah Sakit, Dia Mahu saya Menangis

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah ..pesanan buku (kulit tebal) Rumah Sakit, Dia Mahu Saya Menangis hasil karya Prof Muhd Kamil Ibrahim yang dioder khas dengan tandatangan penulis sampai ketika kami dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur pada Hari Khamis yang lalu.


Hasil Karya Prof kamil dan Isteri, Puan Roza punya aura dan aroma yang tersendiri yang banyak mengajak kepada ketuhanan.

Alhamdulillah.
Satu karya yang bagus.
Jalan cerita yang menarik.

Antara intipati buku ini:

1- Tiada perkara yang berlaku secara kebetulan, semuanya adalah dari kuasa Allah subahanahu wa taala

2- Tingkatkanlah amalan menuju mati.

3- Jalan cerita yang menarik tentang pengalaman penulis yang berulang kali ke hospital

4- Kepentingan solat jemaah.

5- Biarlah hasil tulisan seiring dengan amalan kita

6- Bersedialah untuk kematian dengan amal soleh.



Membaca buku Prof Kamil meningkatkan juga semangat untuk terus menulis.

Untungnya bila dapat jadi penulis yang berjaya. Hasil karya yang banyak menimbulkan kesedaran dalam diri pembaca.

MasyaALLAH

Tuesday, October 18, 2016

Perasaan Terhadap Al-Quran

بسم الله الرحمن الرحيم

Setiap manusia diciptakan oleh Allah dengan kelebihan yang tersendiri. Kelebihan itu sangat bersinar jika dihargai dan digilap. Cubalah untuk menghargai kelebihan yang ada pada diri orang lain dan ia pasti akan memberi manfaat kepada orang ramai.

Saya sering membaca post Facebook Puan Husna Haron dan sangat tertarik dengan post-post yang dikongsikan berkaitan pengalaman dan perasaan beliau terhadap Al-Quran.

Antaranya ialah post yang ini:


Adakala beberapa post yang ditulis amat berkesan di hati.

Sungguh.

Perasaan yang dituliskan di dalam post di atas sama dengan perasaan yang dialami apabila kita berkomunikasi dan tadabbur Al-Quran.

Seperti yang pernah saya tulis di sini:

Kerana itulah Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam menyeru kita supaya berkomunikasi dengan Al-Quran dan tadabbur maknanya.

Ini seperti yang terdapat di dalam hadith Rasululullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

عَنْ أَبي هُرَيْرَةَ يَرْوِيهِ يَقُولُ مَنْ قَرَأَ (وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ) فَقَرَأَ (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ) فَلْيَقُلْ: بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ.
) سنن الترمذى)

Diriwayatkan Abu Hurairah berkata:
Sesiapa yang membaca surat At Tiin kemudian membaca: (( alaisallahu biahkamil hakimin)) yang bermaksud: “Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya?" (QS. Attin 8), hendaklah dia menjawab: “balaa wa ana 'alaa dzalika minasy syaahidiin”  (benar, dan aku termasuk orang-orang yang bersaksi atas hal itu). (H.R. At-Tirmidzi)

Hadith ini adalah salah satu contoh tentang galakkan Rasululullah Sallallahu Alaihi Wasallam agar kita berkomunikasi dengan ayat Alquran semasa membacanya.


Saya juga kagum dengan usaha Puan Husna Haron yang tidak jemu dan tidak henti-henti menyeru orang agar tadabbur Al-Quran. Berkongsi cerita dan pengalaman bersama Al-Quran sehingga menjadikan orang ingin membuka tafsir dan berkomunikasi dengan Al-Quran.

Satu usaha yang baik.

Merasakan diri sangat dekat dengan Alquran dalam setiap ketika.

MasyaALLAH.

Semoga usaha ini dapat menjadikan dunia ini lebih indah, lebih aman dan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah dan diredhaiNya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...