Friday, June 30, 2017

Jangan pergi ke dapur!

بسم الله الرحمن الرحيم

Antara natijah yang akan diterima apabila anak-anak memasak sendiri di dapur ialah dapur akan kotor dan berselerak lebih teruk dari kita yang menggunakannya.

Walaupun ia menggeramkan, namun ia adalah satu proses pembelajaran yang mesti dilalui.

Peraturannya mudah sahaja:
"Selepas selesai menggunakan dapur, mesti bersihkan semula. Sinki kena bersih, dapur mesti berkilat dan lantai mesti dibasuh."

Jadi, itulah yang dilakukan oleh anak-anak selepas mereka menggunakan dapur.

Mereka pernah membuat masakan sendiri seperti yang ditulis dalan entri di bawah ini:



Sepanjang mereka menggunakan dapur, sebolehnya cuba untuk minimumkan masuk ke dapur kecuali untuk memastikan keselamatan anak-anak di dapur sekali sekala.

Kalau tidak, akan membebel panjanglah melihat keadaan dapur yang berselerakan.

Tepung di atas kabinet.

Sinki penuh dengan pinggan mangkuk dan peralatan masakan yang mereka gunakan.

Lantai yang basah dan kotor.

Tapi, semuanya mereka akan selesaikan selepas mereka sudah selesai memasak.

Dapur akan dilap.

Semua peralatan dalam sinki akan dibasuh dan disimpan semula.

Lantai akan dicuci dan dimop.

Walaupun adakalanya agak tidak bersih dan sempurna, namun cubalah untuk pejam sebelah mata. Mereka sudah berusaha membersihkannya sebaik mungkin.

Kita semua mempunyai memori tentang masakan dan makanan bersama keluarga ketika kecil dulu. 

Mak masak ketam masak merah dan pelbagai masakan yang sedap.
 Membuat kuih raya bersama saudara di kampung. Membuat pelbagai masakan kegemaran kita.

Biarlah anak-anak mencipta pula memori indah mereka untuk dikenang dan diingati ketika dewasa nanti.

Semoga Allah redha.

Tuesday, June 27, 2017

Jadual hafazan anak di rumah

بسم الله الرحمن الرحيم


Antara soalan yang seringkali diterima ialah:
"Bagaimana menyusun jadual harian dan hafazan anak di rumah?"

Sebenarnya menyusun jadual hafazan dan harian anak di rumah berbeza dari tahun dan umur.

Malahan apabila hafazan mereka kian bertambah pun, jadual hafazan dan harian di rumah juga berbeza.

Alhamdulillah, syukur dengan adanya blog ini perkembangan anak-anak dan perubahan jadual harian dan hafazan mereka ada dicatatkan dalam blog ini.
Berikut adalah entri yang terdapat maklumat tentang jadual anak-anak:

1. Ketika anak-anak masih kecil, mendidik mereka mula mengenal dan menghafaz Alquran, ini jadualnya:

2. Ketika anak-anak baru mula dengan alam persekolahan, inilah jadualnya:

3. Ketika cuti sekolah:

4. Sekarang:

Jadual ini berubah-rubah mengikut suasana persekitaran anak-anak, masa pembelajaran dan juga bilangan hafazan.

Masa bermain tetap ada agar tetap gembira

Untuk sekarang, hafazan anak-anak sudah semakin banyak.

Abdul Rahman 21 juz

Abdullah 12 juz.

Banyak difokus kepada ulangan hafazan agar ia lekat kukuh di dalam dada.

Mereka mengulang 20 mukasurat hafazan lama setiap hari.

Tambahan hafazan baru pula hanya 5 baris setiap hari.

Semoga perkongsian ini mempunyai manfaat kepada masyarakat.

Amin.

Saturday, June 24, 2017

Gambaran anak-anak di masa hadapan

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam perjalanan ke kenduri di Kodiang.

"Agak-agaknya, nanti bila kami besaq nanti, muka kami macam mama ke macam baba?" Abdullah memulakan topik baru.

"Abang rasa mesti muka kita macam baba bila dah besaq nanti." Abang Abbudey menjawab.

"Mama selalu bayangkan nanti bila anak-anak dah besaq, jadi orang berilmu, banyak ilmu agama, tapi tak sombong takabbur. Bagi kuliah serata dunia, Qatar, Kuwait...... tapi tak bermegah-megah. Berakhlak mulia. berpendidikan tinggi. Bertaqwa. Jujur. Tawadhuk. Jauh dari fitnah. Tidak leka dengan urusan dunia.."

Itulah gambaran yang sering dibayangkan.

"Berhujjah dengan AL-Quran dan hadis dan bukan dengan logik akal sahaja." Abdullah menambah dengan muka penuh keyakinan. Sebenarnya dia mengulang semula ayat yang disebut oleh baba dalam kuliah Maghrib semalam. Memang dia seronok mengulang ayat itu berkali-kali sejak pulang dari Kuliah Maghrib semalam.

Kami ketawa kerana gaya Abdullah yang kelakar itu


Tajuk ini juga seperti kiriman emel dari Puan Lina Karim yang diterima beberapa hari yang lalu:


"Tajuk kita kali ini adalah "Cuba bayangkan anak kita dalam keadaan mereka sudah dewasa". Pejam mata... cuba bayangkan. Boleh? Cuba bayangkan bentuk fizikalnya - rupa parasnya, ketinggiannya, senyumnya. Juga cuba bayangkan apa keadaannya, lepasan ijazah, master, pusat tahfiz? Apa kerjayanya?
 
Ramai ibu yang punya dilema bagaimana mahu membayangkan. Lebih-lebih lagi, jika ketika ini usaha yang dicurahkan dalam membentuk dan mendidik anak tidaklah seberapa. Akan rasa bersalah mahu membayangkan yang indah-indah. Semua ibubapa pasti, mahu anak mereka berjaya dunia dan akhirat, tetapi tidak pasti bagaimanakah caranya. 
 
Kadang-kadang, apa yang kita perlu adalah perkongsian orang lain dalam membesarkan anak mereka. Bagaimana mereka mengharungi liku-liku kehidupan tetapi masih mampu mendidik anak mereka. Kadang-kadang, dengan hanya mendengar cerita orang lain ....ia akan memberi idea dan inspirasi. Dengan hanya mendengar cerita orang lain ...ia akan memberi semangat dan motivasi untuk memulakan sesuatu pada anak-anak kita. Bukankah tujuan kita semua sama? Iaitu anak berjaya dunia akhirat.

Ada ibu yang telah melalui semuanya. Kesemua anaknya adalah penghafaz al Quran dan juga bekerjaya hebat. Apa rahsianya?   
 
Itulah tujuan saya mengadakan Quranic Masterplan dengan 3 orang ibu bercerita tentang cara

1. menyusun perancangan pendidikan anak mereka
2. mengurus anak dan diri sendiri dalam kesibukkan mendidik 
3. Memberi ilmu dunia dalam masa yang sama fokus pada dunia akhirat.
4. Apakah cabaran atau halangan dari keluarga dan masyarakat
5. Halangan ibu bekerjaya dalam mendidik anak dan lain-lain"


Allah tunjukkanlah kami jalan yang benar.

Amin.

Friday, June 23, 2017

Ramadhan 1438H yang indah

بسم الله الرحمن الرحيم

Ramadhan kini berbaki 2 hari sahaja lagi.

MasyaALLAH.. Ramadhan kali ini banyak bezanya.

Antara beza paling ketara ialah Solat Terawih dengan kehadiran Ahmad Zaid.

Rasanya macam lama sangat tak pergi Solat Terawih di masjid.

Tahun lepas Ahmad Zaid masih bayi sangat. Tak sampai 1 tahun. Tak sesuai untuk dibawa menunaikan Solat Terawih di Masjid.

Tahun sebelumnya, keletihan mengandung ditambah dengan tugasan kerja sekolah anak-anak, jadi jarang dapat menunaikan Solat Terawih di Masjid.

Ramadhan tahun ni Ahmad Zaid dah 1 tahun 7 bulan. 

Kami cuba-cuba untuk bawa Ahmad Zaid sama-sama menunaikan Solat Terawih di Masjid.

Walaupun sudah selalu membawa Ahmad Zaid ke masjid untuk Solat Fardhu dan Kuliah Maghrib, namun tempoh untuk Solat Terawih beserta dengan tazkirah agak lama. Selalunya habis pukul 10.30 malam. 

Suka sangatlah Ahmad Zaid kalau dipakaikan begini
dan dibawa ke masjid

Ditambah lagi ketika kita sedang solat, pergerakan kita terhad untuk memujuk anak-anak berbanding jika sedang mendengar tazkirah.


Balik rumah, makan minum, khidmat diri...akhirnya hampir pukul 1 barulah bertemu dengan bantal. Moga ia dikira sebagai ibadah Ramadhan jua


Alhamdulillah hampir setiap malam kami sekeluarga bersama-sama menunaikan Solat Terawih di Masjid yang berbeza-beza sekitar Kedah, Perak dan Penang mengikut jadual terawih dan tazkirah baba.

Alhamdulillah Ahmad Zaid dijaga oleh abang-abangnya sepanjang tempoh solat. 

Setiap hari Ahmad Zaid selalu ikut baba dan abang-abang menunaikan Solat Fardhu di masjid, jadi dia dan abang-abang sudah pandai menyesuaikan diri solat bersama-sama.

Abang-abang pun sudah pandai menjaga adik ketika solat sehingga mendapat pujian makcik-makcik yang solat di sof belakang.

"Pandainyalah abang mengasuh adik.."


Abang-abang akan hantar Ahmad Zaid kepada mama apabila mula tazkirah selepas solat witir.

Seperti biasa kami akan bawa 1 beg khas untuk Ahmad Zaid persediaan untuk Solat Terawih.

Barang-barang yang ada dalam beg tersebut ialah:
- Kopiah Ahmad Zaid
- Sejadah kecil khas untuk Ahmad Zaid
- Sedikit makanan
- Air
-Permainan
-Pampers
-Tuala
-Baju salin
- Pensil warna
- Buku


Kesemuanya adalah barang kesukaan Ahmad Zaid.

Ahmad Zaid suka menulis di buku. Sampai baring-baring dia menulis di masjid.

Kegemaran Ahmad Zaid sekarang
Di mana-mana sahaja dia mencari pen dan kertas untuk menulis

Adakalanya tak jumpa kertas, dinding rumah pun jadi.
Aduh!

Kerana lama rasanya tidak berterawih di masjid, rasa agak terkejut dan takjub dengan bilangan jemaah terawih lelaki dan wanita yang sangat ramai hingga penuh masjid dan hingga ada yang terpaksa solat di luar.

Ingatkan hanya pada awal Ramadhan sahaja begitu, Alhamdulillah hingga akhir Ramadhan begitulah keadaan kebanyakan masjid yang kami pergi.

Alhamdulillah.

Ramai orang di masjid pada akhir Ramadhan kerana kebanyakan masjid membuat majlis khatam tadarus Al-Quran.

Walaupun Terawih boleh ditunaikan di rumah, namun saya merasakan kenikmatan dan kesyahduan Solat Terawih berjemaah di masjid tidak sama dengan solat sendirian di rumah. 

Moga ada keberkatannya, Amin.

Terawih hanya ada pada Bulan Ramadhan sahaja. 
Moga kita dapat keberkatannya.

Berkatilah Ramadhan kami dan temuikanlah kami dengan Malam Al-Qadr.

Moga kita menjadi hambaNya yang ikhlas.

Ya Rabb.



Abang-abang membantu mengasuh dan mendidik adik.

Anak Soleh ikutan orang bertaqwa.

Amin

Thursday, June 22, 2017

Sempena penghujung Ramadhan ini

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Daripada Ibnu Abbas, katanya:
“Rasulullah s.a.w. adalah yang orang sangat pemurah dan Baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadan ketika Jibril menemui baginda. ”
DIRIWAYATKAN OLEH AL-BUKHARI


Bersempena dengan hari-hari Ramadhan yang makin hampir ke penghujungnya, marilah sama-sama kita mencontohi kepemurahan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

Saya Amri Mohd Nason selaku Mudir Maahad Al Iman mendoakan agar tuan/puan diberkati Allah subhanahu wa taala dan dapat menunaikan ibadah Ramadhan dengan sangat baik.
Alhamdulillah, bermula pada September 2016 sehingga hari ini, Maahad Al Iman dengan bantuan masyarakat yang prihatin telah berjaya membina 2 buah asrama pelajar dan sedang menyiapkan sebuah masjid (untuk kegunaan pelajar)

Pihak Maahad Al Iman masih memerlukan kos sebanyak RM500,000 untuk meneruskan pembinaan masjid dan bangunan kelas.

Bagi tuan/puan yang ingin memberi sumbangan zakat/ wakaf/ sedekah sempena bulan Ramadhan ini, bolehlah disalurkan ke akaun:

MAYBANK MAAHAD AL IMAN LI ULUMIL QURAN
5521 8951 5745


Semoga sumbangan tuan/puan yang pemurah mendapat ganjaran yang berganda dari Allah subhanahu wa taala dan dapat membantu menyemarakkan usaha meninggikan agama Allah di dunia ini

Maahad Al Iman Li Ulumil Quran terletak di Pantai Cicar, Kuala Ketil, Kedah








Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi:
Amri Mohd Nason
0134202206


MOHON DIPANJANGKAN MESEJ INI. SEMOGA TUAN/PUAN SENTIASA DIRAHMATI ALLAH. AMIN

"Barang siapa mengajak kepada suatu kebaikan, maka ia mendapat pahala seperti orang yang mengikutinya, dengan tidak mengurangi sedikitpun pahala-pahala mereka.” (H.R. Muslim)

Untuk menonton persekitaran dan perkembangan terkini Maahad Al Iman, boleh menonton video di 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...