بسم الله الرحمن الرحيم
Sungguh saya katakan, saya adalah seorang yang sangat gemuruh dan takut untuk memberi ucapan dan membentangkan program di khalayak ramai.
Saya fikir, rasa gemuruh ini juga adalah biasa bagi hampir semua orang.
Hinggakan dari kecil lagi, ketika menyertai musabaqah hafazan Al-Quran, rasa gemuruh amat menyelubungi diri.
Makin hampir kita dengan giliran kita untuk menyampaikan hafazan, makin gemuruh rasanya.
Hingga abah memberikan ubat homeopati bagi mengendurkan sedikit rasa gemuruh.
Begitulah juga saya lihat dalam diri rakan-rakan yang lain. Mereka juga ada rasa gemuruh.
Ada rakan yang cuba untuk mengurangkan rasa gemuruh dengan makan coklat.
Saya jadikan situasi ini juga sebagai pemujuk dalam diri saya.
"Orang lain pun sama juga gemuruh macam aku.'
Hingga dewasa pun masih ada rasa gemuruh itu, namun cuba untuk menyembunyikan ia dengan sebaiknya dengan berzikir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Begitulah juga yang saya lihat dalam diri anak-anak.
Mereka juga gemuruh ketika menyertai musabaqah apa sahaja.
Mereka turut menyuarakan perasaan mereka dan rasa tidak selesa dengan gemuruh yang mereka sedang hadapi.
Saya cuba ajar mereka untuk mengurangkan rasa gemuruh dengan memperbanyakkan selawat dan zikir. Moga-moga ia dan memberi ketenangan.
Kini, saya sedang dalam keadaan gemuruh untuk membentangkan kertas kerja dalam seminar di USIM, Universiti Sains Islam Malaysia beberapa jam lagi .
Doa saya semoga semuanya berjalan dengan lancar dan sebaiknya.
Terfikir saya bahawa rasa gemuruh ini sebentar saja, habis pembentangan nanti habislah gemuruh dan hadirlah rasa gembira dan bahagia.
Ya Allah, andaian saya agaknya begitulah betapa gemuruh dan takutnya rasa ketika kita ingin menerima kitab amalan kita di hari akhirat kelak, malahan lebih dahsyat lagi.
Betapa takutnya dan gemuruhnya diri ini.
Moga-moga kita dapat menerimanya dengan tangan kanan seterusnya melahirkan rasa bahagia yang abadi.
Amin Ya Rabb.
No comments:
Post a Comment