بسم الله الرحمن الرحيم
Entri ini ditulis pada 28/7/2020
***Sambungan Entri yang lepas.
Ini adalah pengalaman pertama mama menjaga orang sakit di hospital.
Pengalaman pertama yang penuh dengan kenangan dan hikmah.
Sepanjang menjaga baba di wad, selalu teringat pelbagai kenangan indah yang telah kami lalui bersama sepanjang tenpoh perkahwinan lebih 15 tahun ini.
Kenangan pahit manis bersama.
Ketika baba dimasukkan ke wad sebelum pembedahan, sungguh terasa sedih dan risau.
Bohonglah kalau kata hati ini tak risau dan terfikir sunyinya dan sedihnya jika baba tiada.
Terasa hidup ini banyak indahnya bila ada baba.
Tempat minta pendapat.
Bergurau bergaduh bersama.
Sungguh sedih bila baba dimasukkan di wad, tambahan pula ketika itu masih tidak tahu penyakit sebenar baba dan terpaksa dibedah.
Menanti baba di luar bilik pembedahan. Setulus hati dan bersungguh sungguh berdoa moga semuanya selamat. Linangan air mata tak dapat ditahan-tahan.
Gambar dikirimkan dalam group Whatsapp Family ketika baba dibawa keluar dari bilik pembedahan. Alhamdulillah. Semuanya selamat. Bermulalah fasa baru dalam hidup kita, untuk memastikan kesihatan baba selepas pembedahan.
Alhamdulillah Allah masih panjangkan usia baba dan beri kami peluang menghabiskan usia bersama. Ketika itu dirasakan tiada perkara yang lebih penting dari kesihatan baba.
Terfikir juga, tiba satu masa nanti, ketika Allah cabut nyawa kita, ketika itu kita akan rasakan tiada perkara lebih penting kecuali diri kita sendiri. Itu sahaja . Yang kita ketika itu adalah keselamatan diri kita sendiri dari azab api neraka.
Allah...
Moga Allah permudahkan segala urusan kita dunia dan akhirat, memasuki syurga al Firdaus tanpa dihisab. Amin.
No comments:
Post a Comment